Wednesday, August 23, 2006

PENAT RASANYA

oleh : ALEXANDARICAIRO


Penat rasanya. Puas sudah perancangan diatur. Dari satu rancangan berubah kepada rancangan yang lain. Ini semua gara-gara rancangan sebelumnya tidak membuahkan hasil yang diharapkan. Penat bukanlah kerana membuat perancangan tersebut, tapi penat menanti rancangan yang dirancang itu berhasil.

Penat rasanya beberapa kali membuat panggilan sampaikan rasa macam keberatan bila mengenangkan pangilan-panggilan tersebut mungkin mengganggu situasi pihak kedua yang saban masa menyambut panggilan tersebut. Mungkin sudah jelak agaknya mendengar setiap panggilan berisikan tajuk bicara yang sama.

Penatnya bila melihat kawan sendiri menunggu bilakah hari yang dijanji untuk melangsaikan beberapa perkara yang sepatutnya diselesaikan sejak lebih dua bulan yang lalu.

Penat juga melihat ahli keluarga yang bertungkus-lumus berusaha agar perkara yang diuruskan ini menjadi dan berhasil dengan segera.

Penat rasanya mengenangkan pujuk seorang kawan yang sungguh-sungguh mengajak melakukan satu projek usahasama yang memerlukan sedikit modal awal. Tiap bicara tidak terlepas dari seruan supaya pantas bertindak ekoran kesuksesan rakan lain telah mendahului.

Penat rasanya menunggu orang yang berjanji untuk hadir, namun masih tiada bayang langsung. Bermula dengan pertukaran tarikh, penundaan hari hinggalah kepada pembatalan kehadiran. Penat juga melihat dia bersungguh-sungguh hendak membantu dengan mengatur jadualnya yang sentiasa padat saban hari.

Penat rasanya mengenang berapa banyak duit sudah dihabiskan untuk menguruskan benda yang semudah ini. Entah berapa banyak manfaat yang boleh diperoleh jika lebih bijak berbelanja.

Namun, tiada langsung penyesalan dari segala kepenatan itu. Di baliknya, ada nikmat kesabaran, ada rahmat kesyukuran. Setiap detik kepenatan itu memiliki nilainya yang tersendiri. Hati akan menjadi luas seiring sejauh mana ikhlas yang mengiringi penat. Jika iman yang mengawal, kepenatan akan terubat dengan nikmat kesabaran itu sendiri.

2 SUDAH... LAGI 5


Dua piala sudah dalam genggaman dengan setiap kemenangan dimenagi dengan skor 4-0. Masih ada lima lagi piala buruan untuk musim 2006/2007 ini. Paling utama ialah Liga Spanyol dan Liga Juara-Juara. Target musim ini, menangi semua ketujuh-tujuh piala sekaligus. Kita tunggu...

Tuesday, August 22, 2006

GERAM RASANYA

oleh : ALEXANDARICAIRO


Geram rasanya mendengar bebelan sebahagian pak arab yang ada di sekeliling. Sesekali terdetik dalam hati, beginilah juga agaknya ragam pemimpin-pemimpin negara arab tatkala mereka berkumpul dalam apa-apa pun persidangan sama ada rasmi mahupun tidak.

Serabut juga otak ini membayangkan juga betapa susahnya Malaysia sebagai pengerusi OIC untuk mengepalai setiap isu yang menyentuh mana-mana negara arab mahupun umat Islam lantaran sikap umum bangsa tersebut yang sedia rumit. Kepelikan juga berkurangan setelah melihat sendiri karenah bangsa mereka lebih-lebih lagi memang sejarah merakam betapa ramai utusan tuhan diutus di tengah-tengah bangsa ini.

Marah juga dibuatnya mendengar beberapa pak arab sibuk-sibuk marah orang ramai yang mendoakan umat Islam yang sedang diserang Israel di Lubnan baru-baru ini. Dari kedai kopi hingga ke mimbar khutbah, berkerak juga telinga. Lebih memanaskan mata lagi, ada yang sanggup bangkit dari rakaat akhir solat, semata-mata menganggap rakaat akhir imam tidak sah hanya kerana imam membaca qunut nazilah ( sambil imam membaca ayat Quran berbunyi ‘hizbullah’ ) dalam solat tersebut. Alasan puak ini ringkas. Hizbullah itu Syiah, kenapa didoakan?

Seusai solat, aku terjemahkan kegeramanku ke telinga member-member yang berkumpul. Jahat gila puak ini. Lebih tepat lagi jahat dan gila sekaligus.

Bukan orang tak kenal dengan identiti puak ini. Aku bebel. Member setia mendengar walaupun aku tak tahu apa kata mereka. Imam tadi menyebut ayat Quran berbunyi ‘hizbullah’ bukan merujuk kepada Syiah yang puak tadi sibuk-sibuk nak ganti rakaat akhir solat. Imam cuma memetik ayat Quran. Sesiapa yang Allah pilih dia sebagai tergolong dalam kumpulan ‘hizbullah’ sepertimana yang tersebut dalam Quran itu, maka orang itulah yang kita doakan. Jikapun Syiah bukan dari golongan ‘hizbullah’ yang disebutkan dalam Quran itu, biarlah. Pedulikan mereka. Kita doakan sahaja ‘hizbullah’ sepenuh makna berdasarkan ayat Quran itu sahaja.

Masalahnya, kita mesti doakan untuk orang Islam di sana. Doakan untuk umat Islam sahaja. Umat Islam. Dalam doa, sebut umat Islam. Selebihnya, serah kepada Allah.

Esoknya, imam naik khutbah jumaat. Khutbah kedua yang seingin hatinya bercerita tentang sirah para Nabi, bertukar tajuk kepada penjelasan mengapa beliau berdoa untuk umat Islam semalam dalam qunut nazilah. Sengaja beliau ubah. Sebabnya, ada beberapa puak jahat ini sedang meracun pemikiran orang awam. Sejuk hati bila alasan imam itu selari dengan bebelanku kepada member-member malam semalam.

Hati mana yang tak marah. Puak ini sungguh kejam. Sungguh menghairankan. Lebih Yahudi dari Yahudi. Lebih Amerika dari Amerika. Bila ada yang menentang Amerika, dikatakan ianya adalah watak filem yang sedang dimainkan, adapun Amerika pengarah filem tersebut. Bila jalan berpimpin peluk dengan Presiden Amerika, itulah jihad yang paling besar dalam Islam. Lihatlah, mendoakan umat Islam di Lubnan itu haram, menghurung bertong-tong minyak kepada Israel dan Amerika itu entah apa, fardhu kifayah, mustahab atau apa. Ini fatwa bodoh yang tidak memerlukan ulama pun untuk mengatakan ia benar atau tidak. Cukup bagi rasional seorang yang waras menilai betapa keyahudian puak ini sangat menggembirakan Israel dan Amerika. Lebih tersenyum bila fatwa ini dilampirkan sama tong-tong minyak. Bergolek-golek uncle sam ketawa.

Tafakur sebentar. Apabila melihat peta dunia, hati pantas teringat musuh utama Nabi Muhammad yang dirakam kejahatannya dalam Quran, Abu Lahab. Oh, dari bumi itu. Tatkala meneliti hadis, memang patut Nabi pernah enggan mendoakan kesejahteraan sekeping tanah dari peta itu dengan alasan akan keluar ‘tanduk syaitan’ dari sana. Oh, patutlah.

Bukanlah pelik bila Yahudi bertubi-tubi menyerang dan membunuh umat Islam. Itu memang kerja mereka. Sejak beratus tahun, betapa ramai Yahudi bunuh hatta para Nabi sekalipun.

Yang menjadi pelik ialah, kemunculan puak yang lebih Yahudi dari Yahudi. Zahirnya, sibuk-sibuk canang Islam, salaf, sunnah dan macam-macam. Hakikatnya, sudah berapa negara umat Islam hancur kerana puak ini. Kalau tidak lebih Amerika dari Amerika, nak dikatakan apa lagi?

MENGIKIS KESALAHFAHAMAN TENTANG MIKRAJ

olahan oleh : ALEXANDARICAIRO


Secara ringkas lanjutan terjemahan lalu, Mikraj ( perjalanan ke langit ) merupakan peristiwa penting bagi Rasulullah malah umat Islam seluruhnya lantaran kaitan kukuh peristiwa itu dengan keimanan seorang muslim.

Cuma, kali ini penulis ingin ketengahkan sedikit kesalahfahaman berhubung peristiwa Mikraj.

Ketika Mikraj, Rasulullah telah ke langit, bahkan ke langit ke tujuh dan Sidratul Muntaha. Itu sangat benar. Tetapi dengan sangat tegas, itu bukan bermakna Rasulullah telah sampai ke suatu tempat di mana Allah juga berada di situ. Barangsiapa yang beriktikad begitu ( Allah ada di tempat itu – langit ), maka gugurlah islamnya.

Tujuan dan maksud Mikraj ialah memuliakan Rasulullah dengan memberi baginda kemampuan untuk melihat sendiri keajaiban-keajaiban ciptaan Allah di ruang langit. Keistimewaan ini adalah khas untuk baginda serta bertujuan mengagungkan kedudukan baginda sebagai makhluk yang paling mulia.

Berkenaan tentang baginda melihat tuhan, benar, tetapi baginda melihat tuhan dengan hatinya ( rujuk entri ISRAK MIKRAJ -bahagian akhir- ). Bukan dengan matanya. Adalah salah jika menganggap baginda melihat tuhan dengan mata baginda sendiri, lebih dahsyat lagi jika beriktikad baginda melihat tuhan berada pada suatu tempat tertentu sama ada langit atau mana sahaja!!!

Yang berada di tempat ( di langit ) ketika peristiwa itu adalah Rasulullah, bukan Allah. Saya ulang. Yang berada di tempat ( di langit ) ketika peristiwa itu adalah Rasulullah, bukan Allah. Rasulullah yang berada di langit. Bukan Allah. Rasulullah ditempatkan di tempat itu sebagai tanda memuliakan kedudukan baginda, utusan terakhir.

Dalam Surah An-Najm ayat 8 dan 9, Allah berfirman :

ثُمَّ دَنَا فَتَدَلَّى . فَكَانَ قَابَ قَوْسَيْنِ أوْ أَدْنَى .

Bermaksud : Kemudian dia ( Jibril ) mendekati dan merapati ( Rasulullah ). Maka dia ( Jibril ) berjarak dua hasta atau lebih hampir daripada itu.

Berdasarkan ayat di atas, Jibril telah mendekati Rasulullah, dan semakin merapati tubuh baginda. Sehinggakan, jarak antara mereka berdua ialah sekitar dua hasta atau lebih hampir daripada itu lagi. Jibril sangat ingin merapati Rasulullah ekoran gembira dengan Rasulullah.

Kebenaran ini sangat bertentangan dengan dakwaan kotor bahawa ayat tadi bermaksud Allah telah mendekati tubuh Rasulullah. Sebahagian golongan musuh-musuh Islam cuba mengatakan sebegitu ( Allah mendekati tubuh Rasulullah ) secara tidak langsung mereka telah mengatakan jarak antara Allah dan Rasulullah sekitar dua hasta!! Kepercayaan ini menghasilkan iktikad yang nyata batil, salah dan terpesong. Ini kerana mereka telah menjadikan Allah itu mempunyai jarak dengan makhluk, malah menuduh Allah berada pada sesuatu tempat, menuduh Allah berada di langit. Mengatakan Allah itu bersaiz, berjarak, atau menempati sesuatu tempat adalah sangat jelas menyalahi syahadah, menyalahi akidah.

Sedangkan Allah itu wujud sejak azali tanpa bertempat. Siapa yang mencipta tempat? Allah. Allah cipta tempat, Allah cipta langit. Sebelum langit diciptakan, Allah sediakala sudah wujud tanpa berhajat kepada langit. Setelah langit diciptakan, Allah tidak berubah, kekal wujud tanpa bertempat. Rasulullah dimuliakan bila dijemput ke langit, sedangkan Allah Maha Sempurna. Allah tidak menjadi lebih mulia dengan sebab langit, juga tidak bertambah hina dengan sebab tidak mencipta langit. Kemuliaan Allah azali dan Maha Sempurna. Dalam Mikraj, kemuliaan dengan sebab sampai di langit itu untuk Rasulullah. Saya tegaskan, kemuliaan Allah Maha Sempurna sejak azali, sebelum langit diciptakan lagi.

Dalam Surah An-Najm juga ayat 13 dan 14, Allah berfirman :

وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَى . عِنْدَ سِدْرَةِالْمُنْتَهَى .

Bermaksud : sesungguhnya dia ( Rasulullah ) telah melihatnya ( Jibril ) untuk kali yang berikutnya. Iaitu ketika ( sampai ) di Sidratul Muntaha.

Sebelum naik ke langit, Rasulullah melihat Jibril dalam rupa bentuknya yang sebenar ketika di Mekah, di sebuah tempat bernama Ajyad. Jibril mempunyai 600 sayap, serta saiznya yang besar membolehkannya menutup ufuk. Rasulullah melihatnya begitu untuk kali berikutnya ketika sampai di Sidratul Muntaha, kerana Jibril tidak dapat melepasi Sidratul Muntaha tersebut. Hanya Rasulullah sahaja yang diizinkan untuk ke sana.

Adapun hadis dalam sahih Bukhari yang menyebut : “Allah yang Maha Perkasa mendekati baginda dan merapati hingga berjarak dua hasta atau lebih hampir daripada itu”, riwayat hadis ini sangat dipertikaikan oleh huffaz hadis, seperti Abdul Haq dan selainnya. Sebahagian ulama ada pula berkata, yang dimaksudkan dengan ‘mendekati’ ialah bukan dekat berbentuk jarak atau fizikal. ‘Mendekati’ dalam hadis ini bermaksud menambah kemuliaan dan mengangkat darjat Rasulullah.

Adapun jika mengambil pendekatan hadis ini secara zahir ( dengan mengatakan dekat itu bermaksud fizikal ), semua ulama Ahli Sunnah menolak sekeras-kerasnya. Mereka malah mengatakan iktikad demikian adalah iktikad yang menyerupakan Allah dengan makhluk. Inilah yang disebutkan oleh Ibnu Hajar Al-Asqalani dalam syarah Bukhari.

Monday, August 21, 2006

SEGAN RASANYA

oleh : ALEXANDARICAIRO


Segan rasanya. Segan rasanya bila ada sesuatu yang kita tak biasa buat atau belum dibuktikan kebolehan kita buat, lalu orang meminta kita membuatnya.

Kadang-kadang, memang kita ada sedikit rasa segan untuk buat. Ada kala, kita memang sengaja beralasan kerana tak mahu buat, mungkin takut tidak sesempurna mana seperti yang diharapkan. Ada ketika kita memang tak boleh buat, tetapi orang lain yang seboleh-boleh memboleh-boleh kita buat.

Namun, bila perkara yang kita diminta untuk buat itu adalah satu kerja yang baik serta terpuji, lebih baik jangan memberi alasan-alasan yang murah. Buat sahaja. Dengan keikhlasan, insya Allah kerja itu akan beres dengan sebaiknya walaupun kita sememangnya tidak dapat menjangka perkara mendatang. Jika ada sedikit cacat itu, biasalah. Pastinya, ia akan jadi kayu pengukur dan pengalaman yang sangat baik.

Itu satu hal. Beres. Masalah kedua, bila kerja yang akan dibuat harus berhadapan dengan orang yang kita segan untuk buat kerja itu. Ini sudah jadi dua kali segan. Segan yang kedua inilah yang agak berat berbanding segan yang pertama tadi. Lebih kurang 20 kg. Mungkin lebih.

Tidak mengapalah. Kena fikirkan juga untuk buat kerja itu. Cuma, kalaulah segan itu tiada...

ALLAH WUJUD TANPA BERTEMPAT

olahan : ALEXANDARICAIRO


Asas bagi pembinaan iman dan Islam bagi seorang insan ialah penyaksian berhubung kewujudan dan ketuhanan Allah yang Maha Esa dan pengakuan serta penyaksian bahawa Muhammad itu pesuruh dan utusan Allah. Dengan asas inilah, sesiapa yang memeluk agama suci Islam, wajib melafazkan dua kalimah syahadah iaitu;

أشهد أن لا إله إلا الله وأشهد أن محمدا رسول الله

Dalil bahawa masuk Islam itu mestilah dengan mengucap dua kalimah syahadah ialah sebagaimana hadis Rasulullah;

أمرت أن أقاتل الناس حتى يشهدوا أن لا إله إلا الله وأن محمدا رسول الله

Begitulah juga yang dinaskan oleh kesemua ulama-ulama empat mazhab seperti Imam an-Nawawi dalam Raudah at-Talibin, al-Buhuti ( ulama mazhab Hanbali ) dalam Kasysyaf al-Qina’, serta selain daripada mereka berdua.

Dengan lafaz syahadah tersebut berserta meninggalkan semua sebab-sebab dan faktor-faktor yang boleh membawa kepada murtad, seseorang itu sudah memeluk agama Islam yang syumul dan indah itu. Bagi seorang bukan Islam, sekadar berazam memeluk Islam atau mengikut kelakuan orang Islam dengan cara pergi ke masjid, berpuasa, berzakat atau apa sahaja, bukanlah pengiktirafan sudah memeluk Islam.

Masuk Islam, tidak boleh tidak atau dengan bahasa yang lebih mudah mestilah dengan cara mengucap dua kalimah syahadah.

Tumpuan penulis pada kali ini hanya berlegar sekitar sebahagian kandungan maksud serta tuntutan yang terkandung dalam lafaz syahadah yang pertama iaitu; ‘Aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah.’ Tuntutan yang ada dalam kalimah syahadah ini ialah penyaksian akan kewujudan Allah dan penyaksian akan ketuhanan Allah.



Penyaksian akan kewujudan Allah menuntut seseorang mempercayai, mengimani dan meyakini bahawa Allah itu wujud. Meragui, syak, ingkar atau mempertikai kewujudan Allah bermakna menafikan kandungan lafaz syahadah walaupun melafazkannya setiap masa dan ketika. Sebagaimana yang telah penulis sebutkan sebentar tadi, syarat bagi seseorang masuk Islam ialah; melafazkan dua kalimah syahadah berserta meninggalkan semua sebab-sebab dan faktor-faktor yang membawa kepada murtad. Jadi, tidak ada maknanya dua kalimah syahadah dilafazkan jika diiringi sesuatu yang membatalkan lafaz syahadah itu sendiri sama ada secara niat, perbuatan atau perkataan.

Contohnya, seorang yang mengucap dua kalimah syahadah tetapi pada masa yang sama, mencerca Allah atau menyembah sesuatu selain Allah. Lafaz syahadah itu sudah tidak bermakna kerana terdapat pada dirinya sesuatu yang membatalkan syahadah itu sendiri.

Kemudian, beriman bahawa Allah itu wujud, mestilah meyakini bahawa Allah itu wujud tanpa bertempat, selaras dengan ajaran tauhid semua para Rasul dan Nabi. Semua Rasul dan Nabi membawa mesej mentauhidkan Allah yang sama, cuma syariat sahaja yang berbeza dalam beberapa sudut. Perjuangan mentauhidkan Allah adalah tugas semua Rasul dan Nabi dengan memberi penerangan, dakwah dan dalil serta hujah yang ampuh, kukuh dan mapan akan kewujudan Allah yang Maha Esa tanpa bertempat. Allah yang Maha Kuasa, Dialah yang mencipta tempat, masa, langit, bumi, cahaya, kegelapan, ruang, sudut, jin, manusia, malaikat, air, udara dan semua makhluk. Firman Allah;

ليس كمثله شىء وهو السميع البصير

Maksudnya; Tiada sesuatu pun yang menyerupai Allah, Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat. )surah as-Syura; ayat 11)

Allah wujud sejak azali tanpa permulaan manakala semua makhluk ada permulaan kewujudannya. Allah mencipta tempat ( ruang serta sudut ) dan masa ( zaman ), maka tempat dan masa adalah makhluk Allah. Makhluk Allah mempunyai permulaan kewujudan. Allah yang menciptanya. Kewujudan Allah tiada permulaan, tiada berakhir.

Sebelum kewujudan tempat ( sudut serta ruang ), Allah wujud sejak azali tanpa bertempat kerana Allah yang mencipta tempat dan Allah sesekali tidak berhajat kepada makhluk. Allah juga tidak berubah-ubah. Berubah merupakan sifat utama makhluk. Sebagaimana Allah telah wujud sejak azali tanpa bertempat, begitu juga setelah Allah mencipta tempat (seperti atas, bawah, depan belakang, depan, kiri dan kanan), Allah tidak berubah dan kekal wujud tanpa bertempat. Allah tidak boleh disifatkan berada pada sesuatu, atas sesuatu, bawah sesuatu, tepi sesuatu, luar sesuatu, dalam sesuatu, bercantum dengan sesuatu, terpisah dengan sesuatu atau meliputi sesuatu secara zat, kerana zat Allah suci dari menempati sesuatu dan suci dari berhajat kepada tempat.

Memadailah bagi seorang muslim mengimani ayat Allah dalam Surah as-Syura tadi untuk bersaksi akan kewujudan Allah tanpa bertempat. Hadis riwayat Imam al-Bukhari, Ibnu al-Jarud, dan Imam al-Baihaqi dengan sanad yang sahih menyebut bahawa Rasulullah bersabda tentang permulaan penciptaan makhluk;

كان الله ولم يكن شىء غيره

Maksudnya; Allah itu wujud (sejak azali) dan tidak ada sesuatu selainnya (belum diciptakan).

Makna hadis ini ialah Allah wujud sejak azali sedangkan semua makhluk pada ketika itu tiada (belum diciptakan). Belum ada air, udara, bumi, langit, arasy, manusia, jin, malaikat, zaman, sudut, ruang, masa, tempat, sedangkan Allah telah wujud sejak azali tanpa bertempat.

Allah juga yang mencipta cahaya dan kegelapan, maka cahaya dan kegelapan itu asalnya tidak ada, kemudian Allah menciptanya. Sebelum Allah mencipta cahaya dan kegelapan, keadaan bumi dan langit pada masa itu, tidak ada cahaya, tidak ada kegelapan. Setelah cahaya dan kegelapan diciptakan, barulah ada cahaya, ada gelap.

Allah juga mencipta alam. Sebelum alam itu diciptakan, Allah tidak berada di dalam alam atau luar alam kerana Allah wujud tanpa bertempat. Setelah Allah mencipta alam, Allah tetap wujud bukan dalam alam dan bukan luar alam, tetapi Allah tetap wujud tanpa bertempat. Tidak ada makna jika seseorang mengatakan ‘Allah di luar alam tetapi tidak bertempat’ kerana kenyataan ini mengandungi dua elemen bertentangan. Kenyataan ‘Allah di luar alam’ sudah cukup untuk membatalkan akidah. Pertama, kerana menyandarkan Allah kepada tempat. Kedua, kerana menyifatkan Allah dengan bersifat berubah-ubah.

Abu Mansur al-Baghdadi meriwayatkan secara sanad yang sahih bahawa Saidina Ali berkata:

كان الله ولا مكان وهوالآن على ما عليه كان

Maksudnya; Allah itu wujud sejak azali dan (pada masa itu) tidak ada tempat, dan Allah sekarang (tetap wujud) sebagaimana sejak azali Dia telah wujud.

Makna kata Saidina Ali ini ialah Allah sejak azali telah wujud tanpa bertempat, dan tempat belum diciptakan. Setelah Allah mencipta tempat, Allah tetap wujud sebagaimana sejak azali (tanpa bertempat) kerana Allah mustahil berubah-ubah, bertukar-tukar atau berpindah dari satu keadaan kepada keadaan yang lain. Berubah, bertukar atau berpindah dari satu keadaan kepada yang lain, merupakan sifat makhluk. Ayat 11, Surah as-Syura cukup menjelaskan bagi orang-orang yang dituntun hidayah akidah para Anbiya’.

Lantaran itu, kita ditegah memikirkan hakikat zat Allah sebab akal tidak akan mampu. Selama mana kita membayangkan atau mengkhayalkan sesuatu, semua itu adalah makhluk Allah. Akal kita, khayalan kita, lamunan, pemikiran, lintasan idea, daya taakulan, bayangan, berangan, angan-angan, ilham, semuanya makhluk Allah.

Sebagai manusia , kita hanya dituntut memikirkan makhluk Allah sebagai alat sehingga membawa kepada mengagungkan dan mengakui kekuasaan Allah, tuhan yang wujud tanpa bertempat.

Penyaksian akan ketuhanan Allah pula menuntut seseorang memenuhi kandungan dan maksud penyaksiannya itu. Dengan kata lain, wajiblah memenuhi tuntutan lafaz syahadah tadi, tanpa melakukan perkara yang membatalkan keyakinan bahawa Allah itu tuhan dan tiada tuhan selain Allah. Menyembah sesuatu selain Allah seperti menyembah matahari, menyembah bulan atau menyembah sesuatu yang dikhayalkan wujud di atas arasy boleh membatalkan akidah seorang muslim.

Allah sahaja yang memiliki sifat ketuhanan yang sempurna dan langsung tidak bersifat seperti makhluk walau sekelumit manapun. Sifat-sifat Allah yang wajib diketahui ialah sebagaimana yang telah maklum dengan nama ‘sifat 20’ atau ‘sifat 13’ menurut pandangan sebahagian ulama yang menghitung tujuh sifat terakhir itu sebagai termasuk dalam ‘sifat 13’ tadi. Kedua-duanya adalah akidah Ahli Sunnah. Tiada masalah.

Kemudian, jangan lafaz syahadah itu tadi dibatalkan dengan menyifatkan Allah dengan sifat makhluk. Antara sifat makhluk ialah berdiri, cangkung, makan, membuang air, berpindah, berubah-ubah, bertukar dari satu keadaan kepada keadaan yang lain, bersemayam atas sesuatu, duduk atas sesuatu, bertimpuh, lemah, berhajat kepada yang lain, dan lain-lain lagi. Inilah sifat-sifat makhluk. Menyifatkan Allah dengan mana-mana sifat makhluk bermakna menyerupakan Allah dengan makhluk. Hal ini membatalkan lafaz syahadah tadi. Lafaz syahadah sudah tidak bererti lagi jika diiringi dengan sesuatu yang membatalkan syahadah itu sendiri. Berhati-hatilah.

Berhati-hatilah wahai para sahabat. Janganlah membuat, beriktikad atau menyebut sesuatu yang membatalkan syahadah kita. Allah suci dari bertempat. Allah suci dari segala sifat dan penyerupaan dengan makhluk. Allah wujud tanpa bertempat. Allah tidak bersemayam, duduk atau berada atas sesuatu, Allah juga tidak berada di dalam, luar atau tepi alam. Tidak boleh kita katakan bahawa Allah itu berada di dalam alam atau di luar alam atau bersemayam atas sesuatu kerana demikian membatalkan tauhid.

Allah wujud sejak azali ketika semua makhluk belum diciptakan. Semua makhluk ada penciptanya iaitu Allah. Semua makhluk ada awal kewujudannya iaitu ketika Allah menciptanya, itulah awal kewujudan makhluk. Ketika semua makhluk belum diciptakan, Allah yang wujud sejak azali, tidak berhajat kepada apa-apapun. Allah tidak berhajat dan tidak akan berhajat. Allah tetap wujud tanpa bertempat. Tidak berubah-ubah. Sebelum alam dicipta, setelah alam dicipta, Allah tetap wujud sediakala, sejak azali tanpa bertempat. Tidak perlu memikir ‘bagaimana zat Allah wujud tanpa bertempat’ kerana akal manusia tidak akan mampu. Sebab itu kita dilarang memikirkan zat Allah. Dia Maha Mengetahui semua perkara sebelum dan selepas menciptakannya.

Perhatian :

Jangan pula mengatakan atau beriktikad ‘Allah berada di mana-mana’ atau ‘Allah berada di semua tempat’. Kedua-dua lafaz ini membatalkan akidah jika ia bermaksud Allah itu menyerap, menempati, mengambil sudut atau berada pada tempat tersebut. Berhati-hatilah agar kita tidak berbuat sedemikian kerana ia akan membatalkan akidah dan menyebabkan kufur tanpa menyedarinya.

Tetapi, jika lafaz ‘Allah berada di mana-mana’ dan ‘Allah berada di semua tempat’ dilafazkan dengan maksud bahawa Allah menguasai segala sesuatu atau Allah mengetahui segala sesuatu, ia tidak membatalkan akidah. Kebiasaan orang awam bermaksud demikian ketika melafazkan kedua-kedua kenyataan tersebut, apapun, wajib dilarang daripada berkata demikian. Kedua-dua lafaz itu mesti ditegah kerana ia tidak bersumber daripada Ahli Sunnah wal Jamaah sama ada dari kalangan ulama Salaf mahupun Khalaf. Kedua-dua lafaz itu sebenarnya berasal daripada golongan Muktazilah, kemudian mempengaruhi orang awam yang jahil tauhid.

Sunday, August 20, 2006

KEHADIRAN DAN KEPULANGAN MEREKA

HARAPAN SEORANG ANAK

dipetik oleh : ALEXANDARICAIRO



wahai ibuku, wahai ayahku

didiklah kami semua

ajarlah kami, asuhlah kami

mengenal tuhan yang Esa

tuntunlah kami, hidup akhirat yang lebih utama

sedarkanlah kami akan tipu daya dunia

didiklah kami, asuhlah kami,

dengan penuh kasih sayang

segala apa kesalahan kami

dibetulkan dengan bijaksana

perkataan maki hamun, jangan digunakan

kerana ia menyalahi sunnah rasul mulia

tunjukkanlah kami, dengan akhlak mulia,

agar mudah kami mencontohinya,

jangan macam ketam, yang berjalan bengkok,

ia mengajar anaknya berjalan lurus

wahai ibuku, wahai ayahku, kasihanilah kami

didiklah kami mengikut cara sunnah nabi

janganlah kami dididik secara Yahudi

kami akan rugi di dunia dan di akhirat

kenalkanlah kami hidup dunia yang menipu

asuhilah kami cinta akhirat yang abadi

akhirat utama dari dunia yang fana

dunia menipu merosakkan manusia

itulah harapan kami, kepada ayah dan ibu

ayah ibu janganlah kau berkecil hati

kami memohon ribuan ampun dan maaf darimu

disertakan doa kesejahteraan

untukmu ayah dan ibu

wahai ibuku, wahai ayahku

didiklah kami semua

ajarlah kami, asuhlah kami

mengenal tuhan yang esa

tuntunlah kami, hidup akhirat yang lebih utama

sedarkanlah kami akan tipu daya dunia

kenalkanlah kami hidup dunia yang menipu

asuhilah kami cinta akhirat yang abadi

akhirat utama dari dunia yang fana

dunia menipu merosakkan manusia

itulah harapan kami pada ayah dan ibu


Sunday, August 06, 2006

ISRAK MIKRAJ ( bahagian akhir )

terjemahan oleh : ALEXANDARICAIRO



Matan : Jika ada yang mengatakan : firman Allah yang bermaksud ‘Sesungguhnya dia ( Muhammad ) telah melihatnya ( Jibril ) untuk kali kedua’ boleh diandaikan bahawa Rasulullah cuma melihat dalam mimpi.

Kami menjawab : Andaian tersebut merupakan satu takwil. Dan tidak boleh mentakwil sesuatu nas ( mengambil pendekatan memalingkan dari zahir ) itu kecuali ada dalil akal yang pasti atau dalil naqli yang sabit. Inilah yang disebutkan oleh Ar-Razi dalam kitab Al-Mahsul, para ahli usul yang lain turut mengatakan demikian. Dan di sini, tidak ada langsung dalil yang membolehkan takwil sedemikian.

Syarah : Nabi Muhammad telah melihat Jibril dalam keadaan bentuknya yang asal untuk kali berikutnya ( kali kedua ) di Sidratul Muntaha. Hal ini menunjukkan kebenaran peristiwa Mikraj itu sendiri kerana Sidratul Muntaha itu akarnya memanjang ke langit keenam, terus ke langit ketujuh dah melebihi jauh dari itu. Walaubagaimanapun, Al-Quran tidak menjelaskan secara sarih ( terang ) mengenai peristiwa Mikraj ini.


Oleh sebab itu, para ulama mengatakan, sesiapa yang mengingkari Israk, dia dihukum sebagai kafir manakala sesiapa yang mengingkari Mikraj, dia tidak dihukum kafir ( kerana nas tentang Mikraj bukan nas sarih ). Ini kerana dalil tentang Mikraj tidak sekuat dalil tentang Israk. Dengan kata lain, dalil tentang Israk lebih kuat.

Jika ada yang mengatakan : firman Allah yang bermaksud ‘Sesungguhnya dia ( Muhammad ) telah melihatnya ( Jibril ) untuk kali kedua’ boleh diandaikan bahawa ia adalah melihat dalam mimpi. Kami menjawab : Andaian anda merupakan satu takwil. Dan tidak boleh mentakwil sesuatu nas ( mengambil pendekatan memalingkan dari makna zahir ) itu kecuali ada dalil akal yang pasti atau dalil naqli yang sabit.Dalil naqli mestilah bersumber dari Al-Quran atau hadis kerana ia diambil secara mendengar. Adapun dalil akli, mestilah dengan pemerhatian logika yang benar secara akal. Kita tidak boleh mentakwil mana-mana ayat atau hadis kecuali dengan dua dalil tadi.

Matan : Imam Muslim telah meriwayatkan dari Anas bin Malik bahawa Rasulullah telah bersabda : Aku telah didatangi ( oleh Jibril ) bersama Buraq. Buraq ialah seekor binatang melata yang berwarna putih, panjangnya lebih panjang daripada keldai, lebih pendek daripada baghal, setiap langkahnya mampu memijak ke penghujung penglihatannya. Nabi bersabda lagi : Maka aku menunggangnya sehingga aku sampai di Baitul Maqdis lalu aku mengikatnya dengan tali yang digunakan oleh para anbiya’ untuk mengikatnya.


Kemudian aku masuk ke dalam masjid lalu bersolat dua rakaat lalu aku pun keluar. Jibril pun datang kepadaku dan menghulur sebuah berkas berisi arak dan sebuah berkas berisi susu lalu aku memilih susu. Jibril mengatakan kepadaku : Engkau telah memilih fitrah. ( berpegang teguh dengan agama ) Nabi bersabda lagi : Kemudian, kami sama-sama naik ke langit....

Dalam hadis ini, ia adalah dalil menunjukkan bahawa Israk dan Mikraj berlaku dalam malam yang sama, dengan ruh serta jasad baginda, dalam keadaan sedar.



Tidak ada seorang pun yang mengatakan Nabi sampai ke Baitul Maqdis lalu tidur.

Adapun tentang Nabi melihat Allah pada malam Mikraj, Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata bahawa At-Tabarani dalam Mu’jam Al-Awsat telah meriwayatkan sebuah hadis ( sanadnya kuat ) dari Ibnu Abbas yang menyebut : “Nabi Muhammad melihat tuhannya sebanyak dua kali”. Ibnu Huzaimah juga dengan sanad yang kuat meriwayatkan bahawa : “Nabi Muhammad pernah melihat tuhannya”. Riwayat ini bermaksud, Rasulullah melihat dengan hatinya berdalilkan hadis riwayat Imam Muslim dari sanad Abul Aliyah dari Ibnu Abbas yang mengomentari firman Allah :


ما كذب الفؤاد ما رأى أقتمارونه على ما يرى ولقد رآه نزلة أخرى

Ibnu Abbas menyebut : Baginda ( Nabi Muhammad ) melihat tuhannya dengan hati sebanyak dua kali.

Perhatian : Imam Al-Ghazali dalam Ihya’ ulumuddin telah berkata : Pendapa yang benar ialah Nabi Muhammad tidak melihat ( dengan menggunakan mata ) pada malam Mikraj. Maknanya, Rasulullah tidak melihat tuhan dengan menggunakan mata. Ini kerana tidak ada satu dalil manapun yang mengatakan Nabi melihat dengan mata. Nabi tidak pernah bersabda : ‘Aku melihat tuhanku dengan mataku sendiri’. Langsung tidak ada seorang sahabat, tabiin ataupun pengikut mereka yang mengatakan : ‘Baginda melihat tuhan dengan mata kepala baginda sendiri’.

Syarah : Allah telah mengangkat hijab dari hati Nabi Muhammad supaya baginda boleh melihatNya dengan hatinya lalu Nabi melihat Allah dengan hatinya. Allah telah mencipta satu daya membolehkan Nabi melihat dengan hati. Maka Rasulullah pun melihat Allah dengan hati, bukan dengan matanya kerana Allah tidak boleh dilihat dengan mata di dunia ini.


Jika mata mampu melihat Allah, nescaya Nabi Muhammad akan melihat Allah dengan matanya.

Oleh sebab itulah, Nabi Muhammad telah bersabda sebagaimana hadis riwayat Imam Muslim : ‘Sesungguhnya kamu tidak dapat melihat tuhanmu sehinggalah kamu mati’. Dapat difahami juga dari firman Allah ketika mengatakan kepada Nabi Musa :

لن ترانى

Maksudnya : Engkau tidak akan dapat melihatKu.

Ada diriwayatkan bahawa pernah Rasulullah ditanya : Adakah tuan melihat Allah pada malam Mikraj? Rasulullah menjawab : ‘Maha suci Allah, Maha Suci Allah. Aku melihatNya dengan hatiku, bukan dengan mataku’. Walaubagaimanapun, hadis ini hadis dhaif.

Imam Malik telah berkata : Allah yang Maha Kekal tidak boleh dilihat dengan menggunakan mata yang fana ( bersifat sementara dan akan luput ) di dunia, tetapi boleh dilihat dengan menggunakan mata yang kekal di akhirat nanti. Ia bermakna, mata ahli syurga tidak akan luput kerana mereka hidup di sana kekal tanpa mati selamanya.

Adapun pendapat segelintir kecil Ahli Sunnah yang mengatakan Nabi melihat tuhannya dengan menggunakan kedua-dua matanya, itu merupakan pendapat yang sangat lemah. Sesiapa yang berpendapat demikian, dia tidak dihukum fasik atau bid’ah kerana memang ada segelintir kecil salaf yang berpendapat demikian.



Tetapi, apabila ada yang menyebutkan seperti itu, katakan padanya, pendapat tersebut sangat lemah, dan pendapat yang benar ialah Rasulullah melihat dengan menggunakan hatinya bukan dengan matanya. Ini sebagaimana yang telah sabit, riwayat dari Abu Zar yang mengatakan : ‘Rasulullah melihat tuhan dengan hatinya, bukan matanya’. Dan kami berdiri atas pendirian ini.


Penutup : Hadis yang menceritakan tentang Masyitah ( tukang sikat anak Firaun ) itu merupakan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan beliau mengatakan hadis itu sahih.

Saturday, August 05, 2006

ISRAK MIKRAJ ( bahagian 2 )

terjemahan oleh : ALEXANDARICAIRO
Firman Allah الذي باركنا حوله bermaksud : yang Kami berkati sekelilingnya.

Ada pendapat mengatakan, Masjidil Aqsa itu diberkati kerana ia adalah tempat para nabi dan tempat turun para Malaikat. Oleh sebab itu Nabi Ibrahim pernah berkata : إني ذاهب إلى ربي سيهدين ( Surah As-Sofat ). Nabi Ibrahin bermaksud ke mana sahaja Allah tentukan aku untuk pergi dengan mengarahkan aku ke sana, nescaya aku akan turuti. Tempat yang baginda maksudkan itu ialah perlembahan Syam. Dengan pemberitahuan dari Allah, Nabi Ibrahim telah mengetahui bahawa Syam merupakan tempat turunnya rahmat Allah. Kebanyakan wahyu turun di bumi Syam dan kebanyakan nabi itu di Syam. Pada masa tersebut, Nabi Ibrahim juga tahu Palestin bukan di bawah kekuasaan Namrud, maka baginda boleh beribadat di sana tanpa sebarang gangguan dan penyeksaan.

Maka Nabi Ibrahim pun berpindah dari Iraq menuju ke Palestin. Selepas beberapa tempoh, baginda berpindah ke Mekah pula. Di Mekah, baginda ( Nabi Ibrahim ) telah meninggalkan isterinya Hajar serta anaknya Ismail seraya berdoa kepada Allah agar mengurniakan ahli Mekah rezeki yang berupa buah-buahan. Walaupun Mekah merupakan tanah yang tandus dari tanam-tanaman, Allah telah mengkabulkan doa baginda. Lalu Allah memerintahkan Jibril supaya memindahkan bukit Taif yang terletak di perlembahan Syam untuk dibawa ke Mekah. Jibril pun mencabut bukit tersebut dan meletakkannya di sana sebagaimana perintah Allah.

Ini kerana, di bukit Taif ini, terdapat anggur yang terbaik dari segala jenis anggur, delima dan lain-lain. Udaraya sangat nyaman lalu menjadi tumpuan ahli Mekah ketika musim panas. Hal ini disebutkan oleh Al-Azraqiy dalam kitab Akhbar Makkah, iaitu sebuah kitab yang sangat besar faedahnya.

Adapun firman Allah : لنريه من آياتنا ia bermaksud segala apa yang telah Nabi Muhammad lihat sepanjang perjalanan Israk itu, baik keajaiban mahupun kepelikan, semuanya itu menunjukkan kekuasaan Allah.

Allah telah memperjalankan Nabi Muhammad dari Mekah ke Baitul Maqdis pada waktu malam. Dalam perjalanan itu, sebelum tiba di Baitul Maqdis, Rasulullah dan Jibril telah melalui Madinah Al-Munawwarah ( ketika itu Nabi belum berhijrah ke sana ).
Ketika Jibril mula-mula sampai di Mekah untuk menjemput baginda, Jibril telah membuka atap rumah Nabi dalam keadaan tanpa ada sedikitpun tanah, batu atau apa sahaja yang jatuh ke bawah ( dari atap rumah tersebut ). Ketika itu Nabi sedang lena di rumah sepupu perempuannya yang bernama Ummu Hani’ bte Abu Talib iaitu adik beradik perempuan kepada Saidina Ali bin Abu Talib. Rumah tersebut terletak di Hayyu Ajyad.

Pada masa itu, Hamzah dan Jaafar bin Abi Talib juga berada di kiri dan kanan Nabi, lantas Jibril mengejut baginda lalu membawaya ke Masjidil Haram. Di sana Nabi diangkat naik ke atas Buraq, kemudian mereka berdua pun bertolak hingga sampai ke Madinah Al-Munawwarah. Jibril pun berkata : Turun. Nabi pun turun. Jibril berkata lagi : Solat dua rakaat. Maka Nabi pun solat dua rakaat. Begitulah yang dilakukan oleh baginda ( turun dan solat ) di Thur Sina iaitu tempat Nabi Musa mendengar wahyu Allah.

Mereka meneruskan perjalanan hingga tiba di Madyan iaitu tempat Nabi Shuaib, lalu Jibril berkata : turun dan solatlah dua rakaat. Nabi pun menuruti perintah. Begitulah yang dilakukan baginda di Bayt Lahm, iaitu tempat kelahiran Nabi Isa bin Maryam. Apabila tiba di Baitul Maqdis, Nabi telah mengimamkan solat bersama para anbiya’.
Allah telah menghimpunkan semua nabi ke sana sebagai penghormatan kepada Nabi Muhammad. Pada masa itu, Allah memunculkan semula para Nabi walhal mereka telah wafat sebelum itu ( kecuali Nabi Isa kerana baginda masih hidup dan sekarang berada di langit ). Kemudian, Allah menambahkan lagi kemuliaan kepada Nabi Muhammad dengan mengangkat lapan orang Nabi ke langit supaya Nabi Muhammad dapat berjumpa dengan mereka selepas itu.

Lapan orang Nabi tersebut ialah Adam, Isa, Yahya, Yusuf, Idris, Haurn, Musa dan Ibrahim. Mereka diangkat ke langit dan berjumpa dengan Nabi Muhammad di sana. Ini adalah sepertimana yang dijelaskan dalan hadis riwayat Anas.

Sebelum itu, sewaktu Jibril hendak mengambil Nabi untuk diisrakkan, Jibril telah membawanya ke Mekah untuk membelah dada baginda lalu dicuci dengan air Zam Zam. Proses ini dilalui tanpa rasa sebarang kesakitan dan kesulitan. Seterusnya, Jibril membawa sebesen ( diperbuat dari emas ) yang penuh dengan hikmah dan iman lalu diisi ke dada baginda. Setelah itu, Jibril menutup kembali dada baginda seperti asalnya. Pembedahan seperti ini bertujuan supaya Nabi dapat menanggung segala keajaiban-keajaiban yang akan dipertontonkan kepadanya selepas itu nanti.

Pembedahan seperti itu telah berlaku pada baginda ketika baginda masih kecil lagi. Pada waktu itu, Jibril telah mengeluarkan sepotong daging hitam yang merupakan ‘tempat peluang syaitan menggoda’ yang memang ada dalam badan setiap manusia. Hal ini supaya Nabi Muhammad tidak akan diganggu sedikitpun oleh syaitan sepanjang hidupnya.

At-Tabarani dan Al-Bazzar telah meriwayatkan, antara keajaiban-keajaiban yang telah Nabi Muhammad lihat sepanjang perjalanan Israk ( perjalanan dari Mekah ke Baitul Maqdis ) ialah baginda melihat dunia dalam bentuk yang lemah dan tua, melihAT iblis terlencong dari jalan, melihat para mujahidin menanAm tanaman dan menuai dalam masa cuma dua hari, melihat khatib-khatib pemfitnah yang senantiasa menyeru kepada kebatilan dan kerosakan, lidah dan mulut mereka dikerat dengan menggunakan 'Maqarid' ( gunting yang diperbuat dari api ).

Baginda juga melihat nasib orang yang sering melafazkan kalimah yang kotor, orang yang tidak membayar zakat, orang yang meninggalkan solat, penzina, orang yang tidak menunaikan amanah, pemakan riba, pemakan harta anak yatim, peminum arak, dan pengumpat.

Nabi Muhammad juga telah menghidu bau yang sangat harum tatkala baginda melalui kubur Masyitah (tukang sikat anak perempuan Firaun ). Masyitah merupakan seorang mukminah solehah. Kisahnya, ketika Masyitah sedang menyikat rambut anak Firaun, tiba-tiba sikatnya terjatuh dari genggaman tangannya seraya menyebut : Dengan nama Allah. Lalu anak perempuan Firaun bertanya : Adakah anda mempunyai tuhan selain bapaku? Masyitah menjawab : Tuhanku dan tuhan bapamu ialah Allah. Anak Firaun itu berkata : Aku beritahu bapaku? Masyitah menjawab : Beritahulah. Anak Firaun pun memberitahu ayahnya dan Firaun meminta Masyitah kembali kepada agama asalnya. Namun, Masyitah enggan. Mendengar pendirian Masyitah, Firaun pun memanaskan air sehingga benar-benar panas lalu mencampakkan seorang demi seorang anaknya ke dalam didihan air tersebut.

Akhirnya, apabila tiba giliran anaknya yang sedang menyusu di kendongannya, Masyitah menjauhkan diri ( melambatkan penyerahan bayinya ). Masyitah sangat takut, terkejut dan bimbang seakan-akan dirinya rasa bersalah.
Dengan kuasa Allah, bayi tersebut dapat berkata-kata lalu menyebut : Wahai ibuku! Sesungguhnya azab akhirat itu jauh lebih pedih dari azab dunia. Usahlah ibu menjauh-jauhkan diri kerana ibu di pihak yang benar. Lalu Masyitah melepaskan bayinya dan Firaun denagn segera mencampakkan bayi itu ke dalam didihan air. Masyitah berkata : Aku mempunyai permintaan iaitu supaya engkau ( Firaun ) mengumpulkan semua tulang dan menanamnya. Firaun berkata : Aku akan melakukannya. Lantas Firaun pun mencampakkan Masyitah ke dalam didihan itu.

Kembali kepada perjalanan Nabi tadi. Kamudian, Nabi Muhammad pun mendaki Mikraj. Mikraj ialah suatu laluan ke atas seperti tangga. Nabi telah mendaiki laluan tersebut menuju ke langit. Laluan ini, setiap anak tangganya bersilang-silang antara emas dan perak.

Sejenak selepas itu, Jibril membuka pintu langit lalu ada suara berkata : Siapakah kamu? Jibril menjawab : Aku Jibril. Suara itu berkata lagi : Siapakah yang bersama kamu? Jibril menjawab : Muhammad. Suara itu berkata lagi : Diakah yang telah diutuskan kepadanya? Jibril menjawab : Ya, dialah yang telah diutuskan kepadanya.

Suara malaikat yang bertanya ‘adakah dia yang diutuskan kepadanya’ itu bukan lah bermakna para malaikat tidak tahu tentang pengutusan Nabi Muhammad. Hakikatnya, berita pengutusan Nabi Muhammad sebagai pesuruh Allah telah tersebar luas di segenap inci langit di kalangan para malaikat.
Ada pendapat mengatakan, soalan malaikat tadi semata-mata inginkan kepastian. Ada juga berpendapat, soalan itu bermakna ‘adakah dia yang diutuskan untuk naik ke atas langit?’.

Di langit pertama, Nabi Muhammad telah berjumpa dengan Nabi Adam manakala di langit kedua baginda bertemu Nabi Isa. Di langit ketiga, Nabi Muhammad telah bertemu dengan Nabi Yusuf.

Imam Muslim telah meriwayatkan satu hadis bahawa Nabi pernah menyifatkan kekacakan Nabi Yusuf dengan sabdanya : Dia ( Nabi Yusuf ) telah dikurnia separuh kecantikan. Hadis ini bermaksud, Nabi Yusuf telah diberikan oleh Allah separuh dari kekacakan seluruh manusia.
Di langit keempat, Rasulullah bertemu Nabi Idris, bertemu Nabi Harun di langit yang kelima, dan bertemu Nabi Musa di langit yang keenam. Di langit yang ketujuh, baginda telah bertemu dengan Nabi Ibrahim. Rupa Nabi Ibrahim seakan-akan rupa Nabi Muhammad dari segi perawakannya.

Seterusnya, Nabi Muhammad melihat Sidratul Muntaha. Sidratul Muntaha ialah sebuah pohon yang sangat besar saiznya dan padanya terdapat keindahan yang tidak dapat dijelaskan oleh sesiapapun. Ekoran keindahannya, Nabi mendapati di sana terdapat pembaringan yang diperbuat daripada emas, daun pohonnya seperti telinga gajah, akar tunjangnya di langit keenam dan memanjang ke langit ketujuh lalu melampaui lebih jauh dari itu.

Nabi Muhammad meneruskan perjalanan sehingga sampai ke sebuah tempat. Di tempat tersebut, Rasulullah terdengar bunyi bunyi pena yang digunakan oleh para malaikat untuk menulis pada buku catitan mereka yang disalin dari Luh Mahfuz.

Di sanalah, Allah telah mengangkat hijab yang menghalang untuk mendengar firman Allah lalu Nabi mendengar kalam Allah. Kalam Allah tersebut tidak mempunyai huruf dan suara tetapi dengan kuasa Allah, Allah menjadikan Nabi Muhammad mendengar kalamNya.
bersambung...

ISRAK MIKRAJ ( bahagian 1 )

terjemahan oleh : ALEXANDARICAIRO
dari kitab As-Sirot Al-Mustaqim, muka surat 356-363


Matan : Peristiwa Israk merupakan peristiwa yang telah thabit dalam Al-Quran serta hadis sahih, maka wajib kita beriman bahawa Allah telah menperjalankan hambanya ( Nabi Muhammad ) pada suatu malam dari Mekah ke Masjid Al-Aqsa.

Syarah : Paha ahli haq merangkumi golongan salaf, khalaf, muhaddis, ahli kalam, mufassir, ulama-ulama dan para fuqaha’ telah menyepakati bahawa peristiwa Israk ( perjalanan malam ) yang berlaku pada Rasulullah itu merangkumi jasad dan ruh baginda ketika dalam keadaan sedar. Pendapat inilah yang benar. Ia juga merupakan pendapat Ibnu Abbas, Jabir, Anas, Umar, Huzaifah dan lain-lain. Para ulama telah mengatakan : “Barangsiapa yang mengingkari ( tidak mengakui ) kebenaran peristiwa Israk, sesungguhnya dia telah mendustakan Al-Quran, maka sesiapa yang mendustakan Al-Quran, dia dihukum sebagai kafir”.

Matan : Adapun peristiwa Mikraj, ia telah sabit dalam hadis. Al-Quran walaubagaimanapun tidak menyebut tentang peristiwa Maikraj ini secara sarih ( terang-terangan ) tetapi Al-Quran ada menyebut tentangnya dengan nas yang hampir sarih.

Syarah : Peristiwa Mikraj tidak disebut dalam Al-Quran secara sarih ( kenyataan yang terang tanpa memerlukan takwil ). Namun A-Quran ada menyebut tentangnya dengan nas yang merujuk kepada peristiwa Mikraj tersebut sebagaimana firman Allah :

ولقد رءاه نزلة أخرى عند سدرة المنتهى عندها جنة المأوى

Ertinya : Sesungguhnya dia ( Muhammad ) telah melihatnya ( Jibril ) untuk kali kedua. Iaitu di Sidratul Muntaha. Di sisi Sidratul Muntaha itu ada Jannatul Makwa.


Maka barangsiapa telah memahami bahawa Sidratul Muntaha itu terletak di langit, pada masa yang sama dia mengingkari kebenaran peristiwa Mirraj, maka dia dihukum sebagai kafir.

Adapun jika seseorang itu tidak mengetahui dan tidak memahami tentang kewujudan Sidratul Muntaha di langit ( tidak tahu bahawa Sidratul Muntaha disebut dalam Al-Quran ) atau dia tidak pernah meyakini bahawa umat Islam beriktikad demikian (mengingkari Mikraj ), maka dia tidak dihukum sebagai kafir.

Matan : Peristiwa Israk itu terdapat dalam firman Allah :

سبحان الذي أسرى بعبده ليلا من المسجد الحرام إلى المسجد الأقصى الذي باركنا حوله لنريه من آياتنا

Ertinya : Maha Suci Dia ( Allah ) yang telah memperjalannkan hambanya pada waktu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami ( Allah ) berkati sekelilingnya, untuk Kami memperlihatkan tanda-tanda ( kekuasaan ) Kami. ( Surah Israk : ayat 1 )

Syarah : As-Sabhu menurut bahasa arab bermaksud menjauhkan ( menyisihkan ). Makna Sabbihillah beerti menyisihkan dan mensucikan Allah dari segala perkara yang tidak layak bagi Allah contohnya menyerupakan Allah dengan makhluk. Perbuatan menyerupakan Allah dengan makhluk ialah seperti berikut : menyerupakan Allah dengan makhluk, mensifatkan Allah bersaiz halus, bersaiz kasar, bersifat dengan sifat-sifat yang ada pada sesuatu yang bersaiz seperti menyifatkan Allah itu berwarna, bergerak, berdiam tanpa bergerak, menyifatkan Allah itu ada kadar tertentu seperti kecil, besar, atau mengatakan Allah itu menempati ruang dan tempat.

Dalam Al-Quran, Allah dengan jelas telah mensucikan dirinya dengan apa-apa bentuk penyerupaan sebagaimana firmannya :

ليس كمثله شيء

Ertinya : Tiada sesuatu pun yang menyerupai Allah

Lalu, jika Allah itu bersaiz sangat besar atau sangat kecil, nescaya Allah itu terlalu banyak sekutu dan penyerupaan.

Berbalik pada ayat tadi, firman Allah بعبده bermaksud Nabi Muhammad. Ada pendapat mengatakan terdapat satu riwayat menyebut, ketika Nabi Muhammad tiba di suatu tempat yang tinggi serta darjat yang agung di Mikraj, Allah telah menyampaikan wahyu kepada baginda dengan firmannya : Wahai Muhammad! Dengan apa aku memuliakanmu? Lalu Nabi Muhammad bersabda : Dengan menisbahkan ( menyifatkan ) aku sebagai hambaMu ( sifat kehambaan ). Lalu Allah pun menurunkan wahyu sebagaimana awal Surah Israk tadi.

Ini bermakna, tatkala Allah menyifatkan Nabi Muhammad sebagai hamba, ia merupakan satu penghormatan yang sangat besar kepada seorang utusan Allah. Ini kerana, hamba Allah itu sangat banyak, tetapi apabila ia disebut secara khusus untuk Nabi Muhammad dalam ayat Al-Quran, ia menjadi pengkhususan yang sangat agung nilainya.

Kembali kepada ayat tadi, Allah menggunakan perkataan ليلا ( ertinya : malam ) dalam keadaan ‘nasab’ bermaksud ‘zaraf’ ( hukum tatabahasa dalam bahasa arab ). Jika ada yang bertanya, kenapa perlu menggunakan perkataan malam? Kami menjawab : Ia bertujuan penegasan. Dengan kata lain, ia bertujuan menyatakan bahawa peristiwa israk itu berlaku dalam tempoh masa sebahagian daripada waktu malam ( bukan keseluruhan malam ). Jelasnya, Nabi diisrakkan dari Mekah ke Syam cuma dalam sebahagian waktu malam sahaja ( sangat sekejap )

Adapun Masjidil Haram, ia adalah sebuah masjid yang terletak di Mekah. Ia dinamakan sedemikian kerana kehormatan dan kemuliaannya berbanding masjid-masjid yang lain. Masjidil haram juga dikhususkan dengan beberapa tatacara yang tidak ada pada masjid yang lain. Gandaan pahala beribadah di dalamnya juga berlipat kali ganda dengan sangat banyak jika dibandingkan dengan beribadah di masjid-masjid yang lain.

Masjidil Aqsa ( ertinya : masjid yang jauh ) pula dinamakan sebegitu kerana kedudukannya terletak sangat jauh dari Masjidil Haram.
bersambung...

Tuesday, August 01, 2006

ORANG BUJANG YANG TAK FAHAM

pandangan oleh : ALEXANDARICAIRO
Bukan marah. Bukan terpaksa. Jauh sekali dendam. Tapi, faham-fahamlah. Orang bujang. Semuanya seraba tak cukup. Banyak yang kurang. Rumah cincai saja. Dapur asal boleh. Ruang tamu asal ada. Lebih-lebih lagi bila rumah sudah ditinggal lebih seminggu, tentu berhabuk. Tak sempat nak buat apa-apa. Tapi, orang bujang tetap ada maruah dan harga diri. Air muka tetap dijaga. Boleh berlebih kurang, tapi bila kena pijak, tak akan diam sahaja. Cakaplah sepatah dua.

Susah juga kalau orang tak faham. Atau sengaja buat-buat tak faham. Macamana pun kena cuba beri faham. Supaya faham. Permohonan orang bujang, faham-fahamlah.

Bila tetamu bertandang, tuan rumah wajarnya melayan. Bila ada tetamu dari luar, orang bujang dengan mutazawwij dikira tuan rumahlah. Jadi kena fikirkan bersama tentang layanan terbaik untuk mereka. Orang bujang. Biasalah. Semuanya serba ringkas dan kurang. Jadi, bila ada tetamu dari luar datang, lebih-lebih lagi tetamu yang mutazawwij, malah bekas pimpinan tertinggi, faham-fahamlah. Timbang-timbanglah.

Bukan marah. Tidak juga dendam. Fikirlah. Bukankah lebih sesuai yang menyambutnya itu mutazawwij juga? Suasananya lebih padan dan harmoni. Ruang perbualan dan layanan juga lebih sinonim dam hampir. Skop bicara juga lebih memahami dan mudah. Persiapan mutazawwij lebih baik. Bukankah begitu. Orang bujang sudahlah dengan serba kekurangan dari sudut layanan, suasana juga sukar disesuaikan. Sudah banyak orang bujang bertandang. Tiada hal. Kalau tetamu mutazawwij pun nak dihumban sama, tak sesuailah. Faham-fahamlah.

Anak muda dari ibukota sering menuduh mutazawwij ini hanya ada dua kerja sahaja. Pertama, buat peraturan keluar malam. Kedua, tangkap orang. Orang bujang pun tak setuju tuduhan melulu begitu. Orang bujang faham. Tapi, bila ada kes tamu mutazawwij datang, lalu orang bujang dimangsakan sebegitu, orang bujang jadi tak faham dengan mutazawwij ini. Apakah tuduhan anak muda ibukota itu benar? Faham-fahamlah sedikit.

Orang bujang tertanya-tanya, mana pergi hero-hero mesyuarat? Mana pergi yang bersyadid-syadid dalam mesyuarat dalam membuat peraturan keluar malam dan sibuk-sibuk nak tangkap sana-sini? Apakah syadid itu untuk nampak thiqah? Lalu kelihatan amal ilmu serta lebih sheikh dari sheikh-sheikh yang lain semata ingin penghormatan, sum’ah, gelaran dan nama? Apakah atas tujuan duniawi? Kalau benar syadid tadi kerana agama, bila tamu datang, manakah yang syadid-syadid tadi?

Jika ada yang keluar malam, mereka diburu, dikejar, ditangkap, disoal, dijaja cerita, dihebah berita, diburuk-buruk serta di’black list’. Dikata-kata mereka ini bermasalah moral. Ketika tetamu datang, mana dia yang syadid-syadid tadi? Mengapa tetamu tidak dikejar, diburu, diberi bilik yang paling terbaik di kota ini, makanan yang sempurna, kelengkapan yang terbaik? Apakah agama itu hanya untuk tangkap orang sahaja padahal hadis tentang melayan tamu itu sangat jelas. Mana dia yang syadid-syadid tadi?

Ya. Orang bujang tahu. Bila tangkap orang, dapat nama, dapat penghormatan dialah paling tegas dalam urusan agama, dapat gelaran sheikh, dapat malukan orang pula. Layan tamu, dapat penat, letih dan tiada populariti. Kenapa mesti berpura-pura? Apakah dalam berpuluh rumah mutazawwij, tiada langsung dua bilik terbaik untuk disediakan? Bukankah tetamu itu juga mutazawwij? Malah bekas pimpinan tertinggi para mutazawwij juga. Yang syadid-syadid tadi tak muncul pula. Faham-fahamlah.

Tak kisahlah kalau dapat dua bilik berasingan rumah. Tetamu pun bukannya nak lama. Semalaman cuma. Sekejap sahaja. Orang buyjang sebenarnya tak kisah. Kalau layan mereka pun bukanlah terlalu penat jika nak dibandingkan dengan fadhilat melayan tamu. Tetapi bila tugas murni ini dianaktirikan dalam agama hanya kerana tak memperolehi populariti, orang bujang jadi kecewa.

Yalah. Bila tangkap orang, semua dengan pantas turun padang. Berlumba-lumba. Denagn pantas menekan telefon menghubungi mutazawwij lain. Bila tamu datang, ramai yang mengelak, ada yang beralasan mudah, ada yang buat tak tau, ada yang macam-macam. Pelik pula. Faham-fahamlah.

Ada orang sempitkan agama dengan penulisan, pendapat, pemikiran, tindakan atau apa sahaja. Sebelum ini, bergema-gema orang bujang dengar mereka nak jaga orang keluar malam. Bila tetamu datang, manakah gema tadi? Adakah agama sudah disempitkan dengan hanya tugas menjangkap orang? Adakah bab tamu bukan dari urusan agama? Faham-fahamlah.

Orang bujang tak marah. Menyesal jauh sekali. Segan orang bujang nak bersuara. Tapi kalau suara yang sedikit ini didengari, sudah cukup baik. Tak suka suara ini pun tak mengapa. Sudah dengar itu pun sudah cukup. Siapalah orang bujang kalau nak dibandingkan dengan mutazawwij.

Cuma, faham-fahamlah. Dengan hati, nilailah. Ada mata, pandang-pandanglah. Dengan akal, fikir-fikirkanlah bersama-sama. Orang bujang pun ada maruah. Ada air muka. Ada malunya. Bukan minta difahami atau dihormati. Tetapi, saling memahami dan menghormati itu sangat baik dalam agama. Mohon maaf dari semua.