Saturday, February 03, 2007

ALEXANDARICAIRO BERCERITA

OLEH : ALEXANDARICAIRO

Mungkin anda juga pernah ditanya dengan soalan seperti di bawah ini, atau mungkin juga andai pernah bertanya pada diri anda sendiri, atau mungkin saja anda tak pernah terfikir soalan ini tetapi dengan membaca artikel ini menyebabkan anda tertanya-tanya…

Syubhah 1 :

Jika Allah swt bukan di atas (langit / arash) , kenapa kita mengangkat muka dan tangan ke langit ketika berdoa ?

Jawapan :

Sebelum apa-apa, sila kukuhkan iktikad anda bahawa Allah wujud tanpa bertempat, bukan atas arasy/langit. Saya tunggu anda. Saya ulang. Kukuhkan iktikad anda bahawa Allah wujud tanpa bertempat. Sudah? Saya beri anda setengah minit untuk menarik nafas dan jangan memikirkan zat Allah. Tenangkan diri. Tenangkan diri. Yakinkan diri bahawa Allah wujud tanpa bertempat. Baik. Sudah? Yakin? Pastikan dengan yakin. Sangat yakin. Sebut ‘tiada tuhan melainkan Allah, Nabi Muhammad pesuruh Allah’. Sebut. Sebut dengan lidah anda sambil hati juga menyebut. Sudah? Belum? Sila sebut. Saya tunggu anda. Bagus. Terima kasih. Tenangkan diri anda. Bersedia. Senyum sikit. Lagi sikit. Lagilah. Baik. Saya mulakan.

Cerita 1 : Langit
Begini. Kenapa menadah tangan menghadap langit? Kita menghadapkannya ke langit kerana langit adalah kiblat ketika berdoa. Kita mengangkat tangan ketika berdoa kerana langit adalah kiblat doa. Adakah benar begitu? Ya, Allah berfirman dalam surah Az-Zariyat ayat 22 :
وفي السماء رزقكم وما تو عدون

Ini bermakna, langit tempat turun barakah dan rahmat ( rezeki ). Ketika berdoa, kita mengharap rahmat. Kita berdoa untuk mendapat keampunan. Bukankah keampunan itu juga satu rahmat? Ya. Sebab itu, kita menadah tangan ke langit dengan maksud, langit itu adalah kiblat ketika berdoa. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah itu tadi. Menadah tangan menghadap langit bukanlah dalil Allah itu berada di langit. Lagipun, langit adalah tempat para malaikat. Malaikat harus ( boleh sahaja ) bertempat kerana mereka itu makhluk. Allah suci dari bertempat. Allah wujud tanpa bertempat. Jelas? Penulis harap, anda jelas. Baik. Kita teruskan. Penulis ingin bertanya. Pernahkah anda melihat umat Islam bersolat mengadap kaabah di Masjidil Haram? Pernah? Sudah tentu pernah.

Cerita 2 : Kaabah
Ya. Umat Islam bersolat dengan menghadap kaabah kerana kaabah adalah kiblat ketika bersolat. Saya ulangi. Kita menghadap kaabah ketika bersolat kerana ia kiblat ketika bersolat. Semua orang Islam dari ceruk manapun, akan menghadap kaabah ( kiblat ) ketika solat. Muslim Malaysia bersolat menghadap kiblat ( kaabah ). Muslim Amerika solat menghadap kiblat ( kaabah ). Muslim Rusia, England, Lubnan, Trinidad & Tobago, Korea, Colombia, Ivory Coast, Australia dan Brazil juga demikian. Tahukah anda, pernah suatu ketika, kiblat kita ialah Baitul Maqdis di Palestin. Kemudian, Allah perintahkan umat Islam menghadap kaabah sebagai kiblat solat. Jadi, kaabah adalah kiblat ketika solat. Menghadap kaabah ketika bersolat adalah perintah Allah. Allah yang suruh kita menghadap kaabah. Menghadap kaabah ketika solat adalah perintah Allah. Menghadap kaabah bukan bermakna Allah berada dalam kotak kaabah itu. Menadah tangan ke langit juga bukan bermakna Allah ada atas langit/arasy. Saya percaya anda faham setakat ini.

Saya ada satu permintaan. Saya harap anda tunaikan. Boleh? Terima kasih. Sila tutup mata anda sebentar selama 5 saat. Betulkan duduk anda sekejap. Tegakkan badan anda. Baik. Saya teruskan lagi.

Cerita 3 : Sujud
Pernahkah anda mendengar sabda Nabi bahawa, paling baik seseorang hamba menghampirkan diri kepada tuhan ialah ketika bersujud? Pernah atau tidak? Untuk pengatahuan anda, dalam hadis itu juga Nabi menyuruh memperbanyakkan doa ketika sujud. Jadi, kenapa Nabi kata bersujud adalah paling baik mendekatkan diri kepada tuhan?

Nabi bersabda demikian kerana kita akan dapat menambah khusyuk ketika sujud. Sujud membangkit rasa kehambaan, rasa rendah diri, tawaduk dan syukur. Kemudian, Nabi suruh memperbanyakkan doa pula ketika bersujud. Kenapa banyakkan doa ketika sujud? Kenapa sujud dikira sebagai paling baik menghampirkan diri? Kenapa sujud? Kenapa bukan ketika berdiri?

Ya, benar. Hal ini membuktikan bahawa Allah bukan berada di atas langit/arasy. Bagaimana untuk membuktikannya? Baiklah. Saya telah sebutkan, Allah bukan berada di langit, Allah wujud tanpa bertempat. Saya sebutkan juga, kalau Allah itu berada di langit, nescaya Nabi akan suruh banyakkan doa ketika berdiri di tempat tinggi sebab, berdiri itu lebih dekat dengan langit. Jelasnya, Nabi sebut sujud. Sujud lebih menghampirkan diri. Secara akal sahaja, tidak logik Allah berada atas langit/arasy.

Jadi, saya percaya, sekarang akan lebih yakin bahawa Allah bukan berada di langit/arasy. Kekalkan iktikad anda itu. Kukuhkan dengan bacaan seterusnya.

Cerita 4 : Rumah Allah
Saya akan teruskan cerita saya. Tenangkan diri anda. Tarik nafas. Dalam lagi. Hembus. Baik.

Tahukah anda bahawa masjid juga digelar sebagai rumah Allah. Bukan sahaja masyarakat Melayu, bangsa arab juga menggunakan istilah yang sama. Mereka sebut ‘baitullah’ sebagai gelaran untuk masjid. Masjidil Haram juga digelar Baitullah Al-Haram. Rumah Allah membawa erti masjid. Semua orang faham makna gelaran tersebut. Orang Melayu faham makna rumah. Orang arab faham makna ‘bait’. Namun, apabila kita sebut ‘rumah Allah’, ia bukan bermakna Allah menetap atau mendiami dalam masjid. Bukan begitu. Ia bermaksud masjid adalah satu binaan untuk orang Islam menyembah atau beribadat kepada Allah. Allah tidak berada dalam masjid. Allah wujud tanpa bertempat.

Cerita 5 : Nabi Ibrahim
Jika anda memiliki mushaf di sebelah anda, sila buka juzuk 23, surah As-Soffat, ayat 99. Allah berfirman bahawa Nabi Ibrahim berkata : ‘Aku pergi kepada tuhanku dan Dia akan memberiku hidayah’. Dialog ini dituturkan oleh Nabi Ibrahim ketika baginda hendak menuju ke Palestin. Baginda berkata ‘aku pergi kepada tuhanku’ bukan bermakna Allah berada di Palestin. Ia sebenarnya bermakna baginda menurut perintah Allah supaya menuju ke sana. ‘Pergi kepada tuhan’ bererti menurut perintah tuhan. Bukan jumpa tuhan di Palestin.

Tahukah anda, dialog Nabi Ibrahim ini juga membuktikan bahawa Allah bukan berada di langit/arasy. Bagaimana? Begini. Kalaulah benar Allah berada di langit/arasy, Nabi Ibrahim tidak akan berani menyebut ‘aku pergi kepada tuhanku’ ketika hendak ke Palestin. Sebab, dialog demikian dikira bertentangan dengan akidah Allah berada atas langit.

Namun, Al-Quran membuktikan. Allah berfirman. Nabi Ibrahim telahpun mengatakan demikian ( aku pergi kepada tuhanku ) kerana baginda sangat faham tentang akidah. Baginda seorang Nabi, sudah tentu terpelihara akidahnya. Oleh itu, boleh sahaja baginda mengatakan ‘aku pergi kepada tuhanku’ ( dengan erti menurut perintah tuhanku ) kerana baginda memang tahu bahawa Allah wujud tanpa bertempat. Baginda dan semua para Nabi serta Rasul diutuskan oleh Allah dengan akidah yang sama iaitu, Allah wujud tanpa bertempat. Jadi sudah terang bahawa Allah bukan berada di langit/arasy.

Cerita 6 : Arasy
Anda letih membaca? Pejamkan mata 5 saat. Baik. Saya sambung semula.

Sila buka semula mushaf di tangan anda. Lihat juzuk sebelas, Surah At-Taubah, ayat 129. Sudah junpa? Ia di penghujung muka surat itu. Baik. Dalam potongan yang terakhir, Allah menjelaskan, Dia adalah tuhan kepada arasy yang agung. Allah, tuhan kepada arasy. Arasy itu makhluk. Makhluk itu berhajat kepada tuhan. Tuhan pula tidak berhajat kepada makhluk. Cuma, berbanding makhluk yang lain, arasy ada sedikit keistimewaan. Tahukah anda apa dia?

Dalam ayat tersebut, arasy disifatkan sebagai agung. Kenapa? Arasy disifatkan sebagai agung kerana 1. arasy adalah makhluk Allah yang paling besar saiznya, 2. kerana Allah sediakan arasy itu sebagai tempat untuk malaikat-Nya bertawaf sepertimana muslim bertawaf di kaabah dan 3. ada terdapat sebuah kitab di atas arasy.

Saya harap sangat anda bersedia untuk terus membaca. Baiklah. Saya pasti anda yakini bahawa Allah itu Maha Agung. Allah itu Maha Mulia. Maha Mulia Allah tidak berubah-ubah. Maha Agung Allah tidak berubah-ubah. Jika seseorang tidak sembah Allah, Allah tidak terhina. Jika seseorang menghina Allah, Allah tidak berkurang keagungannya. Jika pula seseorang itu taat kepada Allah, Allah tidak bertambah kemuliaannya. Orang yang menghina Allah itu yang berdosa. Orang yang taat pula beroleh ganjaran dari-Nya. Allah tetap dengan keagungannya.

Keagungan Allah sempurna. Tidak berubah-ubah. Kenapa? Ini kerana Allah tidak bergantung kepada makhluk. Allah tidak mengambil manfaat dari makhluk kerana manfaat itu sendiri sejenis makhluk. Keagungan dan kemuliaan Allah tidak terjejas dengan sebab makhluk. Jadi, Allah tidak bertambah mulia dengan sebab makhluk. Allah tidak bertambah hina dengan sebab makhluk. Kalau Allah tidak mencipta makhluk, Dia tetap agung, tetap berkuasa, tetap dengan segala kesempurnaan. Jelasnya, makhluk tidak mempengaruhi keagungan Allah.

Arasy juga adalah makhluk. Allah tidak bertambah mulia dengan sebab mencipta arasy. Kemuliaan Allah sempurna. Keagungan Allah tidak bertambah atau berkurang dengan sebab arasy. Allah juga tidak bergantung kepada arasy. Sebelum Allah cipta arasy dan tempat, Allah wujud tanpa bertempat. Setelah Allah cipta arasy dan tempat, Allah kekal sediakala wujud tanpa bertempat. Allah tidak berubah-ubah kerana berubah-ubah itu sifat makhluk. Orang yang mengatakan Allah berada atas arasy, mereka sebenarnya menyembah satu jenis makhluk yang mereka khayalkan ( bayangkan ) berada di atas arasy. Saya ulangi, orang yang mengatakan Allah berada atas arasy, mereka menyembah satu jenis makhluk yang mereka khayalkan ( bayangkan ) berada di atas arasy.

Pernahkah anda terfikir. Jika begitu, apa sebenarnya yang ada di atas arasy?

Di atas arasy, tiada benda hidup. Hanyasanya, di atas arasy itu terdapat sebuah kitab. Pada kitab itu tertulis ‘sesungguhnya rahmat-Ku mendahului kemurkaan-Ku’. Ia bermaksud, kesan bukti rahmat Allah itu lebih banyak dari kesan bukti kemurkaan Allah. Penciptaan malaikat adalah kesan bukti rahmat Allah. Bilangan mereka lebih banyak daripada titisan hujan dan dedaun pohon. Syurga adalah kesan bukti rahmat Allah. Saiz syurga juga beribu-ribu kali lebih besar dari saiz neraka. Itulah maksud kalimah ‘rahmat-Ku mendahului kemurkaan-Ku’.

Benarkah begitu? Apa dalilnya?

Imam Bukhari, Imam Nasaie dan selainnya sebagaimana lafaz dari Ibnu Hibban meriwayatkan hadis bermaksud : “Ketika Allah mencipta makhluk, Dia telah menulis pada sebuah kitab, berjanji pada diri-Nya, kitab itu diangkatkan ke atas arasy, sesungguhnya rahmat-Ku mengatasi kemurkaan-Ku”. Saya sangat berharap anda faham setakat ini. Allah bukan berada atas arasy. Di atas arasy hanya ada sebuah kitab. Allah wujud tanpa bertempat. Saya ulangi, Allah wujud tanpa bertempat.

Saya telah bercerita dengan 6 cerita. Saya minta anda kumpulkan semua cerita itu sekarang. Susun dari cerita pertama hingga ke enam. Baiklah. Saya bantu anda.

1. Cerita pertama membuktikan Allah bukan berada di langit.
2. Cerita kedua membuktikan bahawa Allah bukan berada dalam kotak kaabah.
3. Cerita ketiga membuktikan Allah bukan berada di langit, bukan di bumi.
4. Cerita keempat membuktikan Allah bukan berada di dalam masjid
5. Cerita kelima membuktikan Allah bukan berada di Palestin.
6. Cerita keenam membuktikan Allah bukan berada di atas arasy.

Oleh itu, anda telah faham dan jelas bahawa Allah itu wujud tanpa bertempat. Bagaimana untuk lebih jelas? Begini. Semua cerita-cerita yang saya ketengahkan tadi hendaklah kita kembalikan kepada ayat sarih dari Surah As-Syura, ayat 11 :

ليس كمثله شيئ

Bermaksud : Tiada sesuatupun yang menyerupai Allah.

Selama mana sesuatu iktikad ada berunsur menyerupakan makhluk dengan Allah, ia adalah bertentangan dengan akidah umat Islam. Berwaspadalah. Bersungguh-sungguhlah berdoa supaya Allah memelihara iman kita. Banyak lagi cerita yang ingin saya kongsi. Insya-Allah, pada masa mendatang, jika ada kesempatan masa dan kelapangan, saya akan ketengahkan. Kukuhkan iktikad anda, Allah wujud tanpa bertempat. Salam hormat dari saya dan selamat beristirehat.

No comments: