oleh : ALEXANDARICAIRO
Fitnah adalah fitnah. Dalam ruang lingkup hidup manusia, fitnah adalah satu realiti yang berkarya setiap masa. Dalam jahatnya, ada seninya. Dalam rosaknya, ada rupa bentuknya. Dalam kelirunya, ramai yang terpedaya.
Sejarah telah mencatat betapa giurnya fitnah mendampingi kronologi kehidupan setiap insan, generasi malah ketamadunan sesuatu bangsa. Namun fitnah itu sangat hebat. Masakan tidak, walaupun sesuatu itu sudah diketahui umum bahawa ia adalah fitnah, masih ramai juga yang hanyut terpedaya. Hebatnya fitnah kerana menghumban sesiapa sahaja bergelumang ke dalam kotorannya. Tidak kira tahu atau tidak, mengaji atau mengkaji, semuanya tetap berpotensi terhumban sama.
Jikalau tidak hebat, bukan fitnah namanya. Kalaupun kita hendak menyebutnya sebagai fitnah, mungkin fitnah ‘low class’ bolehlah digelar begitu. Tapi, apabila fitnah itu adalah sebenar-benar fitnah, ia pasti hebat. Memukau sesiapa sahaja. Mempengaruhi tak kira siapa. Sama ada berpelajaran atau tidak, berijazah atau tidak, berpengetahuan agama atau tidak walaupun memiliki PhD mahupun pangkat yang lebih tinggi seperti mufti. Kerana yang menuntun manusia menangani fitnah itu hanyalah hidayah Allah.
Fitnah wanita
Bagi umat manusia, wanita itu merupakan fitnah. Ia bukan bermaksud wanita itu pembuat fitnah atau fitnah itu semestinya wanita. Bukan. Tetapi, ia memberi pengertian bahawa wanita itu sendiri adalah ujian yang sangat besar dalam kehidupan manusia. Sejak zaman Nabi Adam lagi sudah diketahui betapa wanita itu hebat dengan fitnahnya. Kisah- kisah dalam Al-Quran merakam sejarah menyokong betapa wanita itu besar fitnahnya. Riwayat sejarah dan realiti kehidupan dewasa ini menyaksikan kebenaran fitnah pada wanita. Melihat besarnya ujian yang ada pada wanita, begitulah hebatnya fitnah.
Kerana wanita, manusia sanggup melakukan apa sahaja, turutkan sebarang selera. Berapa banyak batasan syariat dicemari kerana wanita. Itulah fitnah. Hebat. Manusia telah mengetahui wanita itu fitnah tetapi apabila berhadapan dengan fitnah, mereka pasti akan keliru dan tersungkur. Oleh kerana fitnah itu hebat, lihatlah betapa ramai orang yang tahu wanita itu fitnah namun turut terpedaya. Orang yang tidak tahu, terpedaya. Orang yang sudah tahu pun terpedaya. Orang tidak berpelajaran tewas dek wanita, orang berpelajaran mencari untung dengan sebab wanita. Orang tidak berpengetahuan agama tertipu dengan fitnah wanita, tidak kurang pula yang belajar agama terlibat sama. Fitnah wanita itu hebat dan luar biasa hebatnya. Fitnah itu sudah tentu hebat. Barulah namanya fitnah.
Fitnah harta dan anak-anak
Al-Quran menegaskan bahawa harta dan anak-anak itu adalah fitnah. Harta dan anak adalah ujian yang sangat besar dalam menempuh cabaran hidup menghambakan diri kepada Allah. Kerana harta manusia sering lalai mentaati Allah. Kerana sayangkan anak, diturutkan sahaja kemahuan dan selera menerima rasuah demi memberi makan kepada anak. Manusia maklum bahawa harta dan anak adalah fitnah. Al-Quran awal-awal lagi sudah memberitahu. Tapi itulah hebatnya fitnah. Pengetahuan semata tidak mampu menanganinya.
Berapa ramai golongan pemimpin dan cerdik pandai yang gagal menangani fitnah harta. Betapa ramai cendekiawan dan ‘PhD’ yang tewas dengan fitnah anak-anak. Fitnah harta dan anak telah membuahkan jenayah kolar putih yang meningkat. Fitnah ini juga berhubung kait dengan perilaku rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah dam macam-macam lagi. Itulah hebatnya fitnah. Walaupun sudah diketahui, ia tetap memperdaya manusia dan menghanyutkan tanpa mengira siswazah atau tidak, berpelajaran agama atau tidak serta berpendidikan atau tidak. Fitnah itu sudah tentu hebat.
Fitnah dalam dunia Islam hari ini.
Dunia Islam tidak tercicir dari diserang oleh fitnah. Fitnah adalah ujian buat hambaNya. Di sinilah betapa Allah memperlihatkan kuasanya memilih sesiapa yang Dia kehendaki untuk mendapat pimpinan hidayahnya. Hanya dengan hidayah Allah, manusia terselamat dari fitnah tersebut. Tanpa hidayah, walaupun mahir dengan ilmu, pandai berbahasa, pintar bermain kata atau berbekal sedozen ijazah, dia akan hanyut membela sungguh-sungguh fitnah itu.
Fitnah itu mestilah hebat. Lebih-lebih lagi fitnah dalam dunia Islam. Mestilah yang hebat-hebat belaka. Setakat kontroversi yang lahir dari ketua editor majalah berkala yang bahasa pengantarnya sahaja tidaklah seluas mana golongan sasarannya, itu hanyalah fitnah ‘low class’. Fitnah dalam dunia Islam itu mestilah lebih luar biasa hebatnya. Rangkaiannya tentu ingin memangsakan seluruh umat Islam, semua negara umat Islam khususnya sehingga ramai manusia menjadi keliru dan terpedaya. Sebab itu sehingga kini, hampir di semua negara Islam fitnah ini sedang berlangsung.
Lebih mengejutkan ialah di sebuah negara umat Islam, fitnah ini dijadikan rancangan bersiri televisyen khas untuk membela kesinambungannya. Aduhai finah, kau memang hebat!!
Fitnah dalam dunia Islam telah pun berlaku dan sedang berlaku. Ia sangat licik. Sungguh banyak manusia yang hanyut bertungkus-lumus membela fitnah itu. Sebahagian mereka mengetahui ia memang fitnah, sekelompok yang lain pula diperguna orang lain memenuhi nafsu fitnah tersebut. Ramai manusia hilang pertimbangan.
Yang bijak berpidato terus membela, yang tahu menaip terus menyebar, yang berijazah terus menyambar jawatan dan yang mahir internet terus meng‘update’. Itulah luar biasa hebatnya fitnah. Yang tahu, terpedaya dan terus-terusan memperdaya yang tidak tahu.
Hebat fitnah ini. Kenapa tidak? Fitnah yang hebat pasti memiliki pengikut yang setia dengan kebatilan atau hanyut dengan kekeliruan. Sebab itu fitnah ini memiliki khazanah penulisan yang banyak, sebanyak itu juga cara mengelirukan orang. Berjilid-jilid, bertimbun-timbun lalu pengikut setianya mencanang sejauh mampu mereka. Diberi nama yang baik-baik. ‘Fatwa agung’, ‘Bekalan hari kembali’, ‘Rawatan kenabian’ atau apa sahaja dan berakhir dengan karya-karya yang menuduh ulama-ulama Islam terdahulu salah akidahnya. Sebab itu kitab Fathul Bari tulisan Al-Imam Ibnu Hajar juga menjadi mangsa tuduhan salah akidah malah banyak lagi. Semuanya disadur dengan dakyah yang tidak akan dapat dikesan kebatilannya jika tanpa pimpinan hidayah Allah.
Hebatnya fitnah
Fitnah ini membutakan hati manusia walaupun matanya masih mampu membaca dan melihat. Fitnah ini bukan sahaja membuat fitnah di tengah-tengah umat Islam, malah telah berani memfitnah Allah. Bayangkan. Umat Islam sejak Nabi Adam sehinggalah Nabi Muhammad merangkumi salaf mahupun khalaf semuanya sepakat tentang kewujudan Allah itu tanpa bertempat. Hal ini sangat-sangat-sangat dan sangat disepakati oleh Islam dan tidak ada langsung percanggahan sejak zaman salaf lagi. Semua dalil dan perbahasan telah selesai dan jelas akan kesepakatan tersebut malah menyalahinya boleh membatalkan akidah dan syahadah.
Tetapi mengapa pada kurun ke-7 hijrah fitnah seperti ini sanggup memfitnah tuhan dengan menuduh Allah itu berada di arasy/langit? Di kurun inilah pertama kali Allah difitnah sebegitu rupa buruknya! Bukankah tuduhan ini sangat berat dan membatalkan akidah? Mengapakah pada kurun ke-11 fitnah ini dihidupkan kembali? Lihatlah betapa ramai terpedaya keliru. Tidak kira berpelajaran atau tidak, bangsa arab ataupun lainnya. Ketaksuban dan tertipu dek fitnah ini menjadikan pengikut-pengikut terus membela dengan pelbagai cara.
Itulah luar biasa hebatnya fitnah. Yang tahu terpedaya, yang berpelajaran turut menanam saham yang sama. Yang belum habis mengaji sibuk nak jadi pencacai membela. Bila ada yang sudi menasihati, ditempelaknya pula. Aduhai fitnah!!
Walaubagaimanapun, ulama-ulama Islam tidak pernah kecewa menangani masalah seperti ini. Kerana fitnah inilah ujian untuk para pendakwah untuk terus menentang kebatilan. Syabas dan teruskan usaha. Memang betul, fitnah seperti ini mengganggu urusan dakwah dan ramai manusia yang terpedaya. Memang menanganinya adalah tugas yang berat, tetapi Islam harus dibela dan umat Islam harus diselamatkan dari fitnah ini. Manusia sering terkeliru dengan kulit tanpa selesai menggeledah isi. Benarlah. Luar biasanya kuasa fitnah...
“Ya Allah, selamatkan aku dari fitnah ini dengan pimpinan hidayahMu jua”