Friday, January 26, 2007

PRIORITI/KEUTAMAAN DALAM ILMU

oleh : ALEXANDARICAIRO

Firman Allah dalam Surah Muhammad ayat 19 :-

فَاعْلَمْ أنّهُ لا ألَهَ إلا اللهُ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنْبِكَ ولِلْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ

Maksudnya : Maka ketahuilah bahawa sesungguhnya tiada tuhan kecuali Allah, dan mohonlah ampun (kepada Allah) terhadap dosa kamu, mukmin lelaki dan wanita.
----------------------------------------------------------------

Ayat di atas menunjukkan kepada kita dua perkara dalam urusan agama sambil susunannya memberi makna PRIORITI/KEUTAMAAN dalam mengurus agama dalam diri. Keutamaan tersebut merujuk kepada keutamaan mendahulukan kefaqihan terhadap ilmu tauhid didikuti ilmu furu’ (cabangan).

فَاعْلَمْ أنّهُ لا ألَهَ إلا اللهُ

Merujuk kepada keutamaan mendahulukan ilmu tauhid

وَاسْتَغْفِرْ لِذَنْبِكَ ولِلْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ

Merujuk kepada ilmu furu’

HADIS

Keutamaan dalam mempelajari ilmu tauhid dan mendahulukannya berbanding ilmu agama yang lain juga disebut oleh Rasulullah.

Dari Abu Hurairah beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah ditanya apakah amalan yang paling afdhal (utama)? Maka Rasulullah menjawab : “Beriman kepada Allah dan Rasulnya”.
(diriwayatkan oleh Imam Bukhari, kitab Iman)

Dalam hadis lain, Ibnu Majah telah meriwayatkan :

عن جندب بن عبدالله قال : كنا مع النبي صلى الله عليه وسلم ونحن فتيان حزاورة فتعلمنا الإمان قبل أن نتعلم القرءان ثم تعلمنا القرءان فازددنا به إيمانا

Maksudnya : “Kami pernah bersama Rasulullah dan ketika itu kami masih muda maka kami mempelajari Iman sebelum kami mempelajari Al-Quran. Kemudian kami mempelajari Al-Quran dan iman kami bertambah”.
(Al-Hafiz Al-Busairi berkata : hadis ini sahih, perawinya thiqah)

SIKAP ULAMA

Imam Syafie pernah menyebut :

أحْكمْنَا ذَاكَ قبْل هذا – أى أتقنَّا عِلم التَوحيدِ قَبْل فروع الفِقه

Maksudnya : ‘Kami telah mengukuhkan itu (ilmu tauhid) sebelum mempelajari ini (ilmu fikah). – disebut oleh Ibnu Asakir dalam Tabyin kazbil Muftari muka surat 342, disebut oleh Imam Al-Baihaqi dalam Manaqib Imam Syafie.

Imam Abu Hanifah dalam kitabnya Al-fikh Al-Absat :

اعْلَم أنّ الفِقْه في الدين أفضَل مِنَ الفِقه في الأحْكام

Maksudnya : ketahuilah kefahaman terhadap agama (iman dan tauhid) lebih utama (didahulukan) daripada kefahaman terhadap hukum hakam.

Kalam Imam Abu Hanifah bukan menafikan kepentingan ilmu hukum hakam kerana jelas Imam Abu Hanifah sendiri seorang yang sangat alim tentang hukum-hukum fikah. Kata-katanya merujuk kepada keutamaan dalam menuntut ilmu, mendahulukan sesuatu menurut prioriti dalam urusan ilmu agama.

Al-Imam Abul Hasan Al-Asy’ari berkata : “Perkara utama yang wajib kepada seorang hamba ialah mengenal Allah, Rasul dan agamanya”.

Imam Al-Ghazali menyebut :

لا تَصِحّ العِبَادَةُ إلا بَعد معرفِة المَعْبُودِ

Maksudnya : “Tidak sah sesuatu ibadah (merujuk ilmu fikah) kecuali setelah mengenal tuhan sembahannya (menyentuh ilmu tauhid)


* pentingkanlah perkara yang lebih penting daripada yang penting kerana perkara yang lebih penting itu lebih penting daripada perkara yang penting.
** ....................................................

No comments: