Friday, December 29, 2006

PROTT!! – kentut – nikmat dan kenikmatannya…

oleh : ALEXANDARICAIRO


Besar atau kecil, sedar atau terlepas pandang, sedikit atau banyak bentuk sesuatu nikmat yang Allah kurniakan, itu mungkin atas nilai pandangan mata kasar kita yang penuh dengan dosa dan kesalahan lalu menjadikan hati terhijab untuk benar-benar menginsafi betapa setiap nikmat itu adalah sangat besar jika dibandingkan dengan ketaatan kita kepada Allah dalam rupa bentuk yang sepatutnya. Di mana syukur kita di sebalik setiap satu nikmat adalah persoalan yang sentiasa terjawab dengan jawapan yang tidak selayak mana.

Itulah rupa kita.

Saya bawa satu misalan. Pada hari ini adalah pertama kali anda dipanggil menghadiri temu duga di sebuah syarikat kewangan. Kekemasan dan penampilan disiplin diri telah anda lengkapkan. Setelah panggilan masuk ke bilik temu duga, tiba-tiba anda gemuruh. Semua ketakutan datang. Ya, pada masa itu juga. Paling mengejutkan anda merasa sangat mahu terkentut ketika itu juga. Perut semakin sakit. Mulalah dahi anda berpeluh, pandangan pun sedikit kabur dan kepala pun mula ‘lalok’. Macam mana ni?

Bilik temu duga tidaklah seluas mana. Berhawa dingin lagi. Cukup selesa bagi orang yang tidak rasa nak terkentut seperti anda. Namun bagi anda, bilik menunggu di luar sana tadi lebih best sebab dengan mudah kentut dapat dilepaskan. Tiga orang pegawai kelihatan segak duduk bersandar di hadapan anda. Anda cuba senyum tidak seikhlas mana kerana memikirkan potensi ledakan ‘bom pemedih hidung’ yang bakal meletus. Alamak. Jika terkentut, bau akan merebak lalu pastinya dengan pantas anda diminta keluar dan jangan berangan nak dapat jawatan itu.

Begitulah seksanya kalau seseorang menahan kentut seribu daya. Biasanya, sesuatu nikmat itu hanya dirasai bila ia hilang dari tangan kita. Bila dah menahan kentut begitu rupa, patutlah menilai betapa besarnya nikmat kentut. Bukan sahaja makanan, harta dan kemewahan. Kentut juga nikmat. Kenikmatannya luar biasa nikmat. Ia salah satu nikmat yang Allah kurniakan kepada kita dan kita seharusnya bersyukur dengan nikmat itu.

Cerita kentut.

Hmm. Kentut rupanya berasal dari gas di dalam usus. Gas ini terhasil dari udara yang kita sedut lalu ia menerobos masuk melalui darah. Apabila udara ini bertindak balas dengan kimia dan bakteria dalam perut, ia menghasilkan gas yang bernama ‘si kentut’.

Bau kentut juga sedap jika dihidu oleh orang yang kentut itu sendiri. Tapi awas, jika orang lain terhidu, maka dapatlah sumpah seranah. Sebenarnya bau kentut berkait rapat dengan kandungan makanan. Jika makanan mengandungi sulfur ( belerang ) yang tinggi, ia mempengaruhi ke‘power’an bau kentut itu. Telur dan daging merupakan jenis makanan yang cukup kuat mempengaruhi bau kentut. Sebab itu bila makan telur, kadang-kadang bunyi kentutnya perlahan sahaja, tetapi setelah 2 saat, orang sekeliling tentunya gelisah menutup hidung tak senang duduk.

Kentut juga ada irama tradisinya. Prot, pius, surt dan brbrbrt mungkin antara rentak-rentak kentut yang pernah anda hafal sejak di bangku sekolah. Jangan malu-malu untuk mengaku. Mengaku sahajalah. Sebenarnya, kekuatan bunyi kentut berkaitan dengan kekuatan tekanan gas dalam usus. Bila tekanan itu kuat, bunyi yang kuat terhasil. Makanan dari jenis kacang-kacang, kubis dan susu juga mempengaruhi daya bunyi kentut, tetapi bukan pada baunya.

Apa yang menarik, fakta menunjukkan bahwa semua orang kentut sehinggakan orang yang sudah meninggal pun masih boleh kentut. Sebab itu bila seseorang menahan kentut, kentut itu tidak hilang. Ia masih ada dalam usus. Cuma kentut yang ditahan tadi berpindah sementara ke bahagian atas usus dan akan keluar semula apabila tiba gilirannya. Jadi ia tidak hilang, ia sekadar penundaan.

Sekadar ini.

Itulah serba sedikit sejarah ketamadunan empayar kentut dalam peradaban manusia. Nikmat dan kenikmatannya seharusnya disyukuri. Selamat menikmati dan mensyukuri nikmat kentut...


*sekadar kongsi maklumat tentang kentut, nak tahu lebih-lebih, tanya profesor kentut..
*dah kentut belum hari ini?

Thursday, December 21, 2006

JOHOR DARUL BID'AH AL-HASANAH - mesti baca !!!

oleh : ALEXANDARICAIRO


Berkerut juga dahi memikirkan bagaimanakah pengaruh jahat hendak dikekang dari menular masuk mengganggu umat Islam. Akhir-akhir ini, bibit-bibit perpecahan mula menampakkan retaknya. Sana-sini , hari-hari ada sahaja kontroversi. Tidak sudah-sudah dengan masalah yang sedia ada, datang pula masalah berat yang merosakkan minda umat Islam. Masalah khilafiah ditabur di gelanggang orang awam untuk keuntungan kocek sendiri.

Yalah. Pensyarah yang sibuk-sibuk membangkitkan soal khilafiah mengelirukan dapat ‘salam keruk’ seusai fitnahnya, tetapi orang awam yang bergaduh di masjid-masjid. Pencetus fitnah dapat sudah pangkat baru untuk gaji dan pengaruh yang lebih besar, tetapi orang awam terusan menjadi mangsa bertelagah dalam forum-forum di internet. Pensyarah menjilat upah, anak muridlah yang bertegang urat membela pesalah yang dianggap ‘mujaddid’ idaman. Lalu bertikam-lidahlah orang awam berkenaan soal-soal yang sebelum itu merupakan perbahasan lapang dada di kalangan ulama. Yang untung adalah pencetus fitnah. Dapat duit, dapat naik pangkat. Lainnya adalah mangsa yang dihambur dengan gelaran pejuang, pendukung dan pembela sunnah demi cita-cita dakyah mereka.

Lihatlah. Dalam kesukaran membendung sebaran fitnah mereka, sukar juga ingin menjelaskan kepada orang awam tentang fitnah golongan ini. Orang awam harus diberi penjelasan akan ketidakmustahilan kemunculan segolongan manusia mempergunakan sunnah atau hadis supaya orang awam terselamat dari dakyah golongan ini. Memang slogan mereka sedap bunyinya, cantik duduknya tetapi itulah cara mereka mempergunakan sunnah untuk kepentingan selera dakyah mereka. Apa peliknya? Mana mustahilnya?

Menderhaka kepada ahli syurga

Kita sorot sejarah. Saidina Abu Bakar merupakan sahabat Nabi yang paling rapat dengan baginda. Sejarah kesetiaan persahabatan beliau dirakamkan dalam Al-Quran malah beliau antara 10 orang yang dijamin syurga.

Dalam era pemerintahan beliau sejurus kewafatan Nabi, beliau menghadapi masalah kederhakaan segolongan manusia yang enggan membayar zakat malah ada antara mereka yang mengingkari kewajipannya. Golongan penderhaka ini bukannya tidak tahu bahasa arab, bahkan mereka ini bangsa arab malah berhujah dengan ayat Al-Quran untuk membenarkan dakwaan mereka. Bergelumanglah mereka mendakwa bahawa bayaran zakat tidak perlu dibuat setelah kewafatan Rasulullah. Bagi pemahaman mereka, mandat pungutan zakat hanya terpundak kepada Rasulullah sahaja. Setelah Rasulullah wafat, tiada sesiapa layak memungutnya. Al-Quran diseleweng.

Lalu Saidina Abu Bakar memutuskan untuk memerangi golongan ini. Secara ilmiah, banyak alasannya, luas perbahasannya. Kita ringkas sahaja. 1: Kederhakaan kepada pemerintah dan negara, 2: keingkaran terhadap kewajipan zakat dan 3: penyelewengan kepada pemahaman Al-Quran.

Bayangkan. Bangsa arab yang tahu bahasa arab, hidup di zaman Rasulullah, zaman salaf, pernah jumpa Rasulullah, tahu makna Al-Quran, sanggup menyeleweng dan memutar belit ayat Al-Quran dan menderhaka khalifah pertama yang juga calon ahli syurga! Mereka mencemar rukun Islam dan khalifah memutuskan untuk memerangi mereka! Sejarah membuktikan ia bukanlah mustahil. Ia telahpun berlaku. Jadi apa peliknya jika anda melihat segolongan manusia yang mempergunakan hadis dan sunnah, menggunakan nama ahli sunnah, mensahih dan mendhaif hadis mengikut selera puak mereka, mencanang tajdid sana-sini sedangkan mereka sedang merosakkan akidah umat Islam?

Sedangkan zaman Saidina Abu Bakar sudah ada manusia menyeleweng pemahaman Al-Quran, kenapa kita tidak cuba mempelajari sesuatu dari sejarah supaya kita lebih berani membuka mata hati untuk mengukur dengan sejujurnya tentang golongan yang sedang mempergunakan sunnah.

Di zaman Saidina Abu Bakar sahaja, ayat Al-Quran yang disepakati kesahihan nasnya pun boleh diseleweng menerusi pemahamannya, apa lagi hadis yang proses sahih dhaifnya menjadi perbahasan yang tersembunyi dari orang awam? Sudah tentu lebih mudah untuk mereka mempergunakan hadis untuk menyelewengkan maknanya, paling tidak pun mendhaif mana yang dirasakan perlu dan mentahqiq kitab mana suka untuk selera kepentingan dakyah mereka!

Jika di zaman Saidina Abu Bakar pun sudah ada pengikut yang ikut terpedaya dengan penyelewengan Al-Quran sedangkan mereka sendiri bangsa arab, apa lagi zaman sekarang? Tidak mustahil ada juga bangsa arab malah bergelar profesor, atau ‘tok sheikh’ turut terhanyut dengan penyelewengan terhadap pemahaman hadis!

Jadi di zaman Saidina Abu Bakar tadi, bukanlah ayat Al-Quran yang diperjuangkan oleh golongan penderhaka tersebut, tetapi mereka mempergunakan ayat Al-Quran itu untuk memperjuangkan penyelewengan terhadap pemahaman sepotong ayat Al-Quran walaupun ia telah mencetus huru-hara dan kacau-bilau. Memperjuangkan Al-Quran dan memperjuangkan kefahaman yang salah terhadap ayat Al-Quran adalah sangat jauh perbezaannya.

Begitulah kita menonton golongan yang sibuk-sibuk kononnya berjuang dengan sunnah tetapi bukanlah itu tujuan sebenar mereka, tetapi agenda sebenar mereka hanyalah untuk merosak akidah umat Islam untuk bersama-sama bersekongkol memfitnah dan menuduh Allah dengan bermacam-macam tuduhan yang menggugat iman. Perkataan ‘sunnah’ itu cumalah alat sebagai daya tarikan untuk melahirkan ketaksuban kepada kumpulan mereka yang akhirnya agenda asal mereka akan diserapkan kemudian.

Dekat dengan Rasulullah

Rasulullah begitu sayangkan umatnya sehinggakan ketika hampir menghembus nafasnya yang terakhir pun, beliau masih teringatkan umatnya. Berkait kukuhnya ketaatan kepada Allah dan ketaatan kepada Rasulullah menjadikan umat Islam dididik dan terdidik untuk mencintai Rasulullah.

Atas nilaian sensitiviti inilah kita melihat terdapat golongan mempergunakan elemen kecintaan ahli bait ( keluarga ) Rasulullah untuk menyebarkan dakyah mereka. Perjuangan yang asalnya murni kini sudah dijadikan alat pula untuk menagih simpati dan tarikan orang kepada dakyah mereka. Kesensitifan umat Islam terhadap Rasulullah serta ahli keluarganya menjadikan ramai yang terkeliru lalu bergelumang masuk dalam dakyah mereka. Itulah yang selalu disebut sebagai Syiah.

Begitu juga golongan yang sedang semarak mempergunakan elemen yang sensitif kepada umat Islam. Iaitu elemen yang berkait dengan Rasulullah. Jika Syiah tadi mempergunakan elemen ahli keluarga Rasulullah untuk meneruskan dakyah mereka, golongan ini mempergunakan elemen sunnah Rasulullah untuk menarik orang awam untuk masuk dalam perangkap mereka. Maka anda dihiburkan dengan perkataan sunnah, bid’ah, salaf, dan lain-lain. Anda pasti terhibur. ‘Lagu’nya sedap tapi awas, ‘komposer’nya seorang yang kejam. Sekali pandang perbuatan ini kelihatan baik tetapi ingat, semua dakyah yang jahat pastinya akan disadur comel molek oleh pendukung-pendukungnya.

Sebab itu jangan pelik kalau pendukung-pendukung golongan yang mempergunakan sunnah ini kelihatan ‘thiqah’ ( berkredibiliti ) dengan lengkap berjubah, berkupiah, janggut, senyum tak lekang dan manis bicaranya. Bukan salah janggut atau jubah, tapi orang yang mempergunakan janggut untuk menarik umat Islam kepada dakyah dan fitnah kumpulan mereka, itulah yang bersalah. Mana-mana individu pun kalau tujuannya adalah menarik perhatian orang lain kepada dakyah mereka, pastinya mereka akan berbuat menurut mana lunturnya hati manusia. Bukan sahaja golongan ini, gerakan kristianisasi juga berdakwah dengan daya tarikan tertentu untuk kepentingan mereka.

Jadi kalaupun sejak berkurun lamanya sudah ada golongan yang sibuk-sibuk mempergunakan elemen ahli keluarga Rasulullah untuk merjerumuskan manusia dalam lembah dakyah meraka, apa peliknya tatkala melihat segolongan manusia yang mempergunakan sunnah Rasulullah untuk memenangi hati manusia untuk terlibat rosak bersama mereka? Nak hairan apa?

Jika sejarah telah membuktikan bahawa sudahpun ada golongan yang tidak sedar kesalahan mereka walaupun mempergunakan elemen ahli bait Rasulullah, mengapa kita tidak dapat menerima hakikat bahawa di sana juga terdapat sekelompok manusia yang tidak sedar-sedar kesalahan mereka sedang mempergunakan sunnah untuk melariskan dakyah fitnah yang mula dicetuskan sejak kurun ke-7?

Apa ada pada nama

Dalam keterdesakan dan tekanan, sesekali nama yang indah itu sangat perlu walaupun isinya tidaklah seindah namanya. Paling kurang, untuk manusia yang tersasar tabiat mengkajinya, dia pasti akan terpengaruh dengan nama yang indah. Sebab itulah dalam aspek penjenamaan barangan, banyak pengeluar yang cenderung untuk memilih nama yang sedap, baik dan paling hampir dengan hati pengguna.

Dalam isu penyebaran dakyah juga, nama sangat memainkan peranan. Sebab itulah lahirlah jenama-jenama hebat seperti Jemaah Islamiah, Hizbullah ( parti Allah ), Ansar sunnah ( pendukung sunnah ), Sisters in Islam, Darus sunnah dan macam-macam lagi. Semuanya untuk memenangi hati manusia dengan cinta dengar pertama. Bukan cinta pandang pertama, tapi cinta dengar pertama. Sebab, hanya pertama kali mendengar nama yang disebut, manusia akan terus terpanggil kerana nama-nama seperti itu cukup kuat kaitannya dengan istilah-istilah yang agak Islamik. Lalu mudahlah dakyah disebarkan kepada orang awam dan dakyah ditabur dengan cepat.

Namun, dengan pertimbangan ilmiah berdasarkan dalil, pimpinan hidayah dan emosi yang konsisten, akal yang waras dapat memberitahu kita bahawa bukan semua kumpulan yang menggunakan istilah-istilah yang Islamik itu benar-benar melambang keaslian isi kumpulan itu. Bukankah begitu? Ya. Ada yang mengarut, ada yang membelot di sebalik keindahan nama.

Jadi apa peliknya kalau wujud segolongan manusia yang menggunakan istilah sunnah untuk cuba membawa perpecahan kepada manusia dengan bersibuk-sibuk dengan perkara khilafiah? Mana mustahilnya munculnya mereka yang mendakwa pendukung sunnah sedangkan Allah sendiri telah difitnah dan dituduh bukan-bukan oleh idola-idola dan pemimpin pujaan mereka? Apa hairannya dengan kemunculan golongan ini membid’ah sana-sini perkara-perkara yang harus menurut ulama-ulama ahli sunnah?

Musailamatul Kazzab si pendusta

Jangan anda terpengaruh dengan ‘kehebatan’ golongan ini berpidato berbicara tentang sunnah kerana Muasailamatul Kazzab juga telah membuktikan bahawa beliau sanggup berkarya dengan ‘kehebatan’ syairnya semata-mata untuk mendakwa dia adalah nabi yang sedang mendapat wahyu.

Anda tidak perlu hairan golongan yang mempergunakan ‘sunnah’ ini ada pengikutnya tersendiri kerana Musailamatul Kazzab yang berdusta di zaman Nabi Muhammad sendiri memiliki pengikutnya yang taksub. Kerana adanya pengikut, kedua-dua kumpulan ini mampu hidup dengan dusta-dusta mereka!

Musailamatul Kazzab memahami bahasa arab, tahu menulis syair arab yang menjadi keagungan waktu itu dan tahu Nabi Muhammad adalah utusan Allah yang terakhir. Tanpa hidayah, walaupun dia berbangsa arab dan tahu bahasa arab, dia tewas dengan nafsunya lalu mengagungkan diri sendiri sebagai nabi. Golongan yang mempergunakan sunnah juga belajar bahasa arab, memiliki karya malah ada di kalangan bangsa arab. Musailamatul Kazzab juga sanggup berdusta ketika Nabi Muhammad masih hidup, apa lagi golongan yang mempergunakan sunnah ini, sudah tentu lebih selesa untuk terus dengan fitnah mereka kerana Rasulullah telah wafat!

Tapi ingat, hidayah bukan hanya untuk orang arab atau reti bahasa arab sahaja, hidayah adalah untuk sesiapa yang Allah kehendaki. Kalau hidayah itu cuma untuk bangsa arab hanya kerana mereka memahami Al-Quran, mengapa tidak Abu Jahal dan Abu Lahab memeluk Islam? Kalau hidayah itu khusus untuk bangsa yang memahami bahasa Al-Quran, mengapa wujud manusia yang mempergunakan Al-Quran untuk menentang kewajipan zakat di zaman Saidina Abu Bakar? Kenapa kita pelik golongan mempergunakan ‘sunnah’ ini ada kitab-kitab ‘pemimpin’ mereka sedangkan Musailamatul Kazzab juga mempunyai stok koleksi syair dengan tujuan untuk berlagak menandingi mencabar ayat Al-Quran!

Mahir dengan bahasa arab meskipun berbangsa arab bukanlah memestikan berada di pihak yang benar. Memiliki khazanah karya penulisan dan ‘fatwa’ yang berjilid bukanlah mesti betul malah mungkin makin banyak, makin rumit merosakkan orang lain. Kerana fitnah di tengah-tengah umat Islam itu memang hebat dan memukau. Fitnah itu hebat. Jika tidak memukau, ia bukanlah fitnah dalam erti kata yang sebenarnya. Kalau tidak mengelirukan orang, taklah hebat fitnah itu.

Apa yang penting ialah anda bukan mangsa untuk tertipu dengan dakyah Musailamatul Kazzab ataupun konco-konconya.

Hidayah Allah yang menuntun manusia terselamat dari dakyah golongan yang menyelewengkan ayat Al-Quran di zaman Abu Bakar, bukan pengetahuan bahasa arab mereka, bukan ke‘bangsa’an arab mereka. Juga harus ingat. Hidayah Allah juga yang akan memimpin anda terselamat dari golongan yang mempergunakan sunnah itu.

Orang pelik

Diam tak diam, golongan inilah diperlekakan dengan hadis “fatuubaa lil ghuraba” – “maka berbahagialah mereka yang kelihatan pelik”. Golongan ini jugalah yang terpedaya dengan sangkaan seolah-olah mereka berpihak kepada hadis yang menyebut gandaan pahala untuk mereka yang mehidupkan sunnah di akhir zaman. Penyelewengan dalam ulum hadis menghasilkan anggapan bahawa ajaran merekalah sebagai ‘kekembalian kepada asal’, ‘reformasi agama’, ‘ketulinan’, ‘keteguhan prinsip’ dan sebagainya. Mereka inilah yang tertipu dengan slogan ‘salafi’ tajaan pemimpin mereka terdahulu padahal sebenarnya cuma berkiblatkan ‘salaf’ tahun ke-7 hijrah rekaan dan mitos mereka sendiri. Mereka jugalah yang sering mendendangkan kalimah ‘sunnah’ dan ‘salafi’ dengan irama yang indah sedangkan ‘komposer’nya bukanlah mereka yang hidup di zaman salaf. Inilah kumpulan yang ‘mencuri’ perkataan sunnah dan salaf, kemudian membuat edaran cetak rompak kerana pelanggannya tidak cukup maklumat atau tidak kisah mana yang ‘ori’, mana yang cetak rompak.

Kita bertegas. Dalam hal ini kita memang bertegas. Kita menerima tajdid dalam Islam, tetapi bukan ‘tajdid’ yang dicanang oleh golongan ini. Kita menerima manhaj salaf, tetapi kita mengingkari ‘manhaj salaf’ yang direka pada kurun ke-7. Kita menuruti ‘kekembalian kepada asal’ tetapi kita menolak sekeras-kerasnya penyelewengan hadis oleh puak ini. Kita menerima ‘keperluan dalil sahih’ tetapi kita menolak pencabulan kesepakatan/ijmak ulama Ahli Sunnah terdahulu. Kita menerima sunnah, tetapi kita tidak menerima ‘sunnah’ hasil kerja golongan ini. Kita menyambut dakwah agama, tetapi kita menolak ‘agama’ produk golongan ini. Kita sungguh-sungguh menolak syirik, tetapi kita berdiri teguh dengan penerimaan bi’dah hasanah yang sedia ada. Kita bukan nak bergaduh pasal perkara khilafiah, tetapi kita mahu menangani sikap manusia yang suka menabur masalah khialiaf untuk keuntungan kocek sendiri.

Renungkanlah. Menghidupkan sunnah itu berbeza dengan terpekik berforum kalimah ‘sunnah’. Mengikut salafussoleh itu berbeza dengan mengikut ‘salaf’ versi tahun ke-7 hijrah rekaan dan mitos sendiri. Mengikut manhaj salaf itu sangat berlainan dengan mengikut manhaj orang yang mendakwa dia ikut ‘manhaj salaf’. Sila bezakan dengan baik-baik.

Dahi kerut kembali

Teringat juga falsafah Jerman : pembohongan yang berulang akan diterima menjadi kebenaran.

Itulah celotehnya. Penat juga. Moga-moga hidayah Allah tetap bersama memimpin kita untuk menangkis kefahaman yang merosak umat Islam ini. Cuma apabila memikirkan apa ada pada nama, sempat kawan saya bersenda ilmiah mengatakan “mengapa tidak kita namakan sahaja negeri Johor sebagai ‘Johor Darul Bid’ah Al-Hasanah’”. Itu mungkin beliau fikir sebagai salah satu cara mengekang fahaman dan fitnah golongan tadi, tapi suka diingatkan, penulis bukanlah menteri...

HATI MULA MERINDU

oleh : ALEXANDARICAIRO

Hati ini sudah pandai merindu . Rindu dengan pantai Iskandariah. Sebelum ini rasa biasa, sebab itu bila tiada baru terasa. Memang biasanya sesuatu nikmat itu lebih dirasai bila ia kehilangan dari genggaman. Mungkin kurang syukur agaknya ketika itu.

Angin pantai di musim sejuk lebih segar berbanding angin musim sejuk di tanah gersang padang pasir seperti sekarang. Bayu oksigen yang bertiup membawa sejuta bahasa laut Mediterranean masuk ke hidung meresap segar ke dasar paru-paru memang tidak dapat dilupakan. Apakan daya... jodoh kita tidak berlanjut.

Ini baru sepuluh hari. Apakah rindu akan berlanjut jika masa mencapai 10 bulan? Mungkin masih ada ruang untuk mengintai peluang ke sana...

Thursday, December 14, 2006

MASALAH SERIUS YANG DITIDAKMENGAPAKAN

oleh : ALEXANDARICAIRO

Seorang ahli falsafah Jerman pernah menyebut, pembohongan yang berulang kali akan diterima sebagai satu kebenaran.

Suasana hari ini agak kelam kabut. Sana-sini penuh manusia yang sibuk mempergunakan kelemahan manusia lain. Tidak kurang pula yang terang-terangan mencabuli pelbagai perkara. Ketika ini, adalah sesuatu yang sangat biasa melihat profesor, pemikir, cendekiawan atau ilmuwan turut serta dalam fenomena buruk ini. Kerana merekalah yang cukup mahir dalam memastikan fenomena kusut ini terus segar di tengah-tengah masyarakat kerana mereka memiliki modal dan bahan yang cukup. Keintelektualan mereka hanya dengan ilmiah tanpa ubudiah, menjadi alat pelaris kepada sambutan yang diperolehi.

Bahas ilmu, keterbukaan dan lapang dada memang harus ada dalam urusan manusia. Tetapi, alasan inilah yang digunakan para bijak pandai untuk mewajarkan segala usaha mereka. Ketaksuban dan asabiyah ditanam cermat ke benak orang ramai. Kekeliruan satu demi satu diketengahkan dengan alasan membetulkan segala yang salah sejak berabad-abad dahulu. Itulah sangka mereka. Kekusutan menjadi bertambah apabila pelbagai istilah ‘manis’ menghiasi setiap gerak kerja mereka.

Mangsa keadaan adalah orang awam. Orang awam yang tak punya asas yang mewajarkan mereka menerima bulat-bulat, mentah-mentah. Bagi orang awam yang memiliki pengetahuan menyebar maklumat, dengan pantas menyampaikan segala apa yang diterima dari golongan ini. Lalu dengan cepat sekali perkara salah disebar luas. Internet, majalah, blog semuanya sarat dengan dakyah mereka. Jika perkara yang jelas salah, diketahui ia adalah salah, itu tidak mengapa. Tetapi adalah menjadi malang bila perkara yang sangat salah, sangat dilihat sebagai sangat benar. Inilah yang berlaku di sini.

Ada benarnya dengan kalam ahli falsafah Jerman tadi. Ahli falsafah ini bukan bermaksud pembohongan bertukar menjadi benar, tetapi penipuan berulang itu bakal diterima seolah-olah ia benar. Ia merupakan satu pemerhatian psikologi manusia. Maka golongan bertaraf ‘PhD’ ini akan terus mengulang-ulang pembohongan ini, kerana setiap generasi akan berubah. Itu pasti. Sangat pasti. Jika PhD tidak memadai, mereka akan bergerak ke jawatan yang lebih tinggi.

Generasi mendatang akan ketinggalan berita tentang kebobrokan golongan cerdik pandai ini. Apabila perkara pertama disumbat ke kepala adalah kesalahan yang dianggap kebenaran, maka generasi mendatang khususnya orang muda mudah terpedaya. Hal ini telah dan sedang berlaku di sini. Di Malaysia. Sebelumnya, ia berlaku di tanah arab. Sebab itulah golongan muda menjadi sasaran. Kementahan dan kemudaan mereka sedang dipergunakan oleh ilmuwan ini dengan alasan jihad, menyampaikan dan dakwah.

Tidaklah menghairankan penyertaan profesor atau ilmuwan bertitle apa sekalipun dalam merencana gerakan seumpama ini. Alahai, tak hairanlah. Pemuka Yahudi pun terdiri dari bijak pandai. Apa yang pasti, gerakan ini membawa fahaman yang jelas salah, tetapi sangat licik berselindung sehinggakan dapat dilihat, betapa kerasnya konco-konco yang bertaraf hingusan seboleh-boleh mempertahankan gerakan ini tanpa ingin sedikit pun rasa bersalah atas hujah kononnya berpegang kepada prinsip.

Kini, universiti bukan lagi tempat yang selamat. Universiti. Jikapun zina adalah hidangan yang tersedia di sana, ia adalah ketidakselamatan nombor dua. Tetapi jika gerakan ini berada di sana, ia adalah ketidakselamatan nombor satu yang tiada lagi tandingannya.

Penzina akan merasa bersalah dan tahu kesalahannya serta mengetahui zina adalah salah dan jenayah. Adapun pendukung gerakan ini, mereka melihat kesalahan mereka sebagai pembaharuan dalam agama, tajdid, keteguhan prinsip, kekembalian kepada amalan asal dan kebenaran. Ini yang sangat dan lebih merbahaya. Perkara ini berlaku kerana mereka telah ditipu sejak 700 tahun yg lalu. Tak kira ber‘PhD’ ataupun digelar ‘sheikh’. 700 ratus tahun penipuan berjaya berulang. Manakan tidak profesor juga menjadi mangsa? Lebih malang lagi, mereka cuba mewujudkan fantasi seolah-olah mereka menekuni dan berada di 1400 tahun yang lalu.

Usahlah terlalu jauh mengukur mereka dari sudut kecendekiawanannya, ke‘PhD’an, kemujtahidan atau kepandaian bermain kata hujah. Semua itu hanya alat dunia yang sedang mereka kerah untuk tujuan nafsu semata.

Inilah fenomena baru di Malaysia. Apakah logik, sejak kurun ketiga hingga ketujuh cendekiawan berdiam diri dan sepakat kata bergelumang dalam kesalahan? Apakah waras kebenaran hanya baru muncul kurun ketujuh? Apakah wajar, ilmuwan kurun ketiga hingga ketujuh semuanya muafakat membiarkan manusia dalam kebatilan? Tentu sekali tidak.

Jika begitu, tentu ada yang tidak kena dengan gerakan seumpama ini. Harus berwaspada. Mudah-mudahan tidak menjadi mangsa.


*"dan berilah peringatan, sesungguhnya memberi peringatan itu bermanfaat untuk orang mukmin"

Friday, December 01, 2006

KITA MESTI TELANJANG - jom ramai2...

oleh : ALEXANDARICAIRO


Kita mesti telanjang
Dulu, sekarang dan seterusnya
Dari segala iri, hasad dan dendam kesumat
Yang tak berkesudahan bertampuk di hati
Itu semua jijik
Bernanah bersarang mengotori jiwa nurani
Menutup segala ruang
Menghitam setiap bucu sendi
Tidak membawa apa-apa erti

Kita mesti telanjang
Sebulat-bulatnya

Buangkan satu persatu
Helaian riak, takabbur dan bangga diri
Ujub dan tinggi diri
Biar setiap helaian itu terlucut semuanya
Agar hati aman berlari
Mudah tunduk melentur
Menerima kebenaran
Mengacu akhlak murni
Bersama ibadah dan taat di setiap hari

Kita mesti telanjang
Sepenuhnya
Dari apa saja nista, dusta dan bohong
Umpat, fitnah dan cela
Yang menjadi zikir harian lidah
Supaya tompok hitam di hati
Tidak semakin bertambah menggelitakan
Tiap inci ukuran isi padu hati
Demi ia hidup
Untuk mengundang cahaya hidayah Ilahi

Kita mesti telanjang
Sepuas-puasnya, seenak-enaknya
Dengan melontar segala prasangka buruk
Yang selama ini merosak hubungan manusiawi
Yang telah meroboh silaturahmi
Menggagalkan rencara persaudaraan
Membuangnya akan mampu
Meruntun hati-hati
Untuk bertaut menyimpul membentuk ikatan suci

Kita mesti telanjang
Pedulikan kata orang lain
Yang tidak membantu
Usah segan atau malu
Lucutkan semua salah dan dosa
Dengan taubat nasuha
Akuilah keterlanjuran
Bersujud memohon ampun sesungguhnya
Akur kealpaan diri sehina-hinanya
Supaya hati ini hidup sebenar-benarnya
Tidak menghijab cahaya yang menyapa

Kita mesti telanjang
Telanjang dari semua mazmumah
Yang membelenggu hati kita


*berpesan-pesan dengan kebenaran, berpesan-pesan dengan kesabaran..
*ucapan selamat buat ust azman yg akan pulang ke tanah air pagi ini