Thursday, December 14, 2006

MASALAH SERIUS YANG DITIDAKMENGAPAKAN

oleh : ALEXANDARICAIRO

Seorang ahli falsafah Jerman pernah menyebut, pembohongan yang berulang kali akan diterima sebagai satu kebenaran.

Suasana hari ini agak kelam kabut. Sana-sini penuh manusia yang sibuk mempergunakan kelemahan manusia lain. Tidak kurang pula yang terang-terangan mencabuli pelbagai perkara. Ketika ini, adalah sesuatu yang sangat biasa melihat profesor, pemikir, cendekiawan atau ilmuwan turut serta dalam fenomena buruk ini. Kerana merekalah yang cukup mahir dalam memastikan fenomena kusut ini terus segar di tengah-tengah masyarakat kerana mereka memiliki modal dan bahan yang cukup. Keintelektualan mereka hanya dengan ilmiah tanpa ubudiah, menjadi alat pelaris kepada sambutan yang diperolehi.

Bahas ilmu, keterbukaan dan lapang dada memang harus ada dalam urusan manusia. Tetapi, alasan inilah yang digunakan para bijak pandai untuk mewajarkan segala usaha mereka. Ketaksuban dan asabiyah ditanam cermat ke benak orang ramai. Kekeliruan satu demi satu diketengahkan dengan alasan membetulkan segala yang salah sejak berabad-abad dahulu. Itulah sangka mereka. Kekusutan menjadi bertambah apabila pelbagai istilah ‘manis’ menghiasi setiap gerak kerja mereka.

Mangsa keadaan adalah orang awam. Orang awam yang tak punya asas yang mewajarkan mereka menerima bulat-bulat, mentah-mentah. Bagi orang awam yang memiliki pengetahuan menyebar maklumat, dengan pantas menyampaikan segala apa yang diterima dari golongan ini. Lalu dengan cepat sekali perkara salah disebar luas. Internet, majalah, blog semuanya sarat dengan dakyah mereka. Jika perkara yang jelas salah, diketahui ia adalah salah, itu tidak mengapa. Tetapi adalah menjadi malang bila perkara yang sangat salah, sangat dilihat sebagai sangat benar. Inilah yang berlaku di sini.

Ada benarnya dengan kalam ahli falsafah Jerman tadi. Ahli falsafah ini bukan bermaksud pembohongan bertukar menjadi benar, tetapi penipuan berulang itu bakal diterima seolah-olah ia benar. Ia merupakan satu pemerhatian psikologi manusia. Maka golongan bertaraf ‘PhD’ ini akan terus mengulang-ulang pembohongan ini, kerana setiap generasi akan berubah. Itu pasti. Sangat pasti. Jika PhD tidak memadai, mereka akan bergerak ke jawatan yang lebih tinggi.

Generasi mendatang akan ketinggalan berita tentang kebobrokan golongan cerdik pandai ini. Apabila perkara pertama disumbat ke kepala adalah kesalahan yang dianggap kebenaran, maka generasi mendatang khususnya orang muda mudah terpedaya. Hal ini telah dan sedang berlaku di sini. Di Malaysia. Sebelumnya, ia berlaku di tanah arab. Sebab itulah golongan muda menjadi sasaran. Kementahan dan kemudaan mereka sedang dipergunakan oleh ilmuwan ini dengan alasan jihad, menyampaikan dan dakwah.

Tidaklah menghairankan penyertaan profesor atau ilmuwan bertitle apa sekalipun dalam merencana gerakan seumpama ini. Alahai, tak hairanlah. Pemuka Yahudi pun terdiri dari bijak pandai. Apa yang pasti, gerakan ini membawa fahaman yang jelas salah, tetapi sangat licik berselindung sehinggakan dapat dilihat, betapa kerasnya konco-konco yang bertaraf hingusan seboleh-boleh mempertahankan gerakan ini tanpa ingin sedikit pun rasa bersalah atas hujah kononnya berpegang kepada prinsip.

Kini, universiti bukan lagi tempat yang selamat. Universiti. Jikapun zina adalah hidangan yang tersedia di sana, ia adalah ketidakselamatan nombor dua. Tetapi jika gerakan ini berada di sana, ia adalah ketidakselamatan nombor satu yang tiada lagi tandingannya.

Penzina akan merasa bersalah dan tahu kesalahannya serta mengetahui zina adalah salah dan jenayah. Adapun pendukung gerakan ini, mereka melihat kesalahan mereka sebagai pembaharuan dalam agama, tajdid, keteguhan prinsip, kekembalian kepada amalan asal dan kebenaran. Ini yang sangat dan lebih merbahaya. Perkara ini berlaku kerana mereka telah ditipu sejak 700 tahun yg lalu. Tak kira ber‘PhD’ ataupun digelar ‘sheikh’. 700 ratus tahun penipuan berjaya berulang. Manakan tidak profesor juga menjadi mangsa? Lebih malang lagi, mereka cuba mewujudkan fantasi seolah-olah mereka menekuni dan berada di 1400 tahun yang lalu.

Usahlah terlalu jauh mengukur mereka dari sudut kecendekiawanannya, ke‘PhD’an, kemujtahidan atau kepandaian bermain kata hujah. Semua itu hanya alat dunia yang sedang mereka kerah untuk tujuan nafsu semata.

Inilah fenomena baru di Malaysia. Apakah logik, sejak kurun ketiga hingga ketujuh cendekiawan berdiam diri dan sepakat kata bergelumang dalam kesalahan? Apakah waras kebenaran hanya baru muncul kurun ketujuh? Apakah wajar, ilmuwan kurun ketiga hingga ketujuh semuanya muafakat membiarkan manusia dalam kebatilan? Tentu sekali tidak.

Jika begitu, tentu ada yang tidak kena dengan gerakan seumpama ini. Harus berwaspada. Mudah-mudahan tidak menjadi mangsa.


*"dan berilah peringatan, sesungguhnya memberi peringatan itu bermanfaat untuk orang mukmin"

2 comments:

Anonymous said...

penulisan yg bagus!

Anonymous said...

ya ahsanta!