Sunday, January 21, 2007

SUAM ‘BENAR’NYA, TERSELIT ‘TIPU’NYA

oleh : ALEXANDARICAIRO


( pertama : tertarik dengan entri ‘benar yang tipu’ www.3ain.blogdrive.com )
( kedua : sekadar mengulang, juga memanfaat yang terbaik )

Tipu isinya

Suatu ketika dahulu, dalam nada semangat yang entah kenapa, ada sahaja orang munafik datang kepada Rasulullah dan berkata...: "Ya Rasulullah! Kami BERSAKSI bahawa engkau adalah benar-benar seorang utusan Allah!"

Kalau dah terdesak, ada sahaja yang sanggup berbohong dengan menggunakan lafaz yang baik dari sudur lahiriah. Suam benarnya, terselit tipunya. Allah menempelak golongan munafik dengan firmannya, Surah Munafiqun ayat 1 :

إذَا جَاءَكَ المُنَافِقُونَ قَالُوا نَشْهَدُ إنَّكَ لَرَسُولُ اللهِ وَاللهُ يَعْلَمُ إنَّكَ لَرَسُولُهُ وَاللهُ يَشْهَدُ إنَّ المُنَافِقِيْنَ لَكَاذِبُوْنَ
Maksudnya: ‘Apabila datang orang-orang munafik kepada kamu (Muhammad) dan mereka berkata : "Kami bersaksi bahawa engkau adalah utusan Allah", dan (sedangkan) Allah mengetahui bahawa engkau adalah utusanNya dan Allah bersaksi bahawa orang-orang munafik itu sangat menipu (dalam persaksian mereka)’

Penipuan munafik terbongkar apabila mereka beria-ia menggunakan kalimah BERSAKSI kononnya bertujuan untuk menegaskan isi keimanan hati mereka. Slogan mereka hebat. Secara zahir, dah dikira muslim dah. Padahal penyaksian mereka hanyalah dusta walau sesungguh mana ayat dan lafaz slogannya.

Tipu luarannya

Ada juga yang hebat PENAMPILANnya. Ala-ala ‘macho’ atau apa sahaja. Bagi mereka semuanya halal selagi dakyah mereka dapat berjalan terus. Hebat juga PIDATOnya. Lancar, fasih dan menawan. Suam benarnya, terselit tipunya. Firman Allah dalam Surah Munafiqun ayat 4:

وَإذَا رَأَيْتَهُمْ تُعْجِبُكَ أجْسَامُهُمْ وَإنْ يَقُولُوْا تَََسْمَعْ لِقَولِهِمْ كَأنَّهُمْ خُشُبٌ مُسَنَّدَةٌ...
Maksudnya : ‘Dan apabila engkau melihat mereka (orang munafik) nescaya engkau akan terpesona dengan jasad mereka (kerana keelokan) dan apabila mereka berkata, engkau akan mendengar kata mereka (kerana kafasihan). Mereka itu seperti kayu yang tersandar...’


Sekadar mengambil iktibar dan berfikir...

No comments: