Sunday, June 21, 2009

Skil kita yang salah

Mendepani keranah anak-anak adalah satu cabaran yang berterusan dan mencabar. Nampak mudah, tapi bukan semua ibubapa mampu melakukannya dengan baik.

Ada satu perkara yang menarik perhatian saya beberapa tempoh lalu apabila seorang pakar kanak-kanak memberitahu, para ibubapa sering memberi perhatian dengan cara yang kurang tepat. Iaitu, bila anak bergaduh, menyelerak, menyepahkan barang-barang atau membuat kesalahan, barulah perhatian diberikan. Disuruhnya kemas semula, berhenti gaduh dan macam-macam lagi.

Sedangkan, kita sebagai orang dewasa terlupa bahawa kanak-kanak berbicara lewat perasaan mereka. Kanak-kanak menginginkan perhatian sepenuhnya. Jadi, bila ibubapa hanya memberi perhatian semasa mereka membuat kesilapan atau kesalahan, mereka akan berterusan membuat begitu. Bukan kerana mereka suka membuat kesilapan, cuma suka buat sesuatu yang menarik perhatian dari ibu dan bapa mereka.

Jadi, sebagai ibubapa, kita harus memahami bahasa perasaan mereka. Lebihkan perhatian ketika mereka mengemas, ketika mereka membaca dan membuat kerja-kerja berfaedah. Juga tidak lupa memberi sedikit pujian dan cadangan baru untuk mereka lakukan sesuatu yang lebih baik untuk masa mendatang.

Saturday, June 20, 2009

ARMAku yang ku sayang

selepas kebakaran


tiada apa yang sempat diselamatkan


hangus...


tingkat lima yang terbakar, bukan tingkat satu

Kejadian kebakaran ini berlaku di kediaman Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah ( DMAK ) atau dengan nama lama komersialnya 'arma', Asrama Rumah Melayu Abbasiah ( ARMA ).

Syukur yang amat sangat, tiada kehilangan nyawa, apapun terdapat kerugian. Mudah-mudahan apa yang berlaku menjadi pengajaran dan ingatan untuk semua.

Saturday, April 05, 2008

PANDAI dan 'PANDAI'

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani


Hampir sebulan selepas pilihanraya.

Dulu-dulu, saya ada membaca artikel seorang penulis – rakan - yang menyatakan nada kritikan kepada beberapa pelajar – rakan - yang melahirkan sokongannya kepada sebuah parti politik tanahair melalui tulisan dalam blognya.

Secara kolektif, saya amat mengalu-alukan penelitian yang dibuat dalam pertikaian tersebut, cuma ada beberapa perkara boleh ditambah untuk pertimbangan semula.

Perlukah tunggu ada ‘pandai’?

Di sebuah negara yang mengamalkan demokrasi seperti Malaysia, setiap orang berhak untuk memberikan satu undi dalam satu-satu pilihanraya umum. Tak kiralah pengundi itu seorang pengemis, pensyarah, pemuzik, pelakon, peniaga hatta Perdana Menteri sekalipun. Setiap orang hanya satu undi. Hebat manapun anda, hanya satu undi. Teruk mana pun anda, juga satu undi. Anda memiliki sarjana atau PhD? Satu undi sahaja. Anda Menteri? Ya, satu undi. Atas dasar itulah, satu undi itu sangat berharga, kerana nilai undi seorang Perdana Menteri itu seakan sama dengan undi seorang pengemis ketika mengundi pilihanraya.

Berdasarkan keadaan ini, maka setiap individu akan mempengaruhi dan dipengaruhi oleh orang lain semasa musim mengundi. Yang lebih bijak, akan cuba mempengaruhi orang lain untuk mengundi calon parti kesukaannya. Yang biasa-biasa, akan menilai dan bersedia untuk ‘dipengaruhi’ dengan segala macam sumber maklumat dan penilaian.

Ketika pilihanraya berlangsung, pengemis memberi satu undi, Perdana Menteri memberi satu undi, pelakon memberi satu undi dan orang lain juga.

Masalahnya sekarang, perlukah seorang pengemis tadi jadi Perdana Mentari dahulu barulah menyokong parti yang disukainya seterusnya memberi satu undi? Perlukah pengemis tadi dapatkan master atau PhD dahulu, barulah dibenarkan sokong mana-mana parti? Adakah dia perlu jadi ‘ahli akedemik’ dahulu baru keluar menyokong parti tertentu? Perlukah dia keluar dari latar belakangnya sebagai pengemis, barulah boleh menunjukkan sokongan kepada parti tertentu?

Hakikatnya, undi dan menyokong adalah hak semua individu. Sokonglah mana nak sokong. Pilihkan mana parti yang mahu dipilih. Kempenlah kepada parti mana yang disukai. Malaysia menerima demokrasi. Pengemis boleh berkempen, pensyarah boleh berkempen, pemuzik juga boleh berkempen kalau mahu. Semua orang ada hak untuk menyuarakan pandangan dan pendirian politiknya. Ramai orang tidak memiliki sarjana muda boleh berkempen dan mengundi. Ramai orang yang tidak mempunyai sarjana dan Phd turut serta dalam kempen lalu mengundi.

Tak perlu tunggu ‘pandai’. Yang penting ada pandai. Kalau ada ‘pandai’, tapi kurang pandai juga tidak begitu bagus. Lebih baik kalau ada ‘pandai’ dan ada pandai sekaligus. Tapi kalau ada ‘pandai’, janganlah menghina orang yang tidak ada ‘pandai’. Janganlah perkecil dan memburukkan orang lain yang belum ada ‘pandai’. Tak baiklah begitu. Kerana bukan semua orang yang ada ‘pandai’ juga ada pandai walaupun kebanyakan orang yang ada ‘pandai’ ada juga kepandaian. ‘Pandai’ itupun kurniaan tuhan, bukan? Ia hanya sementara kerana lipatan otak, lingkaran saraf, akal dan proses taakulan yang berselirat di dalam rangka tengkorak itu pinjaman dari tuhan untuk digunakan dengan sebaiknya.

Sekarang pun sudah ada orang yang ada ‘pandai’ tapi kelihatan seperti macam orang yang tiada pandai. Tapi yang seperti itu tidaklah ramai. Yang masih ramai ialah, orang-orang pandai. Yang itu ramai.

Ingat. Yang ada ‘pandai’ akan memberi satu undi sahaja. Yang ada pandai juga memberi satu undi. Dua-dua akan beri satu undi. Jadi janganlah saling menghentam dan memburukkan peribadi orang yang tidak mempunyai ‘pandai’ seperti kita. Sokonglah parti mana nak sokong, tak perlu tunggu ‘pandai’. Cukup kalau sudah memliki kepandaian, bolehlah pilih. Tak perlu tunggu ada ‘pandai’ (Kalau ada ‘pandai’ lagi bagus). Yang sudah ada ‘pandai’, janganlah memperlekehkan orang yang belum ada ‘pandai’.

Ingat, saudara kita yang bekerja sebagai buruh kasar mempunyai ‘nilai’ undi yang sama dengan seorang yang memiliki PhD. Bukanlah cadangan yang praktikal kalau seorang buruh kasar disuruh ambil master atau PhD dahulu, baru boleh sokong parti mana dia mahu.

Kerana hak memilih hak semua. Bukan untuk orang kaya sahaja, bukan untuk orang pandai sahaja dan bukan untuk golongan korporat sahaja.

Sokonglah mana nak sokong, tanpa merendah-rendahkan orang yang menurut kita dia belum sehebat kita.

Wednesday, April 02, 2008

Mengkategori manusia

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Mengasihani

Ini adalah satu pengalaman. Ia adalah berdasarkan pembacaan suasana keliling secara rambang dan juga pemerhatian semasa.


Dalam hubungan sesama manusia, bukan semua perkara mudah untuk mencapai kesepakatan. Tak perlu pergi jauh. Suami isteri sendiri, walaupun sudah berkongsi hidup hingga ke tahap maksima, masih asa sahaja beberapa perkara kecil yang kadang-kala menimbulkan selisih pendapat. Itu memang sudah menjadi lumrah. Sedangkan lidah lagi tergigit. Kan?


Apalagi kalau bukan suami isteri. Barangkali kawan serumah, teman, kenalan, rakan niaga atau sesiapa sahaja. Perselisihan mungkin sahaja timbul dalam situasi dan isu tertentu. Ayah dengan anak pun ada ketika tidak sependapat. Adik beradik juga bukannya selalu ‘sekepala’. Apa yang penting, perselisihan hendaklah dibataskan kepada had tertentu, tanpa melarat kepada kebencian atau tindakan yang tidak wajar. Kita juga seharusnya mentafsir sesuatu perselisihan dengan baik tanpa berlebih-lebihan.


Saya mahu membawa satu contoh perselisihan, dan satu contoh orang yang menonton perselisihan tersebut.


Katakan saya menyatakan bahawa saya tidak bersetuju dengan En. K tentang perkara A. Asal ada sahaja isu A dibahas, saya tetap menyatakan pendirian saya bahawa saya tidak setuju dengan En. K. Baik. Isu perselisihan pandangan saya dengan En. K hanyalah terbatas kepada isu A. Jadi, atas dasar kebijaksanaan, saya tidak wajar menjadikan perselisihan dalam satu isu sehingga saya menjadikan En. K sebagai musuh atau lawan. Saya tidak wajar memburuk-burukan En. K tanpa alasan.


En. K juga tidak wajar memburuk-burukkan saya hanya semata-mata tidak bersetuju dengan saya dalam isu A. Orang keliling yang menyaksikan perselisihan saya dengan En. K dalam isu A juga, tidak wajar mengatakan saya membenci En. K, memusuhi En. K atau menentang En. K.


Pertama, saya bukannya bermusuh dengan En. K. Kedua, perselisihan antara saya dengan hanya dalam isu A.


Itu adalah lumrah kalau kita tidak bersetuju dengan orang lain dalam satu-satu isu. Dengan syarat, kita mempunyai satu sandaran atau alasan yang kukuh untuk memberi pandangan berlainan. Seperti tadi. Saya mempunyai alasan untuk berselisih pandangan dengan En. K dalam isu A. Saya ada hujah. En. K mungkin ada hujah. Tetapi di luar perbincangan isu A, orang keliling mungkin melihat saya boleh minum kopi dan bersembang sakan dengan En. K. Itu bukanlah satu paparan yang memperlihatkan watak bermuka-muka. Kerana bermuka-muka atau talam dua muka bentuknya berbeza. Ia adalah sikap profesional yang tidak melulu dalam berselisih dan mendekati sesuatu isu.


Itu sikap saya kepada En. K. Bagaimana pula sikapnya kepada saya? Itu juga merupakan satu masalah yang perlu difikirkan. Jika saya boleh bersikap bijak dalam membataskan isu perselisihan tanpa mengheret kepada permusuhan atau kedengkian, apakah En. K juga bersedia memainkan peranan yang sama? Adakah En. K berlapang dada tanpa memburuk-burukkan nama saya di mata orang lain? Bersediakan En. K tidak menjadikan isu A sebagai sebab untuk kami bermusuhan? Ataukah En. K akan mencari geng-gengnya untuk menghentam saya pula hanya kerana kami berselisih faham tentang isu A? Semuanya bergantung kepada sikap dan minda seseorang. Latar belakang pendidikan dan kefahaman juga turut menyumbang dalam kebaikan hubungan dua hala ini.


Itu masalah saya dan En. K. Jelas.


Masalah ketiga ialah apakah orang keliling saya dan En. K memahami dan membaca situasi perselisihan ini dengan cermat? Apakah mereka bersedia untuk membataskan isu perselisihan tanpa mengambil peluang melaga-lagakan saya dengan En. K dalam banyak hal? Kononnya saya kumpulan anu dan En. K kumpulan si anu. Atau adakah nanti sekumpulan manusia yang cuba mengambil peluang untuk membesar-besarkan isu A supaya saya dilihat sebagai musuh ketat kepada En. K sedangkan perselisihan hanya berlaku dalam satu isu – isu A- sahaja?


Atau ringkasnya, adakah nanti yang nak jadi batu api? Hah?


Sebab itu, memahami isu dengan baik itu penting. Tidak mempergunakan isu untuk kepentingan peribadi dan hawa nafsu juga penting.


Katakan En. K didapati menyatakan beliau tidak setuju dengan saya dalam isu A, orang yang mendengar seharusnya faham bahawa perselisihan hanya berkenaan isu A. Juga jangan mencipta satu suasana atau cerita bahawa saya sedang bermusuh ketat dengan En. K. Itu sudah silap. Katakan ada orang mendengar saya pula menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan En. K dalam isu A, ia bukan bermakna saya mengisytiharkan diri menjadi musuh sejati En. K. Dalam banyak hal lain, mungkin saya sangat menyokong atau disokong oleh En. K. Saya ada seribu perkara lain yang mungkin sependapat dengan beliau.


Masalah yang timbul apabila khalayak yang melihat perselisihan saya dengan En. K tidak memahami atau terburu-buru mengkategori seseorang. Apabila mendengar pandangan En. K berlainan dengan saya, sepantas kilat mindanya telah menghukum, saya adalah musuh En. K. Sesiapa berkawan dengan saya juga musuh En. K. En. K juga musuh saya dan kawan En. K juga haruslah mempunyai perwatakan permusuhan dengan saya. Mesti gaduh dan digaduhkan. En. K tim lain, saya tim lain.


Sedangkan saya tidak pernah menganggap En. K sebagai musuh atau pihak lawan. En. K juga seperti saya.


Kesilapan yang dilakukan oleh khalayak keliling ini bermula dengan rekaan cerita mulut ke mulut tanpa rasa tanggungjawab dan berakhir dengan menghukum secara prejudis orang ini begini, orang itu begitu, dia tim ini, dia tim itu. Dan akhirnya, permusuhan tercipta secara tidak diduga dan diingini oleh kedua-dua belah pihak.


Dalam hubungan manusiawi, lebih-lebih lagi sesama Islam, suasana ini bukan lah satu suasana yang positif. Perselisihan tentu ada penyelesaian. Langkah pertamanya adalah sikap positif kedua-dua belah pihak. Seterusnya ialah peranan khalayak keliling untuk bijak berhadapan dengan isu serta tidak menjadikan perselisihan terhadap satu isu sebagai tukang tuang minyak yang menyemarakkan api permusuhan. Bukankah menghubungkan dua pihak demi sebuah persaudaraan merupakan suatu amalan yang mulia? Kalau sibuk sangat nak melaga-lagakan, dah tidak ada kerja lainkah?

Thursday, March 20, 2008

MENYAMBUT KEKASIH DENGAN KECERMATAN DALIL

In the name of Allah, Most Gracious, Most Merciful
oleh : alexandaricairo

Sejenak saya cuba menyelam otak manusia yang sedang berfikir. Manusia secara adatnya akan berfikir. Pemprosesan berlaku berbantukan maklumat, bahan, pengetahuan, kekuatan daya fikir dan lingkungan persekitaran. Setiap hari begitu. Pertambahan proses yang berlaku dalam otak akan memberi nilai peningkatan kematangan yang meningkat selalunya. Itu pemerhatian saya.

Secara kasar, lebih-lebih lagi suasana untuk seminggu yang mendatang ini, saya ramalkan ada dua cara berfikir yang akan terulang bentuk tentang satu isu. Kedua-dua cara fikir yang bertentangan konsep ini bertitik-tolak kepada sistem yang ditentukan dan dikerahkan oleh manusia yang empunya otak itu sendiri. Manusia akan memilih salah satu sistem yang dia mahu programkan hingga membentuk ritma pemikirannya. Jika pemikirannya dikerah untuk kepada salah satu dari dua tersebut, kesannya dan hasilnya juga akan berbeza dan dapat dilihat dari percakapan, emosi dan tindakan.


Dua pendekatan berfikir berbeza yang saya maksudkan ialah :-

a. Meletakkan hukum. Kemudian mencari hujah untuk menyokong hukum yang telah diputuskan.

b. Mencari segala hujah untuk mendapatkan hukum yang mencakupi tuntutan dari segala hujah

Pendekatan berfikir (a)

Untuk mereka yang memilih untuk mengambil pendekatan (a), ia tidaklah mudah. Juga tidak sukar. Mereka akan memilih satu hukum berdasarkan satu dasar atau metod pemikiran tertentu, lalu atas tuntutan metod yang telah mereka pilih, mereka berusaha untuk mencari segala hujah atau dalil untuk menyokong hukum yang telah dibuat.

Namun, pendekatan ini sedikit sebanyak ada risikonya. Pertama, risiko ketidaktepatan dalil untuk digunakan sebagai hujah menyokong hukum yang dibuat. Kedua, risiko kemungkinan penyembunyian sebahagian dalil kerana kebimbangan hukum yang telah diambil akan disanggah. Ketiga, risiko tidak mahu menerima dalil yang kelihatan menyanggah hukum yang telah dibuat. Keempat, risiko membentuk hukum dalam keadaan jiwa terpandu oleh nafsu secara tanpa sedar. Kelima, anda keberatan untuk menukat hukum sekalipun hukum anda kelihatan cacat bila diukur dengan dalil-dalil lain.

Ini adalah lima risiko secara ringkas yang akan kita sama-sama perincikan secara berperingkat. Selalunya bila sesuatu hukum telah kita tempatkan dalam pemikiran, ia seolah-olah telah membentuk satu dinding yang menghalang untuk keluar dari dinding tersebut. Hukum yang ditanam dalam pemikiran ditambah dengan semula jadi nafsu yang ada dalam diri manusia, selalunya akan menjadikan seseorang berusaha mancari apa sahaja untuk menyokong hukumnya. Risikonya, dia akan mengenepikan apa sahaja hujah yang cuba melanggar ‘tembok’ binaannya. Segala yang tidak selari dengan hukumnya, ditolak.

Baik. Saya bawa satu misal. Ada membenci seseorang. Dengan kata lain anda meletakkan hukum benci dalam pemikiran anda. Jika ada membenci seseorang, anda mengatakan dia tidak ada, supaya manusia tidak mengenalnya. Tiba-tiba dia dikenali, anda menuju ke peringkat mengatakan dia tidak betul. Tetapi tatkala dia berjaya membuktikan dia betul, lalu anda cuba mengatakan dia bercakap salah. Apabila dia bercakap benda yang benar, anda mengatakan sumber percakapannya salah. Dan apabila dia membawa sumber yang benar, anda terus katakan sumber itu menurut anda salah, tidak mencapai status gred A untuk dijadikan panduan.

Kenapakah hasil ini berlaku? Ia tidak lain tidak bukan adalah hasil dari cara pemikiran yang telah disetkan pada awal proses maklumat dibuat. Hukum dijatuhkan terlebih dahulu. Iaitu hukum membenci. Bila hukum membenci disetkan lebih awal, maka anda akan mencari segala idea untuk menyokong gagasan hukum ‘benci’ yang telahpun menginap lebih awal dalam pemikiran. Risikonya ialah, penolakan segala hujah lain, keengganan tunduk kepada hujah yang lebih tepat dan keras dalam mempertahankan hukum yang cuba disifatkan sebagai pendirian.

Bila seseorang meletakkan cara pemikiran seperti ini, ada kemungkinan berlaku ketidaktepatan penggunaan dalil. Maksud saya dari sudut wajhul istidlal ( pemprosesan pemahaman dalil dalam membentuk hukum ). Apabila manusia telah meletakkan satu hukum terlebih dahulu, ia akan memberi impak kepada hala tuju proses yang sedang dilakukan otak. Otak akan terarah bagaimana untuk menggunakan dalil untuk menyokong hukum, bukan bagaimana memperincikan dalil untuk menatijahkan satu hukum. Kerana otak yang sama juga bekerja. Otak itulah yang menentukan hukum terlebih dahulu, otak itulah yang dikerah untuk memahami wajhu istidlal.

Jadi apabila otak sudah disetkan menghukum ‘tidak boleh’ terlebih dahulu, apakah mungkin otak yang sama sudi untuk menerima bahawa ada kemungkinan dalil yang sedang diproses bakal membatalkan hukum yang telah disetkan? Saya ulang, apakah mungkin apabila otak telah menghukum sesuatu hukum, akan menerima dalil yang menyanggah hukumnya? Saya fikir tidak kerana dalam diri manusia ada unsur nafsu.

Kemungkinan yang ada ialah otak akan ke peringkat seterusnya iaitu memikirkan apakah cara yang sebaiknya untuk menghukum sesuatu dalil sebagai sah jika bersesuaian dengan hukum, atau menghukum dalil sebagai tidak sah jika bertentangan dengan hukum yang telah disetkan dalam akal. Inilah risko yang sangat besar apabila seseorang memilih untuk berfikir menggunakan pendekatan (a) ini. Kerana risikonya sangat besar, kesannya juga begitu. Risiko tidak telus dalam wajhul istidlal, risiko tidak mahu mempertimbangkan semula hukum dan risiko menyifatkan apa sahaja dalil yang berlawanan sebagai tidak sah digunakan.

Kesannya bakal melahirkan satu pola pemikiran yang tersepit dalam ruang hukum yang dibentuk awal-awal. Pemikiran seperti ini akan dizahirkan dalam bentuk prilaku manusia. Dan inilah kelaziman yang terjadi untuk mereka yang memilih pendekatan berfikir (a) tadi. Lebih teruk lagi, jika mereka sendiri tidak sedar bahawa mereka sedang dalam lingkungan pemikiran jenis ini.

Pendekatan berfikir (b)

Pendekatan cara ini adalah bertentangan dengan pendekatan cara (a). Pendekatan ini lebih selamat dari sudut risiko yang bakal dihadapi jika dibandingkan dengan pendekatan (a).

Sebabnya, pertama, apabila seseorang tidak menjatuhkan hukum terlebih dahulu, ini akan memberi satu ruang kepadanya untuk lebih terbuka dalam memproses hujah. Minda akan terbina memerhatikan kesemua dalil untuk dilakukan proses pertimbangan. Kedua, tiada risiko penyembunyian dalil atau hujah kerana pemproses memang memerlukan segala dalil untuk dipertimbangkan dengan seimbang jikapun wujud pertentangan dari segi lafaz zahir. Ketiga, pemikiran seperti ini tidak terbeban dengan desakan hukum. Maksudnya, apabila otak tidak menjatuhkan hukum terlebih dahulu, pertimbangan seseorang lebih lapang dan selamat dari cenderung dalam keadaan silap. Juga tiada hukum yang mendesak anda untuk bersikap pro kepada mana-mana dalil.

Kebebasan, kelapangan dan keterbukaan inilah yang selalunya digunakan ramai cerdik pandai dan kebanyakan manusia. Mereka mengkaji kesemua dalil berdasarkan keseluruhan pendekatan dengan wajhul istidlal yang lebih terperinci supaya natijah atau hukum yang diperoleh benar-benar pasti sebagai satu keputusan syarak yang telus dan tepat. Setiap kekurangan yang ada pada pandangan satu pihak akan ditampung dengan pandangan satu pihak yang lain. Setiap dalil yang menentang akan dinilai semula sejauhmana keupayaannya menyanggah dalil yang menyokong. Kepelbagaian ini digabungjalinkan dengan kaedah tertentu yang memungkinkan lalu memberi satu hukum yang lebih murni dan selamat untuk diikuti dan digunapakai.

Risiko penyembunyian dalil dan menghukum dalil sebagai tidak sah juga sangatlah sedikit. Sikap terburu-buru menghukum dan menuduh juga dapat diketepikan. Ini kerana pemproses atau pemilik otak tidak terikat kepada hukum, tetapi menilai hujah-hujah secara seimbang untuk menerima apa sahaja keputusan atau hukum yang bakal terbit dari dalil-dalil tersebut.

Saya bawakan satu misalan. Anda tidak kenal seseorang, lalu anda mengambil makumat tentangnya. Anda mendengar tuturnya, anda mengenalinya sungguh dan menerima kebenaran yang dibawanya. Anda selidiki, rupanya segala cakapnya, bersumberkan yang baik. Maka dengan itu, anda membuat keputusan untuk menyukainya. Kemudian anda mendengar ada orang yang memiliki pemikiran (a) membencinya (seperti contoh di atas tadi). Ya. Anda tahu bahawa orang yang membenci telah meletakkan hukum, lalu sibuk mencari hujah untuk menyokong hukum ‘benci’nya.

Kelahiran Rasulullah

Saya lontarkan kepada para pembaca. Mendengar tentang Maulidurasul, manusia akan terbahagi kepada dua ketika mana bersikap dengan sambutan ini. Jika anda memilih pendekatan pemikiran (a), anda akan terikat dengan hukum ‘bid’ah’, sesat dan neraka.

Sejurus selepas itu anda pasti akan berusaha menghafal dalil dan hujah untuk menegakkan hukum anda. Maksud saya, hukum yang terbentuk melalui cara pemikiran anda. Anda pasti akan tajassus untuk menyenaraikan segala kesalahan Maulid itu. Segala dalil yang bertentangan ‘hukum’ anda itu, anda sekat dalam benak anda. Anda akan katakan tiada asas sumbernya. Katakan tiba-tiba orang ramai berjaya mendapatkan sumber itu. Kalau tidak berjaya sekat dari pengetahuan orang ramai, anda pasti akan canangkan sumber tersebut sebagai tidak sahih atau apa sahaja. Setelah melihat orang mula mengamalkan dan percaya kepada dalil tadi, anda remehkan pula bahawa penyampai maklumat hanyalah orang remehan kelas bawahan – dia ni bukanlah hebat sangat. Bila orang ramai tahu bahawa orang yang anda remehkan itu merupukan seorang alim besar berketurunan Rasulullah, ada mula berjinak melabelkan sumber itu sebagai Syiah. Ya. Usaha anda akan berterusan begitu kerana perbezaan memilih cara berfikir dan menilai pertimbangan telah anda putuskan sejak awal.

Anda faham, sambutan Maulid sebagai masalah khilafiah. Tetapi dorongan kuat 'hukum' tadi menjadikan anda sanggup menjadikan hal ini satu perdebatan besar. Anda juga akan suka melihat suasana perbincangan yang mensasarkan bagaimana kejayaan melaksanakan hukuman 'bid'ah sesat' itu kepada orang lain. Iaitu menghukum bid'ah atau apa sahaja mengikut acuan asal hukum anda. Anda juga keberatan untuk mendengar atau menimbang semula wajhul istidlal dari dalil yang anda sendiri kemukakan.

Ini kerana hukum telahpun terbentuk dalam minda. Itulah yang saya maksudkan hukum bid’ah, sesat dan neraka. Ia sudah disebatikan terlebih dahulu. Dan anda tidak akan bersedia untuk berlapang dada menerima mana-mana pertimbangan yang lebih seimbang berdasarkan keseluruhan dalil dengan wajhul istidlal yang lebih menyeluruh. Apapun, segalanya adalah keputusan anda. Anda bebas. Anda berhak. Kerana otak anda ada dalam kepala anda sendiri. Hati anda di dalam badan anda sendiri.

Bagi mereka yang membuat keputusan berfikir cara (b), anda boleh menikmati sambutan maulid Nabi sejauhmana ia berpayungkan dalil syarak sama ada dalil am atau khas. Anda juga akan berfikir, jika ada unsur yang tidak selari dengan syarak dalam maulid tersebut, bukan salah sambutan Maulidnya, tapi salah kesalahan itu sahaja. Pertimbangan anda akan telus dan lebih terpimpin. Emosi anda juga kelihatan lebih bersabar untuk memahami ataupun memahamkan orang lain yang sedang mahu faham. Anda juga memahamai jiwa muda mereka yang tidak mahu memahami lalu anda bersangka baik bahawa suatu hari mereka akan lembut hati untuk lebih bebas berfikir. Anda juga tetap tenang sekalipun ditujah dengan tuduhan sesat, Nasrani, ahli bid’ah atau sebagainya.

Pertama, kerana anda memilih untuk tidak menghukum terlebih dahulu. Lalu hati anda terbuka teguh bertemankan dalil-dalil yang lebih menyeluruh dan tidak sempit. Kedua, pemilihan anda menjadikan minda lebih terbuka untuk melihat dalil dari kepelbagaian sudut. Juga dapat melihat keputusan dengan cara meraikan keseluruhan pandangan ulama dengan hati terbuka. Ketiga, anda cermat dalam memilih cara bersikap dengan sesuatu. Keempat, keputusan anda bukan didorang nafsu yang menghukum terlebih dahulu, tetapi dipandu keseluruhan dalil yang memberi kefahaman yang lebih menyeluruh dan tepat.

Para pembaca yang budiman. Dengan Rasulullah, kita mengenal iman dan Islam. Dengan Rasulullah, sampai dakwah kepada kita. Dialah pemberi syafaat. Dialah pemimpin umat. Kelahirannya merupakan satu nikmat yang sangat agung nilainya. Nikmat ini sangatlah agung. Sangatlah besar.

Renungan

Saya tertarik dengan sikap baginda ketika melihat orang Yahudi meraikan nikmat kejayaan Nabi Musa ketika diselamatkan oleh Allah dengan tenggelamnya Firaun. Hal ini terakam dalam kitab Al-ajwibah Al-Mardhiah tulisan Al-Imam Al-Hafidz As-Sakhawi ( murid kepada Ibnu Hajar Al-Asqalani ) yang menaqalkan sebuah hadis dalam sahihain :

من أنه صلي الله عليه وسلم دخل المدينة فوجد اليهود يصومون يوم عاشوراء فسألهم فقالوا : هو يوم أغرق الله سبحانه وتعالى فيه فرعون ونجّى موسى عليه السلام فنحن نصوم شكرًا لله عز وجلّ فقال صلى الله عليه وسلم : فأنا أحقُّ بموسى عليه السلام منكم فصامَه وأمر بصيامه

Dalam mengomentari hadis ini, Al-Imam Al-Hafidz As-Sakhawi mengatakan :-

قال شيخنا : فيستفاد منه فعله الشكر لله تعالى على ما منّ به في يوم معيّن من إسداد نعمة أو دفع نقمة ويعاد ذلك في نظير ذلك اليوم من كل سنة، والشكر لله يحصل بأنواع العبادة ، كالسجود والصيام والتلاوة، وأيُّ نعمةٍ أعظم من النعمة ببروز هذا النبي في ذلك اليوم

( Al-Ajwibah Al-Mardhiah, jilid 3, 1116-1120 )

Apakah dengan semberono kita mahu sifatkan Nabi sebagai meniru puasa atau amalan Yahudi? Ataukah kita masih sengaja tidak mahu memahami bahawa boleh sahaja kita meraikan kesyukuran terhadap sesuatu nikmat dengan sesuatu sambutan? Bukankah sambutan Maulid berulang hari tertentu setiap tahun persis seperti sambutan berulang hari Asyura'?

Rasulullah menyambut kejayaan Nabi Musa dengan kesyukuran. Kesyukuran boleh dilaksanakan dengan segala macam ibadah sama ada sujud syukur, puasa, sedekah, nazar dan solat. Kalaulah, nikmat kejayaan Nabi Musa sahaja diraikan oleh Rasulullah (walaupun diraikan oleh Yahudi sendiri), bukankah nikmat kelahiran makhluk termulia di sisi Allah ( Rasulullah ) lebih besarnya nikmatnya? Kalau Rasulullah selaku ketua para Nabi berhak meraikan nikmat kejayaan Nabi Musa, apakah kita sebagai umat tidak berhak meraikan nikmat kelahiran Rasulullah? Apakah meraikan nikmat kemunculan Nabi tidak sama dengan keraian Nabi sendiri terhadap nikmat kejayaan Nabi Musa?

Jadi apakah nilainya pertuduhan yang menyamakan umat Islam meraikan Maulid Nabi dengan Nasrani yang meraikan kelahiran Nabi Isa? Apakah pertuduhan itu juga mahu mengheret sama menyamakan Rasulullah dengan Yahudi yang berpuasa atas kejayaan Nabi Musa? Apakah semudah itu qias dan pendalilan yang dibuat hanya kerana meraikan tuntutan hukum ‘bid’ah’ yang sudah disetkan dalam minda serta hati lalu tertutup untuk mempertimbangkan dalil lain?

Jawapan anda mungkin bersangkut paut dengan pilihan awal anda. (a) atau (b)? Keputusan anda ada dalam hati anda.


* tidak membincangkan dalil lain kerana nanti entri akan menjadi kertas kerja yang panjang. Anda pun bosan kan?
** sekadar berkongsi sedikit bersama rakan-rakan, salam Maulidurrasul...


Monday, June 25, 2007

Di balik tabir yang bersawang



Nilai sebuah blog

Ada yang kata blog merupakan tempat meluahkan citarasa. Ada yang kata blog menjadi diari hariannya. Ada yang cuba manjadikannya medan bertelagah, perbincangan, pertukaran maklumat, sebaran ilmu, cetusan idea, lontaran pemikiran, ruang kutuk mengutuk, meluah perasaan, merakam info, memberikan komen dan berbagai tujuan lagi. Tapi, blog ini telah menjadi tempat sawang labah-labah maya kerana sudah lama tidak disisipkan dengan entri secara konsisten sejak sebulan lalu.

Nilai secebis nyawa

Peristiwa pembunuhan yang terjadi diantara rakyat Malaysia di Mesir minggu lalu memang benar berlaku dan sarat menjadi pengajajaran. Itu PASTI. Apapun keadaan atau alasan, ia tetap memerlukan satu penyelesaian. Itu MESTI. Manakan tidak, siapa yang dapat menahan hiba melihat perlakuan tidak perikemanusiaan tersebut. Pedih HATI. Namun, menyebarkan berita tanpa usul periksa atau ketiadaan cukup maklumat hendaklah dijauhi. Itu kena HATI-HATI. Bukanlah salah untuk sesiapa menceritakan perkara sebenar yang terjadi. Perkembangan boleh DIIKUTI. Apapun sekadar pesanan dan peringatan supaya hal yang sudah berlaku tidak digembar-gemburkan dengan tokok tambah yang tidak berKREDIBILITI.

Nilai sehelai rambut

Walaupun ramai orang yang botak kepala, jarang sekali orang membotakkan kepala semata-mata untuk popular. Namun memang ada orang yang popular botak kepala. Tetapi botak kepala bukan dalil untuk seseorang itu memang pasti popular. Sebab ada orang yang botak kepala, tapi tidak popular. Ramai. Jarang juga orang yang sudah popular cuba membotakkan kepala. Botak kepala ada alasannya, popular juga ada caranya. Tanyalah orang yang botak kepala. Tanya juga orang yang popular. Apakah mereka popular kerana botak kepala? Atau mereka botak kepala kerana telah popular. Betul, ada yang botak kepala sekaligus popular. Cuma yang peliknya, ada orang merasa membotakkan kepala boleh menjadikan dia popular. Mungkin juga untuk perasan popular atau perasan sama hebat dengan orang-orang popular.

Nilai sekeping tiket

Bagi seorang pengembara ilmu yang pulang ke tanah air dua kali setahun, tiket pesawat bukanlah apa-apa. Itu yang sekejap bau nasi minyak sekejap bau roti canai. Bagi mereka yang setahun sekali pulang ke tanah air, sudah pasti biasa-biasa sahaja. Cuma, telatah orang yang tidak pernah balik ke tanah airnya sejak 9 tahun, agak berlainan reaksi wajahnya tatkala melihat tiket pesawat untuk penerbangannya. Masa itu barulah bau durian, bau manggis dan segala macam bau.

Nilai sebuah persaudaraan

Jejak kasih sudah sinonim dengan proses menemukan ahli keluarga yang telah lama terpisah dalam jarak yang jauh tanpa khabar berita yang thabit antara kedua-dua belah pihak. Biasa kita dengar pertemuan keluarga antara rakyat Malaysia dengan rakyat Malaysia sendiri. Ataupun kalau jauh lagi, seorang rakyat Malaysia dengan rakyat negara jiran berdekatan seperi Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand atau lainnya. Tetapi apabila ada jejak kasih antara rakyat Malaysia dengan Korea, ini sudah menjadi jejak kasih yang sangat menarik. Atas mesej kemanusiaan, persaudaraan dan kasih sayang, mudah-mudahan ia berjalan lancar dan menemukan noktah kejayaannya.

Nilai seorang penyerang

Sehebat manapun dan secantik manapun permainan satu pasukan bolasepak, ia sebenarnya banyak juga bergantung kepada kemampuan penyerangnya dalam menghasilkan jaringan. Pemain posisi penyerang selalunya menjadi aset yang sangat penting dalam pasukan kerana ia ibarat penyudah kepada strategi corak pasukan yang harus diakhiri dengan jaringan gol untuk mencapai kemenangan. Kaki kanan dan kiri yang ‘hidup’, larian yang laju, kepantasan dan penyudah yang tepat semuanya perlu ada bagi seorang penyerang. Tetapi jika satu pasukan sudah menggandingkan dua orang penyerang dengan pakej lengkap ciri-ciri penyerang berbisa dan dimainkan sekaligus, ia bakal menimbulkan kebimbangan kepada banyak pasukan lawan. Apapun tahniah kepada penyerang hebat yang memilih untuk bersama Eto’o pemain-pemain hebat dan berada dalam pasukan Barca yang hebat.

Saturday, May 19, 2007

SIBUK YANG AMAT........

Memang benar, kalau dah sibuk dengan sesuatu kewajipan, benar sekali sibuknya. Antara kesannya, blog sudah hampir 'bersawang' barulah sempat nak menjengah...

Lagi tiga minggu untuk sedikit lega. Tetapi tiga minggu ini harus juga dengan sepenuh daya untuk ditempuhi. acha cha fighting!!!

SOLAT DI DALAM KUBUR

oleh : ALEXANDARICAIRO


Dalam sebuah hadis sahih dari Anas bahawa Rasulullah menyebut :

الأنبِيَاءُ أحْيَاءٌ فِي قُبُورِهِم يُصلُونَ

Maksudnya: Para Nabi itu hidup dalam kubur mereka, bersolat ( di dalamnya ).
-Sahih menurut Imam Al-Baihaqi dan diakui oleh Al-Hafidz Abdul Haq-



Kembalinya ruh kepada jasad di alam barzakh adalah sesuatu maklumat yang sahih sama ada seseorang yang mati itu baik atau pun seorang yang jahat ( fasik ).

Jadi, bagi Para Nabi, kembalinya ruh mereka ke jasad mereka adalah lebih pasti dengan hadis yang tertera sebentar tadi bahawa setiap Nabi itu bersolat di dalam kubur mereka. Hadis tersebut menjelaskan kurniaan Allah kepada hamba-hambanya yang terpilih untuk terus melakukan ibadat kepada Allah. Bagi para Nabi, mereka semua dikurniakan solat di dalam kubur.

Adapun bagi para wali dan orang-orang soleh, sebahagian mereka memperolehi kurniaan bersolat di dalam kubur, tetapi bukan semua mereka begitu. Ringkasnya, ada yang dapat, ada yang tidak. Ini dibuktikan berdasarkan peristiwa yang diriwayatkan berkenaan seorang hamba tabiin yang mulia bernama Thabit Al-Bananiy. Beberapa orang saksi telah menyaksikan bahawa beliau bersolat di dalam kubur setelah kematiannya.

Ini adalah seperti yang diceritakan oleh Ibnu Rajab dalam kitabnya Ahwal Al-Qubur bahawa Abu Nuaim meriwayatkan dari Sayyar bin Hasan dari bapanya yang telah menceritakan : “Demi Allah, tiada tuhan kecuali Dia, aku telah memasukkan Thabit ke dalam lahadnya dan yang bersamaku ketika itu ialah Hamid dan seorang lelaki yang baik. Ketika aku sedang mengemas atur batu-batu, tiba-tiba satu biji batu telah terjatuh ke dalam liang lalu aku turun dan mengambil batu itu seraya aku mendapati Thabit sedang solat di dalam kuburnya. Aku pun berkata kepada lelaki yang bersamaku : Adakah anda melihatnya? Lelaki itu berkata: Diam! Setelah kami selesai meuruskan tanah kuburnya, kami pun menuju ke rumah anak perempuan Thabit lalu kami bertanya: Apakah amalam Thabit? Anak perempuannya bertanya: Apa yang kamu nampak? Kami pun memberitahunya apa yang terjadi sebentar tadi. Anak perempuannya pun menyambung: Beliau ( Thabit ) telah bangun malam ( beribadah ) selama 50 tahun dan tatkala waktu sahur, beliau berdoa, “Ya Allah, jika Kau kurniaan kepada seseorang hamba-Mu untuk bersolat di dalam kuburnya kelak, kurniakanlah ia kepadaku”. Dan Allah tidak menolak permohonannya itu.

Friday, May 04, 2007

"Belajar dulu! Jangan fikir fasal kahwin"

oleh : ALEXANDARICAIRO


“Belajar dulu! Jangan fikir fasal kahwin”

Ayat ini, ada terucap di balai lepas lapangan terbang. Ada terngiang di corong speaker talian e-voiz. Ada tercatit dalam emel kiriman bulan lepas. Ada tertulis dalam surat yang baru diterima. Masih tersimpan dalam senarai sms telefon minggu lepas. Ada diulang cakap di meja pendaftaran kemasukan universiti suatu masa dahulu. Ada disampaikan melalui abang kakak. Ayat ini lazimnya dari ibu bapa, untuk anak muda.

Ayat ini, pedih rasanya buat orang muda. Sakit telinga dibuatnya untuk mereka yang sudah ‘berpunya’. Letih, sehingga ada yang sempat banyak kali menjadi ‘janda’ dan ‘duda’ dalam bercinta.

Orang muda yang saya maksudkan di sini ialah pemuda sekitar 16-24 tahun yang masih mengikuti alam pengajian secara formal. Kolej, universiti atau maktab. Luar atau dalam negara. Begitulah. Mereka ini yang selalunya menjadi sasaran. Tak kira lelaki atau perempuan. Tetap kena. “Belajar dulu! Jangan fikir fasal kahwin”. ‘Amanat’ ini biasanya hujah awal dari ibu bapa sebelum anak mereka cuba-cuba nak minta kahwin. Orang kata ia perisai ibu bapa untuk anak yang sedang bercinta dan mengada-ngada. Orang kata, saya tak kata...

Orang muda ada juga yang sedang kemaruk bercinta ketika menerima amanat ini. Bila mendengar, entah apa yang terlintas di kepala. Mungkin rasa seperti jatuh ditimpa lori pasir agaknya.

Apapun ketika melihat teks amanat tersebut, di sana terdapat sesuatu yang boleh dikongsi semula. Maksud saya arahan ‘jangan fikir fasal kahwin’. Pada pandangan anda, apakah suruhan tersebut wajar atau tidak kepada orang muda seawal umur demikian? Ataukah peringatan itu akan menjadi tekanan emosi ke atas anak muda? Atau memang petua yang mujarab untuk orang muda yang sudah mula pandai ‘menggatal’?

Baik. Fikir adalah gerak kerja yang biasanya digerakkan oleh akal. Dan orang muda yang sedang di tahap perkembangan fizikal dan mental ini, pasti terkesan dengan pengaruh pertumbuhan akal tersebut. Akal orang muda perlulah ditatang supaya ia berkembang dengan sifat bernas dan positif. Itu hal akal. Di samping itu, orang muda juga mengalami pertumbuhan emosi dan perasaan. Atau lebih mudah disebut nafsu. Perkembangan nafsu lebih mudah berbanding perkembangan akal. Jadi, apabila seseorang mencapai umur 16-24 tahun, akalnya sedang berkembang pesat, juga nafsunya.

Mahu tidak mahu, itulah hakikat dalam diri setiap manusia. Ada akal dan nafsu.

Ketika mengharungi usia seperti ini, perasaan, emosi dan nafsu orang muda perlu mendapat kawalan keseimbangan dengan adanya akal. Maksudnya, akal perlu dikembangkan sama sebagai senjata untuk mengekang perkembangan nafsu yang tidak terkawal. Peranan akal sangat kuat ketika ini. Bukan sekadar untuk akal itu sendiri, malah peranannya mampu mempengaruhi tindakan yang bakal dilakukan oleh nafsu.

Jadi akal sangat perlu terisi dan bekerja. Terisi dengan input yang baik dan bekerja secara sistematik. Perkembangan nafsu mudah, tetapi perkembangan akal perlu diusahakan secara terpandu. Jika akal orang muda tidak terisi dan bekerja secara sepatutnya, maka segala tindakan orang muda khususnya dalam hal bercinta akan dipandu semata-mata oleh nafsu. Ketika nafsu sudah menjadi ‘penasihat’, banyak perkara negatif bisa terjadi.

Kita kembali kepada teks ‘jangan fikir fasal kahwin’ tadi. Arahan ini secara rambang adalah nasihat yang ikhlas dari ibubapa. Tujuannya untuk melihat anak mereka memberi fokus yang serius berhubung hal pengajian mereka. Ia bagus dari satu sudut. Namun begitu, pada masa yang sama ‘amanat’ tersebut boleh juga dilihat sebagai sesuatu yang membantutkan fungsi akal. Seolah-olah akal dilarang untuk berfikir tentang kahwin. Tentang cinta. Akal mereka seperti sudah dinafikan haknya. Kekuatannya diremehkan dan kecergasannya ditidakkan dengan arahan tersebut.

Sedangkan dalam usia muda inilah akal sedang mahu berfikir. Akal sedang bertindak untuk semakin matang membuat penilaian. Akal sedang semangat untuk bekerja lebih kuat. Tiba-tiba akal mendapat arahan supaya jangan berfikir. Mana rasionalnya?

Perkara seumpama ini ada kesan negatifnya untuk orang muda. Setiap kali hati terdetik untuk berkahwin dan bercinta, dia akan mengenepikan peranan akalnya untuk bekerja. Dia tidak berfikir fasal kahwin. Terlintas sahaja di hati fasal kahwin, dilayannya dengan pertimbangan perasaan dan nafsu. Akal akan diketepikan untuk berfikir. Nafsu mengambil tempat sepenuhnya lalu dia bernafsu fasal kahwin. Tidak lagi berfikir fasal kahwin. Tatkala nafsu menguasai, mulalah itu dan ini. Segala yang tidak wajar sudah dibayang-bayangkan berpanjangan. Segala yang terlarang dicuba-cuba sesekali. Apa yang terlintas di hati akan diujikaji secara praktikal.
Melihat senario ini, maksud saya ‘amanat’ yang kelihatan mengenepikan peranan akal untuk orang muda, saya kira ia patut dipertimbangkan semula. Itu cadangan saya. Orang muda tidak sewajarnya dihalang atau disekat untuk berfikir fasal kahwin. Mereka sedang mengalami pertumbuhan akal yang sangat agresif. Mereka kreatif dan inovatif. Akal mereka sedang mahu bergiat cergas. Mahu menilai macam-macam. Mahu fikir itu dan ini. Mengapa perlu disia-siakan peluang keemasan ini? Mengapa tidak ditatang dengan cara yang lebih membangun?

Saya fikir, ibu bapa tidak wajar menghalang mereka berfikir fasal kahwin tetapi pandu dan ajarilah mereka bagaimana hendak berfikir fasal kahwin. Dan garis panduan atau modal awal sebelum mengajar orang muda berfikir ialah Al-Quran dan sunnah itu sendiri. Isi akal mereka. Kenalkan anak dengan ayat-ayat Al-Quran berkenaan hal kahwin. Beritahu anak hadis-hadis yang menceritakan kelebihan orang berkahwin. Solatnya, puasanya dan keutamaannya. Tentang sikap Nabi dalam hal rumahtangga. Juga perihal isteri-isteri baginda. Jangan lupa juga amaran-amaran untuk orang yang sudah berkahwin. Terangkan serba sedikit hukum-hukum berkenaan hal rumahtangga. Hal mencari calon pasangan. Ciri-cirinya. Baik buruknya.

Ajarilah orang muda berfikir fasal kahwin. Pandu mereka supaya akal mereka bekerja memikirkannya. Memikirkan dari perspektif syariat yang sudah diisi dalam pemikirannya. Agar nafsu yang sedang berkembang dalam jiwa mereka diselarikan juga pertimbangan akal sihat yang telah diisi dengan kefahaman syariat. Supaya kira-kira nafsu mendapat penilaian semula dengan adanya akal yang baik. Kenalkan mereka dengan kisah rumahtangga sahabat Nabi. Berikan sesuatu yang sihat untuk akal mereka bekerja memikirkan fasal kahwin secara yang sepatutnya.

Setelah akal mereka diperkenalkan dengan inti pati agama fasal kahwin, palingkan mereka untuk melihat perihal diri mereka. Bagaimana untuk mengikuti panduan sedia ada tadi. Bagaimana menilai diri sendiri setiap kali hal kahwin terlintas di hati. Suruh orang muda tanyakan diri mereka apakah mereka sudah wajib berkahwin, sunat, makruh atau sunat. Sabarlah melayan karenah orang muda. Panduan seperti ini adalah lebih bersifat membimbing orang muda untuk membuat keputusan yang lebih selamat dan terpelihara.

Perbincangan wajar dilakukan. Pertukaran idea patut dibuat kerana generasi yang berlainan mengalami suasana yang tidak sama sepenuhnya. Pengalaman juga berbeza. Kesilapan penilaian yang dilakukan oleh anak muda jangan disanggah melulu tetapi perlu diajak untuk ditimbang semula melalui sudut pandangan yang berbeza.

Apabila akal mereka bekerja bertemankan isi kandung syariat yang sudah diisikan terlebih dahulu, perjalanan orang muda dalam hal bercinta akan lebih selamat. Kalaupun mereka memang nak minta kahwin, sekurang-kurangnya pertimbangan akal berdasarkan agama itu sudah ada disetkan dalam fikirannya. Rasional mereka sudah diapit syariat serta tidak dikuasai nafsu.

Ibu bapa perlu juga risau tetapi kerisauan itu kurang jika dibandingkan arahan membuta tuli supaya jangan memikirkan fasal kahwin. ‘Nasihat’ tersebut hakikatnya cuma menambah tekanan emosi anak muda sambil tidak memberi sumbangan nilai positif yang besar untuk pembangunan jiwa mereka. Ini lebih utama dirisaukan. Padahal, mereka sebenarnya perlukan sesuatu yang membangun minda, pada masa yang sama memandu emosi, sikap dan nafsu.

Oleh yang demikian, saya tidak fikir arahan ‘jangan fikir fasal kahwin’ itu membina dan baik buat orang muda. Pada hemat saya ia perlukan sedikit perubahan. Ibu bapa sebaiknya mengajar anak mereka supaya belajar dulu, kini dan selamanya secara bersungguh-sungguh. Dan ajarilah mereka bagaimana untuk berfikir fasal kahwin dengan sewajarnya.


* entri cuti daurah bab nikah dengan Sheikh Salim kot...

Sunday, April 29, 2007

MENYAYANGI KELUARGA KEKASIH

In the name of Allah, Most Gracious, Most Merciful

OLEH : ALEXANDARICAIRO

(entri edisi kesibukan musim periksa)
Mencintai ahli keluarga Nabi merupakan salah satu tuntutan dalam agama kita. Benar. Hadis dan praktikal ulama-ulama Ahli Sunnah sangat menyokong kenyataan ini.

Tetapi ayat ini sering digunakan oleh pihak tertentu sebagai peluang untuk mengelirukan orang awam yang belum cukup masak dengan asam garam hal-hal agama demi membangkitkan rasa benci atau prejudis terhadap pihak lain. Hal ini sekaligus mewujudkan satu dunia permusuhan yang didasari masalah kejahilan. Kejahilan dari kesilapan seperti ini jika berterusan pasti membuahkan iklim yang negatif dalam masyarakat. Kesilapan itu mungkin dari kesilapan memilih sumber maklumat, kesilapan berfikir, menilai atau kesilapan menghukum. Kesilapan ini jika dirangkul oleh jiwa yang keras, bisa bertukar menjadi taasub membuta tuli. Bahaya.

Menjawab tidak, membiarkan begitu sahaja pun tidak. Itu saya. Namun sedikit terpanggil untuk berkongsi buah fikiran tentang bagaimana untuk mengamalkan wasatiah (kesederhanaan) dalam usaha memandu hati tatkala membuat sesuatu penilaian berkenaan satu-satu perkara secara adil dan cermat. Sedikit peringatan. Ada dalil bukan semestinya tepat cara penggunaan dalil itu. Ada hujah bukan bererti sesuatu kenyataan itu menepati realiti. Kadang-kala hujah tidak tepat, dalil pula tidak memenuhi kehendak kenyataan secara sempurna.

Sebelum melangkah ke butiran yang lebih jauh, kita harus berfikir untuk tidak silap dalam menyamakan atau membezakan. Misalnya, seorang lelaki makan nasi. Kemudian ada seorang perempuan makan nasi. Baik. Tidak wajar rasanya untuk anda mengatakan perempuan itu adalah seorang lelaki semata-mata kerana dia makan nasi. Benar. Kedua-duanya makan nasi. Tapi, bukan semudah itu menghukum perempuan itu adalah seorang lelaki. Hanya kebetulan ada persamaan ciri iaitu makan nasi. Namun harus diingatkan makan nasi bukanlah syarat untuk kita menghukum seseorang sebagai lelaki. Sedikit gurauan, kalau tiba-tiba ada seekor kambing makan nasi, apakah mahu juga dihukum kambing itu seorang lelaki???

Ini kerana nasi adalah makanan ruji dan jelas ia adalah dalil kepada keperluan kedua-duanya (lelaki dan perempuan) terhadap makanan tersebut. Hasilnya, makan nasi merupakan satu ciri persamaan, tetapi bukan ke tahap meyamakan lelaki dengan perempuan. Dengan kata lain, persamaan yang wujud adalah terbatas dan tidak sampai ke tahap menyamakan keseluruhan elemen yang wujud antara lelaki dan perempuan. Benar ada ciri persamaan, apapun jangan pula mengubah kedudukan klasifikasinya hanya kerana persamaan yang tidak pun mampu mengubah kedudukan klasifikasi asal.

Anda mungkin bersetuju kalau dikatakan seseorang itu sangatlah bodoh jika setiap kali dia menemui orang makan nasi, dia katakan itu lelaki. Jumpa lagi orang lain yang makan nasi, dia katakan itu lelaki. Sebab anda tahu makan nasi adalah ciri persamaan antara lelaki dan perempuan tetapi bukan ke tahap menyamakan dua jantina tersebut hanya dek makan nasi.

Mengikuti ceramah As-Sheikh Al-Habib Ali mengingatkan saya kepada satu hadis Nabi yang menggesa umatnya mengajarkan tiga perkara kepada anak-anak. Mencintaiku, kata Nabi, mencintai ahli keluargaku dan membaca Al-Quran. Saya memang sukakan dalil tetapi melihat musuh-musuh Islam juga menggunakan dalil dalam menyerang keluarga Nabi, saya cuba membuat sedikit pendekatan berbeza dengan anggapan, dalil boleh anda dapati dari sumber-sumber lain. Ini mungkin juga disebabkan saya teruja dengan kemantapan profesor-profesor Universiti Al-Azhar khususnya Mufti negara Mesir sendiri yang cukup bijak memberi daya pemikiran wasatiah yang konsisten di peringkat antarabangsa sekalipun ketika berhadapan dengan sesuatu yang dianggap sebagai dalil dari pihak lawan.

Secubit fakta. Dalam satu persidangan tariqah Al-Azamiah yang diadakan di Mesir baru-baru ini, As-Sheikh Ali Jumuah, Mufti negara Mesir sendiri sebagai salah seorang panelis jemputan telah membuat kenyataan yang panjang lebar berhubung perbincangan mencintai ahli keluarga Nabi secara khusus. Beliau menyentuh sejarah, manhaj, peratusan persamaan, perbezaan, pemikiran dan sumbangan elemen mencintai ahli keluarga Nabi dalam mewujudkan kesepakatan antara Ahli Sunnah dan Syiah dalam konteks masyarakat arab Mesir pada masa lampau dan kini. Persamaan satu elemen, iaitu mencintai keluarga Nabi memberi sumbangan yang besar mengamankan pertembungan Ahli Sunnah dan Syiah di Mesir satu ketika dahulu.

Seperti yang telah kita misalkan di atas, isu makan nasi. Begitu juga butiran cinta keluarga Nabi. Ia adalah satu titik persamaan antara Ahli Sunnah dan Syiah tetapi bukan menjadi satu neraca untuk menghukum seseorang itu Syiah. Makan nasi adalah persamaan antara lelaki dan perempuan namun bukan neraca yang putus untuk membentuk hukum kepada klasifikasi tertentu dengan mudah-mudah. Mencintai keluarga Nabi mungkin merupakan syiar yang besar bagi golongan Syiah tetapi pada masa yang sama ia juga bukan suatu elemen yang dinafikan dalam ajaran Ahli Sunnah.

Jadi, menghukum orang lain sebagai Syiah hanya berdasarkan kecintaannya kepada keluarga Nabi adalah satu pendekatan yang boleh disifatkan sebagai kejam. Kejam kerana tanpa disedari, serangan berbentuk menghukum itu juga terkena kepada Ahli Sunnah. Seolah-olah serangan dihalakan kepada Syiah dan Ahli Sunnah sekaligus.

Lebih malang lagi jika orang yang dianggap intelek mempermainkan istilah ‘tongkat Ali’, ‘kacip Fatimah’ dan nama-nama ahli keluarga Nabi yang lain sebagai kayu ukur awal untuk ke peringkat menghukum orang lain sebagai Syiah. Paling kurang pun sudah pula pandai-pandai meragukan orang lain dengan andaian yang bukan-bukan. Ataupun syak itu ini dengan anggapan itu adalah hasil pengaruh Syiah. Inilah yang menjadi masalah. Masalah ini timbul dari orang yang cuba melabelkan dirinya ‘ahli sunnah’ dengan cara men‘syiah’kan orang lain.

Memetik kata-kata Mufti Mesir dalam persidangan tersebut, beliau berkata : “Titik-titik kesepakatan (persamaan) antara Ahli Sunnah dan Syiah itu lebih banyak berbanding titik-titik percanggahan (perbezaan). Tetapi di sana terdapat (segolongan) manusia yang sengaja mencetuskan fitnah (pertembungan) antara kedua-dua belah pihak”.

Beliau menambah : “Kita berjaya membawa mesej ini dalam persidangan kemuncak seperti ini........ apapun kita masih gagal membawa mesej yang disepakati ulama dan kepimpinan ini ke medannya yang sebenar. Jika kita berjaya membawa mesej ini ke negara-negara teluk, Lubnan, Iran, dan timur Arab Saudi, nescaya tidaklah mengalir darah-darah yang kita lihat hari ini...”. Beliau juga mengakui wujudnya perbezaan pendapat antara Ahli Sunnah dan Syiah dalam beberapa masalah seperti nikah mut’ah, memadukan seorang wanita dengan makcik sebelah bapanya, juga sebelah ibunya tetapi perselisihan-perselisihan itu hanya mewakili 5% sahaja.

Kenyatan-kenyataan yang dilemparkan oleh seorang ulama besar seperti beliau perlu diambil kira kerana di sebalik kenyataan itu, beliau banyak membuat kajian, perbincangan, pertukaran ziarah, pertukaran maklumat dan dialog-dialog rasmi atau tidak dengan Syiah. Apapun, di sini bukan saya mahu menekankan perbahasan tentang Syiah, tetapi mahu membuat penegasan bahawa mencintai ahli keluarga Nabi bukan hak milik Syiah semata. Juga bukan sesuatu yang dikesampingkan oleh Ahli Sunnah. Dan mencintai atau memuji ahli keluarga Nabi bukan sebab untuk kita mudah-mudah menghukum atau melemparkan tuduhan yang tidak bertanggungjawab kepada orang lain.

Dengan satu perbandingan yang lebih mudah, jika kita menjumpai seseorang yang sedang solat asar empat rakaat, apakah kerana itu kita menghukum dia sebagai Syiah? Konon-konon hujahnya ialah solat asar empat rakaat adalah amalan Syiah. Asal nampak sahaja seseorang solat asar empat rakaat, dia tuduh Syiah. Bukankah itu kejam? Kejam kerana tuduhan seperti itu dipandu oleh dalil yang jahil, maklumat yang salah, keciciran fakta, pemikiran yang tidak menyeluruh serta kesilapan yang dipandu oleh golongan intelek yang sengaja mahukan ketaasuban pengikut kepadanya.

Mungkin anda mengatakan tidak mungkin hujah seperti ini akan berlaku. Mana ada orang berhujah solat asar empat rakaat itu Syiah! Nas-nas tentang solat asar sangat jelas.

Itu kata anda. Tetapi, orang-orang sebelum kita juga mungkin tak terfikir adanya segolongan manusia yang menggunakan elemen kecintaan kepada keluarga Nabi sebagai neraca untuk mengheret orang lain ke label ‘Syiah’ walaupun nas-nas tentang mencintai keluarga Nabi ada dan jelas? Orang sebelum kita mungkin tidak terlintas, adanya manusia yang mengaku kononnya Ahli Sunnah cuba menimbulkan syak wasangka di kalangan orang awam terhadap isi-isi kitab yang menyebut kebaikan dan kemuliaan ahli keluarga Nabi dengan tuduhan ia adalah di bawah pengaruh Syiah. Ya. Generasi sebelum kita barangkali tidak tergambar kemungkinan kitab Al-Barzanji akan diserang dengan tuduhan ber‘elemen’ Syiah. Inilah sikap penyelewengan yang berselindung di bawah ‘tag’ Ahli Sunnah.

Kita perlulah jelas. Kita cintai ahli keluarga Nabi kerana sikap Nabi yang mencintai mereka. Kita menyebut-nyebut nama keluarga baginda kerana itu sikap baginda. Kerana perintah Nabi untuk mencintai mereka. Kerana teks selawat yang diajarkan oleh Nabi juga meraikan ahli keluarga baginda. Kerana dalam solat kita masih menyebut keluarga baginda. Dan memetik kata Mufti Mesir;- ‘keturunan Nabi ada sampai ke hari ini, dari selatan ke utara, Timur dan Barat, setiap tempat dan masa’.

Mencintai mereka adalah ajaran Ahli Sunnah. Cinta yang bukan membuta tuli, tetapi yang diiringi panduan Al-Quran dan sunnah. Ia adalah adalah juzuk yang tidak terpisah dari persoalan keimanan. Kalaupun ia syiar teragung Syiah, ia mungkin memang begitu. Terpulang kepada mereka. Walau apapun, mencari jalan menghukum orang lain sebagai Syiah hanya berdasarkan permasalahan cinta ahli keluarga Nabi, ia adalah perbuatan yang pasti sia-sia.

Sedikit mencelah keluar cerita. Elemen cintakan keluarga Nabi sebenarnya sangat memberi sumbangan keamanan di Mesir berdasarkan sejarah. Manhaj inilah yang sedang diusahakan oleh Al-Azhar ke peringkat antarabangsa melalui peranannya mewakili Ahli Sunnah. Peranan elemen ini telah terbukti memberi sumbangan besar kepada keamanan di Mesir. Lalu usaha ini sedang giat dilakukan oleh ulama-ulama Al-Azhar mengembangkan nilai positif tersebut ke seluruh dunia Islam. Kunjungan bekas Presiden Iran Mohammed Khatami ke Al-Azhar baru-baru ini yang disambut oleh Sheikhul Azhar, Dr Muhammad Sayyid Tantawi juga menjadi saksi akan kesungguhan Al-Azhar memanfaatkan elemen tersebut untuk mesej keamanan dan kemanusiaan.

Masuk semula ke ruang sembang. Mencintai ahli keluarga Nabi merupakan persamaan antara Ahli Sunnah dan Syiah. Seperti contoh terdahulu, makan nasi adalah persamaan antara lelaki dan perempuan, solat asar empat rakaat adalah elemen yang sama antara dua pihak. Pada masa yang sama, mencintai keluarga Nabi bukan dalil/hujah/alasan/sebab/bukti untuk kita menghukum itu Syiah, ini Syiah, sana Syiah, sini Syiah, mengesyaki ke‘syiah’an seseorang atau melakukan pertuduhan dengan kaitan-kaitan yang belum pasti hitam putihnya.

Juga diingatkan, meskipun seseorang itu memang Syiah, ia bukanlah disebabkan dia mencintai ahli keluarga Nabi. Sejak bila pula ada ulama Ahli Sunnah yang mengatakan, siapa mencintai ahli keluarga Nabi, dia adalah Syiah? Dengan ayat yang lebih jelas, Syiah menjadi Syiah bukan dengan sebab mencintai keluarga Nabi.

Bahkan Mufti Mesir sendiri mengakui elemen kecintaan kepada keluarga Nabi merupakan kesamaan antara Ahli Sunnah dan Syiah yang pernah membentuk persefahaman di kalangan bangsa Mesir suatu ketika dahulu lalu membantu kelangsungan survival politik dan kemanusiaan. Persamaan inilah yang harus dimanfaatkan untuk keamanan dewasa ini pada masa yang sama kita perlu memahami bahawa mencintai ahli keluarga Nabi adalah tuntutan agama dan bukan memestikan seseorang itu dihukum Syiah.


Nota:-

Kenyataan-kenyataan As-Sheikh Ali Jumuah, Mufti Mesir diambil dari majalah At-Tasauf Al-Islami, keluaran bulan April, bilangan 340 - Kaherah.

Sunday, April 22, 2007

Meraikan fitrah lelaki... - katanya

In the name of Allah, Most Gracious, Most Merciful

oleh : ALEXANDARICAIRO

Petang kelmarin menjadi saksi tentang satu perbualan bersama seorang teman. Teman ini menceritakan sedikit kisah di tengah-tengah borak kami berkenaan peperiksaan. Dia menyelitkan kisah ustaznya yang melayan karenah tanya itu ini dari muridnya.

Kisahnya bermula dengan satu tanya sahaja. Kenapa orang lelaki boleh kahwin dua, tiga dan empat, perempuan tak boleh?. Saya dengan pantas mencelah, itu ‘amrun taabbudi’. Jadi bisa difikirkan hikmahnya, bukan mencari sebabnya. Seperti juga solat lima waktu. Usah ditanya kenapa, tetapi hayatilah hikmahnya walaupun masih banyak tak terjangkau.

Teman saya teruskan ceritanya semula. Ustaznya apabila mendengar tanya anak murid, lalu dijawabnya. Kalau seorang lelaki ada empat isteri, kemudian dapat anak, dia tahu hasil dari isteri yang mana. Kalau perempuan ada empat suami, dia dapat anak, dia tak tahu dari suami yang mana satu? Ringkas ustaz itu.

Dalam hati ini, ustaz itu tahu tak, sekarang budak-budak dah tahu peranan ujian DNA tau. Tapi tak mengapalah. Mungkin sengaja dia menjawab begitu dek malas nak menerangkan lebih lanjut kepada mereka yang belum sesuai umurnya untuk tajuk-tajuk tertentu. Teman saya menukar hala soalan yang sama kepada saya dengan andaian kalau saya jadi ustaz itu, apa nak jawab dengan budak umur sekecil itu.

Saya pun kata ada dua barangkali. Dari sudut hikmah, bukan sebab. Pertama, saya tak nak cerita di sini. Rahsia. Kedua, saya boleh kongsi sebab saya dapat dari seorang teman yang lain. Dia kata, lelaki dibenarkan kahwin lebih dari satu. Hikmahnya, agama itu meraikan fitrah manusia. Pertama, fitrah ingin berkahwin. Agama datang menyiapkan garis panduan. Kedua, fitrah bahawa seorang lelaki itu boleh menghimpun banyak cinta dalam satu masa. Fitrah inilah yang diraikan oleh agama tetapi dengan syarat-syarat dan kelayakan tertentu. Maka di situ, adanya kebenaran untuk dua, tiga atau empat. Ia meraikan fitrah, berserta panduan dan adab tertentu yang juga mesti diraikan oleh seorang lelaki.

Tamat.


*gebang: kalau tidak ingin meraikan adabnya, apapun bisa kucar-kacir..