Thursday, June 29, 2006

ALLAH MAHA BERKUASA

OLAHAN : ALEXANDARICAIRO


Harta yang paling berharga ialah iman dan Islam. Seseorang dapat menikmati harta tersebut seiring sejauh mana penghayatannya berhubung soal tauhid yang sahih. Soal tauhid adalah urusan pokok.Urusan pokok ialah perihal yang paling penting diambil perhatian.

Biasa sahaja kelihatan seseorang sibuk dengan urusan agama yang lain tetapi tidak mengendahkan pengukuhan tauhid. Ataupun sibuk dengan urusan tauhid, tetapi merengkok dalam kepompong tauhid yang batil. Apapun, pengutusan semua Nabi dan Rasul, saya ulang, semua Nabi dan Rasul memperlihatkan peri pentingnya soal tauhid mendahului segala urusan agama yang lain.

Semua Nabi dan Rasul mengajarkan bahawa Allah Maha Berkuasa. Sifat Berkuasa Allah adalah sifat yang sempurna. Tidak berkurang atau tidak bertambah. Sama ada Allah mencipta manusia atau tidak, Allah tetap Maha berkuasa. Maha Kuasa Allah tetap sempurna.

Maha Berkuasa Allah bermaksud berkuasa mengadakan dan mentiadakan. Dengan kata lain, Allah berkuasa mengadakan yang tiada dan mentiadakan yang ada. Namun, perkara ini perlukan sedikit perincian.

Dalil Aqli

Dalil aqli menunjukkan bahawa Allah itu wajib baginya sifat Maha Berkuasa. Jika Allah tidak berkuasa, ia bermakna Allah itu lemah. Jika Allah lemah, Dia tidak mampu mencipta makhluk. Padahal, makhluk jelas sudah wujud. Kewujudan makhluk membuktikan Allah Maha Berkuasa.

Lawan bagi sifat kuasa ialah lemah. Lemah merupakan sifat kekurangan. Sifat kekurangan adalah mustahil bagi Allah. Jadi, mustahil Allah itu lemah. Maka, Allah Maha Berkuasa.

Dalil Naqli

Allah berfirman dalam Surah At-Taghabun, ayat 1 :

وهو على كل شيئ قدير

Bermaksud : Dan Dia ( Allah ) Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu.

Apakah maksud kalimah ‘sesuatu’ ( شيئ ) itu? Penulis terpanggil untuk memberi sedikit bahan kongsi supaya tidak terlepas pandang. Hal ini demi mengelakkan kesalahfahaman yang berpotensi menjejaskan keimanan kita.

Kalimah ‘sesuatu’ dalam ayat tersebut beerti ‘sesuatu yang harus kewujudannya dari sudut akal’ sahaja. ‘Sesuatu yang harus kewujudannya’ bermaksud setiap sesuatu yang boleh ada, dan boleh tiada dari sudut akal. Akal boleh menerima kewujudan dan ketidakwujudan sesuatu itu. Inilah yang dimaksudkan dengan perkataan ‘sesuatu’ dalam ayat Quran tadi. Contoh? Baik.

Mari kita lihat bersama. Dari sudut akal, manusia itu harus ada, harus tiada. Arasy itu boleh ada, boleh tiada. Langit itu harus ada, harus tiada. Bumi begitu juga, boleh ada, boleh tiada. Allah berkuasa ke atas manusia, arasy, langit dan bumi.

( Perhatian : ‘sesuatu’ beerti ‘setiap perkara yang kewujudannya harus ada, harus tiada dari sudut akal’ seperti langit, bumi dan arasy tadi )

Berdasarkan takrif ‘sesuatu’ yang penulis ketengah kan tadi, ada beberapa perkara lain yang terkeluar dari makna ‘sesuatu’ itu. Bila perkara tersebut terkeluar dari makna ‘sesuatu’ tadi, ia bermakna sifat Maha Berkuasa Allah tidak tertakluk dengan perkara tersebut.

---------------------------------------------------------------

Apakah perkara yang terkeluar dari makna ‘sesuatu’? Apakah perkara tersebut? Apakah perkara yang mana kuasa Allah tidak tertakluk dengannya?

Pertama : Tidak tertakluk kepada ‘perkara yang wajib secara akal kewujudannya’. ‘Perkara yang wajib secara akal kewujudannya’ ialah zat Allah dan sifat-sifatnya. Secara akal, Allah itu wajib ada, wajib wujud. Jadi, kuasa Allah tidak tertakluk kepada zat Allah dan sifat-sifatnya. Penjelasannya?

Penjelasan ini penting kerana terdapat shubhah yang ditimbulkan oleh orang jahil atau kafir dengan bertanya : ‘Kalau Allah Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu, adakah Allah berkuasa ke atas Allah ( dirinya )?’. Sebagai seorang muslim, kita tidak boleh menjawab ‘ya’ atau ‘tidak’ untuk soalan itu. Mengatakan ‘ya’ bermakna menyandarkan sifat lemah kepada Allah. Mengatakan ‘tidak’ juga menyandarkan sifat lemah kepada Allah. Tetapi, jangan pula berdiam diri.

Lalu, bagaimana? Kita mesti menjawab, ‘kuasa Allah tidak tertakluk kepada perkara yang wajib ( secara akal ) kewujudannya’. Selesai.

Kedua : Tidak tertakluk kepada ‘perkara yang mustahil secara akal kewujudannya’. ‘Perkara yang mustahil secara akal kewujudannya’ ialah sesuatu yang tidak akan wujud dan mustahil ia wujud. Contoh perkara mustahil itu ialah sekutu bagi Allah. Jadi, kuasa Allah tidak tertakluk dengan perkara itu. Penjelasannya?

Penjelasan ini juga penting kerana terdapat shubhah yang timbul dari godaan syaitan. Syaitan akan membisikkan : ‘Jika Allah Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu, adakah Allah berkuasa mencipta tuhan sepertinya? Adakah Allah berkuasa mencipta anaknya? Adakah Allah berkuasa mencipta seorang isteri untuknya?’. Sebagai seorang muslim, tidak boleh menjawab ‘ya atau ‘tidak’. Jawab ‘ya’ beerti mensyirikkan Allah, jawab ‘tidak’ bererti mengatakan Allah itu lemah. Jangan pula berdiam diri.

Lalu bagaimana? Kita mesti menjawab, ‘kuasa Allah tidak tertakluk kepada perkara yang mustahil ( secara akal ) kewujudannya’. Selesai.

Dengan kefahaman tentang makna perkataan ‘sesuatu’ dengan sebenarnya sepertimana ayat tadi, insya Allah segala syubhah yang timbul akan dapat diatasi. Kalimah ‘sesuatu’ inilah yang digunakan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab untuk menimbulkan keraguan dan syak dalam diri seorang muslim. Berhati-hati.

Tuntutlah ilmu tauhid dengan sungguh-sungguh. Menuntut bukan dengan ‘take and buy’ dan ‘copy and paste’. Ilmu tauhid diambil dari lidah ahli ilmu dan makrifat secara langsung. Selamat melayari bahtera kehidupan dengan tauhid yang benar.

Monday, June 12, 2006

LUBUK YANG SUBUR



OLEH : ALEXANDARICAIRO

Kalau memancing, lubuk adalah sasaran yang dikejar dan diburu oleh 'kaki pancing' untuk keberhasilan.

Kalau Piala Dunia tengah hangat, semua orang tak boleh lupa dengan 'lubuk' pemain bola. Lubuk ini sering dihidu semua jurulatih untuk mendapatkan tenaga jantera pasukan.

Tapi, bila semua jentera ini kembali bergabung sepasukan dengan keaslian 'samba' cara mereka, sesiapa pun jadi malu nak meramal pasukan lain jadi juara. Ada juga yang berkata 'agak-agak, siapa naib juara?' dengan merujuk kepada keyakinan hanya Brazil mampu juara.

13 haribulan akan menjawab sama ada ramalan itu bernas atau meleset.

Apakah pesepakbola bergelar 'daya tarikan' mampu untuk berkarya di tengah padang dengan skil yang sempurna?

PIALA DUNIA vs PIALA AKHIRAT


SEDU OLEH : ALEXANDARICAIRO


Piala Dunia : Mula 9.6.2006, habis 9.7.2006.
Piala Akhirat : Mula sejak……, habis ketika……

Piala Dunia : Menang dapat piala, duit, gelaran, dll.
Piala Akhirat : Menang dapat ……

Piala Dunia : berhakimkan manusia, ber‘penyokong’kan peminat.
Piala Akhirat : berhakimkan……., bersyafaatkan……



“World! World! World!” ….. “World, world jugak, akhirat jangan lupa..”

Friday, June 02, 2006

TANGAN PERIKSA DEWAN ATAU DEWAN PERIKSA TANGAN



CUIT-CUIT OLEH : ALEXANDARICAIRO


Di sebuah dewan peperiksaan..ada yang bergebang selamba..

Periksa : Macamana?
Tangan : Engkau ni susah la…
Periksa : Siapa yang cakap aku senang?
Tangan : Bukanlah. Tapi, kali ni engkau memang betul-betul susah.
Periksa : Habis?
Tangan : Habis, aku nak 'menari' macamana?
Periksa : Gelek je ikut step yang kau ingat.
Tangan : Ikut style arab je lah…
Periksa : Buatlah. Kalau Pak Arab kata ok, betullah maknanya…
Tangan : Kenapa?
Periksa : Masalahnya, kalau engkau gelek style Malaysia, tak tepat.
Tangan : Oh. Kalau style Hawaii?
Periksa : Woi, diamlah. Kan tengah periksa ni…Loyar buruk pulak.



Periksa : Cuma, kalau gelek ikut step seratus peratus, Pak Arab mesti bagi mumtaz.
Tangan : Ye ker? Tak tanya pun..
Periksa : Hampes. Lagi satu, asingkan dengan kemas setiap jurus gelek kau tu..
Tangan : Engkau ni banyak syaratlah. Memekak je.
Periksa : Yang engkau datang dewan ni apasal?..
Tangan : ( %$@# )



Peperiksaan. Kadangkala kebuntuan berlaku ketika di dewan peperiksaan. Yang pedihnya, bila dah keluar dewan, semua yang lupa, jadi ingat semula. Berselawat dan bersabar jika mengalaminya.

Thursday, June 01, 2006

'JOHOR' DILANDA 'TSUNAMI'



Berita terlambat oleh : ALEXANDARICAIRO


KAHERAH, 30 Mei – Tiada kata pengubat jiwa setelah melihat sendiri kesan tragedi yang melanda ‘Johor’ semalam apabila ‘tsunami’ telah menyerang persisiran ‘Pantai Sutuh’ yang sememangnya selama ini menjadi tumpuan atau ‘port lepak’ pelancong ‘veteran’ yang datang dari seluruh pelusuk ‘negeri’.

‘Tsunami’ yang kira-kira berlaku jam 10.30 pagi semalam waktu Kaherah telah dilaporkan menenggelamkan seluruh ‘Pantai Sutuh’ hingga memaksa ‘Exco Hal Ehwal Agama Negeri’ bertindak cemas turun ke padang mengawal keadaan yang agak kritikal semalam. Beliau yang kebetulan baru tiba di pantai tersebut untuk menghantar bekalan ‘ikan dan barang dapur’ untuk keperluan pengunjung pantai tersebut agak terkejut dengan kejadian itu. Namun, ketika diminta diwawancara, beliau hanya berdengus keletihan.

Menurut salah seorang mangsa ‘tsunami’ tersebut, yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Shah’ menceritakan, ‘tsunami’ tersebut berlaku secara tiba-tiba. Beliau yang sedang terlelap bersama kekasihnya iaitu ‘sebemban susunan kertas turath bermuqarrar’ terpaksa bergegas menyelamatkan nyawanya ‘keseorangan’ setelah tersedar ‘tsunami’ mula memukul pantai.

Apapun, pada pagi tersebut hanya beliau yang berada di ‘Pantai Sutuh’ kerana sahabat beliau telah meninggalkan pantai sebelum itu menuju ke sebuah universiti untuk menjalani peperiksaan. Yang menariknya, apabila beliau cuba mengaitkan tragedi tersebut dengan sebuah mesin basuh baru jenama ‘Fresh’, para wartawan saling berpandangan kehairanan. Mereka mengambil dua saat untuk berfikir, barulah masing-masing ketawa berdekah-dekah serentak memecah keheningan suasana temuramah petang semalam.

Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan hilang atau terkorban kecuali beberapa ekor ‘lipas darat’ yang mati kelemasan. Suasana agak terkawal dan masih dalam siasatan pihak berkuasa ‘negeri’. Segala bantuan motivasi atau sokongan moral boleh disampaikan ke alamat berikut : ruang komen/message box, http://www.alexandaricairo.blogspot.com/, Jalan Wayar Kabel, 07770404, Internet Darul Dunia atau menghubungi sendiri talian cemas kami 014-8220894.