Monday, March 27, 2006

ALLAH MENCIPTA MASA : MASA ITU MAKHLUK

OLAHAN : ALEXANDARICAIRO

Allah itu tuhan yang mencipta segala sesuatu dan setiap sesuatu. Tiada apa pun yang terlepas dari kuasa dan ilmu Allah. Subhanallah. Maha suci Engkau Ya Allah dari segala sifat-sifat makhluk. Antara sifat makhluk yang yang ingin penulis ingin bicarakan di sini untuk kali ini ialah masa dan bagaimana makhluk itu terlibat atau berkait dengan masa. Apakah maksud makhluk itu berkait atau terlibat dengan masa?

‘Makhluk itu itu berkait dengan masa’ bermaksud kewujudan sesuatu makhluk itu tertakluk kepada masa. Kewujudan makhluk ada masa permulaan penciptaannya. Makhluk pertama yang diciptakan Allah ialah air. Sejurus terciptanya air, maka terciptalah masa. Maka kita boleh ( harus ) bertanya “bilakah langit diciptakan?” atau “bilakah bumi diciptakan?” sebab langit dan bumi itu makhluk.

Adapun, Allah tidak bersifat dengan sifat makhluk. Allah mencipta air, Allah juga mencipta masa. Allah telah wujud sejak azali dan Dia bersifat Qidam ( sediakala ). Sebab itu kewujudan Allah itu tidak berkaitan ( tidak tertakluk ) dengan masa. Tiada soalan dan tidak boleh seseorang tanya “bila Allah itu wujud?” kerana Allah bersifat Qidam. Sifat Qidam Allah bermaksud kewujudan Allah tidak tertakluk kepada masa. Secara lebih jelas, masa itu ada awal penciptaannya. Sebelum masa itu diciptakan, masa itu tidak ada, padahal Allah telah sedia ada wujud dan kewujudan Allah itu tiada permulaan.

Memang akal kita tidak dapat memikirkan zat Allah itu wujud tanpa permulaan dan tanpa tertakluk kepada masa. Sebab itulah kita dilarang memikirkan zat Allah. Jangan berfikir tentang zat Allah. Fikirkan tentang makhluk Allah dengan niat supaya menambah kekuatan iman kita. Orang Islam mengenal Allah dengan sifat-Nya, bukan zat-Nya. Kewujudan Allah tidak mempunyai masa, tidak ada cara, tiada bagaimana, tiada permulaan, dan tiada berakhir. Masa itu makhluk. Tempat itu makhluk. Alam itu makhluk. Semua selain Allah itu makhluk. Allah tidak bergantung apa-apa pun dengan makhluk.

Oleh kerana itu, jangan terpedaya dengan beberapa ahli falsafah yang cuba menyandarkan ( mendakwa ) dirinya sebagai ahli hadis ( kerana sering mengarang kitab hadis ) kemudian, menyesatkan orang awam. Mereka ini mendakwa alam itu wujud sejak azali dan wujud sediakala. Ini sudah menyamakan Allah dengan makhluk. Akidah sebegini sangat jijik, malah membatalkan syahadah iman kita. Berwaspadalah dari golongan ini. Mereka tidak ada autoriti dan kredibiliti langsung dalam berbicara tentang hadis kerana akidah mereka rosak. Kenapa berikan leluasa kepada pendapat- pendapat mereka untuk agama kita Islam? Mereka tidak layak langsung. Apakah golongan yang dilaknat Allah ini, kita berikan ruang untuk berbicara tentang Islam, semata-mata kerana karangannya seolah-olah berbicara atas lidah agama Islam?

Peliharalah iman kita. Iman perlu dipelihara dengan tauhid yang benar, bukan angan-angan atau sangkaan. Tauhid yang benar perlu ilmu. Ilmu tauhid perlu diambil dari lidah ahli ilmu dan makrifat secara langsung, bukan mencedok dan memahami sendiri dari mana-mana kitab yang dirasakan ada membicarakan soal tauhid. Asal ada nama ‘tauhid’, kita beli, baca dan pegang. Mana boleh begitu! Kalau Rasulullah dalam hadis sahih riwayat Ibnu Hibban telah memberikan isyarat awal tentang umatnya akan terpecah kepada 73 golongan dan hanya satu ( ahli sunnah wal jama’ah ) sahaja akan ke syurga dengan sebab tauhidnya yang sahih, mengapa kita sewenang-wenang memahami tauhid secara ‘cekut’ dan ‘copy and paste’ dari sumber yang kita pun tidak pasti hitam putihnya? Setakat dialog ‘aku ahli sunnah’ atau ‘aku ikut salaf’ bukan kayu ukur bahawa dia termasuk golongan ‘yang satu’ itu!

( perhatian: umat Nabi terpecah kepada 73 golongan tetapi golongan yang ‘satu’ itu lebih ramai bilangannya daripada bakinya walaupun mereka sebanyak 72 golongan )




Wednesday, March 22, 2006

NABI LUTH : PERKATAAN ‘LIWAT’ BUKAN DIAMBIL DARI NAMANYA

OLAHAN : ALEXANDARICAIRO

Menyandarkan sesuatu perkara yang mustahil bagi Rasul kepada Rasul merupakan sesuatu yang boleh menggugurkan iman. Sebab itu terdapat banyak perkara yang seharusnya diambil perhatian agar keimanan dan tauhid kita sentiasa terpelihara. Antara fitnah, dakwaan dan perkara mustahil yang pernah dilontarkan kepada Rasul ialah seperti dakwaan bahawa perkataan ‘liwat itu’ berasal ( pecahan kata akar ) dari nama Nabi Luth sedangkan tidak boleh kita katakan demikian bagi hak rasul. Bagaimanakah untuk memperincikan masalah ini?

Pertama, Abu Mansur Al-Lughawi telah berkata : “Semua nama para nabi itu A’jam ( bukan nama arab ) kecuali empat, Adam, Solih, Shuaib dan Muhammad”. Tetapi ini agak berlainan sedikit dengan hadis sahih riwayat Ibnu Hibban iaitu dari Abu Zar bahawa Rasulullah telah bersabda : “Empat orang dari para nabi itu merupakan orang arab, Hud, Solih, Shuaib dan Muhammad”. Maka, zahir hadis menunjukkan nama Nabi selain dari yang empat ini merupakan nama bukan arab lalu ulama mentakwil bahawa hadis ini bermaksud bahawa empat orang nabi ini memang dari kalangan arab manakala nabi selain empat nabi ini bukan arab dari sudut keturunan tetapi boleh sahaja nama nabi selain empat ( yang disifatkan oleh Nabi sebagai arab ) itu mengikut nama arab. Sebab itulah tidak ada perselisihan bahawa nama ‘Adam’ itu dari perkataan arab.

Kedua, apakah boleh diterima akal setelah zaman berlalu begitu lama, sejak Nabi Adam sehingga Nabi Luth langsung tidak ada penggunaan bahasa arab di permukaan bumi ini sedangkan bahasa arab antara bahasa terawal yang dipertuturkan oleh Nabi Adam dan diajarkan kepada anak-anaknya seperti bahasa yang lain juga. Mereka sudah mengetahui perkataan ‘liwat’ dan tasrifnya ( pecahan dari kata akar untuk sesuatu perkataan ) sebagaimana mereka mengetahui perkataan ‘zina’ serta tasrifnya. Jadi, tidak logik dikatakan perkataan liwat itu diambil dari perkataan “Luth” kerana bahasa arab (perkataan ‘liwat’) sudah ada sebelum zaman Nabi Luth lagi dan perkataan liwat ( asal dari kata kerja ‘laata’ ) itu memang sudah wujud sebelum Nabi Luth diutuskan lagi. Sudah semestinya menjadi perkara mustahil apabila sesuatu yang ‘asal’ muncul selepas ‘sesuatu’ yang lahir daripada ‘asal’ itu sendiri. Kan pelik....

Selanjutnya, antara nabi dari kalangan arab yang diutuskan sebelum Nabi Luth ialah Nabi Hud dan Solih yang mana berdasarkan hadis tadi mereka diutus kepada bangsa arab. Ini menjadi bukti yang lebih jelas kewujudan bahasa arab sebelum zaman Nabi Luth dan mustahil bahasa arab yang menjadi medium dakwah Nabi Solih dan Hud itu tidak terdapat perkataan liwat sedangkan “liwat” adalah perkataan berasal dari bahasa arab. Jadi, jangan tertipu atau terkeliru dengan kenyataan atau cerita yang terdapat dalam beberapa buah kitab kerana kadang-kadang cerita tersebut dipalsukan, direka dan diselitkan melalui ulang cetak kitab-kitab agama yang popular.

Keempat, bahasa pertama yang dipertutur oleh Nabi Adam ialah bahasa arab. Sehingga sebahagian ulama berpendapat bahasa arab adalah bahasa pertama dituturkan oleh Nabi Adam. Ini dibuktikan oleh hadis :

" إن ءادم عطس فقال الحمد لله "

yang bermaksud : sesungguhnya Nabi Adam itu bersin lalu berkata ‘segala puji bagi Allah’. Oleh itu tidak boleh kita katakan perkataan liwat itu dari perkataan ‘luth’ atau sebaliknya kerana ‘liwat’ dari bahasa arab dan ‘luth’ dari perkataan bukan arab ( a’jam ). Lantaran itu, perkataan liwat telah wujud sebelum Nabi Luth lagi hanyasanya perbuatan liwat itu pertama kali dilakukan oleh kaum Nabi Luth tetapi lafaz kalimah liwat telah digunakan oleh kaum A’d ( kaum Nabi Hud ) sepertimana yang telah kita ketahui bahawa Nabi Hud dari kalangan arab. Kaum A’d dan Nabi Hud adalah bangsa arab dan telah gunakan perkataan ‘liwat’ sebelum zaman Nabi Luth lagi!

Begitulah perkataan liwat telah wujud begitu lama sebelum perbuatan liwat itu dilakukan oleh kaum Nabi Luth sendiri, dan ia (perkataan liwat) bukanlah dari perkataan ‘luth’ atau sebaliknya. Adapun selain anak Adam, iblis adalah makhluk yang pertama melakukan liwat seperti yang telah disebutkan oleh Imam As-sayuti dan selain beliau : “Makhluk yang pertama meliwat ialah iblis”. Iblis melakukannya dengan memasukkan zakar ke dalam dubur dan mungkin sahaja merekalah yang mengajar manusia untuk berbuat demikian.

Dalam pada itu, Allah telah memelihara para NabiNya dari perkara-perkara yang keji termasuk nama nabi itu sendiri. Sesiapa yang menyandarkan nama atau sifat serta perkara-perkara yang keji kepada para nabi bererti telah menafikan hal ini. Maka berhati-hatilah kerana terdapat sekelompok ahli bahasa yang pernah mengeluarkan kenyataan berbaur dakyah kotor seperti ini. Bagaimana mereka sanggup untuk menyandarkan nama Nabi yang mulia kepada perkataan ‘liwat’ sedangkan Allah memelihara mereka dari dari diberi nama dengan nama-nama yang keji, nama yang berasal dari perkataan yang keji mahupun nama yang menjadi asal kepada perkataan-perkataan yang jijik! Kesemua hujah tadi dengan tujuan menegaskan bahawa perkataan ‘liwat’ telah wujud sebelum pengutusan Nabi Luth dan bukan diambil dari perkataan ‘luth’ itu yang merupakan nama baginda.

Akhir sekali, hadis sahih menyebut, Rasulullah bersabda :

مابعث الله نبيا إلا حسن الوجه حسن الصوت

Tidaklah Allah utus seorang Nabi itu melainkan kacak rupanya dan merdu suaranya. Jika sudah para Nabi begitu, semestinya nama mereka juga baik. Mudah-mudahan kita tidak terpedaya dengan cerita yang tidak sahih samada bersumberkan riwayat Israeliyat atau pendapat orang yang jahil tentang tauhid. Sama-samalah kita menjadi orang yang membela tatkala para Nabi dituduh atau dilemparkan sesuatu yang tidak layak bagi mereka.


SEKALUNG TAHNIAH

Tahniah! Tahniah! Tahniah!...Walaupun terlewat sedikit, tahniah diucapkan kepada Raihan bte Mohd Ma'mon. ( maaf kalau tersalah atau silap ejaan nama ) yang telah memperolehi keputusan yang cemerlang dalam SPM baru-baru ini. Yang 'satu subjek' itu mesti ada kisah di sebaliknya. Wah! Ni yang rasa macam nak tabik 'spring' lagi ni. Syabas juga kepada Mohd Sufian walaupun saya tak dapat maklumat yang begitu tepat berhubung keputusan STPMnya yang baru keluar tempoh hari. Apapun teruskan semangat untuk menuntut ilmu. Knowledge is power. Peluang tetap ada.

Baiklah. Macamana perancangan akan datang? Sambung ke mana? Luar negara atau tempatan sahaja? Saya doakan kejayaan Raih an dan Sufian. Ini boleh jadi motivasi untuk Najib, Athirah, Khadijah dan Aisyah. Tingkatkan usaha. Semoga berjaya. Juga tidak lupa, syabas kepada ibu bapanya.

Tuesday, March 21, 2006

ALLAH WUJUD TANPA BERTEMPAT


Olahan : ALEXANDARICAIRO

Asas bagi pembinaan iman dan Islam bagi seorang insan ialah penyaksian berhubung kewujudan dan ketuhanan Allah yang Maha Esa dan pengakuan serta penyaksian bahawa Muhammad itu pesuruh dan utusan Allah. Dengan asas inilah, sesiapa yang memeluk agama suci Islam, wajib melafazkan dua kalimah syahadah iaitu;

أشهد أن لا إله إلا الله وأشهد أن محمدا رسول الله

Dalil bahawa masuk Islam itu mestilah dengan mengucap dua kalimah syahadah ialah sebagaimana hadis Rasulullah;

أمرت أن أقاتل الناس حتى يشهدوا أن لا إله إلا الله وأن محمدا رسول الله

Begitulah juga yang dinaskan oleh kesemua ulama-ulama empat mazhab seperti Imam an-Nawawi dalam Raudah at-Talibin, al-Buhuti ( ulama mazhab Hanbali ) dalam Kasysyaf al-Qina’, serta selain daripada mereka berdua. Dengan lafaz syahadah tersebut berserta meninggalkan semua sebab-sebab dan faktor-faktor yang boleh membawa kepada murtad, seseorang itu sudah memeluk agama Islam yang syumul dan indah itu. Bagi seorang bukan Islam, sekadar berazam memeluk Islam atau mengikut kelakuan orang Islam dengan cara pergi ke masjid, berpuasa, berzakat atau apa sahaja, bukanlah pengiktirafan sudah memeluk Islam. Masuk Islam, tidak boleh tidak atau dengan bahasa yang lebih mudah mestilah dengan cara mengucap dua kalimah syahadah.

Tumpuan penulis pada kali ini hanya berlegar sekitar sebahagian kandungan maksud serta tuntutan yang terkandung dalam lafaz syahadah yang pertama iaitu; ‘Aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah.’ Tuntutan yang ada dalam kalimah syahadah ini ialah penyaksian akan kewujudan Allah dan penyaksian akan ketuhanan Allah.

Penyaksian akan kewujudan Allah menuntut seseorang mempercayai, mengimani dan meyakini bahawa Allah itu wujud. Meragui, syak, ingkar atau mempertikai kewujudan Allah bermakna menafikan kandungan lafaz syahadah walaupun melafazkannya setiap masa dan ketika. Sebagaimana yang telah penulis sebutkan sebentar tadi, syarat bagi seseorang masuk Islam ialah; melafazkan dua kalimah syahadah berserta meninggalkan semua sebab-sebab dan faktor-faktor yang membawa kepada murtad. Jadi, tidak ada maknanya dua kalimah syahadah dilafazkan jika diiringi sesuatu yang membatalkan lafaz syahadah itu sendiri sama ada secara niat, perbuatan atau perkataan. Contohnya, seorang yang mengucap dua kalimah syahadah tetapi pada masa yang sama, mencerca Allah atau menyembah sesuatu selain Allah. Lafaz syahadah itu sudah tidak bermakna kerana terdapat pada dirinya sesuatu yang membatalkan syahadah itu sendiri.

Kemudian, beriman bahawa Allah itu wujud, mestilah meyakini bahawa Allah itu wujud tanpa bertempat, selaras dengan ajaran tauhid semua para Rasul dan Nabi. Semua Rasul dan Nabi membawa mesej mentauhidkan Allah yang sama, cuma syariat sahaja yang berbeza dalam beberapa sudut. Perjuangan mentauhidkan Allah adalah tugas semua Rasul dan Nabi dengan memberi penerangan, dakwah dan dalil serta hujah yang ampuh, kukuh dan mapan akan kewujudan Allah yang Maha Esa tanpa bertempat. Allah yang Maha Kuasa, Dialah yang mencipta tempat, masa, langit, bumi, cahaya, kegelapan, ruang, sudut, jin, manusia, malaikat, air, udara dan semua makhluk. Firman Allah;

ليس كمثله شىء وهو السميع البصير

Maksudnya; Tiada sesuatu pun yang menyerupai Allah, Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat. ( surah as-Syura; ayat 11)

Allah wujud sejak azali tanpa permulaan manakala semua makhluk ada permulaan kewujudannya. Allah mencipta tempat ( ruang serta sudut ) dan masa ( zaman ), maka tempat dan masa adalah makhluk Allah. Makhluk Allah mempunyai permulaan kewujudan. Allah yang menciptanya. Kewujudan Allah tiada permulaan, tiada berakhir. Sebelum kewujudan tempat ( sudut serta ruang ), Allah wujud sejak azali tanpa bertempat kerana Allah yang mencipta tempat dan Allah sesekali tidak berhajat kepada makhluk. Allah juga tidak berubah-ubah. Berubah merupakan sifat utama makhluk. Sebagaimana Allah telah wujud sejak azali tanpa bertempat, begitu juga setelah Allah mencipta tempat (seperti atas, bawah, depan belakang, depan, kiri dan kanan), Allah tidak berubah dan kekal wujud tanpa bertempat. Allah tidak boleh disifatkan berada pada sesuatu, atas sesuatu, bawah sesuatu, tepi sesuatu, luar sesuatu, dalam sesuatu, bercantum dengan sesuatu, terpisah dengan sesuatu atau meliputi sesuatu secara zat, kerana zat Allah suci dari menempati sesuatu dan suci dari berhajat kepada tempat.

Memadailah bagi seorang muslim mengimani ayat Allah dalam Surah as-Syura tadi untuk bersaksi akan kewujudan Allah tanpa bertempat. Hadis riwayat Imam al-Bukhari, Ibnu al-Jarud, dan Imam al-Baihaqi dengan sanad yang sahih menyebut bahawa Rasulullah bersabda tentang permulaan penciptaan makhluk;

كان الله ولم يكن شىء غيره

Maksudnya; Allah itu wujud (sejak azali) dan tidak ada sesuatu selainnya (belum diciptakan).

Makna hadis ini ialah Allah wujud sejak azali sedangkan semua makhluk pada ketika itu tiada (belum diciptakan). Belum ada air, udara, bumi, langit, arasy, manusia, jin, malaikat, zaman, sudut, ruang, masa, tempat, sedangkan Allah telah wujud sejak azali tanpa bertempat.

Allah juga yang mencipta cahaya dan kegelapan, maka cahaya dan kegelapan itu asalnya tidak ada, kemudian Allah menciptanya. Sebelum Allah mencipta cahaya dan kegelapan, keadaan bumi dan langit pada masa itu, tidak ada cahaya, tidak ada kegelapan. Setelah cahaya dan kegelapan diciptakan, barulah ada cahaya, ada gelap. Allah juga mencipta alam. Sebelum alam itu diciptakan, Allah tidak berada di dalam alam atau luar alam kerana Allah wujud tanpa bertempat. Setelah Allah mencipta alam, Allah tetap wujud bukan dalam alam dan bukan luar alam, tetapi Allah tetap wujud tanpa bertempat. Tidak ada makna jika seseorang mengatakan ‘Allah di luar alam tetapi tidak bertempat’ kerana kenyataan ini mengandungi dua elemen bertentangan. Kenyataan ‘Allah di luar alam’ sudah cukup untuk membatalkan akidah. Pertama, kerana menyandarkan Allah kepada tempat. Kedua, kerana menyifatkan Allah dengan bersifat berubah-ubah.

Abu Mansur al-Baghdadi meriwayatkan secara sanad yang sahih bahawa Saidina Ali berkata:

كان الله ولا مكان وهو الآن على ما عليه كان

Maksudnya; Allah itu wujud sejak azali dan (pada masa itu) tidak ada tempat, dan Allah sekarang (tetap wujud) sebagaimana sejak azali Dia telah wujud.

Makna kata Saidina Ali ini ialah Allah sejak azali telah wujud tanpa bertempat, dan tempat belum diciptakan. Setelah Allah mencipta tempat, Allah tetap wujud sebagaimana sejak azali (tanpa bertempat) kerana Allah mustahil berubah-ubah, bertukar-tukar atau berpindah dari satu keadaan kepada keadaan yang lain. Berubah, bertukar atau berpindah dari satu keadaan kepada yang lain, merupakan sifat makhluk. Ayat 11, Surah as-Syura cukup menjelaskan bagi orang-orang yang dituntun hidayah akidah para Anbiya’.

Lantaran itu, kita ditegah memikirkan hakikat zat Allah sebab akal tidak akan mampu. Selama mana kita membayangkan atau mengkhayalkan sesuatu, semua itu adalah makhluk Allah. Akal kita, khayalan kita, lamunan, pemikiran, lintasan idea, daya taakulan, bayangan, berangan, angan-angan, ilham, semuanya makhluk Allah. Sebagai manusia , kita hanya dituntut memikirkan makhluk Allah sebagai alat sehingga membawa kepada mengagungkan dan mengakui kekuasaan Allah, tuhan yang wujud tanpa bertempat.

Penyaksian akan ketuhanan Allah pula menuntut seseorang memenuhi kandungan dan maksud penyaksiannya itu. Dengan kata lain, wajiblah memenuhi tuntutan lafaz syahadah tadi, tanpa melakukan perkara yang membatalkan keyakinan bahawa Allah itu tuhan dan tiada tuhan selain Allah. Menyembah sesuatu selain Allah seperti menyembah matahari, menyembah bulan atau menyembah sesuatu yang dikhayalkan wujud di atas arasy boleh membatalkan akidah seorang muslim. Allah sahaja yang memiliki sifat ketuhanan yang sempurna dan langsung tidak bersifat seperti makhluk walau sekelumit manapun. Sifat-sifat Allah yang wajib diketahui ialah sebagaimana yang telah maklum dengan nama ‘sifat 20’ atau ‘sifat 13’ menurut pandangan sebahagian ulama yang menghitung tujuh sifat terakhir itu sebagai termasuk dalam ‘sifat 13’ tadi. Kedua-duanya adalah akidah Ahli Sunnah. Tiada masalah.

Kemudian, jangan lafaz syahadah itu tadi dibatalkan dengan menyifatkan Allah dengan sifat makhluk. Antara sifat makhluk ialah berdiri, cangkung, makan, membuang air, berpindah, berubah-ubah, bertukar dari satu keadaan kepada keadaan yang lain, bersemayam atas sesuatu, duduk atas sesuatu, bertimpuh, lemah, berhajat kepada yang lain, dan lain-lain lagi. Inilah sifat-sifat makhluk. Menyifatkan Allah dengan mana-mana sifat makhluk bermakna menyerupakan Allah dengan makhluk. Hal ini membatalkan lafaz syahadah tadi. Lafaz syahadah sudah tidak bererti lagi jika diiringi dengan sesuatu yang membatalkan syahadah itu sendiri. Berhati-hatilah.

Berhati-hatilah wahai para sahabat. Janganlah membuat, beriktikad atau menyebut sesuatu yang membatalkan syahadah kita. Allah suci dari bertempat. Allah suci dari segala sifat dan penyerupaan dengan makhluk. Allah wujud tanpa bertempat. Allah tidak bersemayam, duduk atau berada atas sesuatu, Allah juga tidak berada di dalam, luar atau tepi alam. Tidak boleh kita katakan bahawa Allah itu berada di dalam alam atau di luar alam atau bersemayam atas sesuatu kerana demikian membatalkan tauhid. Allah wujud sejak azali ketika semua makhluk belum diciptakan. Semua makhluk ada penciptanya iaitu Allah. Semua makhluk ada awal kewujudannya iaitu ketika Allah menciptanya, itulah awal kewujudan makhluk. Ketika semua makhluk belum diciptakan, Allah yang wujud sejak azali, tidak berhajat kepada apa-apapun. Allah tidak berhajat dan tidak akan berhajat. Allah tetap wujud tanpa bertempat. Tidak berubah-ubah. Sebelum alam dicipta, setelah alam dicipta, Allah tetap wujud sediakala, sejak azali tanpa bertempat. Tidak perlu memikir ‘bagaimana zat Allah wujud tanpa bertempat’ kerana akal manusia tidak akan mampu. Sebab itu kita dilarang memikirkan zat Allah. Dia Maha Mengetahui semua perkara sebelum dan selepas menciptakannya.

Jangan pula mengatakan atau beriktikad ‘Allah berada di mana-mana’ atau ‘Allah berada di semua tempat’. Kedua-dua lafaz ini membatalkan akidah jika ia bermaksud Allah itu menyerap, menempati, mengambil sudut atau berada pada tempat tersebut. Berhati-hatilah agar kita tidak berbuat sedemikian kerana ia akan membatalkan akidah dan menyebabkan kufur tanpa menyedarinya.

Tetapi, jika lafaz ‘Allah berada di mana-mana’ dan ‘Allah berada di semua tempat’ dilafazkan dengan maksud bahawa Allah menguasai segala sesuatu atau Allah mengetahui segala sesuatu, ia tidak membatalkan akidah. Kebiasaan orang awam bermaksud demikian ketika melafazkan kedua-kedua kenyataan tersebut, apapun, wajib dilarang daripada berkata demikian. Kedua-dua lafaz itu mesti ditegah kerana ia tidak bersumber daripada Ahli Sunnah wal Jamaah sama ada dari kalangan ulama Salaf mahupun Khalaf. Kedua-dua lafaz itu sebenarnya berasal daripada golongan Muktazilah, kemudian mempengaruhi orang awam yang jahil tauhid.