Sunday, April 29, 2007

MENYAYANGI KELUARGA KEKASIH

In the name of Allah, Most Gracious, Most Merciful

OLEH : ALEXANDARICAIRO

(entri edisi kesibukan musim periksa)
Mencintai ahli keluarga Nabi merupakan salah satu tuntutan dalam agama kita. Benar. Hadis dan praktikal ulama-ulama Ahli Sunnah sangat menyokong kenyataan ini.

Tetapi ayat ini sering digunakan oleh pihak tertentu sebagai peluang untuk mengelirukan orang awam yang belum cukup masak dengan asam garam hal-hal agama demi membangkitkan rasa benci atau prejudis terhadap pihak lain. Hal ini sekaligus mewujudkan satu dunia permusuhan yang didasari masalah kejahilan. Kejahilan dari kesilapan seperti ini jika berterusan pasti membuahkan iklim yang negatif dalam masyarakat. Kesilapan itu mungkin dari kesilapan memilih sumber maklumat, kesilapan berfikir, menilai atau kesilapan menghukum. Kesilapan ini jika dirangkul oleh jiwa yang keras, bisa bertukar menjadi taasub membuta tuli. Bahaya.

Menjawab tidak, membiarkan begitu sahaja pun tidak. Itu saya. Namun sedikit terpanggil untuk berkongsi buah fikiran tentang bagaimana untuk mengamalkan wasatiah (kesederhanaan) dalam usaha memandu hati tatkala membuat sesuatu penilaian berkenaan satu-satu perkara secara adil dan cermat. Sedikit peringatan. Ada dalil bukan semestinya tepat cara penggunaan dalil itu. Ada hujah bukan bererti sesuatu kenyataan itu menepati realiti. Kadang-kala hujah tidak tepat, dalil pula tidak memenuhi kehendak kenyataan secara sempurna.

Sebelum melangkah ke butiran yang lebih jauh, kita harus berfikir untuk tidak silap dalam menyamakan atau membezakan. Misalnya, seorang lelaki makan nasi. Kemudian ada seorang perempuan makan nasi. Baik. Tidak wajar rasanya untuk anda mengatakan perempuan itu adalah seorang lelaki semata-mata kerana dia makan nasi. Benar. Kedua-duanya makan nasi. Tapi, bukan semudah itu menghukum perempuan itu adalah seorang lelaki. Hanya kebetulan ada persamaan ciri iaitu makan nasi. Namun harus diingatkan makan nasi bukanlah syarat untuk kita menghukum seseorang sebagai lelaki. Sedikit gurauan, kalau tiba-tiba ada seekor kambing makan nasi, apakah mahu juga dihukum kambing itu seorang lelaki???

Ini kerana nasi adalah makanan ruji dan jelas ia adalah dalil kepada keperluan kedua-duanya (lelaki dan perempuan) terhadap makanan tersebut. Hasilnya, makan nasi merupakan satu ciri persamaan, tetapi bukan ke tahap meyamakan lelaki dengan perempuan. Dengan kata lain, persamaan yang wujud adalah terbatas dan tidak sampai ke tahap menyamakan keseluruhan elemen yang wujud antara lelaki dan perempuan. Benar ada ciri persamaan, apapun jangan pula mengubah kedudukan klasifikasinya hanya kerana persamaan yang tidak pun mampu mengubah kedudukan klasifikasi asal.

Anda mungkin bersetuju kalau dikatakan seseorang itu sangatlah bodoh jika setiap kali dia menemui orang makan nasi, dia katakan itu lelaki. Jumpa lagi orang lain yang makan nasi, dia katakan itu lelaki. Sebab anda tahu makan nasi adalah ciri persamaan antara lelaki dan perempuan tetapi bukan ke tahap menyamakan dua jantina tersebut hanya dek makan nasi.

Mengikuti ceramah As-Sheikh Al-Habib Ali mengingatkan saya kepada satu hadis Nabi yang menggesa umatnya mengajarkan tiga perkara kepada anak-anak. Mencintaiku, kata Nabi, mencintai ahli keluargaku dan membaca Al-Quran. Saya memang sukakan dalil tetapi melihat musuh-musuh Islam juga menggunakan dalil dalam menyerang keluarga Nabi, saya cuba membuat sedikit pendekatan berbeza dengan anggapan, dalil boleh anda dapati dari sumber-sumber lain. Ini mungkin juga disebabkan saya teruja dengan kemantapan profesor-profesor Universiti Al-Azhar khususnya Mufti negara Mesir sendiri yang cukup bijak memberi daya pemikiran wasatiah yang konsisten di peringkat antarabangsa sekalipun ketika berhadapan dengan sesuatu yang dianggap sebagai dalil dari pihak lawan.

Secubit fakta. Dalam satu persidangan tariqah Al-Azamiah yang diadakan di Mesir baru-baru ini, As-Sheikh Ali Jumuah, Mufti negara Mesir sendiri sebagai salah seorang panelis jemputan telah membuat kenyataan yang panjang lebar berhubung perbincangan mencintai ahli keluarga Nabi secara khusus. Beliau menyentuh sejarah, manhaj, peratusan persamaan, perbezaan, pemikiran dan sumbangan elemen mencintai ahli keluarga Nabi dalam mewujudkan kesepakatan antara Ahli Sunnah dan Syiah dalam konteks masyarakat arab Mesir pada masa lampau dan kini. Persamaan satu elemen, iaitu mencintai keluarga Nabi memberi sumbangan yang besar mengamankan pertembungan Ahli Sunnah dan Syiah di Mesir satu ketika dahulu.

Seperti yang telah kita misalkan di atas, isu makan nasi. Begitu juga butiran cinta keluarga Nabi. Ia adalah satu titik persamaan antara Ahli Sunnah dan Syiah tetapi bukan menjadi satu neraca untuk menghukum seseorang itu Syiah. Makan nasi adalah persamaan antara lelaki dan perempuan namun bukan neraca yang putus untuk membentuk hukum kepada klasifikasi tertentu dengan mudah-mudah. Mencintai keluarga Nabi mungkin merupakan syiar yang besar bagi golongan Syiah tetapi pada masa yang sama ia juga bukan suatu elemen yang dinafikan dalam ajaran Ahli Sunnah.

Jadi, menghukum orang lain sebagai Syiah hanya berdasarkan kecintaannya kepada keluarga Nabi adalah satu pendekatan yang boleh disifatkan sebagai kejam. Kejam kerana tanpa disedari, serangan berbentuk menghukum itu juga terkena kepada Ahli Sunnah. Seolah-olah serangan dihalakan kepada Syiah dan Ahli Sunnah sekaligus.

Lebih malang lagi jika orang yang dianggap intelek mempermainkan istilah ‘tongkat Ali’, ‘kacip Fatimah’ dan nama-nama ahli keluarga Nabi yang lain sebagai kayu ukur awal untuk ke peringkat menghukum orang lain sebagai Syiah. Paling kurang pun sudah pula pandai-pandai meragukan orang lain dengan andaian yang bukan-bukan. Ataupun syak itu ini dengan anggapan itu adalah hasil pengaruh Syiah. Inilah yang menjadi masalah. Masalah ini timbul dari orang yang cuba melabelkan dirinya ‘ahli sunnah’ dengan cara men‘syiah’kan orang lain.

Memetik kata-kata Mufti Mesir dalam persidangan tersebut, beliau berkata : “Titik-titik kesepakatan (persamaan) antara Ahli Sunnah dan Syiah itu lebih banyak berbanding titik-titik percanggahan (perbezaan). Tetapi di sana terdapat (segolongan) manusia yang sengaja mencetuskan fitnah (pertembungan) antara kedua-dua belah pihak”.

Beliau menambah : “Kita berjaya membawa mesej ini dalam persidangan kemuncak seperti ini........ apapun kita masih gagal membawa mesej yang disepakati ulama dan kepimpinan ini ke medannya yang sebenar. Jika kita berjaya membawa mesej ini ke negara-negara teluk, Lubnan, Iran, dan timur Arab Saudi, nescaya tidaklah mengalir darah-darah yang kita lihat hari ini...”. Beliau juga mengakui wujudnya perbezaan pendapat antara Ahli Sunnah dan Syiah dalam beberapa masalah seperti nikah mut’ah, memadukan seorang wanita dengan makcik sebelah bapanya, juga sebelah ibunya tetapi perselisihan-perselisihan itu hanya mewakili 5% sahaja.

Kenyatan-kenyataan yang dilemparkan oleh seorang ulama besar seperti beliau perlu diambil kira kerana di sebalik kenyataan itu, beliau banyak membuat kajian, perbincangan, pertukaran ziarah, pertukaran maklumat dan dialog-dialog rasmi atau tidak dengan Syiah. Apapun, di sini bukan saya mahu menekankan perbahasan tentang Syiah, tetapi mahu membuat penegasan bahawa mencintai ahli keluarga Nabi bukan hak milik Syiah semata. Juga bukan sesuatu yang dikesampingkan oleh Ahli Sunnah. Dan mencintai atau memuji ahli keluarga Nabi bukan sebab untuk kita mudah-mudah menghukum atau melemparkan tuduhan yang tidak bertanggungjawab kepada orang lain.

Dengan satu perbandingan yang lebih mudah, jika kita menjumpai seseorang yang sedang solat asar empat rakaat, apakah kerana itu kita menghukum dia sebagai Syiah? Konon-konon hujahnya ialah solat asar empat rakaat adalah amalan Syiah. Asal nampak sahaja seseorang solat asar empat rakaat, dia tuduh Syiah. Bukankah itu kejam? Kejam kerana tuduhan seperti itu dipandu oleh dalil yang jahil, maklumat yang salah, keciciran fakta, pemikiran yang tidak menyeluruh serta kesilapan yang dipandu oleh golongan intelek yang sengaja mahukan ketaasuban pengikut kepadanya.

Mungkin anda mengatakan tidak mungkin hujah seperti ini akan berlaku. Mana ada orang berhujah solat asar empat rakaat itu Syiah! Nas-nas tentang solat asar sangat jelas.

Itu kata anda. Tetapi, orang-orang sebelum kita juga mungkin tak terfikir adanya segolongan manusia yang menggunakan elemen kecintaan kepada keluarga Nabi sebagai neraca untuk mengheret orang lain ke label ‘Syiah’ walaupun nas-nas tentang mencintai keluarga Nabi ada dan jelas? Orang sebelum kita mungkin tidak terlintas, adanya manusia yang mengaku kononnya Ahli Sunnah cuba menimbulkan syak wasangka di kalangan orang awam terhadap isi-isi kitab yang menyebut kebaikan dan kemuliaan ahli keluarga Nabi dengan tuduhan ia adalah di bawah pengaruh Syiah. Ya. Generasi sebelum kita barangkali tidak tergambar kemungkinan kitab Al-Barzanji akan diserang dengan tuduhan ber‘elemen’ Syiah. Inilah sikap penyelewengan yang berselindung di bawah ‘tag’ Ahli Sunnah.

Kita perlulah jelas. Kita cintai ahli keluarga Nabi kerana sikap Nabi yang mencintai mereka. Kita menyebut-nyebut nama keluarga baginda kerana itu sikap baginda. Kerana perintah Nabi untuk mencintai mereka. Kerana teks selawat yang diajarkan oleh Nabi juga meraikan ahli keluarga baginda. Kerana dalam solat kita masih menyebut keluarga baginda. Dan memetik kata Mufti Mesir;- ‘keturunan Nabi ada sampai ke hari ini, dari selatan ke utara, Timur dan Barat, setiap tempat dan masa’.

Mencintai mereka adalah ajaran Ahli Sunnah. Cinta yang bukan membuta tuli, tetapi yang diiringi panduan Al-Quran dan sunnah. Ia adalah adalah juzuk yang tidak terpisah dari persoalan keimanan. Kalaupun ia syiar teragung Syiah, ia mungkin memang begitu. Terpulang kepada mereka. Walau apapun, mencari jalan menghukum orang lain sebagai Syiah hanya berdasarkan permasalahan cinta ahli keluarga Nabi, ia adalah perbuatan yang pasti sia-sia.

Sedikit mencelah keluar cerita. Elemen cintakan keluarga Nabi sebenarnya sangat memberi sumbangan keamanan di Mesir berdasarkan sejarah. Manhaj inilah yang sedang diusahakan oleh Al-Azhar ke peringkat antarabangsa melalui peranannya mewakili Ahli Sunnah. Peranan elemen ini telah terbukti memberi sumbangan besar kepada keamanan di Mesir. Lalu usaha ini sedang giat dilakukan oleh ulama-ulama Al-Azhar mengembangkan nilai positif tersebut ke seluruh dunia Islam. Kunjungan bekas Presiden Iran Mohammed Khatami ke Al-Azhar baru-baru ini yang disambut oleh Sheikhul Azhar, Dr Muhammad Sayyid Tantawi juga menjadi saksi akan kesungguhan Al-Azhar memanfaatkan elemen tersebut untuk mesej keamanan dan kemanusiaan.

Masuk semula ke ruang sembang. Mencintai ahli keluarga Nabi merupakan persamaan antara Ahli Sunnah dan Syiah. Seperti contoh terdahulu, makan nasi adalah persamaan antara lelaki dan perempuan, solat asar empat rakaat adalah elemen yang sama antara dua pihak. Pada masa yang sama, mencintai keluarga Nabi bukan dalil/hujah/alasan/sebab/bukti untuk kita menghukum itu Syiah, ini Syiah, sana Syiah, sini Syiah, mengesyaki ke‘syiah’an seseorang atau melakukan pertuduhan dengan kaitan-kaitan yang belum pasti hitam putihnya.

Juga diingatkan, meskipun seseorang itu memang Syiah, ia bukanlah disebabkan dia mencintai ahli keluarga Nabi. Sejak bila pula ada ulama Ahli Sunnah yang mengatakan, siapa mencintai ahli keluarga Nabi, dia adalah Syiah? Dengan ayat yang lebih jelas, Syiah menjadi Syiah bukan dengan sebab mencintai keluarga Nabi.

Bahkan Mufti Mesir sendiri mengakui elemen kecintaan kepada keluarga Nabi merupakan kesamaan antara Ahli Sunnah dan Syiah yang pernah membentuk persefahaman di kalangan bangsa Mesir suatu ketika dahulu lalu membantu kelangsungan survival politik dan kemanusiaan. Persamaan inilah yang harus dimanfaatkan untuk keamanan dewasa ini pada masa yang sama kita perlu memahami bahawa mencintai ahli keluarga Nabi adalah tuntutan agama dan bukan memestikan seseorang itu dihukum Syiah.


Nota:-

Kenyataan-kenyataan As-Sheikh Ali Jumuah, Mufti Mesir diambil dari majalah At-Tasauf Al-Islami, keluaran bulan April, bilangan 340 - Kaherah.

Sunday, April 22, 2007

Meraikan fitrah lelaki... - katanya

In the name of Allah, Most Gracious, Most Merciful

oleh : ALEXANDARICAIRO

Petang kelmarin menjadi saksi tentang satu perbualan bersama seorang teman. Teman ini menceritakan sedikit kisah di tengah-tengah borak kami berkenaan peperiksaan. Dia menyelitkan kisah ustaznya yang melayan karenah tanya itu ini dari muridnya.

Kisahnya bermula dengan satu tanya sahaja. Kenapa orang lelaki boleh kahwin dua, tiga dan empat, perempuan tak boleh?. Saya dengan pantas mencelah, itu ‘amrun taabbudi’. Jadi bisa difikirkan hikmahnya, bukan mencari sebabnya. Seperti juga solat lima waktu. Usah ditanya kenapa, tetapi hayatilah hikmahnya walaupun masih banyak tak terjangkau.

Teman saya teruskan ceritanya semula. Ustaznya apabila mendengar tanya anak murid, lalu dijawabnya. Kalau seorang lelaki ada empat isteri, kemudian dapat anak, dia tahu hasil dari isteri yang mana. Kalau perempuan ada empat suami, dia dapat anak, dia tak tahu dari suami yang mana satu? Ringkas ustaz itu.

Dalam hati ini, ustaz itu tahu tak, sekarang budak-budak dah tahu peranan ujian DNA tau. Tapi tak mengapalah. Mungkin sengaja dia menjawab begitu dek malas nak menerangkan lebih lanjut kepada mereka yang belum sesuai umurnya untuk tajuk-tajuk tertentu. Teman saya menukar hala soalan yang sama kepada saya dengan andaian kalau saya jadi ustaz itu, apa nak jawab dengan budak umur sekecil itu.

Saya pun kata ada dua barangkali. Dari sudut hikmah, bukan sebab. Pertama, saya tak nak cerita di sini. Rahsia. Kedua, saya boleh kongsi sebab saya dapat dari seorang teman yang lain. Dia kata, lelaki dibenarkan kahwin lebih dari satu. Hikmahnya, agama itu meraikan fitrah manusia. Pertama, fitrah ingin berkahwin. Agama datang menyiapkan garis panduan. Kedua, fitrah bahawa seorang lelaki itu boleh menghimpun banyak cinta dalam satu masa. Fitrah inilah yang diraikan oleh agama tetapi dengan syarat-syarat dan kelayakan tertentu. Maka di situ, adanya kebenaran untuk dua, tiga atau empat. Ia meraikan fitrah, berserta panduan dan adab tertentu yang juga mesti diraikan oleh seorang lelaki.

Tamat.


*gebang: kalau tidak ingin meraikan adabnya, apapun bisa kucar-kacir..

Monday, April 16, 2007

Dicintai Amerika dan Yahudi...

In the name of Allah, Most Gracious, Most Merciful

oleh : ALEXANDARICAIRO

Bukan mudah untuk dicintai Amerika apalagi Yahudi. Lebih-lebih lagi melakukan percintaan yang tidak disedari orang lain. Ia perlukan lakonan yang hebat, penipuan yang terancang, kesepakatan satu pasukan yang nyata bersekongkol pada masa yang sama melaksanakan perilaku taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Yahudi.

Sumbangan mereka menjatuhkan Khilafah Uthmaniah : mereka mempunyai sumbangan besar dalam menjatuhkan Khilafah Turki Uthmaniah. Khalifah dilihat sebagai kekuatan umat Islam. Pertahanan atas nama agama. Puas Yahudi dan Amerika memikirkan untuk menjatuhkan khilafah tersebut. Serangan ideologi, makanan, ekonomi, ketenteraan, psikologi, semuanya sudah. Tetapi, bantuan mereka menjadikan tugas Amerika dan Yahudi mudah. Sangat mudah. Kerana mereka menyerang dari dalam. Mereka menggunakan nama Islam. Sejurus mendapat kuasa, mereka bantu Amerika dan Yahudi menumbangkan khilafah. Penipuan sehebat inilah yang diidamkan oleh Yahudi. Mereka membuat pakatan langsung dengan Amerika dan Yahudi. Senyap-senyap. Sehinggakan orang lain tidak sedar. Natijahnya, mereka dicintai Amerika dan Yahudi.

Sumbangan mereka dalam menyerang Islam : mereka sangat suka menyerang Islam. Itu yang Amerika dan Yahudi suka. Mereka tidak sibuk-sibuk menghukum Bush ke neraka. Mereka tak berkhutbah untuk menghantar Olmert ke neraka. Mereka bukan menyerang orang yang menyembah batu, ukiran atau objek. Tetapi mereka lebih seronok untuk mengagihkan Imam Abu Hasan Al-Asya’riy (juga Asya’irah) ke neraka. Mereka lebih berminat untuk menghantar Imam Abu-Mansur Al-Maturidiy (juga Maturidiah) ke lembah api neraka. Mereka lebih gembira untuk menyebut Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani masuk ke neraka. Mereka lebih rela berpimpin memeluk cium Bush. Mereka lebih berkenan untuk senyum bermanis kata dengan Olmert dan Condoliza Rice. Mereka terlalu bersemangat mengkafirkan Syiah tetapi sangat 'manja' dengan Amerika. Penulisan mereka tidak memberi strategi mengalahkan Amerika. Penulisan mereka berkiblatkan bagaimana untuk mensyirikkan dan mengkafirkan umat Islam. Natijahnya, mereka dicintai Amerika dan Yahudi.

Sumbangan mereka membantu Yahudi : mereka sungguh setia dalam lakonan. Mereka sediakan pangkalan untuk menyerang negara Islam. Mereka beri kerjasama erat dalam memusnahkan negara Islam. Mereka salurkan bahan mentah kepada Amerika dan Yahudi untuk melihat darah warga Palestin terus mengalir ke bumi. Mereka meneruskan lakonan. Memanggil ketua-ketua parti di Palestin untuk berbincang. Kononnya memeterai kesepakatan. Selesai bincang, ditaburnya lagi bekalan untuk Yahudi terus mengebom Palestin. Mereka keberatan yang amat untuk menyekat bekalan itu. Ketika ada cadangan untuk menyekat bekalan kepada Amerika, mereka tentang sungguh-sungguh. Tatkala ada strategi ekonomi baru untuk menyekat pengaruh Amerika dan Yahudi, mereka boikot benar-benar. Mereka menyerang Islam. Dengan menggunakan nama Islam. Natijahnya, mereka dicintai Amerika dan Yahudi.

Sumbangan mereka dalam menurut perintah : mereka tidak buat apa yang Amerika suruh kepada orang lain. Amerika suruh orang lain buat parti-parti ala demokrasi supaya ada pertandingan dalam pilihanraya. Mereka tak buat. Amerika kata tak mengapa. Sebab sumbangan mereka sudah besar dalam menghancurkan Islam. Orang lain yang tak buat demokrasi habis diserang. Mereka dikecualikan. Kerana, kesetiaan menghantar bekalan bahan mentah itu lebih bernilai buat Amerika dan Yahudi. Sejak mereka menguasai pemerintahan, tugas Amerika dan Yahudi sangat mudah. Mengebom Palestin tidak sesusah dahulu. Menjatuhkan Iraq juga senang. Selepas ini entah apa pula rancangan mereka bersama Amerika dan Yahudi. Serang Malaysia? Selama mana negara itu negara umat Islam, mereka akan bekerjasama menghulur bekalan kepada Amerika dan Yahudi. Mereka laksana keluarga adik-beradik yang tidak diketahui jiran sebelah. Padahal pakatan mereka bertiga sangat berpengaruh jahat. Mereka patuhi Amerika. Mereka sayangi Yahudi. Natijahnya, mereka dicintai Amerika dan Yahudi.

Sumbangan mereka mencetuskan kekacauan : mereka sering mencetuskan kekecohan. Dalam mana-mana pertelagahan di tempat orang Islam, mereka selalunya terlibat. Di mana ada pembunuhan, mereka sering di situ. Kalau ada laporan berita perang saudara, mereka mesti ada memberi saham sama. Asal ada perkara khilafiah yang boleh dijadikan medan gaduh, mereka akan canang-canangkan. Pantang ada yang berlainan pandangan dengan mereka, mereka siap untuk bertempur. Kewujudan mereka menyekat kemaraan Islam. Kemunculan mereka menyusahkan segenap penjuru dunia umat Islam. Umat Islam sakit kerana mereka. Ada kerana lainnya. Tetapi mereka besar pengaruhnya dalam merencat umat Islam. Tipu dayanya sungguh halus. Sukar untuk membuktikannya. Sukar juga hendak meyakinkan orang lain. Mereka kaya dalih. Mereka kaya dengan samaran. Natijahnya, mereka dicintai Amerika dan Yahudi.

Mereka sedang dicintai dan mencintai Amerika dan Yahudi. Siapakah yang menyedari pencintaan mereka ini... Percintaan yang menghala ke arah memusnahkan umat Islam... Percintaan mereka adalah terlarang. Akadnya ialah perjanjian bekalan bahan mentah... Pelaminnya ialah negara Islam yang musnah... Maharnya ialah bayaran mewah bekalan mentah.. Bulan madunya di Rumah Putih... Para jemputan ialah sekutu-sekutunya.. Siapakah yang akan menghalang percintaan seperti ini?



Wednesday, April 04, 2007

Untuk Kekasih - DALIL SAHIH atau DALIH-DALIH?

In the name of Allah, Most Gracious, Most Merciful
oleh : alexandaricairo
(sila baca entri sebelum ini terlebih dahulu)
Menjelang Rabiul Awal seperti minggu ini, saya agak selesa untuk berkongsi idea dan pengalaman dengan mereka yang telah membuat pilihan (b). Yalah ada yang bermaulid di negara lain. Mudah, ceria dan berkesan. Penambahan ilmu dan maklumat juga dapat berlangsung dengan keterbukaan nilai dan minda. Pujian kepada Nabi juga dilakukan dengan penuh keinsafan dan semangat terazam.

Tapi ada juga yang masih untuk memilih (a). Mereka serat dengan persoalan dan pertikaian. Tidak mengapalah. Sudah menjadi tabiat manusia untuk bertanya dan selidik. Tanya itu dan ini. Jika berkemampuan, tidak manjadi salah untuk memperjelaskan. Sekurang-kurangnya, dapat memenuhi kepuasan manusia yang mahukan penghargaan positif dari kritikan mereka. Cuma dalam hati saya, alangkah baiknya kalau awal-awal lagi mereka memilih (b). Tetapi, apabila (a) yang dipilih, berat juga untuk saya membuka bicara untuk berkongsi fikiran.

Saya bukanlah ilmuwan untuk menjawab. Juga tidak pandai berhujah, berdebat atau berucap di khalayak. Kefasihan bertutur bukan bakat saya. Tapi cenderung untuk ajak kawan-kawan berkongsi fikir walaupun dari kalangan mereka yang memilih (a). Marilah turut serta.

Saya ingin berkongsi sedikit tentang beberapa perkara yang ditimbulkan oleh mereka yang memilih untuk berfikir cara (a). Antaranya :

Ada yang pernah tertanya-tanya : Mengapa harus ditetapkan di hari tertentu, yakni, pada hari keputeraan Baginda (SAW)? Andaikata sesuatu hari itu hari yang "mulia", tidakkah Baginda (SAW) yang paling utama yang akan mera'ikan hari itu, (sebagai contoh, kedua hari 'Eid, 10 Muharram, 9 DzulHijjah dsb nya) diatas keyakinan yang Islam yang di bawa Baginda (SAW) adalah yang "complete" dan terbaik?

Saya ingin cadangkan satu perkara. Mari kita lihat sebentar perlakuan Rasulullah. Hal ini terakam dalam kitab Al-ajwibah Al-Mardhiah tulisan Al-Imam Al-Hafidz As-Sakhawi ( murid kepada Ibnu Hajar Al-Asqalani ) yang menaqalkan sebuah hadis dalam sahihain :

من أنه صلي الله عليه وسلم دخل المدينة فوجد اليهود يصومون يوم عاشوراء فسألهم فقالوا : هو يوم أغرق الله سبحانه وتعالى فيه فرعون ونجّى موسى عليه السلام فنحن نصوم شكرًا لله عز وجلّ فقال صلى الله عليه وسلم : فأنا أحقُّ بموسى عليه السلام منكم فصامَه وأمر بصيامه

Terjemahan : Baginda sallallahu alaihi wasallam masuk ke Madinah maka mendapati kaum Yahudi berpuasa hari Asyura, maka Nabi bertanya, maka mereka menjawab “Itu adalah hari di mana Allah menenggelamkan Firaun pada hari tersebut, dan menyelamatkan Musa alaihissalam, maka kami berpuasa (tanda) kesyukuran kepada Allah Azza wa jalla”. Maka baginda pun berkata “Berbanding kamu, aku lebih berhak terhadap Nabi Musa alahissalam”. Lalu Nabi berpuasa dan menyuruh berpuasa Asyura.

Dalam mengomentari hadis ini, Al-Imam Al-Hafidz As-Sakhawi mengatakan :-

قال شيخنا : فيستفاد منه فعله الشكر لله تعالى على ما منّ به في يوم معيّن من إسداد نعمة أو دفع نقمة ويعاد ذلك في نظير ذلك اليوم من كل سنة، والشكر لله يحصل بأنواع العبادة ، كالسجود والصيام والتلاوة، وأيُّ نعمةٍ أعظم من النعمة ببروز هذا النبي في ذلك اليوم

Terjemahan: guru kami berkata : dapat diambil pengajaran dari (hadis) ini tentang perlakuan baginda melahirkan kesyukuran atas apa yang (Allah) kurniakan sama ada pengurniaan nikmat atau penolakan bala. Dan itu (keraian Hari Asyura) diulang pada hari yang serupa hari tersebut (10 muharram) pada setiap tahun. Dan kesyukuran kepada Allah boleh berhasil (dilakukan) dengan bermacam ibadah seperti sujud, puasa dan membaca Al-Quran. Lalu nikmat apakah yang lebih besar dari nikmat kemunculan (keputeraan) Nabi ini (Muhammad) pada hari tersebut?

( Al-Ajwibah Al-Mardhiah, jilid 3, 1116-1120 )

Tulisan Al-Imam Al-Hafidz As-Sakhawi ini berkenaan menjawab persoalan yang diajukan kepadanya berhubung masalah menyambut maulid Nabi. Pada kaca mata saya pendekatan beliau sangat tepat dan baik dalam menyelesaikan ketidakfahaman. Beliau menjelaskan, menentukan hari tertentu, untuk sambutan terhadap sesuatu nikmat tertentu merupakan satu contoh yang diambil dari perlakuan Nabi sendiri. Sebab itu dihujung teksnya tadi, beliau menanyakan nikmat apakah yang lebih besar dari nikmat kelahiran Nabi. Dengan kata lain, nikmat kejayaan Nabi Musa diraikan oleh Nabi. Nikmat kelahiran Nabi Muhammad lebih besar. Maka lebih utama untuk diraikan.

Ada juga yang terus tertanya-tanya : Nabi dan salaf sendiri tidak meraikan nikmat kelahiran baginda. Salaf lebih hebat dalam mencintai baginda. Kalau benar kelahiran Nabi itu benar kerana cinta, kenapa Nabi sendiri tidak meraikannya?

Saya teringin juga bertanya, adakah Nabi Musa juga meraikan nikmat kejayaannya sendiri? Adakah Nabi Musa menyuruh pengikutnya meraikan kejayaannya? Kalaulah Nabi Musa tidak meraikan kejayaannya sendiri, apakah sikap Nabi Muhammad meraikan itu dikira sebagai kesalahan untuk dituduh bid’ah? Apakah Nabi Muhammad tidak meraikan nikmat kelahirannya sendiri menunjukkan ia tidak boleh diraikan? Kalau begitu, apakah anda mahu menghukum sama terhadap Nabi Muhammad?

Itu yang petama. Kedua, para Nabi sangat tawadhuk dalam perilaku akhlaknya. Kalau nikmat kejayaan Nabi Musa diraikan oleh Nabi kita, apa salahnya nikmat kelahiran Nabi, kita pula yang raikan?

Ada yang lain tertanya-tanya : “Bukankah Maulid itu satu yang melampau dalam mencintai Nabi? Bukankah ia juga seperti Nasrani atau ahli kitab yang melampau menyambut ulang tahun kelahiran Nabi Isa. Banyak ayat Quran dan hadis memberi amaran kepada ahli kitab kerana sikap mereka melampau dalam agama”.

Saya sebut. Jika benar ini pertanyaan, ia perlukan penjelasan. Jika ia adalah kekaburan, ia perlu diterangkan. Jika ia adalah tuduhan, saya kira ia adalah hukuman dan tuduhan yang sangat berat sebenarnya. Saya pun tidak tahu bagaimana sanggup ia diucapkan dan dirumuskan dengan fikiran. Tak mengapalah. Mungkin mereka mahu tindak balas yang positif.

Begini. Saya berminat berkongi sedikit. Ya. Ayat-ayat Quran dan hadis ada memberi amaran tentang sikap melampau itu. Tetapi, melampu yang bagaimana? Kita lihat ayat dan hadis sahihain ini :-

يَا أهْلَ الكِتَابِ لا تَغْلُوا فِي دِيْنِكُمْ وَلا تَقُولُوا عَلَى اللهِ الكَذِبَ إنَّمَا الْمَسِيْحُ عِيْسَى ابْنُ مَرْيَمَ رَسُولُ اللهِ...

Terjemahan : “wahai ahli kitab, janganlah kamu melampau dalam agama kamu, dan janganlah kamu berkata terhadap Allah kecuali yang benar (sahaja). Hanyasanya Al-Masih Isa bin (anak) Maryam itu adalah pesuruh Allah” – Surah An-Nisa' ayat 145.

لا تطروني كمل أطرت النصارى ابن مريم . إنما أنا عبد فقولوا عبد الله ورسوله

Terjemahan :- “Janganlah memperagungkan aku secara melampau sepertimana Nasrani memperagungkan anak Maryam (Nabi Isa) secara melampau. Hanyasanya aku seorang hamba (kepada tuhan). Maka katakanlah : (Muhammad) hamba Allah dan pesuruhnya” – sahih Bukhari dan Muslim.

Dua ayat bergaris tadi ada qarinah lafziah (petunjuk berdasarkan lafaz) bahawa sikap melampau (ghuluw) yang dinisbahkan kepada ahli kitab juga Nasrani ialah sikap mereka mempertuhankan dan menganaktuhankan Nabi Isa. Itulah melampau dalam agama. Lihat semula ayat yang digariskan tadi. Penegasan itu dibuat kerana menolak sikap melampau yang menganggap Nabi Isa tuhan atau anak tuhan. Itulah ghuluw (melampau)

Meraikan nikmat kelahiran Nabi Muhammad bukan melampau batas dalam agama. Nabi Muhammad sendiri meraikan nikmat kejayaan Nabi Musa. Nasrani melampau kerana mempertuhankan Nabi Isa. Mereka juga menganggap Nabi Isa anak tuhan, triniti dan Maryam isteri tuhan. Itu memang melampau. Penegasan Nabi Muhammad dengan sabdanya “katakanlah : hamba Allah dan pesuruhnya” dan ayat Al-Quran “Hanyasanya Al-Masih Isa anak Maryam itu adalah pesuruh Allah” menunjukkan maksud melampau ialah mempertuhankan Nabi Isa. Sambungan ayat selanjutnya dalam Surah Maidah itu juga penegasan kepada keesaan Allah untuk mengingkari sikap melampau yang menganggap Nabi Isa itu tuhan.

Meraikan nikmat kelahiran lain, mempertuhankan sesuatu bab lain. Ia dua perkara berbeza. Meraikan nikmat kejayaan Nabi Musa bukan mempertuhankan Nabi Musa. Membuat Maulid juga bukan mempertuhankan Nabi Muhammad. Sejak bila pula ada Maulid Nabi yang mengajak kita menyembah Nabi Muhammad!

Jadi saya tidak lihat di manakah munasabahnya menyamakan orang bermaulid dengan Nasrani yang melampau mempertuhankan Nabi Isa. Saya juga pelik kenapa tidak menerima contoh perlakuan Nabi Muhammad meraikan nikmat kejayaan Nabi Musa untuk menyamakannya dengan Maulid Nabi. Seolah-olah ada diskrimnasi terhadap sebahagian dalil. Nikmat kejayaan Nabi Musa pada hari tertentu, Asyura, Maulid juga hari tertentu. Nabi Muhammad raikan dengan amalan ibadah puasa, umatnya raikan Rabiul Awal dengan ibadah tilawah, beri makan, ceramah, pujian dan berarak untuk menghayati jemaah. Semuanya berpayung dengan dalil-dalil syarak. Kenapa terus untuk dipersalahkan? Itulah yang saya tertanya-tanya. Apakah mereka masih tetap untuk memilih pendekatan berfikir (a)?

Ada yang tertanya-tanya lagi : Sesuatu perayaan yang besifat mengenang tarikh adalah budaya yang diterbitkan oleh barat. Barat mencipta hari-hari untuk dikenang supaya hari-hari lain kita melupainya. Barat mencipta sambutan hari lahir supaya kita melupai hari mati, barat mencipta sambutan hari ibu supaya supaya hari lain bukan untuk ibu. Bukankah ini sikap barat yang suka-suka beragama?

Saya lontarkan semula persoalan ini kepada yang bertanya. Benarkah barat yang mengajarkan kita mengingat tarikh tertentu? Benarkah begitu. Atau ia adalah satu kebetulan dengan apa yang diterapkan oleh Islam? Kalau Barat mengajar kebersihan bolehkah kita dituduh tiru Barat hanya kerana mengajar kebersihan?

Baik. Saya ada beberapa pertanyaan untuk anda fikirkan. Kalau sesiapa ada sahih Bukhari dan Muslim sekarang boleh buka. Siapakah yang mengajar puasa Asyura? Bukankah Nabi sendiri yang berpuasa untuk mengenang tarikh kejayaan Nabi Musa? Siapakah yang mengajar kita untuk mengingati sesuatu tarikh? Siapakah yang mengajar untuk puasa Isnin dan Khamis? Ia tarikh berbentuk hari. Siapakah yang mengajar untuk puasa enam Syawal? Bukankah Syawal itu tarikh? Tarikh berbentuk bulan.

Siapakah yang mengajar puasa Hari Arafah? Siapakah yang mengajar untuk berpuasa tiga hari setiap bulan? Siapakah yang mengajar kita untuk menumpukan 10 malam terakhir Ramadhan untuk gandaan ibadah? 21-30 Ramadhan itukan tarikh? Siapakah yang mengajar untuk iktikaf di masjid 10 terakhir Ramadhan? Siapakah yang melarang berpuasa Hari Raya Aidil Fitri dan Adha? Siapa yang menggalakkan kita berpuasa seperti puasa Nabi Daud?

Siapakah yang mengingatkan kita hari Jumaat dengan menyatakan fadhilat-fadhilatnya suapaya diambil perhatian? Siapakah yang mengajar untuk mengingati tarikh tertentu?

Benarkah Rasulullah tidak megingati tarikh lahirnya sendiri? Saya ingin sebut seperkara bahawa Rasulullah telah diaqiqahkan oleh Abu Jahal dan Abdul Muttalib tetapi baginda mengulangi aqiqah tersebut ada hari ulang tahun kelahirannya.

أنه عق عن نفسه في يوم مولده
Terjemahan : "Bahawa baginda melakukan aqiqah untuk dirinya pada hari (ulang tahun) lahirnya" – hadis riwayat At-Tabarani, Al-Baihaqi dan Al-Haitami dalam majma’ az-zawaid
Apabila ditanya tentang puasa hari Isnin baginda bersabda :-

هذا يوم ولدت فيه ويوم بعثت فيه
Terjemahan : "Ia adalah hari aku dilahirkan, dan hari aku diutuskan" – hadis riwayat Muslim, An-Nasaie dan Imam Ahmad
Kalau benar barat mencipta hari lahir untuk melupai hari mati, adakah benar Maulid Nabi berisi perkara yang melalaikan orang dari mengingati Nabi, atau mengajak orang mengejar dunia serta lupakan sahaja sunah Nabi? Terpulang kepada anda. Berfikir cara (a) atau (b).

Ada yang tanya lagi : Amalan dalam maulid ni penuh dengan puja pada kata-kata, bukannya puja melalui amalannya atau perlakuannya. Ini semua kan omong kosong yang dibuat setiap tahun apabila datangnya sambutan maulidul rasul? Sambutan Maulid sekarang hanya memperlihatkan kepura-puraan pihak tertentu. Yang tidak dianjurkan nabi di besar2kan seolah merekalah pengikut setia nabi. Bukankah ini serupa amalan munafiq?

Saya teruskan berkongsi. Dari mana pula anda tahu dia berpura-pura? Dari mana sumbernya untuk menghukum apa yang ada dalam hati manusia sehingga membenarkan kita menghukum secara zahir? Kalau benar ada yang begitu, apakah kita boleh untuk menghukumnya sebagai berpura-pura atau munafiq?

Apakah sifat Munafiq membesar-besarkan apa yang tidak dibuat oleh Nabi? Atau sifat Munafiq ialah buat apa yang Nabi buat, buat sunnah Nabi, selepas itu berteriak ke sana sini mengumumkan sepertimana golongan Munafiq yang membina Masjid Dhirar? Munafiq seperti mereka buat juga sunnah (bina masjid) tapi untuk pecah-belahkan masyarakat.

Lihat ayat 107-110 Surah At-Taubah. Siapa ada mushaf sila buka sekarang. Munafiq seramai dua belas orang diketuai Abu Amir Ar-rahib bina masjid. Sekali imbas ikut sunnah sebagaimana pembinaan Masjid Quba’. Padahal ia hanyalah lakonan mengikuti sunnah.

Jadi bagaimana pula sifat munafiq itu hendak dicopkan sesuka hati kepada mereka yang membuat Maulid Nabi. Orang yang membuat sunnah sendiri ada yang munafiq. Jadi, janganlah semudah itu melemparkan tuduhan munafiq, pura-pura atau apa sahaja kepada orang yang menyambut Maulid Nabi. Itu adalah tuduhan yang berat. Bukankah munafiq itu ahli neraka?

Dalam Surah An-Nisa’ ayat 145 Allah berfirman :

إنَّ الْمُنَافِقِيْنَ فِي الدَّرْكِ الأسْفَلِ مِنَ النَّارِ وَلَنْ تَجِدَ لَهُمْ نَصِيْرًا

Terjemahan : “Sesungguhnya orang Munafiq itu tempatnya dalam neraka yang paling dalam, dan kamu tidak mendapati (sesiapapun menjadi) penolong untuk mereka”

Kalau anda semudah-mudah menuduh munafiq, bukankah itu sesuka hati menghukum orang lain sebagai masuk neraka?

Ada yang kirim-kirim tanya : Adakah umat Islam perlu berselera dalam beragama seperti selera makan, kalau ada selera makan, kalau tak selera tak yah makan? Adakah beragama pun macam tu? Apa yang menepati selera diambil dan yang tak menepati selera di buang? Kalau dikaji dengan teliti, sambutan perayaan maulidurrasul ini tidak dibuat pada zaman Nabi SAW zaman sahabatnya, tabiin bahkan zaman Imam Syafie pun tak dibuat. Bukankah kita patut berselera untuk mengikut Sunnah Nabi SAW, para sahabatnya dan Imam Syafie dengan tidak menyambut perayaan bid'ah ini?

Saya suka mengulang. Hal maulid bukan masalah ikut selera atau nafsu. Ia adalah kesederhanaan ulama dan kesarjanaan mereka mengeluarkan sesuatu hukum tentang sesuatu perkara setelah melihat keseluruhan dalil secara cermat dan berkaedah. Lihat dalil di awal entri. Mereka bukan mengikut sesuka hati. Bukan juga memandai-mandai dalam urusan agama.

Oleh kerana selera mereka berdasarkan sunnah Nabi lah maka terbentuknya hukum harus berkenaan sambutan maulid. Tetapi bukan juga bermakna Imam Syafie dan dan salaf lain tidak berselera. Cuma sambutan itu tidak diadakan pada waktu mereka maka anda tidak dapat mengambil pandangan mereka tentang hal itu. Bagaimana hukum hendak dikeluarkan sedangkan perkara itu belum ada. Saya bawa satu contoh. Saidina Uthman ketika kekhalifahannya adalah orang yang membuat azan kedua untuk solat Jumaat. Apakah mungkin Saidina Abu Bakar yang telah meninggal dunia turut sama memberi pandangan?

Salaf seperti Imam Syafie tidak membuat maulid bukan disebabkan menyalahkan atau membenci sambutan maulid. Abu Bakar juga tidak membuat azan kedua solat Jumaat bukan kerana membenci azan kedua yang dibuat oleh Saidina Uthman. Keadaan dan masa tidak menyaksikan mereka di situ ketika sesuatu perbuatan itu dibuat.

Ada yang curi-curi tanya : Buat apa puji lebih-lebihan dalam burdah marhaban, qasidah dan madih. Itukan melampau. Isinya pun entah mana tiada sumbernya.

Kawan-kawan yang budiman. Hasan bin Thabit adalah seorang sahabat baginda. Peranannya dalam perjuangan Nabi sangat baik. Kehebatannya adalah dalam sastera syair yang cukup masyhur di kalangan masyarakat arab pada masa itu. Ketika Nabi diejek dan dihina musuh, beliaulah akan tampil dengan kehandalannya dalam syair untuk mengungkap kata-kata indah sebagai mempertahannya kewibawaan Nabi sekaligus memuji akhlak dan sirah perjalanan perjuangan baginda.

Sungguh besar jasa beliau dalam Islam. Syairnya menjadi teks pengajian di beberapa universiti di dunia sebagai kajian dan penghayatan. Beliau memuji Nabi dalam syairnya. Di hadapan Nabi untuk Nabi demi mempertahankan Nabi.

Apakah kita tidak boleh melihat bahawa seni syair merupakan alat untuk sampai kepada tujuan iaitu puji Nabi. Apakah kita masih kabur memandang bahawa ulama-ulama dari segenap penjuru dunia dengan berbagai latar belakang dan bangsa tentunya mempunyai kemahiran tertentu dalam sastera bangsa mereka. India, Parsi dan Melayu. Semuanya ingin memuji dengan kaedah sastera mereka. Atas kemahiran itulah lahirnya pujian kepada Nabi dalam burdah, marhaban, syair, pidato, ceramah, qasidah dan madih.

Kalau anda mendengar ada orang berkata isi dalamnya adalah dusta, mengapakah anda tidak mahu mencari orang lain sebagai sumber? Orang yang tidak tahu selalu memusuhi kejahilannya. Contoh. Anda bertanya kepada A, dia kata tidak ada. Anda bertanya kepada B, dia kata sebenarnya ada, sumbernya sahih begini begitu dan seterusnya. Apakah pertimbangan yang anda buat ketika berhadapan dua pendapat bertentangan seperti itu? Apakah masih ingin mengikut cakap A?

Ada yang menguji tanya : Kalau dah tahu hal maulid ini khilafiah, ada yang kata boleh, ada yang kata tidak boleh, kenapa tidak kita tinggalkan sahaja? Bukankah keluar dari khilaf itu mustahab (disukai)?

Saya suka sebut. Jika tidak dalil dan kalam ulama yang jelas tentang keharusan Maulid, kami juga tidaklah mahu mempertahankan sebegini rupa. Penat. Masalahnya sekarang ialah dalil jelas, kalam ulama thabit, pemahamannya adalah istinbat dari Al-Quran dan sunnah dengan kefahaman yang menyeluruh. Kemudian pendirian ini pula mahu dituduh dengan tuduhan-tuduhan yang berat seperti sesat, Nasrani, neraka, kafir dan munafiq.

Bagaimana mungkin hendak dibiarkan perilaku yang membid'ahkan ulama-ulama silam. Malah ada yang ke peringkat mengkafirkan. Inilah masalahnya.

Ada lagi yang nak tanya : Kenapa kita tidak mahu berpegang kepada syiar, "Setiap kali sunnah dihidupkan, matilah satu bida'ah. Dan setiap kali satu bida'ah dihidupkan, matilah satu Sunnah." ?

Saya katakan. Kata-kata siapakah itu? Kata Nabi? Kata sahabat? Salaf? Bukankah anda sendiri yang mengatakan "semua kata-kata diambil dan ditolak kecuali kata-kata Nabi". Anda yang sering berkata begitu. Jadi, bagi saya syiar anda itu sangat tidak menepati realiti dan dalil syarak. Ia sangat berlawanan dan tidak praktikal. Kaedahnya juga amat diragukan.

Kita melihat keseluruhan sikap salaf. Saidina Abu Bakar pada mulanya keberatan untuk mengumpulkan Al-Quran dengan alasan Nabi tak pernah buat padahal cadangan tersebut datang dari Saidina Umar. Setelah berfikir sejenak, Saidina Abu Bakar akhirnya bersetuju. Beliau tidaklah menuduh Saidina Umar sebagai ahli bid'ah atau neraka walaupun cadangannya itu tidak pernah dilakukan Nabi. Kita turut menghayati sikap para sahabat ketika Saidina Uthman membuat azan kedua dalam solat Jumaat sedangkan Nabi tak pernah buat. Para sahabat berlapang dada. Dalam pada itu, bid'ah hasanah ini tidaklah menyebabkan azan pertama dibuang. Sebab itu saya katakan syiar tersebut tidak kena realiti dan dalilnya.

Kita menghayati tambahan kalimah "wahdahu la syarikalah" yang dilakukan oleh Abdullah bin Umar dalam tasyahhud sepertimana yang disebut dalam hadis riwayat Imam Abu Daud. Tapi tidaklah ia menyebabkab lafaz tasyahhud dibuang. Kita melihat bagaimana Umar menghimpunkan beberapa jemaah yang berpisah untuk disatukan kepada satu Imam sahaja dalam solat Terawih seraya berkata "alangkah baik indahnya bid'ah ini". Hadis riwayat Imam Ahmad menjadi saksi bahawa Ubai bin Ka'ab imamnya.

Kita melihat keterbukaan sikap salaf keseluruhannya. Kita juga tidak pernah menjumpai sikap suka membid'ahkan orang lain. Para salaf berlapang dada dengan bid'ah hasanah selama ia berdalilkan syarak. Maksud saya dalil yang telus dalam ketepatan. Kita juga menjadi ragu apakah mereka yang mengakui ikut salaf itu benar-benar memahami atau dipengaruhi sesuatu pihak. Inilah yang memerlukan kita menilai semula. Atas sebab itulah saya cenderung memilih (b). Juga menggalakkan anda. Kalau anda cuba bertukar untuk berfikir cara (b), saya optimis anda akan menemui apa yang sewajarnya. Selamat mencuba dan menghayati.

Cadangan

Pemandu kereta adalah seorang pemandu. Dia cekap dan hebat. Tetapi jika anda sebagai penumpang, anda tidak sepatutnya menyuruh dia memandu kapal terbang. Benar dia seorang pemandu yang hebat. Tetapi bukan kemahirannya sehingga boleh memandu kapal terbang. Kapal terbang lebih rumit berbanding kereta. Kalau anda mendesaknya juga kerana terlalu taasub dengan pemandu kereta itu, anda sebagai penumpang berkemungkinan akan terbabas atau mengalami kemalangan jiwa. Serahkan tugas kepadanya sekadar kemampuannya barulah perjalanan selamat.

Seorang yang mengajar hadis adalah tahu hadis. Dia menghafal beberapa hadis Rasulullah. Tetapi anda sebagai anak murid tidak sepatutnya meminta dia mengomentari apa jua hadis. Lebih-lebih lagi mengangkatnya sebagai mufti. Benar, dia mengajar anda hadis, ada hafal sebahagiannya. Tetapi bukan kemahirannya untuk mengomentari kesemua hadis atau membuat analisis semua hadis. Kalau anda bersikap terlalu meminatinya, ini membentuk keadaan memaksa untuk dia mula melakukan perkara yang bukan dalam lingkungan kemampuan kemahirannya. Dia akan melayan permintaan anda. Tapi awas. Hasilnya, hadis didhaifkan sesuka hati, didiskriminasikan mengikut suasana dan dipilih-pilih yang mana melayani selera. Anda sebagai pengikut akan mengalami kemalangan. Bukan kemalangan kapal terbang, tetapi jiwa, kefahaman dan maklumat. Inilah yang mendukacitakan.

Carilah pemandu kapal terbang yang cekap dan berpengalaman untuk ke destinasi anda. Serahkan mereka kepada tugas yang setaraf kemampuan mereka demi keselamatan anda. Mudah-mudahan selamat di dunia dan akhirat.

*ngapain sih entrinya panjang sekali, repot banget nih...