Saturday, February 24, 2007

‘BENAR’NYA TIDAK MENAFIKAN ‘BESAR JAHAT’NYA

In the name of Allah, Most Gracious, Most Merciful'

oleh : ALEXANDARICAIRO


Selalu sahaja orang yang jahat berkata benar. Itupun kebetulan. Tak mengapalah. Berkata benar itu baik. Tapi dengan berkata benar bukan sewenang-wenang boleh menidakkan kejahatan diri orang jahat itu. Apalagi jika kejahatannya itu adalah dari jenis kejahatan yang sangat besar malah dilabel oleh Al-Quran sebagai dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah.


Soseh-soseh

Jika seorang orientalis musyrik bertemu dengan seorang ‘saudara baru’ yang baru masuk Islam lalu orientalis tersebut memberitahu ‘saudara baru’ itu bahawa solat yang wajib dalam Islam itu lima waktu. Orientalis itu berkata jujur menerangkan cara solat dalam Islam lalu terus berhujah dengan hadis-hadis sahih yang membenarkan hujahnya. Kemudian ‘saudara baru’ itu terpinga-pinga keraguan dan merujuk kepada anda, adakah benar maklumat yang diberikan oleh orientalis tersebut.

Sekilas pandang manakah yang lebih mulia? Orientalis musyrik yang ‘pakar’ maklumat berkenaan cara solat orang Islam atau ‘saudara baru’ yang masih belum pernah solat? Mulia dari sudut manakah ukurannya, akidahnya (saudara baru) atau banyak pengetahuannya (orientalis)?


Firman Allah dalam Surah At-Taubah ayat 28 :

إنَّمَا المُشْرِكُوْنَ نَجَسٌ

Maksudnya : Hanyasanya orang-orang musyrik itu najis (akidah mereka)...


Dalam satu hadis yang panjang, seorang sahabat telah bertemu dengan jin dari kalangan syaitan maka sahabat tersebut pun bertanya : "Apakah yang dapat menghalang kami dari (gangguan) kamu?" Jin tersebut pun menjawab : "Ayat Kursi". Maka sahabat tadi pun pergi menuju kepada Rasulullah dan menceritakan peristiwa tersebut lalu Rasulullah pun berkata :

فقد صدق الخبيث

Maksudnya : "Benarlah kata Si keji (syaitan) itu"

(Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan selainnya)


Walaupun jin (dari kalangan syaitan) itu berkata benar, Rasulullah tetap tidak menafikan kejahatan syirik yang ada pada jin itu dengan menyebutnya sebagai ‘si keji’. Secara lahiriah, jin itu seolah-olah telah ‘berjasa’ kepada sahabat dengan memberi ‘tips’ mengelak gangguan jin tetapi sejauh manapun benar kalam jin syaitan tersebut, selama mana akidahnya batil, dia tetap ‘si keji’.


Mungkinkah ada yang bertanya :

‘mengapakah Rasulullah tak mengenang jasa?’
‘mengapakah Rasulullah suka menghukum, menggelar makhluk lain sebagai ‘si keji’?’
‘bukankah besar sumbangan jasa syaitan tadi memberi tips kepada sahabat?’
‘bukankah jin itu berkata benar?’
‘mengapakah gelaran disebut hanya kerana melihat aspek negatif?’
‘siapa kita nak disamakan dengan Nabi?’
‘hoooi!!لا حكم إلا لله... إن الحكم إلا لله ’


*ohh.. karungku tak kecukupan untuk jawapan...
**hidayahMu jua Ya Allah...

Sunday, February 18, 2007

TIPU YANG DIKOMERSILKAN


oleh : ALEXANDARICAIRO

hiasan sekadarnya ye...

Mentelaah kitab-kitab warisan lama rupanya bukan satu tugas mudah. Sakit kepala, sakit mata dan sakit lainnya. Tapi, sakit-sakit itu sebenarnya datang dengan sekujur tubuh lemah yang tidak mampu menanggung beratnya nilai hidup yang bersarat dalam karya ulama-ulama silam. Walhal, jika semuanya mampu dicedok dengan kemas, sakit-sakit yang bersifat jasadi akan terpinggir lalu pergi kerana roh sudah terisi. Mungkin hati yang lalai ini masih belum sedar, susah membaca, susah lagi orang yang mengarangnya.

Namun melihat telatah manusia yang tidak mengendahkan estetika yang wujud dalam warisan Islam, ia sedikit sebanyak menimbulkan rasa kurang selesa. Mungkin dari sudut mata kasar ‘orang mengaji’, tentunya tidak patut bagi seseorang untuk mudah-mudah mengenepikan sesuatu yang bernilai walaupun dia sendiri tidak tahu atau keliru untuk menilai. Tidak kiralah warisan tersebut berbentuk penulisan, tempat atau kalam-kalam indah. Adalah tidak wajar menolak mentah-mentah satu barang berharga walaupun kita tidak tahu besar manakah harganya. Semakin keras menolak benda berharga, semakin jelaslah seseorang mengumumkan kebodohannya secara terbuka.

Itu cerita orang yang tidak tahu menilai. Dalam perkembangan sikap manusia, kerencaman menilai sesuatu biasanya bermula dengan cara tidak ambil peduli. Ada kemungkinan ia disebabkan sikap tidak tahu atau tidak mahu menilai. Bila sikap ini terus berkembang, akan wujud pula nanti rasa taasub dengan penilain diri sendiri. Fenomenanya begini. Apa sahaja yang tidak ada nilai pada pendapatnya, maka benda itu dihukum sebagai tidak ada gunanya. Sebaliknya, jika ada sahaja benda berharga pada pandangannya, ia dipuja ke sana sini dengan seribu cara. Nah, dari sinilah nilai sesuatu barang berharga sudah mula didiskriminasikan mengikut acuan nafsu manusia.

Penilaian berasaskan taasub inilah merupakan pendekatan yang memerlukan sokongan yang kuat untuk terus mendapat sambutan kerana ia berdiri atas asas mengiakan apa yang dia anggap baik dan menidakkan apa yang dia anggap tidak bernilai. Pendek kata, “I cakap betul, you cakap kurang betul”. Kadang-kala wujud rasa tidak selesa bila ada orang lain yang menyanggah penilaiannya. Oleh kerana tuntutan keadaan memerlukan sokongan yang padu, maka sikap tidak tahu menilai dan taasub kepada penilaian sendiri tadi telah berpindah kepada level yang seterusnya iaitu memperlekehkan penilaian orang lain.

Dalam tahap seperti ini, perlekehan adalah satu cara penting untuk menidakkan penilaian orang lain. Perlekehan mempunyai pelbagai bentuk dan pendekatan. Adakala memperli, mengulang cakap dengan nada sinis, mengajuk kata dengan senyum kambing, melawakkan sesuatu yang patut serius atau menjawab pertanyaan dengan soalan yang tidak berkaitan. Maka perlecehan atau perlekehan seperti ini bila dilakukan secara sistematik dan tersusun ke atas warisan-warisan Islam sama ada seni, karya, penulisan, barangan atau khazanah tempat peninggalan, ia sebenarnya satu cubaan untuk melihat sejauh mana penentangan umat Islam ke atas peringkat-peringkat perlekehan tersebut.

Jika umat Islam diam, ia adalah alamat positif bagi mereka untuk terus dengan memperlekehkan warisan dan ulama-ulama silam. Jika umat Islam mentidakmengapakan perangai mereka, ketaasuban terhadap pendapat sendiri akan berkembang subur dalam minda masyarakat hatta golongan intelek sekalipun.

Perlekehan seperti inilah yang nantinya akan dialasankan sebagai keterbukaan memberi pandangan, demokrasi dalam idea dan bebas dalam fatwa. Perlekehan semacam ini juga dibuat dengan tersusun agar apabila didakwa dengan perlakuan tersebut, mereka mempunyai seribu helah memutar belit kata berdalilkan bahawa Nabi selalu menjawab menggunakan jawapan yang berbagai-bagai mengikut kepada siapa baginda bercakap.

Seorang manusia selalunya akan lalai dengan pujian dan habuan dunia. Teori am ini terakam pada banyak tubuh manusia dalam sejarah kehidupan dunia. Jadi, bagi seorang manusia yang pada awalnya bertindak menilai dengan cara tidak wajar terhadap warisan silam Islam, taasub dengan ukuran diri sendiri lalu memperlekeh orang lain, sikap ini akan berkembang subur kepada peringkat yang lebih kronik apabila sokongan lingkungannya bertambah. Peringkat seterusnya adalah menghina khazanah berharga dalam dunia Islam.

Menghina ada banyak cara. Dalam penulisan boleh menghina karya penulisan orang lain. Dalam pengajian boleh menghina pengajian orang lain. Ada cara halus dan beralas, ada cara agak kesat dan keras.

Apabila ini berlaku, suasana yang tidak indah akan wujud. Hal ini sedang berlaku di negara-negara arab. Manusia bebas mencerca dan menghina manusia mulia yang telah mati. Manusia yang terang-terang mati dalam kesalahan pula diperjuangkan sebagai jagoan. Ketaasuban akan merata. Menyalahkan orang lain akan selalu dijumpai. Kritik sudah bertukar wajah kepada mencela. Suami isteri akan tidak bertegur sapa hanya kerana membaca Al-Quran. Saudara akan mencemik muka cuma sebab menziarahi orang alim.

Ketika ini tersusunlah empat elemen sekaligus. Pertama tidak tahu menilai, kedua taasub dengan penilain sendiri, ketiga memperlekehkan penilaian orang lain dan akhirnya menghina penilaian orang lain.

Lalu tatkala digabungkan semua tahap perkembangan sikap negatif ini, lahirlah kata-kata supaya kitab-kitab kuning ulama silam dibakulsampahkan, khazanah Nabi dibilikairkan (ada ke kalimah ini?), tinggalan sejarah dilesapkan, pengajaran akidah terpupuk hanyalah teori falsafah Greek, doa dan ziarah adalah penyembahan, usaha adalah syirik, kreativiti maslahah adalah bid’ah, ulama silam tidak perlu dituruti, iltizam mazhab dituduh taasub dan macam-macam lagi. Atas tapak inilah ia bergerak dan akan terus bergerak jika tidak dibendung awal-awal lagi.

Ya. Bibit-bibit sudah bermula. Cuma kesedaran belum pasti ada. Apa yang jelas, penipuan sedang dikomersilkan berasaskan beberapa kaedah. Istilah yang baik, nama, panggilan, jawatan, gelaran dan jolokan yang semuanya hanyalah hiasan luaran untuk mengaburi manusia tentang apakah isi di dalamnya. Mereka mahu berjaya dengan dakyah mereka, tugas kita ialah menggagalkan mereka.




* mengelilingi, melihat dan mentafsir
**berkongsi untuk sama-sama berfikir


Monday, February 12, 2007

Tasbih (sibhah) – salah kebendenye!!

oleh : ALEXANDARICAIRO



( pertama: mahu ringkas cerita )
( kedua: belum lagi ketengahkan dalil naqli )
( ketiga : entri ini tentang tasbih yang maknanya - alat menghitung zikir tuuu..)

“tasbih ( alat menghitung zikir ) bid’ah!!”
“hadis tentangnya maudhu’!!”
“haram, haram, haram, nerakaaaaaa!!”


Sedapnya mulut berkata-kata. Tak takut ke? Mudahnya tuduh-tuduh, hukum-hukum. Senangnya mengutuk-ngutuk ulama sana-sini. Suka ya dhaif-dhaifkan hadis. Tak takut ke?



ZIKIR GUNA TASBIH (SIBHAH/MISBAHAH)

PERTAMA : tak tau bukan mesti tak ada

Dalam kehidupan di dunia ini, bukan semua benda yang kita tidak tahu itu ianya tidak ada. Sungguh banyak perkara yang kita tidak tahu, tapi ia wujud. Itu adalah hakikat yang mudah. Bukan semua maklumat berada dalam pengetahuan kita. Itulah kelemahan kita sebagai manusia.

Contoh. Bila anda kehilangan beg, jangan semberono mengatakan beg itu tidak ada. Cuma anda belum jumpa atau tidak tahu ia di mana. Bila kawan anda telah mengetahui beg anda berada di mana, jangan anda menyalahkannya pula. Sudahlah anda tidak tahu beg itu di mana, maka jangan menyalahkan orang lain yang tahu apalagi jika dia membantu anda menemukan beg.

Jadi, bila kita tidak mengetahui/menjumpai sesuatu, jangan mengatakan ia tidak ada. Mungkin ada orang lain yang tahu bahawa benda itu ada. Janganlah pula menyombong diri bila ada orang lain memberitahu kewujudan benda yang selama ini kita anggap ianya tiada. Macam orang yang memperli “Zaman Nabi mana ada cukur. Itu pasal janggut panjang”. Itukan menghina. Kalau tak tau kan lebih baik diam sahaja. Atau tanya orang yang tahu, alat cukur masa itu ada atau tidak.

Sama juga orang yang memperli “Tasbih bid’ah sesat. Zaman nabi mana ada tasbih (sibhah/misbahah). Ha! Mana adaaa”. Bukankah perli namanya. Kalau tak tau kan lebih baik tanya dengan orang yang tahu. Diam pun bagus daripada pandai-pandai komen tanpa maklumat. Kalau ya pun tasbih (sibhah/misbahah) tak disebut dalam nas hadis, bukan mesti ianya tidak ada. Takkan lah semua benda yang melibatkan urusan maslahat duniawi Nabi nak disebut. Tasbih(sibhah/misbahah) itu kan maslahat untuk membantu kiraan dan ingatan bilangan zikir.

Bukan semua perkara yang membantu maslahat duniawi disebut oleh Nabi. Takkan Nabi nak sebut semua, periuk saiz berapa, pisau berapa jenis, jenama apa yang ada, kain jenis apa, kuali ada atau tak, berapa jenis penyakit kuda, tali pinggang ada atau tidak, berapa panjang ukuran pengetip kuku, diperbuat dari apa dan macam-macam lagi. Memadailah beberapa perkara sahaja disentuh oleh Nabi dalam sebahagian ketika jika kebetulan disebut dalam nas hadis. Tetapi ingat, ia bukanlah dalil untuk menolak kewujudan banyak perkara yang sedia ada pada zaman baginda. Kalau tak tahu kan lebih baik diam daripada komen yang bukan-bukan.

KEDUA : guna paip boleh?

Wuduk itu ibadah. Mandi wajib itu ibadah. Bukankah banyak riwayat menceritakan cara Nabi berwuduk dan mandi. Wuduk dan mandi itukan ibadah yang memerlukan alat. Alat yang membantu memudahkan urusan ibadah. Hukum akal menunjukkan tak mungkin air itu bertakung di udara untuk semua ketika dan setiap individu. Mungkin bejana, mangkuk, periuk bekas, tong atau apa sahaja boleh digunakan sebagai alat untuk berwuduk/mandi. Alat-alat tadi itukan urusan maslahat duniawi. Apa salahnya menukar alat mengikut keperluan/keselesaan/kemampuan.

Jadi, kalau ada orang wuduk/mandi wajib menukar ‘alat’ daripada menggunakan bekas air kepada guna paip, takkanlah bid’ah dholalah bin munkarah bin sesat @ neraka kan? Adillah sikit dalam berdalil.

Zikir itukan ibadah. Tasbih (sibhah/misbahah) itukan alat. Alat untuk membantu hitungan/kiraan. Mungkin tasbih itu berbentuk bijian batu bertali, plastik, kayu, fibre, atau apa sahaja. Ikut sukalah. Takkan lah nak marah-marah kalau orang guna alat zikir elektronik pula. Itukan alat. Kalaupun paip air tidak wujud pada zaman Nabi, takkan semua orang yang berwuduk/mandi wajib menggunakan paip masuk neraka semuanya.

Tasbih (sibhah/misbahah) kan ada pada zaman Nabi. Tak percaya? Ok. Kalaupun benar tasbih (sibhah/misbahah) itu tidak disebut dalam nas hadis, belum tau ianya benar-benar tidak ada. Banyak perkara tidak disebut dalam nas hadis tapi ia wujud. Baiklah, kalaupun memang benar tasbih (sibhah/misbahah) tidak ada pada zaman Nabi, takkan orang yang menggunakannya sebagai alat untuk membantu ibadah dihukum masuk neraka? Mana adilnya? Hukum orang neraka sana-sini. Kenapa begitu? Habis, apa cerita dengan kebanyakan umat Nabi Muhammad sekarang yang ramai mem‘paip’kan diri dalam ibadah wuduk/mandi wajib? Maksud saya mereka menggunakan paip air (alat) untuk urusan ibadah (wuduk). Masuk neraka ke?

Habis semua orang di‘neraka’kannya.

KETIGA : solat sunat rawatib

Solat sunat rawatib itukan ibadah. Masjid, rumah, surau, bilik, kem, tepi jalan, bangunan adalah alat untuk melaksanakan ibadah solat tersebut. Kita perlukan alat dipijak sebab hukum adat menafikan kebolehan kita solat atas angin.

Al-Imam Bukhari dalam sahihnya menyebut Nabi bersolat sunat subuh di rumah. Al-Imam Bukhari dalam kitab Jumuah juga menyebut bahawa Nabi bersolat sunat ba’diah jumaat di rumah. Imam Nawawi dalam syarah Sahih Muslim juga menyebut bahawa tidak ada riwayat Nabi solat ba’diah maghrib dan Isyak kecuali ia dilaksanakan di rumah. Rumah itukan alat/tempat pelaksanaan ibadah (solat sunat rawatib). Kalau tidak ada riwayat mengatakan Nabi solat sunat rawatib selain masjid, apakah dengan sembarangan kita nak menghukum orang-orang yang solat sunat rawatib selain di rumah sebagai ‘ahli neraka’?

Rumah itukan alat untuk urusan solat tersebut. Tidak bolehkah menukar alat? Berapa banyak manusia menukar alat? Maksud saya berapa banyak orang melaksanakan solat sunat rawatib di masjid, bangunan, pondok, balai, tepi jalan, kem perang, bawah pokok, tepi sungai dan lain-lain lagi. Apakah semata-mata Nabi solat sunat rawatib ber‘alat’kan rumah, maka solat sunat tersebut tidak boleh diubah ‘alat’nya? Apa cerita mereka yang solat sunat rawatib di masjid? Masuk neraka ker?

Kalaupun ada orang nak mengubah alat zikir daripada menggunakan jari kepada menggunakan butir-butir tasbih, haramkah? Masuk neraka kah? Kalau ada yang lebih advance bertukar dari butiran tasbih kepada tasbih digital, berganda-ganda neraka jugakah? Atau berapa kali nak dihukum keluar masuk neraka? Di manakah keadilan dalam berdalil?

Orang yang solat sunat rawatib di masjid bukan mengubah atau mereka-reka ibadah. Mereka hanya menukar alat untuk urusan ibadah. Maksud saya berlaku perpindahan/pertukaran daripada ‘alat’ rumah kepada ‘alat’ masjid, daripada ‘alat’ rumah kepada ‘alat’ pondok, ‘alat’ rumah kepada ‘alat’ bawah pokok. Begitu juga alat untuk berzikir. Kalau alat itu diperbuat dari bahan yang halal penggunaannya, apa salahnya berkreatif dalam urusan duniawi. Janganlah mudah-mudah mengutuk ulama sana-sini, menuduh dhaif sana-sini dan me‘neraka’kan orang sana-sini. Bukan semua perkara yang kita tidak tahu itu tidak ada. Kalau tak tau kan lebih baik diam atau bertanya kepada yang tahu.

Habis semua orang di‘neraka’kannya.

KEEMPAT : riya’, nunjuk-nunjuk, tayang-tayang

Setelah orang ramai di‘neraka’kannya, kali ini di‘riya’’kannya pula. Maksud saya, setelah mereka menghukum pangguna tasbih (sibhah/misbahah) sebagai ahli neraka, ada ketika mereka menghukum pengguna tasbih sebagai ahli riya’, suka nunjuk-nunjuk kononnya mereka kuat zikir.

Zikir itu ibadah. Solat lima waktu itu ibadah dan haji itu ibadah. Masalah riya’ itu merupakan masalah hati. Penyakit hati. Memang kita bersungguh-sungguh untuk menjauhkan hati kita dari penyakit riya’ itu. Tetapi bukan bermakna kita perlu menjauhkan diri dari solat di masjid semata-mata takut riya’. Ini adalah kesalahfahaman tentang definisi riya’. Janganlah kerana takut riya’, kita tidak menunaikan haji hanya bimbang orang nampak ibadah kita. Nak sembunyi macam mana? Kalau semata-mata beribadah dalam keadaan orang lain nampak dihukum riya’, sampai bila kita nak menunaikan haji tanpa riya’?

Menzahirkan penggunaan tasbih (sibhah/misbahah) di hadapan penglihatan orang lain bukanlah memestikan penyakit riya’. Penyakit riya’ itu penyakit hati. Berbaik sangka sahajalah dengan orang lain yang bertasbih. Mungkin dia sedang melatih dirinya untuk melazimi zikir. Mungkin ada sebab lain, bersangka baik sahajalah sesama mukmin. Berlapang dadalah dengan orang lain yang tekun untuk menjadi orang baik.

Ahli tasauf juga pernah menyebut, membuat amal kerana manusia itu syirik (kecil) manakala meninggalkan amal kerana manusia itu riya’.

Kalau semata-mata menzahirkan ibadah dihukum riya’, maka orang solat jemaah di masjid telah riya’, jemaah haji riya’, orang berpuasa riya’ dan orang berzikir menggunakan tasbih juga riya’. Itukan bersangka buruk dengan orang lain. Bukankah patut kita serahkan urusan hatinya kepada Allah tanpa bersangka yang bukan-bukan? Bukankah dalam sahih Bukhari, Nabi ada berpesan “janganlah kamu berburuk sangka, kerana berburuk sangka itu sedusta-dusta khabar berita”.

Berbaik sangka itu kan jauh lebih baik daripada sibuk-sibuk me‘neraka’kan orang?


nota : -

a) kalau ada yang kata, hitung zikir menggunakan jari itu lebih afdal daripada menggunakan tasbih, kita katakan ya.
b) tetapi kalau menuduh tasbih itu bid'ah @ haram @ neraka bin syiar kafir serta khurafat, itu adalah pandangan ekstrimis yang berselindung di balik tag nama 'reformis agama'.


* tolonglah jangan hukum semua orang lain itu salah belaka...
** bersikaplah adil dalam berdalil...

Wednesday, February 07, 2007

Surah al-Mulk ayat 1

ringkas oleh : ALEXANDARICAIRO


تَبَارَكَ الَّذِيْ بِيَدِهِ الْمُلْكُ

Maksudnya : Maha Agung Dia dengan kerajaan dalam kekuasaannya...

----------------------------------------------------------------------


Pendekatan pertama :

=oleh sebahagian kecil ulama salaf- tafwidh 100%

" نؤمن بما جاء عن الله على مراد الله "

- "kami beriman dengan apa sahaja yang datang dari Allah dengan erti yang dimaksudkan oleh Allah" (tanpa banyak komen lebih-lebih, tiada syarah, tiada ziadah)

atau

- "ia mempunyai makna SIFAT yang layak bagi Allah tetapi selain makna zahir ayat itu. aku tidak tahu"



Pendekatan kedua :

=oleh sebahagian besar ulama salaf- seperti Imam Syafie, Imam Bukhari dan Ibnu Abbas- takwil ijmali

بيده – أى بتصرّفه قال ابن عباس : يعنى السلطان، يعِزّ ويذِلّ

Kemampuan Ibnu Abbas mentakwil adalah berkat doa Rasulullah :-

اللّهمّ علِّمه الحكمَة وتأويلَ الكتاب

"Ya Allah, ajarilah dia (Ibnu Abbas) hikmah dan takwil Al-Quran"

*Doa Rasulullah ini menyangkal dakwaan bahawa salaf tidak mentakwil Al-Quran



Pendekatan ketiga :

=oleh golongan musyabbihah/mujassimah- tafwidh setelah tasybih

" له يد حقيقة تليق بجلاله تعالى،لا نعلم حقيقته "

- musyabbihah menyamakan Allah dengan makhluk dahulu kemudian barulah mereka tafwidh.
- tafwidh musyabbihah ini tidak sama dengan tafwidh yang dilakukan oleh sebahagian ulama salaf tadi.


*Allahumma faqqihna fiddien, amien....

Saturday, February 03, 2007

ALEXANDARICAIRO BERCERITA

OLEH : ALEXANDARICAIRO

Mungkin anda juga pernah ditanya dengan soalan seperti di bawah ini, atau mungkin juga andai pernah bertanya pada diri anda sendiri, atau mungkin saja anda tak pernah terfikir soalan ini tetapi dengan membaca artikel ini menyebabkan anda tertanya-tanya…

Syubhah 1 :

Jika Allah swt bukan di atas (langit / arash) , kenapa kita mengangkat muka dan tangan ke langit ketika berdoa ?

Jawapan :

Sebelum apa-apa, sila kukuhkan iktikad anda bahawa Allah wujud tanpa bertempat, bukan atas arasy/langit. Saya tunggu anda. Saya ulang. Kukuhkan iktikad anda bahawa Allah wujud tanpa bertempat. Sudah? Saya beri anda setengah minit untuk menarik nafas dan jangan memikirkan zat Allah. Tenangkan diri. Tenangkan diri. Yakinkan diri bahawa Allah wujud tanpa bertempat. Baik. Sudah? Yakin? Pastikan dengan yakin. Sangat yakin. Sebut ‘tiada tuhan melainkan Allah, Nabi Muhammad pesuruh Allah’. Sebut. Sebut dengan lidah anda sambil hati juga menyebut. Sudah? Belum? Sila sebut. Saya tunggu anda. Bagus. Terima kasih. Tenangkan diri anda. Bersedia. Senyum sikit. Lagi sikit. Lagilah. Baik. Saya mulakan.

Cerita 1 : Langit
Begini. Kenapa menadah tangan menghadap langit? Kita menghadapkannya ke langit kerana langit adalah kiblat ketika berdoa. Kita mengangkat tangan ketika berdoa kerana langit adalah kiblat doa. Adakah benar begitu? Ya, Allah berfirman dalam surah Az-Zariyat ayat 22 :
وفي السماء رزقكم وما تو عدون

Ini bermakna, langit tempat turun barakah dan rahmat ( rezeki ). Ketika berdoa, kita mengharap rahmat. Kita berdoa untuk mendapat keampunan. Bukankah keampunan itu juga satu rahmat? Ya. Sebab itu, kita menadah tangan ke langit dengan maksud, langit itu adalah kiblat ketika berdoa. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah itu tadi. Menadah tangan menghadap langit bukanlah dalil Allah itu berada di langit. Lagipun, langit adalah tempat para malaikat. Malaikat harus ( boleh sahaja ) bertempat kerana mereka itu makhluk. Allah suci dari bertempat. Allah wujud tanpa bertempat. Jelas? Penulis harap, anda jelas. Baik. Kita teruskan. Penulis ingin bertanya. Pernahkah anda melihat umat Islam bersolat mengadap kaabah di Masjidil Haram? Pernah? Sudah tentu pernah.

Cerita 2 : Kaabah
Ya. Umat Islam bersolat dengan menghadap kaabah kerana kaabah adalah kiblat ketika bersolat. Saya ulangi. Kita menghadap kaabah ketika bersolat kerana ia kiblat ketika bersolat. Semua orang Islam dari ceruk manapun, akan menghadap kaabah ( kiblat ) ketika solat. Muslim Malaysia bersolat menghadap kiblat ( kaabah ). Muslim Amerika solat menghadap kiblat ( kaabah ). Muslim Rusia, England, Lubnan, Trinidad & Tobago, Korea, Colombia, Ivory Coast, Australia dan Brazil juga demikian. Tahukah anda, pernah suatu ketika, kiblat kita ialah Baitul Maqdis di Palestin. Kemudian, Allah perintahkan umat Islam menghadap kaabah sebagai kiblat solat. Jadi, kaabah adalah kiblat ketika solat. Menghadap kaabah ketika bersolat adalah perintah Allah. Allah yang suruh kita menghadap kaabah. Menghadap kaabah ketika solat adalah perintah Allah. Menghadap kaabah bukan bermakna Allah berada dalam kotak kaabah itu. Menadah tangan ke langit juga bukan bermakna Allah ada atas langit/arasy. Saya percaya anda faham setakat ini.

Saya ada satu permintaan. Saya harap anda tunaikan. Boleh? Terima kasih. Sila tutup mata anda sebentar selama 5 saat. Betulkan duduk anda sekejap. Tegakkan badan anda. Baik. Saya teruskan lagi.

Cerita 3 : Sujud
Pernahkah anda mendengar sabda Nabi bahawa, paling baik seseorang hamba menghampirkan diri kepada tuhan ialah ketika bersujud? Pernah atau tidak? Untuk pengatahuan anda, dalam hadis itu juga Nabi menyuruh memperbanyakkan doa ketika sujud. Jadi, kenapa Nabi kata bersujud adalah paling baik mendekatkan diri kepada tuhan?

Nabi bersabda demikian kerana kita akan dapat menambah khusyuk ketika sujud. Sujud membangkit rasa kehambaan, rasa rendah diri, tawaduk dan syukur. Kemudian, Nabi suruh memperbanyakkan doa pula ketika bersujud. Kenapa banyakkan doa ketika sujud? Kenapa sujud dikira sebagai paling baik menghampirkan diri? Kenapa sujud? Kenapa bukan ketika berdiri?

Ya, benar. Hal ini membuktikan bahawa Allah bukan berada di atas langit/arasy. Bagaimana untuk membuktikannya? Baiklah. Saya telah sebutkan, Allah bukan berada di langit, Allah wujud tanpa bertempat. Saya sebutkan juga, kalau Allah itu berada di langit, nescaya Nabi akan suruh banyakkan doa ketika berdiri di tempat tinggi sebab, berdiri itu lebih dekat dengan langit. Jelasnya, Nabi sebut sujud. Sujud lebih menghampirkan diri. Secara akal sahaja, tidak logik Allah berada atas langit/arasy.

Jadi, saya percaya, sekarang akan lebih yakin bahawa Allah bukan berada di langit/arasy. Kekalkan iktikad anda itu. Kukuhkan dengan bacaan seterusnya.

Cerita 4 : Rumah Allah
Saya akan teruskan cerita saya. Tenangkan diri anda. Tarik nafas. Dalam lagi. Hembus. Baik.

Tahukah anda bahawa masjid juga digelar sebagai rumah Allah. Bukan sahaja masyarakat Melayu, bangsa arab juga menggunakan istilah yang sama. Mereka sebut ‘baitullah’ sebagai gelaran untuk masjid. Masjidil Haram juga digelar Baitullah Al-Haram. Rumah Allah membawa erti masjid. Semua orang faham makna gelaran tersebut. Orang Melayu faham makna rumah. Orang arab faham makna ‘bait’. Namun, apabila kita sebut ‘rumah Allah’, ia bukan bermakna Allah menetap atau mendiami dalam masjid. Bukan begitu. Ia bermaksud masjid adalah satu binaan untuk orang Islam menyembah atau beribadat kepada Allah. Allah tidak berada dalam masjid. Allah wujud tanpa bertempat.

Cerita 5 : Nabi Ibrahim
Jika anda memiliki mushaf di sebelah anda, sila buka juzuk 23, surah As-Soffat, ayat 99. Allah berfirman bahawa Nabi Ibrahim berkata : ‘Aku pergi kepada tuhanku dan Dia akan memberiku hidayah’. Dialog ini dituturkan oleh Nabi Ibrahim ketika baginda hendak menuju ke Palestin. Baginda berkata ‘aku pergi kepada tuhanku’ bukan bermakna Allah berada di Palestin. Ia sebenarnya bermakna baginda menurut perintah Allah supaya menuju ke sana. ‘Pergi kepada tuhan’ bererti menurut perintah tuhan. Bukan jumpa tuhan di Palestin.

Tahukah anda, dialog Nabi Ibrahim ini juga membuktikan bahawa Allah bukan berada di langit/arasy. Bagaimana? Begini. Kalaulah benar Allah berada di langit/arasy, Nabi Ibrahim tidak akan berani menyebut ‘aku pergi kepada tuhanku’ ketika hendak ke Palestin. Sebab, dialog demikian dikira bertentangan dengan akidah Allah berada atas langit.

Namun, Al-Quran membuktikan. Allah berfirman. Nabi Ibrahim telahpun mengatakan demikian ( aku pergi kepada tuhanku ) kerana baginda sangat faham tentang akidah. Baginda seorang Nabi, sudah tentu terpelihara akidahnya. Oleh itu, boleh sahaja baginda mengatakan ‘aku pergi kepada tuhanku’ ( dengan erti menurut perintah tuhanku ) kerana baginda memang tahu bahawa Allah wujud tanpa bertempat. Baginda dan semua para Nabi serta Rasul diutuskan oleh Allah dengan akidah yang sama iaitu, Allah wujud tanpa bertempat. Jadi sudah terang bahawa Allah bukan berada di langit/arasy.

Cerita 6 : Arasy
Anda letih membaca? Pejamkan mata 5 saat. Baik. Saya sambung semula.

Sila buka semula mushaf di tangan anda. Lihat juzuk sebelas, Surah At-Taubah, ayat 129. Sudah junpa? Ia di penghujung muka surat itu. Baik. Dalam potongan yang terakhir, Allah menjelaskan, Dia adalah tuhan kepada arasy yang agung. Allah, tuhan kepada arasy. Arasy itu makhluk. Makhluk itu berhajat kepada tuhan. Tuhan pula tidak berhajat kepada makhluk. Cuma, berbanding makhluk yang lain, arasy ada sedikit keistimewaan. Tahukah anda apa dia?

Dalam ayat tersebut, arasy disifatkan sebagai agung. Kenapa? Arasy disifatkan sebagai agung kerana 1. arasy adalah makhluk Allah yang paling besar saiznya, 2. kerana Allah sediakan arasy itu sebagai tempat untuk malaikat-Nya bertawaf sepertimana muslim bertawaf di kaabah dan 3. ada terdapat sebuah kitab di atas arasy.

Saya harap sangat anda bersedia untuk terus membaca. Baiklah. Saya pasti anda yakini bahawa Allah itu Maha Agung. Allah itu Maha Mulia. Maha Mulia Allah tidak berubah-ubah. Maha Agung Allah tidak berubah-ubah. Jika seseorang tidak sembah Allah, Allah tidak terhina. Jika seseorang menghina Allah, Allah tidak berkurang keagungannya. Jika pula seseorang itu taat kepada Allah, Allah tidak bertambah kemuliaannya. Orang yang menghina Allah itu yang berdosa. Orang yang taat pula beroleh ganjaran dari-Nya. Allah tetap dengan keagungannya.

Keagungan Allah sempurna. Tidak berubah-ubah. Kenapa? Ini kerana Allah tidak bergantung kepada makhluk. Allah tidak mengambil manfaat dari makhluk kerana manfaat itu sendiri sejenis makhluk. Keagungan dan kemuliaan Allah tidak terjejas dengan sebab makhluk. Jadi, Allah tidak bertambah mulia dengan sebab makhluk. Allah tidak bertambah hina dengan sebab makhluk. Kalau Allah tidak mencipta makhluk, Dia tetap agung, tetap berkuasa, tetap dengan segala kesempurnaan. Jelasnya, makhluk tidak mempengaruhi keagungan Allah.

Arasy juga adalah makhluk. Allah tidak bertambah mulia dengan sebab mencipta arasy. Kemuliaan Allah sempurna. Keagungan Allah tidak bertambah atau berkurang dengan sebab arasy. Allah juga tidak bergantung kepada arasy. Sebelum Allah cipta arasy dan tempat, Allah wujud tanpa bertempat. Setelah Allah cipta arasy dan tempat, Allah kekal sediakala wujud tanpa bertempat. Allah tidak berubah-ubah kerana berubah-ubah itu sifat makhluk. Orang yang mengatakan Allah berada atas arasy, mereka sebenarnya menyembah satu jenis makhluk yang mereka khayalkan ( bayangkan ) berada di atas arasy. Saya ulangi, orang yang mengatakan Allah berada atas arasy, mereka menyembah satu jenis makhluk yang mereka khayalkan ( bayangkan ) berada di atas arasy.

Pernahkah anda terfikir. Jika begitu, apa sebenarnya yang ada di atas arasy?

Di atas arasy, tiada benda hidup. Hanyasanya, di atas arasy itu terdapat sebuah kitab. Pada kitab itu tertulis ‘sesungguhnya rahmat-Ku mendahului kemurkaan-Ku’. Ia bermaksud, kesan bukti rahmat Allah itu lebih banyak dari kesan bukti kemurkaan Allah. Penciptaan malaikat adalah kesan bukti rahmat Allah. Bilangan mereka lebih banyak daripada titisan hujan dan dedaun pohon. Syurga adalah kesan bukti rahmat Allah. Saiz syurga juga beribu-ribu kali lebih besar dari saiz neraka. Itulah maksud kalimah ‘rahmat-Ku mendahului kemurkaan-Ku’.

Benarkah begitu? Apa dalilnya?

Imam Bukhari, Imam Nasaie dan selainnya sebagaimana lafaz dari Ibnu Hibban meriwayatkan hadis bermaksud : “Ketika Allah mencipta makhluk, Dia telah menulis pada sebuah kitab, berjanji pada diri-Nya, kitab itu diangkatkan ke atas arasy, sesungguhnya rahmat-Ku mengatasi kemurkaan-Ku”. Saya sangat berharap anda faham setakat ini. Allah bukan berada atas arasy. Di atas arasy hanya ada sebuah kitab. Allah wujud tanpa bertempat. Saya ulangi, Allah wujud tanpa bertempat.

Saya telah bercerita dengan 6 cerita. Saya minta anda kumpulkan semua cerita itu sekarang. Susun dari cerita pertama hingga ke enam. Baiklah. Saya bantu anda.

1. Cerita pertama membuktikan Allah bukan berada di langit.
2. Cerita kedua membuktikan bahawa Allah bukan berada dalam kotak kaabah.
3. Cerita ketiga membuktikan Allah bukan berada di langit, bukan di bumi.
4. Cerita keempat membuktikan Allah bukan berada di dalam masjid
5. Cerita kelima membuktikan Allah bukan berada di Palestin.
6. Cerita keenam membuktikan Allah bukan berada di atas arasy.

Oleh itu, anda telah faham dan jelas bahawa Allah itu wujud tanpa bertempat. Bagaimana untuk lebih jelas? Begini. Semua cerita-cerita yang saya ketengahkan tadi hendaklah kita kembalikan kepada ayat sarih dari Surah As-Syura, ayat 11 :

ليس كمثله شيئ

Bermaksud : Tiada sesuatupun yang menyerupai Allah.

Selama mana sesuatu iktikad ada berunsur menyerupakan makhluk dengan Allah, ia adalah bertentangan dengan akidah umat Islam. Berwaspadalah. Bersungguh-sungguhlah berdoa supaya Allah memelihara iman kita. Banyak lagi cerita yang ingin saya kongsi. Insya-Allah, pada masa mendatang, jika ada kesempatan masa dan kelapangan, saya akan ketengahkan. Kukuhkan iktikad anda, Allah wujud tanpa bertempat. Salam hormat dari saya dan selamat beristirehat.

Thursday, February 01, 2007

ATUK-ATUK YANG BAIK

oleh : ALEXANDARICAIRO

Satu : Abdul Muttalib ertinya hamba atau khadam kepada Al-Muttalib.

Nama sebenar Abdul Muttalib ialah Syaibatul Hamdi. Dia sering berkhidmat kepada pakciknya. Bajunya lusuh dan sering membonceng pakciknya menaiki unta. Oleh kerana penampilannya yang tidak begitu segak, setiap kali pakciknya ditanya siapakah yang berada bersamamu itu?, Al-Muttalib malu untuk menjawab bahawa Syaibatul Hamdi itu anak saudaranya. Lalu dia hanya menjawab, dia adalah hamba aku.

Oleh kerana itu, orang ramai menggelarnya khadam kepada Al-Muttalib (Abdul Muttalib)

Dua : Abdu Manaf. Manaf ertinya tempat tinggi. Tapi ‘Abdu Manaf’ bukan bermakna hamba kepada berhala (tempat tinggi)!!!

Abdu Manaf adalah gelaran orang yang sering tabah menghadapi kesukaran dalam hidupnya. Ataupun ia bermaksud pujian untuk orang yang sering berada pada kedudukan yang tinggi.