terjemahan oleh : ALEXANDARICAIRO
Matan : Jika ada yang mengatakan : firman Allah yang bermaksud ‘Sesungguhnya dia ( Muhammad ) telah melihatnya ( Jibril ) untuk kali kedua’ boleh diandaikan bahawa Rasulullah cuma melihat dalam mimpi.
Kami menjawab : Andaian tersebut merupakan satu takwil. Dan tidak boleh mentakwil sesuatu nas ( mengambil pendekatan memalingkan dari zahir ) itu kecuali ada dalil akal yang pasti atau dalil naqli yang sabit. Inilah yang disebutkan oleh Ar-Razi dalam kitab Al-Mahsul, para ahli usul yang lain turut mengatakan demikian. Dan di sini, tidak ada langsung dalil yang membolehkan takwil sedemikian.
Syarah : Nabi Muhammad telah melihat Jibril dalam keadaan bentuknya yang asal untuk kali berikutnya ( kali kedua ) di Sidratul Muntaha. Hal ini menunjukkan kebenaran peristiwa Mikraj itu sendiri kerana Sidratul Muntaha itu akarnya memanjang ke langit keenam, terus ke langit ketujuh dah melebihi jauh dari itu. Walaubagaimanapun, Al-Quran tidak menjelaskan secara sarih ( terang ) mengenai peristiwa Mikraj ini.
Oleh sebab itu, para ulama mengatakan, sesiapa yang mengingkari Israk, dia dihukum sebagai kafir manakala sesiapa yang mengingkari Mikraj, dia tidak dihukum kafir ( kerana nas tentang Mikraj bukan nas sarih ). Ini kerana dalil tentang Mikraj tidak sekuat dalil tentang Israk. Dengan kata lain, dalil tentang Israk lebih kuat.
Jika ada yang mengatakan : firman Allah yang bermaksud ‘Sesungguhnya dia ( Muhammad ) telah melihatnya ( Jibril ) untuk kali kedua’ boleh diandaikan bahawa ia adalah melihat dalam mimpi. Kami menjawab : Andaian anda merupakan satu takwil. Dan tidak boleh mentakwil sesuatu nas ( mengambil pendekatan memalingkan dari makna zahir ) itu kecuali ada dalil akal yang pasti atau dalil naqli yang sabit.Dalil naqli mestilah bersumber dari Al-Quran atau hadis kerana ia diambil secara mendengar. Adapun dalil akli, mestilah dengan pemerhatian logika yang benar secara akal. Kita tidak boleh mentakwil mana-mana ayat atau hadis kecuali dengan dua dalil tadi.
Matan : Imam Muslim telah meriwayatkan dari Anas bin Malik bahawa Rasulullah telah bersabda : Aku telah didatangi ( oleh Jibril ) bersama Buraq. Buraq ialah seekor binatang melata yang berwarna putih, panjangnya lebih panjang daripada keldai, lebih pendek daripada baghal, setiap langkahnya mampu memijak ke penghujung penglihatannya. Nabi bersabda lagi : Maka aku menunggangnya sehingga aku sampai di Baitul Maqdis lalu aku mengikatnya dengan tali yang digunakan oleh para anbiya’ untuk mengikatnya.
Kemudian aku masuk ke dalam masjid lalu bersolat dua rakaat lalu aku pun keluar. Jibril pun datang kepadaku dan menghulur sebuah berkas berisi arak dan sebuah berkas berisi susu lalu aku memilih susu. Jibril mengatakan kepadaku : Engkau telah memilih fitrah. ( berpegang teguh dengan agama ) Nabi bersabda lagi : Kemudian, kami sama-sama naik ke langit....
Dalam hadis ini, ia adalah dalil menunjukkan bahawa Israk dan Mikraj berlaku dalam malam yang sama, dengan ruh serta jasad baginda, dalam keadaan sedar.
Tidak ada seorang pun yang mengatakan Nabi sampai ke Baitul Maqdis lalu tidur.
Adapun tentang Nabi melihat Allah pada malam Mikraj, Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata bahawa At-Tabarani dalam Mu’jam Al-Awsat telah meriwayatkan sebuah hadis ( sanadnya kuat ) dari Ibnu Abbas yang menyebut : “Nabi Muhammad melihat tuhannya sebanyak dua kali”. Ibnu Huzaimah juga dengan sanad yang kuat meriwayatkan bahawa : “Nabi Muhammad pernah melihat tuhannya”. Riwayat ini bermaksud, Rasulullah melihat dengan hatinya berdalilkan hadis riwayat Imam Muslim dari sanad Abul Aliyah dari Ibnu Abbas yang mengomentari firman Allah :
ما كذب الفؤاد ما رأى أقتمارونه على ما يرى ولقد رآه نزلة أخرى
Ibnu Abbas menyebut : Baginda ( Nabi Muhammad ) melihat tuhannya dengan hati sebanyak dua kali.
Perhatian : Imam Al-Ghazali dalam Ihya’ ulumuddin telah berkata : Pendapa yang benar ialah Nabi Muhammad tidak melihat ( dengan menggunakan mata ) pada malam Mikraj. Maknanya, Rasulullah tidak melihat tuhan dengan menggunakan mata. Ini kerana tidak ada satu dalil manapun yang mengatakan Nabi melihat dengan mata. Nabi tidak pernah bersabda : ‘Aku melihat tuhanku dengan mataku sendiri’. Langsung tidak ada seorang sahabat, tabiin ataupun pengikut mereka yang mengatakan : ‘Baginda melihat tuhan dengan mata kepala baginda sendiri’.
Syarah : Allah telah mengangkat hijab dari hati Nabi Muhammad supaya baginda boleh melihatNya dengan hatinya lalu Nabi melihat Allah dengan hatinya. Allah telah mencipta satu daya membolehkan Nabi melihat dengan hati. Maka Rasulullah pun melihat Allah dengan hati, bukan dengan matanya kerana Allah tidak boleh dilihat dengan mata di dunia ini.
Jika mata mampu melihat Allah, nescaya Nabi Muhammad akan melihat Allah dengan matanya.
Oleh sebab itulah, Nabi Muhammad telah bersabda sebagaimana hadis riwayat Imam Muslim : ‘Sesungguhnya kamu tidak dapat melihat tuhanmu sehinggalah kamu mati’. Dapat difahami juga dari firman Allah ketika mengatakan kepada Nabi Musa :
لن ترانى
Maksudnya : Engkau tidak akan dapat melihatKu.
Ada diriwayatkan bahawa pernah Rasulullah ditanya : Adakah tuan melihat Allah pada malam Mikraj? Rasulullah menjawab : ‘Maha suci Allah, Maha Suci Allah. Aku melihatNya dengan hatiku, bukan dengan mataku’. Walaubagaimanapun, hadis ini hadis dhaif.
Imam Malik telah berkata : Allah yang Maha Kekal tidak boleh dilihat dengan menggunakan mata yang fana ( bersifat sementara dan akan luput ) di dunia, tetapi boleh dilihat dengan menggunakan mata yang kekal di akhirat nanti. Ia bermakna, mata ahli syurga tidak akan luput kerana mereka hidup di sana kekal tanpa mati selamanya.
Adapun pendapat segelintir kecil Ahli Sunnah yang mengatakan Nabi melihat tuhannya dengan menggunakan kedua-dua matanya, itu merupakan pendapat yang sangat lemah. Sesiapa yang berpendapat demikian, dia tidak dihukum fasik atau bid’ah kerana memang ada segelintir kecil salaf yang berpendapat demikian.
Tetapi, apabila ada yang menyebutkan seperti itu, katakan padanya, pendapat tersebut sangat lemah, dan pendapat yang benar ialah Rasulullah melihat dengan menggunakan hatinya bukan dengan matanya. Ini sebagaimana yang telah sabit, riwayat dari Abu Zar yang mengatakan : ‘Rasulullah melihat tuhan dengan hatinya, bukan matanya’. Dan kami berdiri atas pendirian ini.
Penutup : Hadis yang menceritakan tentang Masyitah ( tukang sikat anak Firaun ) itu merupakan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan beliau mengatakan hadis itu sahih.
Sunday, August 06, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment