Thursday, April 29, 2010

SERBA PANTAS

Dunia kemodenan menyaksikan kepantasan segalanya. Ia tidak bermakna dahulu kala, tidak pantas. Apa yang berlaku sekarang ialah ada beberapa perkara menjadi semakin pantas. Sepantas itu juga merangsang keghairahan manusia meneroka alam yang baru buat mereka dalam apa jua lapangan.


Namun kepantasan yang diinginkan ada riskonya. Lebih-lebih lagi jika kepantasan yang bersifat campur tangan merayap kepada urusan agama. Bisa jadi cacamerba, hancur dan rosak. Bukan agama yang rosak, tapi output semberono yang terhasil dari sentuhan yang bersifat ‘kepantasan’ di samping mencicirkan banyak perkara mengakibatkan suatu salah faham yang runcing. Ini termasuklah penyalahgunaan dalil, ketidaktepatan penggunaan dalil dan putar belit yang dibuat menyelinap di sebalik perterjemahan.


Mangsanya adalah orang yang tidak tahu, orang yang sedang ingin ambil tahu dan orang yang 'belum cukup tahu'. Apapun, melihat kepada kedahsyatan perkembangan penulisan yang berbentuk peribadi, tertutup tetapi bebas, hal ini semakin berbahaya. Internet dan sumber-sumber media sudah menjadi pautan yang seakan-akan ‘mesti’ dan terpercaya. Dunia sudah kurang membicarakan hal kebenaran. Ilmu tidak lagi menyentuh hal ‘orang sahih’ atau ‘orang dhaif’. Kayu ukurnya juga kian kabur. Sempadan kesarjanaan dan kejahilan sudah digomolkan walaupun antara dua dunia kepakaran yang jauh berbeza.


Walhal, hal ini membahayakan. Bukan bahaya kerana onar senjata tajam. Bahayanya terletak kepada kesan pemahaman, pembangunan sikap dan sudut pandang lalu membuahkan tindakan. Di situlah dengan peredaran masa, kita telah dan bakal menyaksikan betapa kuasa pena memang benar mampu menggerakkan senjata. Tetapi jika tindakan sekeras itu memangsakan saudara seagama, bukankah ada sesuatu yang tidak kena?

No comments: