Thursday, April 29, 2010
SERBA PANTAS
Namun kepantasan yang diinginkan ada riskonya. Lebih-lebih lagi jika kepantasan yang bersifat campur tangan merayap kepada urusan agama. Bisa jadi cacamerba, hancur dan rosak. Bukan agama yang rosak, tapi output semberono yang terhasil dari sentuhan yang bersifat ‘kepantasan’ di samping mencicirkan banyak perkara mengakibatkan suatu salah faham yang runcing. Ini termasuklah penyalahgunaan dalil, ketidaktepatan penggunaan dalil dan putar belit yang dibuat menyelinap di sebalik perterjemahan.
Mangsanya adalah orang yang tidak tahu, orang yang sedang ingin ambil tahu dan orang yang 'belum cukup tahu'. Apapun, melihat kepada kedahsyatan perkembangan penulisan yang berbentuk peribadi, tertutup tetapi bebas, hal ini semakin berbahaya. Internet dan sumber-sumber media sudah menjadi pautan yang seakan-akan ‘mesti’ dan terpercaya. Dunia sudah kurang membicarakan hal kebenaran. Ilmu tidak lagi menyentuh hal ‘orang sahih’ atau ‘orang dhaif’. Kayu ukurnya juga kian kabur. Sempadan kesarjanaan dan kejahilan sudah digomolkan walaupun antara dua dunia kepakaran yang jauh berbeza.
Walhal, hal ini membahayakan. Bukan bahaya kerana onar senjata tajam. Bahayanya terletak kepada kesan pemahaman, pembangunan sikap dan sudut pandang lalu membuahkan tindakan. Di situlah dengan peredaran masa, kita telah dan bakal menyaksikan betapa kuasa pena memang benar mampu menggerakkan senjata. Tetapi jika tindakan sekeras itu memangsakan saudara seagama, bukankah ada sesuatu yang tidak kena?
Thursday, April 22, 2010
PETIKAN DARI UTUSAN MALAYSIA 20 APRIL 2010
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
MINGGU lepas, kita telah cuba memurnikan kefahaman tentang tajdid atau pembaharuan dalam Islam. Ia supaya kita tidak tersilap dalam memahami dan menghayatinya. Tersilap memahami tajdid dalam Islam bukannya perkara kecil kerana ia boleh membawa akibat yang besar.
Ia boleh menyebabkan seseorang itu menolak kesepakatan dan pandangan yang kuat dalam cabang-cabang utama agama akidah-syariah-akhlak.
Salah faham terhadap tajdid juga boleh mendorong seseorang itu memandang rendah, memperlekeh bahkan menghina tokoh-tokoh ulama pewaris Nabi SAW. Di peringkat masyarakat dan umat pula, faham tajdid yang salah boleh menimbulkan perpecahan lantas melemahkan kekuatan dalaman dan jati diri umat. Suatu keadaan yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh mereka yang iri hati dengan Islam.
Asas kerangka faham tajdid
Tajdid dalam Islam fokusnya adalah orang Islam, masyarakatnya dan negaranya serta bukannya fahaman dan ajaran Islam yang dijamin terpelihara sepanjang zaman.
Islam sebagai modul kehidupan bermula cemerlang dan kemudiannya berpindah dari generasi ke generasi di bawah perhatian dan pemeliharaan Rabbul Jalil sebagaimana yang selayaknya bagi risalah terakhir bagi manusia seluruhnya.
Mungkin ada yang mencebek dan menuduh naif terhadap pernyataan ini sedangkan ia sebenarnya suatu sikap sangka baik atau husnu dzan yang sangat kena pada tempatnya.
Ia adalah sikap yang berasaskan pelbagai nas-nas wahyu termasuklah ayat-ayat al-Quran yang memuji generasi para sahabat dan memperakui umat ini sebagai khaira ummah - umat terunggul.
Allah SWT sendiri juga telah mengisytiharkan kesempurnaan dan keunggulan modul ini dengan firman-Nya: Pada hari ini Aku sempurnakan bagi kamu agamamu dan Aku sempurnakan ke atas kamu nikmat-kurniaan Ku, dan Aku reda Islam itu menjadi agama kamu. (al-Maaidah: 3)
Rasullullah SAW pula mengiktiraf keunggulan generasi umat Islam dalam kurun-kurun terawal dalam memikul dan menghayati risalah ini. Keunggulan dan kehebatan generasi awal Islam sebagai juara-juara kemanusiaan dan ketamadunan juga merupakan suatu fakta sejarah yang diakui kawan dan lawan.
Bagi umat Islam beriman dan baik fitrahnya pula, ia turut menjadi suatu hakikat yang dapat dirasai di benak hati dan bukan sekadar hujah aqali.
Tajdid sekularis dan tajdid Modenis
Mengakui tentang permulaan Islam yang bercahaya sebegini akan mengenepikan hujah para 'mujaddid sekularis dan liberalis' yang sering bercakap seolah-olah ajaran Islam turut perlu melalui suatu proses pendewasaan bertahap-tahap atau evolusi sebelum ia menjadi sempurna.
Kelompok 'mujaddid sekularis dan liberalis' ini biasanya muncul dari luar. Luar dalam erti kata suara pengkaji dan pemerhati bukan Islam atau para orientalis yang menggunakan kerangka faham mereka yang asing daripada kerangka Islam. Luar juga boleh diertikan sebagai suara dari kalangan orang Islam sendiri tetapi daripada kalangan mereka yang bukan daripada latar belakang pendidikan agama.
Mereka ini juga sering mendatangi Islam dengan kerangka minda yang asing lantas gagal menilai Islam dengan neraca yang saksama. Mungkin sahaja apa yang sebenarnya sisi kekuatan pada Islam akan dilihat sebagai kelemahan dan cuba dirombak dan dihilangkan. Contohnya, luas dan terperincinya hukum-hakam syarak mereka lihat sebagai mengongkong dan melemaskan sedangkan ia menjadi antara faktor penjamin jati diri dalaman umat. Di sudut gelanggang yang lain, terdapat pula kelompok 'mujaddid modenis Islamis' yang muncul dalam kalangan umat Islam sendiri.
Kecenderungan ini ada juga muncul dari kalangan yang berpendidikan agama tetapi telah terhimbau dengan aliran-aliran dan tokoh-tokoh tertentu yang tidaklah mewakili arus perdana dan majoriti umat.
Berbeza dengan kelompok 'mujaddid sekularis liberalis', kelompok ini tidaklah meragui kesempurnaan Islam di kurun-kurun awalnya. Mereka masih bertolak daripada asas keimanan tetapi dengan kerangka 'tajdid' agama yang berasaskan prasangka bahawa generasi ulama selepas itu telah gagal memahami Islam dan menyampaikannya secara murni kepada generasi seterusnya.
Hanya sesudah banyak ratus tahun kemudiannya barulah muncul beberapa tokoh ulama dan pemikir Islam dalam pelbagai bidang yang membawa pendekatan memahami Islam yang mereka anggap lebih tepat dengan generasi awal atau para salafus soleh. Inilah sebabnya mereka yang cenderung kepada aliran ini suka menggelarkan diri mereka sebagai beraliran salaf atau salafiy. Mereka juga melaungkan semboyan kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah dengan nota kakinya: tanpa perlu perantaraan tafsiran dan huraian ulama silam.
Di antara tokoh-tokoh ulama dan pemikir yang menjadi rujukan aliran ini ialah Ibnu Taimiyyah, muridnya Ibnul Qayyim, Muhammad bin Abdul Wahhab, Muhammad Abduh, Rashid Ridha dan Nasiruddin al-Bani.
Pemikiran tokoh-tokoh mempengaruhi pengikut aliran ini ke tahap dan dengan cara yang berbeza hingga aliran ini bukanlah aliran yang tunggal dan homogenous sifatnya. Sesama pecahan aliran ini pun ada banyak percanggahan pandangan. Adalah sukar untuk memetakan aliran yang rencam ini jika berbanding kesepaduan aliran arus perdana Islam. Walau bagaimanapun, aliran 'mujaddid modenis Islamis' ini tetap bersatu dalam keengganan mereka menerima-pakai acuan akidah-syariah-akhlak yang sudah baku hasil saringan generasi ulama silam.
Jika diteliti baik dari sudut nas wahyu mahupun fitrah yang sejahtera, kedua-dua aliran 'tajdid' yang kita sebutkan di atas adalah tidak secocok dengan Islam. 'Tajdid' sekularis jelas tidak berpijak di atas asas keimanan malah bertitik-tolak daripada kecurigaan. Sesetengahnya sampai ke tahap kebencian terhadap Islam itu sendiri. Sebagai suatu gagasan luar ia juga bercakap dengan bahasa dan istilah yang asing lantas lebih mudah dirasai kejanggalannya. Maka rata-ratanya aliran 'tajdid' ini kurang mendapat tempat di kalangan umat yang solat dan berzakat. Khalayak awam pun cenderung menolak tanpa perlu diyakinkan dengan hujah yang panjang lebar.
Lain halnya dengan 'tajdid modenis Islamis' yang datangnya dari dalam tubuh masyarakat Islam itu sendiri. Ia berbicara dan memakai pakaian Islam. Khalayak awam mungkin sukar untuk menghuraikan di mana silap dan bezanya aliran ini dengan aliran arus perdana. Malah sekali dengar, hujah disokong nas yang dibawa untuk mendokong 'pembaharuan' yang dibawa kedengaran berasas dan ada logiknya. Pendek kata para ustaz pun jika tidak menelaah rujukan dan perbahasan khusus tentang aliran tidak akan benar-benar jelas tentang selok-belok perbahasannya.
Ada persamaannya di sini dengan perbahasan antara Ahli Sunnah dan Syiah dalam Islam. Mereka yang tidak merujuk bahan-bahan khusus mengenainya tidak mudah untuk menanganinya.
Mereka yang meneliti tentang hakikat 'tajdid' dalaman ini akan menemukan bahawa aliran ini mempunyai datang dengan pakej yang tersendiri. Walaupun ia mungkin kelihatan berani, progresif dan dinamik dalam mengulas sesetengah persoalan semasa pada asasnya aliran ini tetap membawa bersamanya beberapa fahaman-fahaman yang bercanggah dengan kesepakatan umat dalam akidah, syariah dan akhlaknya.
Isu-isu yang diperjuangkan dan hendak ditajdidkan pula sering berada dalam ruang khilafiah yang sepatutnya tidak boleh menjadi punca pertelingkahan. Oleh kerana isu-isu yang ditimbulkan oleh aliran 'tajdid' dalaman ini mudah menimbulkan kekeliruan dan kesamaran, polemik, perbahasan dan perdebatan terbuka bukanlah cara yang paling berkesan menanganinya.
Jika dibiarkan juga pandangan-pandangan ini disebarkan di tengah-tengah masyarakat, dalam sekian ramai yang mendengar tetap akan ada yang terpengaruh. Ajaran yang jelas-jelas sesat seperti Ayah Pin dan 'Rasul' Kahar pun ada pengikutnya yang masih setia. Pepatah Arab mengatakan Likulli Saaqitin Laqiit, "tiap yang gugur itu ada yang mengutipnya". Menyedari hal itu, pihak berkuasa yang sedar dan bertanggungjawab perlu bertegas mengawal fahaman-fahaman yang menyeleweng.
Ancaman terhadap pegangan agama adalah lebih berbahaya berbanding persoalan-persoalan lain.
Sebab itulah Imam Ibnu Hajar al-Haithami apabila ditanya tentang hukumnya seseorang menimbulkan keraguan terhadap imam-imam Ahli Sunnah turut memetik tindakan tegas yang diambil oleh Saidina Umar al-Khattab terhadap seorang lelaki bernama Dubay yang membahaskan ayat dan hadis mutasyabihat secara terbuka di tengah masyarakat. Dubay ditangkap dan dihukum sebat sehinggalah dia bertaubat. Memang kelihatan keras dan tegas tetapi sesuailah dengan besarnya maslahah yang hendak dipelihara. (al-Fatawa al-hadithiyyah)
**dari saya : pembidaahan, pemulihan kepada intipati ilmu agama bahkan penyerangan kepada sesuatu keharusan berdalil yang jelas, hanyalah gerakan lidah fitnah atas tag nama 'tajdid' (pembaharuan). Berwasapadalah.
Friday, April 09, 2010
SALAM, SALAM, SALAM
Kita selalunya mempunyai sebab yang kuat untuk membuat sesuatu yang ganjil. Kadang-kadang jelas terserlah kadang-kala tersembunyi sukar dihidu sesiapapun walau cuba dimengertikan. Bagi saya, biarlah rahsia. Saya ingin kembali kepada sesuatu yang pernah saya suka dahulu.
Seronok bercampur gembira bila berada di tanah tumpah darah, muntah dan segala saiz ‘air’ ni. Ayahbonda sering di mata, cuaca setimpal kebal tubuh dan suasana kurang luar biasa. Johor Bahru tentunya. Setakat ini, belum ada tempat lain menyinggah di hati untuk diterokai. Namun, rezeki mendatang manalah tahu kan. Barangkali jauh nun di sana sepeti pernah dahulu atau di sini sahaja atau tidak kedua-duanya ( alam barzakh ). Harap umur ini diberkati dan dimanfaatkan sesempurnanya.
Salam kehebatan, salam semangat dan salam kebangkitan! Manusia yang terbaik adalah yang paling banyak memberi manfaat. Kita buat, kita teruskan dengan konsisten. Sama-sama usaha, bekerja dan memberi khidmat. Insya Allah kita beroleh kebaikan. Salam bertemu lagi, lagi dan lagi nanti ya.
Sunday, June 21, 2009
Skil kita yang salah
Mendepani keranah anak-anak adalah satu cabaran yang berterusan dan mencabar. Nampak mudah, tapi bukan semua ibubapa mampu melakukannya dengan baik.
Ada satu perkara yang menarik perhatian saya beberapa tempoh lalu apabila seorang pakar kanak-kanak memberitahu, para ibubapa sering memberi perhatian dengan cara yang kurang tepat. Iaitu, bila anak bergaduh, menyelerak, menyepahkan barang-barang atau membuat kesalahan, barulah perhatian diberikan. Disuruhnya kemas semula, berhenti gaduh dan macam-macam lagi.
Sedangkan, kita sebagai orang dewasa terlupa bahawa kanak-kanak berbicara lewat perasaan mereka. Kanak-kanak menginginkan perhatian sepenuhnya. Jadi, bila ibubapa hanya memberi perhatian semasa mereka membuat kesilapan atau kesalahan, mereka akan berterusan membuat begitu. Bukan kerana mereka suka membuat kesilapan, cuma suka buat sesuatu yang menarik perhatian dari ibu dan bapa mereka.
Jadi, sebagai ibubapa, kita harus memahami bahasa perasaan mereka. Lebihkan perhatian ketika mereka mengemas, ketika mereka membaca dan membuat kerja-kerja berfaedah. Juga tidak lupa memberi sedikit pujian dan cadangan baru untuk mereka lakukan sesuatu yang lebih baik untuk masa mendatang.
Saturday, June 20, 2009
ARMAku yang ku sayang
Kejadian kebakaran ini berlaku di kediaman Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah ( DMAK ) atau dengan nama lama komersialnya 'arma', Asrama Rumah Melayu Abbasiah ( ARMA ).
Syukur yang amat sangat, tiada kehilangan nyawa, apapun terdapat kerugian. Mudah-mudahan apa yang berlaku menjadi pengajaran dan ingatan untuk semua.
Saturday, April 05, 2008
PANDAI dan 'PANDAI'
Hampir sebulan selepas pilihanraya.
Dulu-dulu, saya ada membaca artikel seorang penulis – rakan - yang menyatakan nada kritikan kepada beberapa pelajar – rakan - yang melahirkan sokongannya kepada sebuah parti politik tanahair melalui tulisan dalam blognya.
Secara kolektif, saya amat mengalu-alukan penelitian yang dibuat dalam pertikaian tersebut, cuma ada beberapa perkara boleh ditambah untuk pertimbangan semula.
Perlukah tunggu ada ‘pandai’?
Di sebuah negara yang mengamalkan demokrasi seperti Malaysia, setiap orang berhak untuk memberikan satu undi dalam satu-satu pilihanraya umum. Tak kiralah pengundi itu seorang pengemis, pensyarah, pemuzik, pelakon, peniaga hatta Perdana Menteri sekalipun. Setiap orang hanya satu undi. Hebat manapun anda, hanya satu undi. Teruk mana pun anda, juga satu undi. Anda memiliki sarjana atau PhD? Satu undi sahaja. Anda Menteri? Ya, satu undi. Atas dasar itulah, satu undi itu sangat berharga, kerana nilai undi seorang Perdana Menteri itu seakan sama dengan undi seorang pengemis ketika mengundi pilihanraya.
Berdasarkan keadaan ini, maka setiap individu akan mempengaruhi dan dipengaruhi oleh orang lain semasa musim mengundi. Yang lebih bijak, akan cuba mempengaruhi orang lain untuk mengundi calon parti kesukaannya. Yang biasa-biasa, akan menilai dan bersedia untuk ‘dipengaruhi’ dengan segala macam sumber maklumat dan penilaian.
Ketika pilihanraya berlangsung, pengemis memberi satu undi, Perdana Menteri memberi satu undi, pelakon memberi satu undi dan orang lain juga.
Masalahnya sekarang, perlukah seorang pengemis tadi jadi Perdana Mentari dahulu barulah menyokong parti yang disukainya seterusnya memberi satu undi? Perlukah pengemis tadi dapatkan master atau PhD dahulu, barulah dibenarkan sokong mana-mana parti? Adakah dia perlu jadi ‘ahli akedemik’ dahulu baru keluar menyokong parti tertentu? Perlukah dia keluar dari latar belakangnya sebagai pengemis, barulah boleh menunjukkan sokongan kepada parti tertentu?
Hakikatnya, undi dan menyokong adalah hak semua individu. Sokonglah mana nak sokong. Pilihkan mana parti yang mahu dipilih. Kempenlah kepada parti mana yang disukai. Malaysia menerima demokrasi. Pengemis boleh berkempen, pensyarah boleh berkempen, pemuzik juga boleh berkempen kalau mahu. Semua orang ada hak untuk menyuarakan pandangan dan pendirian politiknya. Ramai orang tidak memiliki sarjana muda boleh berkempen dan mengundi. Ramai orang yang tidak mempunyai sarjana dan Phd turut serta dalam kempen lalu mengundi.
Tak perlu tunggu ‘pandai’. Yang penting ada pandai. Kalau ada ‘pandai’, tapi kurang pandai juga tidak begitu bagus. Lebih baik kalau ada ‘pandai’ dan ada pandai sekaligus. Tapi kalau ada ‘pandai’, janganlah menghina orang yang tidak ada ‘pandai’. Janganlah perkecil dan memburukkan orang lain yang belum ada ‘pandai’. Tak baiklah begitu. Kerana bukan semua orang yang ada ‘pandai’ juga ada pandai walaupun kebanyakan orang yang ada ‘pandai’ ada juga kepandaian. ‘Pandai’ itupun kurniaan tuhan, bukan? Ia hanya sementara kerana lipatan otak, lingkaran saraf, akal dan proses taakulan yang berselirat di dalam rangka tengkorak itu pinjaman dari tuhan untuk digunakan dengan sebaiknya.
Sekarang pun sudah ada orang yang ada ‘pandai’ tapi kelihatan seperti macam orang yang tiada pandai. Tapi yang seperti itu tidaklah ramai. Yang masih ramai ialah, orang-orang pandai. Yang itu ramai.
Ingat. Yang ada ‘pandai’ akan memberi satu undi sahaja. Yang ada pandai juga memberi satu undi. Dua-dua akan beri satu undi. Jadi janganlah saling menghentam dan memburukkan peribadi orang yang tidak mempunyai ‘pandai’ seperti kita. Sokonglah parti mana nak sokong, tak perlu tunggu ‘pandai’. Cukup kalau sudah memliki kepandaian, bolehlah pilih. Tak perlu tunggu ada ‘pandai’ (Kalau ada ‘pandai’ lagi bagus). Yang sudah ada ‘pandai’, janganlah memperlekehkan orang yang belum ada ‘pandai’.
Ingat, saudara kita yang bekerja sebagai buruh kasar mempunyai ‘nilai’ undi yang sama dengan seorang yang memiliki PhD. Bukanlah cadangan yang praktikal kalau seorang buruh kasar disuruh ambil master atau PhD dahulu, baru boleh sokong parti mana dia mahu.
Kerana hak memilih hak semua. Bukan untuk orang kaya sahaja, bukan untuk orang pandai sahaja dan bukan untuk golongan korporat sahaja.
Sokonglah mana nak sokong, tanpa merendah-rendahkan orang yang menurut kita dia belum sehebat kita.
Wednesday, April 02, 2008
Mengkategori manusia
Ini adalah satu pengalaman. Ia adalah berdasarkan pembacaan suasana keliling secara rambang dan juga pemerhatian semasa.
Thursday, March 20, 2008
MENYAMBUT KEKASIH DENGAN KECERMATAN DALIL
Secara kasar, lebih-lebih lagi suasana untuk seminggu yang mendatang ini, saya ramalkan ada dua cara berfikir yang akan terulang bentuk tentang satu isu. Kedua-dua cara fikir yang bertentangan konsep ini bertitik-tolak kepada sistem yang ditentukan dan dikerahkan oleh manusia yang empunya otak itu sendiri. Manusia akan memilih salah satu sistem yang dia mahu programkan hingga membentuk ritma pemikirannya. Jika pemikirannya dikerah untuk kepada salah satu dari dua tersebut, kesannya dan hasilnya juga akan berbeza dan dapat dilihat dari percakapan, emosi dan tindakan.
Dua pendekatan berfikir berbeza yang saya maksudkan ialah :-
a. Meletakkan hukum. Kemudian mencari hujah untuk menyokong hukum yang telah diputuskan.
b. Mencari segala hujah untuk mendapatkan hukum yang mencakupi tuntutan dari segala hujah
Pendekatan berfikir (a)
Untuk mereka yang memilih untuk mengambil pendekatan (a), ia tidaklah mudah. Juga tidak sukar. Mereka akan memilih satu hukum berdasarkan satu dasar atau metod pemikiran tertentu, lalu atas tuntutan metod yang telah mereka pilih, mereka berusaha untuk mencari segala hujah atau dalil untuk menyokong hukum yang telah dibuat.
Namun, pendekatan ini sedikit sebanyak ada risikonya. Pertama, risiko ketidaktepatan dalil untuk digunakan sebagai hujah menyokong hukum yang dibuat. Kedua, risiko kemungkinan penyembunyian sebahagian dalil kerana kebimbangan hukum yang telah diambil akan disanggah. Ketiga, risiko tidak mahu menerima dalil yang kelihatan menyanggah hukum yang telah dibuat. Keempat, risiko membentuk hukum dalam keadaan jiwa terpandu oleh nafsu secara tanpa sedar. Kelima, anda keberatan untuk menukat hukum sekalipun hukum anda kelihatan cacat bila diukur dengan dalil-dalil lain.
Ini adalah lima risiko secara ringkas yang akan kita sama-sama perincikan secara berperingkat. Selalunya bila sesuatu hukum telah kita tempatkan dalam pemikiran, ia seolah-olah telah membentuk satu dinding yang menghalang untuk keluar dari dinding tersebut. Hukum yang ditanam dalam pemikiran ditambah dengan semula jadi nafsu yang ada dalam diri manusia, selalunya akan menjadikan seseorang berusaha mancari apa sahaja untuk menyokong hukumnya. Risikonya, dia akan mengenepikan apa sahaja hujah yang cuba melanggar ‘tembok’ binaannya. Segala yang tidak selari dengan hukumnya, ditolak.
Baik. Saya bawa satu misal. Ada membenci seseorang. Dengan kata lain anda meletakkan hukum benci dalam pemikiran anda. Jika ada membenci seseorang, anda mengatakan dia tidak ada, supaya manusia tidak mengenalnya. Tiba-tiba dia dikenali, anda menuju ke peringkat mengatakan dia tidak betul. Tetapi tatkala dia berjaya membuktikan dia betul, lalu anda cuba mengatakan dia bercakap salah. Apabila dia bercakap benda yang benar, anda mengatakan sumber percakapannya salah. Dan apabila dia membawa sumber yang benar, anda terus katakan sumber itu menurut anda salah, tidak mencapai status gred A untuk dijadikan panduan.
Kenapakah hasil ini berlaku? Ia tidak lain tidak bukan adalah hasil dari cara pemikiran yang telah disetkan pada awal proses maklumat dibuat. Hukum dijatuhkan terlebih dahulu. Iaitu hukum membenci. Bila hukum membenci disetkan lebih awal, maka anda akan mencari segala idea untuk menyokong gagasan hukum ‘benci’ yang telahpun menginap lebih awal dalam pemikiran. Risikonya ialah, penolakan segala hujah lain, keengganan tunduk kepada hujah yang lebih tepat dan keras dalam mempertahankan hukum yang cuba disifatkan sebagai pendirian.
Bila seseorang meletakkan cara pemikiran seperti ini, ada kemungkinan berlaku ketidaktepatan penggunaan dalil. Maksud saya dari sudut wajhul istidlal ( pemprosesan pemahaman dalil dalam membentuk hukum ). Apabila manusia telah meletakkan satu hukum terlebih dahulu, ia akan memberi impak kepada hala tuju proses yang sedang dilakukan otak. Otak akan terarah bagaimana untuk menggunakan dalil untuk menyokong hukum, bukan bagaimana memperincikan dalil untuk menatijahkan satu hukum. Kerana otak yang sama juga bekerja. Otak itulah yang menentukan hukum terlebih dahulu, otak itulah yang dikerah untuk memahami wajhu istidlal.
Jadi apabila otak sudah disetkan menghukum ‘tidak boleh’ terlebih dahulu, apakah mungkin otak yang sama sudi untuk menerima bahawa ada kemungkinan dalil yang sedang diproses bakal membatalkan hukum yang telah disetkan? Saya ulang, apakah mungkin apabila otak telah menghukum sesuatu hukum, akan menerima dalil yang menyanggah hukumnya? Saya fikir tidak kerana dalam diri manusia ada unsur nafsu.
Kemungkinan yang ada ialah otak akan ke peringkat seterusnya iaitu memikirkan apakah cara yang sebaiknya untuk menghukum sesuatu dalil sebagai sah jika bersesuaian dengan hukum, atau menghukum dalil sebagai tidak sah jika bertentangan dengan hukum yang telah disetkan dalam akal. Inilah risko yang sangat besar apabila seseorang memilih untuk berfikir menggunakan pendekatan (a) ini. Kerana risikonya sangat besar, kesannya juga begitu. Risiko tidak telus dalam wajhul istidlal, risiko tidak mahu mempertimbangkan semula hukum dan risiko menyifatkan apa sahaja dalil yang berlawanan sebagai tidak sah digunakan.
Kesannya bakal melahirkan satu pola pemikiran yang tersepit dalam ruang hukum yang dibentuk awal-awal. Pemikiran seperti ini akan dizahirkan dalam bentuk prilaku manusia. Dan inilah kelaziman yang terjadi untuk mereka yang memilih pendekatan berfikir (a) tadi. Lebih teruk lagi, jika mereka sendiri tidak sedar bahawa mereka sedang dalam lingkungan pemikiran jenis ini.
Pendekatan berfikir (b)
Pendekatan cara ini adalah bertentangan dengan pendekatan cara (a). Pendekatan ini lebih selamat dari sudut risiko yang bakal dihadapi jika dibandingkan dengan pendekatan (a).
Sebabnya, pertama, apabila seseorang tidak menjatuhkan hukum terlebih dahulu, ini akan memberi satu ruang kepadanya untuk lebih terbuka dalam memproses hujah. Minda akan terbina memerhatikan kesemua dalil untuk dilakukan proses pertimbangan. Kedua, tiada risiko penyembunyian dalil atau hujah kerana pemproses memang memerlukan segala dalil untuk dipertimbangkan dengan seimbang jikapun wujud pertentangan dari segi lafaz zahir. Ketiga, pemikiran seperti ini tidak terbeban dengan desakan hukum. Maksudnya, apabila otak tidak menjatuhkan hukum terlebih dahulu, pertimbangan seseorang lebih lapang dan selamat dari cenderung dalam keadaan silap. Juga tiada hukum yang mendesak anda untuk bersikap pro kepada mana-mana dalil.
Kebebasan, kelapangan dan keterbukaan inilah yang selalunya digunakan ramai cerdik pandai dan kebanyakan manusia. Mereka mengkaji kesemua dalil berdasarkan keseluruhan pendekatan dengan wajhul istidlal yang lebih terperinci supaya natijah atau hukum yang diperoleh benar-benar pasti sebagai satu keputusan syarak yang telus dan tepat. Setiap kekurangan yang ada pada pandangan satu pihak akan ditampung dengan pandangan satu pihak yang lain. Setiap dalil yang menentang akan dinilai semula sejauhmana keupayaannya menyanggah dalil yang menyokong. Kepelbagaian ini digabungjalinkan dengan kaedah tertentu yang memungkinkan lalu memberi satu hukum yang lebih murni dan selamat untuk diikuti dan digunapakai.
Risiko penyembunyian dalil dan menghukum dalil sebagai tidak sah juga sangatlah sedikit. Sikap terburu-buru menghukum dan menuduh juga dapat diketepikan. Ini kerana pemproses atau pemilik otak tidak terikat kepada hukum, tetapi menilai hujah-hujah secara seimbang untuk menerima apa sahaja keputusan atau hukum yang bakal terbit dari dalil-dalil tersebut.
Saya bawakan satu misalan. Anda tidak kenal seseorang, lalu anda mengambil makumat tentangnya. Anda mendengar tuturnya, anda mengenalinya sungguh dan menerima kebenaran yang dibawanya. Anda selidiki, rupanya segala cakapnya, bersumberkan yang baik. Maka dengan itu, anda membuat keputusan untuk menyukainya. Kemudian anda mendengar ada orang yang memiliki pemikiran (a) membencinya (seperti contoh di atas tadi). Ya. Anda tahu bahawa orang yang membenci telah meletakkan hukum, lalu sibuk mencari hujah untuk menyokong hukum ‘benci’nya.
Kelahiran Rasulullah
Saya lontarkan kepada para pembaca. Mendengar tentang Maulidurasul, manusia akan terbahagi kepada dua ketika mana bersikap dengan sambutan ini. Jika anda memilih pendekatan pemikiran (a), anda akan terikat dengan hukum ‘bid’ah’, sesat dan neraka.
Sejurus selepas itu anda pasti akan berusaha menghafal dalil dan hujah untuk menegakkan hukum anda. Maksud saya, hukum yang terbentuk melalui cara pemikiran anda. Anda pasti akan tajassus untuk menyenaraikan segala kesalahan Maulid itu. Segala dalil yang bertentangan ‘hukum’ anda itu, anda sekat dalam benak anda. Anda akan katakan tiada asas sumbernya. Katakan tiba-tiba orang ramai berjaya mendapatkan sumber itu. Kalau tidak berjaya sekat dari pengetahuan orang ramai, anda pasti akan canangkan sumber tersebut sebagai tidak sahih atau apa sahaja. Setelah melihat orang mula mengamalkan dan percaya kepada dalil tadi, anda remehkan pula bahawa penyampai maklumat hanyalah orang remehan kelas bawahan – dia ni bukanlah hebat sangat. Bila orang ramai tahu bahawa orang yang anda remehkan itu merupukan seorang alim besar berketurunan Rasulullah, ada mula berjinak melabelkan sumber itu sebagai Syiah. Ya. Usaha anda akan berterusan begitu kerana perbezaan memilih cara berfikir dan menilai pertimbangan telah anda putuskan sejak awal.
Anda faham, sambutan Maulid sebagai masalah khilafiah. Tetapi dorongan kuat 'hukum' tadi menjadikan anda sanggup menjadikan hal ini satu perdebatan besar. Anda juga akan suka melihat suasana perbincangan yang mensasarkan bagaimana kejayaan melaksanakan hukuman 'bid'ah sesat' itu kepada orang lain. Iaitu menghukum bid'ah atau apa sahaja mengikut acuan asal hukum anda. Anda juga keberatan untuk mendengar atau menimbang semula wajhul istidlal dari dalil yang anda sendiri kemukakan.
Ini kerana hukum telahpun terbentuk dalam minda. Itulah yang saya maksudkan hukum bid’ah, sesat dan neraka. Ia sudah disebatikan terlebih dahulu. Dan anda tidak akan bersedia untuk berlapang dada menerima mana-mana pertimbangan yang lebih seimbang berdasarkan keseluruhan dalil dengan wajhul istidlal yang lebih menyeluruh. Apapun, segalanya adalah keputusan anda. Anda bebas. Anda berhak. Kerana otak anda ada dalam kepala anda sendiri. Hati anda di dalam badan anda sendiri.
Bagi mereka yang membuat keputusan berfikir cara (b), anda boleh menikmati sambutan maulid Nabi sejauhmana ia berpayungkan dalil syarak sama ada dalil am atau khas. Anda juga akan berfikir, jika ada unsur yang tidak selari dengan syarak dalam maulid tersebut, bukan salah sambutan Maulidnya, tapi salah kesalahan itu sahaja. Pertimbangan anda akan telus dan lebih terpimpin. Emosi anda juga kelihatan lebih bersabar untuk memahami ataupun memahamkan orang lain yang sedang mahu faham. Anda juga memahamai jiwa muda mereka yang tidak mahu memahami lalu anda bersangka baik bahawa suatu hari mereka akan lembut hati untuk lebih bebas berfikir. Anda juga tetap tenang sekalipun ditujah dengan tuduhan sesat, Nasrani, ahli bid’ah atau sebagainya.
Pertama, kerana anda memilih untuk tidak menghukum terlebih dahulu. Lalu hati anda terbuka teguh bertemankan dalil-dalil yang lebih menyeluruh dan tidak sempit. Kedua, pemilihan anda menjadikan minda lebih terbuka untuk melihat dalil dari kepelbagaian sudut. Juga dapat melihat keputusan dengan cara meraikan keseluruhan pandangan ulama dengan hati terbuka. Ketiga, anda cermat dalam memilih cara bersikap dengan sesuatu. Keempat, keputusan anda bukan didorang nafsu yang menghukum terlebih dahulu, tetapi dipandu keseluruhan dalil yang memberi kefahaman yang lebih menyeluruh dan tepat.
Para pembaca yang budiman. Dengan Rasulullah, kita mengenal iman dan Islam. Dengan Rasulullah, sampai dakwah kepada kita. Dialah pemberi syafaat. Dialah pemimpin umat. Kelahirannya merupakan satu nikmat yang sangat agung nilainya. Nikmat ini sangatlah agung. Sangatlah besar.
Renungan
Saya tertarik dengan sikap baginda ketika melihat orang Yahudi meraikan nikmat kejayaan Nabi Musa ketika diselamatkan oleh Allah dengan tenggelamnya Firaun. Hal ini terakam dalam kitab Al-ajwibah Al-Mardhiah tulisan Al-Imam Al-Hafidz As-Sakhawi ( murid kepada Ibnu Hajar Al-Asqalani ) yang menaqalkan sebuah hadis dalam sahihain :
من أنه صلي الله عليه وسلم دخل المدينة فوجد اليهود يصومون يوم عاشوراء فسألهم فقالوا : هو يوم أغرق الله سبحانه وتعالى فيه فرعون ونجّى موسى عليه السلام فنحن نصوم شكرًا لله عز وجلّ فقال صلى الله عليه وسلم : فأنا أحقُّ بموسى عليه السلام منكم فصامَه وأمر بصيامه
Dalam mengomentari hadis ini, Al-Imam Al-Hafidz As-Sakhawi mengatakan :-
قال شيخنا : فيستفاد منه فعله الشكر لله تعالى على ما منّ به في يوم معيّن من إسداد نعمة أو دفع نقمة ويعاد ذلك في نظير ذلك اليوم من كل سنة، والشكر لله يحصل بأنواع العبادة ، كالسجود والصيام والتلاوة، وأيُّ نعمةٍ أعظم من النعمة ببروز هذا النبي في ذلك اليوم
( Al-Ajwibah Al-Mardhiah, jilid 3, 1116-1120 )
Apakah dengan semberono kita mahu sifatkan Nabi sebagai meniru puasa atau amalan Yahudi? Ataukah kita masih sengaja tidak mahu memahami bahawa boleh sahaja kita meraikan kesyukuran terhadap sesuatu nikmat dengan sesuatu sambutan? Bukankah sambutan Maulid berulang hari tertentu setiap tahun persis seperti sambutan berulang hari Asyura'?
Rasulullah menyambut kejayaan Nabi Musa dengan kesyukuran. Kesyukuran boleh dilaksanakan dengan segala macam ibadah sama ada sujud syukur, puasa, sedekah, nazar dan solat. Kalaulah, nikmat kejayaan Nabi Musa sahaja diraikan oleh Rasulullah (walaupun diraikan oleh Yahudi sendiri), bukankah nikmat kelahiran makhluk termulia di sisi Allah ( Rasulullah ) lebih besarnya nikmatnya? Kalau Rasulullah selaku ketua para Nabi berhak meraikan nikmat kejayaan Nabi Musa, apakah kita sebagai umat tidak berhak meraikan nikmat kelahiran Rasulullah? Apakah meraikan nikmat kemunculan Nabi tidak sama dengan keraian Nabi sendiri terhadap nikmat kejayaan Nabi Musa?
Jadi apakah nilainya pertuduhan yang menyamakan umat Islam meraikan Maulid Nabi dengan Nasrani yang meraikan kelahiran Nabi Isa? Apakah pertuduhan itu juga mahu mengheret sama menyamakan Rasulullah dengan Yahudi yang berpuasa atas kejayaan Nabi Musa? Apakah semudah itu qias dan pendalilan yang dibuat hanya kerana meraikan tuntutan hukum ‘bid’ah’ yang sudah disetkan dalam minda serta hati lalu tertutup untuk mempertimbangkan dalil lain?
Jawapan anda mungkin bersangkut paut dengan pilihan awal anda. (a) atau (b)? Keputusan anda ada dalam hati anda.
* tidak membincangkan dalil lain kerana nanti entri akan menjadi kertas kerja yang panjang. Anda pun bosan kan?
** sekadar berkongsi sedikit bersama rakan-rakan, salam Maulidurrasul...
Monday, June 25, 2007
Di balik tabir yang bersawang
Nilai sebuah blog
Eto’o pemain-pemain hebat dan berada dalam pasukan Barca yang hebat.
Saturday, May 19, 2007
SIBUK YANG AMAT........
Lagi tiga minggu untuk sedikit lega. Tetapi tiga minggu ini harus juga dengan sepenuh daya untuk ditempuhi. acha cha fighting!!!
SOLAT DI DALAM KUBUR
Dalam sebuah hadis sahih dari Anas bahawa Rasulullah menyebut :
الأنبِيَاءُ أحْيَاءٌ فِي قُبُورِهِم يُصلُونَ
Maksudnya: Para Nabi itu hidup dalam kubur mereka, bersolat ( di dalamnya ).
-Sahih menurut Imam Al-Baihaqi dan diakui oleh Al-Hafidz Abdul Haq-
Kembalinya ruh kepada jasad di alam barzakh adalah sesuatu maklumat yang sahih sama ada seseorang yang mati itu baik atau pun seorang yang jahat ( fasik ).
Jadi, bagi Para Nabi, kembalinya ruh mereka ke jasad mereka adalah lebih pasti dengan hadis yang tertera sebentar tadi bahawa setiap Nabi itu bersolat di dalam kubur mereka. Hadis tersebut menjelaskan kurniaan Allah kepada hamba-hambanya yang terpilih untuk terus melakukan ibadat kepada Allah. Bagi para Nabi, mereka semua dikurniakan solat di dalam kubur.
Adapun bagi para wali dan orang-orang soleh, sebahagian mereka memperolehi kurniaan bersolat di dalam kubur, tetapi bukan semua mereka begitu. Ringkasnya, ada yang dapat, ada yang tidak. Ini dibuktikan berdasarkan peristiwa yang diriwayatkan berkenaan seorang hamba tabiin yang mulia bernama Thabit Al-Bananiy. Beberapa orang saksi telah menyaksikan bahawa beliau bersolat di dalam kubur setelah kematiannya.
Ini adalah seperti yang diceritakan oleh Ibnu Rajab dalam kitabnya Ahwal Al-Qubur bahawa Abu Nuaim meriwayatkan dari Sayyar bin Hasan dari bapanya yang telah menceritakan : “Demi Allah, tiada tuhan kecuali Dia, aku telah memasukkan Thabit ke dalam lahadnya dan yang bersamaku ketika itu ialah Hamid dan seorang lelaki yang baik. Ketika aku sedang mengemas atur batu-batu, tiba-tiba satu biji batu telah terjatuh ke dalam liang lalu aku turun dan mengambil batu itu seraya aku mendapati Thabit sedang solat di dalam kuburnya. Aku pun berkata kepada lelaki yang bersamaku : Adakah anda melihatnya? Lelaki itu berkata: Diam! Setelah kami selesai meuruskan tanah kuburnya, kami pun menuju ke rumah anak perempuan Thabit lalu kami bertanya: Apakah amalam Thabit? Anak perempuannya bertanya: Apa yang kamu nampak? Kami pun memberitahunya apa yang terjadi sebentar tadi. Anak perempuannya pun menyambung: Beliau ( Thabit ) telah bangun malam ( beribadah ) selama 50 tahun dan tatkala waktu sahur, beliau berdoa, “Ya Allah, jika Kau kurniaan kepada seseorang hamba-Mu untuk bersolat di dalam kuburnya kelak, kurniakanlah ia kepadaku”. Dan Allah tidak menolak permohonannya itu.
Friday, May 04, 2007
"Belajar dulu! Jangan fikir fasal kahwin"
“Belajar dulu! Jangan fikir fasal kahwin”
Ayat ini, ada terucap di balai lepas lapangan terbang. Ada terngiang di corong speaker talian e-voiz. Ada tercatit dalam emel kiriman bulan lepas. Ada tertulis dalam surat yang baru diterima. Masih tersimpan dalam senarai sms telefon minggu lepas. Ada diulang cakap di meja pendaftaran kemasukan universiti suatu masa dahulu. Ada disampaikan melalui abang kakak. Ayat ini lazimnya dari ibu bapa, untuk anak muda.
Orang muda ada juga yang sedang kemaruk bercinta ketika menerima amanat ini. Bila mendengar, entah apa yang terlintas di kepala. Mungkin rasa seperti jatuh ditimpa lori pasir agaknya.
Baik. Fikir adalah gerak kerja yang biasanya digerakkan oleh akal. Dan orang muda yang sedang di tahap perkembangan fizikal dan mental ini, pasti terkesan dengan pengaruh pertumbuhan akal tersebut. Akal orang muda perlulah ditatang supaya ia berkembang dengan sifat bernas dan positif. Itu hal akal. Di samping itu, orang muda juga mengalami pertumbuhan emosi dan perasaan. Atau lebih mudah disebut nafsu. Perkembangan nafsu lebih mudah berbanding perkembangan akal. Jadi, apabila seseorang mencapai umur 16-24 tahun, akalnya sedang berkembang pesat, juga nafsunya.
Mahu tidak mahu, itulah hakikat dalam diri setiap manusia. Ada akal dan nafsu.
Ketika mengharungi usia seperti ini, perasaan, emosi dan nafsu orang muda perlu mendapat kawalan keseimbangan dengan adanya akal. Maksudnya, akal perlu dikembangkan sama sebagai senjata untuk mengekang perkembangan nafsu yang tidak terkawal. Peranan akal sangat kuat ketika ini. Bukan sekadar untuk akal itu sendiri, malah peranannya mampu mempengaruhi tindakan yang bakal dilakukan oleh nafsu.
Jadi akal sangat perlu terisi dan bekerja. Terisi dengan input yang baik dan bekerja secara sistematik. Perkembangan nafsu mudah, tetapi perkembangan akal perlu diusahakan secara terpandu. Jika akal orang muda tidak terisi dan bekerja secara sepatutnya, maka segala tindakan orang muda khususnya dalam hal bercinta akan dipandu semata-mata oleh nafsu. Ketika nafsu sudah menjadi ‘penasihat’, banyak perkara negatif bisa terjadi.
Sedangkan dalam usia muda inilah akal sedang mahu berfikir. Akal sedang bertindak untuk semakin matang membuat penilaian. Akal sedang semangat untuk bekerja lebih kuat. Tiba-tiba akal mendapat arahan supaya jangan berfikir. Mana rasionalnya?
Saya fikir, ibu bapa tidak wajar menghalang mereka berfikir fasal kahwin tetapi pandu dan ajarilah mereka bagaimana hendak berfikir fasal kahwin. Dan garis panduan atau modal awal sebelum mengajar orang muda berfikir ialah Al-Quran dan sunnah itu sendiri. Isi akal mereka. Kenalkan anak dengan ayat-ayat Al-Quran berkenaan hal kahwin. Beritahu anak hadis-hadis yang menceritakan kelebihan orang berkahwin. Solatnya, puasanya dan keutamaannya. Tentang sikap Nabi dalam hal rumahtangga. Juga perihal isteri-isteri baginda. Jangan lupa juga amaran-amaran untuk orang yang sudah berkahwin. Terangkan serba sedikit hukum-hukum berkenaan hal rumahtangga. Hal mencari calon pasangan. Ciri-cirinya. Baik buruknya.
Sunday, April 29, 2007
MENYAYANGI KELUARGA KEKASIH
OLEH : ALEXANDARICAIRO
(entri edisi kesibukan musim periksa)
Mencintai ahli keluarga Nabi merupakan salah satu tuntutan dalam agama kita. Benar. Hadis dan praktikal ulama-ulama Ahli Sunnah sangat menyokong kenyataan ini.
Menjawab tidak, membiarkan begitu sahaja pun tidak. Itu saya. Namun sedikit terpanggil untuk berkongsi buah fikiran tentang bagaimana untuk mengamalkan wasatiah (kesederhanaan) dalam usaha memandu hati tatkala membuat sesuatu penilaian berkenaan satu-satu perkara secara adil dan cermat. Sedikit peringatan. Ada dalil bukan semestinya tepat cara penggunaan dalil itu. Ada hujah bukan bererti sesuatu kenyataan itu menepati realiti. Kadang-kala hujah tidak tepat, dalil pula tidak memenuhi kehendak kenyataan secara sempurna.
Sebelum melangkah ke butiran yang lebih jauh, kita harus berfikir untuk tidak silap dalam menyamakan atau membezakan. Misalnya, seorang lelaki makan nasi. Kemudian ada seorang perempuan makan nasi. Baik. Tidak wajar rasanya untuk anda mengatakan perempuan itu adalah seorang lelaki semata-mata kerana dia makan nasi. Benar. Kedua-duanya makan nasi. Tapi, bukan semudah itu menghukum perempuan itu adalah seorang lelaki. Hanya kebetulan ada persamaan ciri iaitu makan nasi. Namun harus diingatkan makan nasi bukanlah syarat untuk kita menghukum seseorang sebagai lelaki. Sedikit gurauan, kalau tiba-tiba ada seekor kambing makan nasi, apakah mahu juga dihukum kambing itu seorang lelaki???
Mengikuti ceramah As-Sheikh Al-Habib Ali mengingatkan saya kepada satu hadis Nabi yang menggesa umatnya mengajarkan tiga perkara kepada anak-anak. Mencintaiku, kata Nabi, mencintai ahli keluargaku dan membaca Al-Quran. Saya memang sukakan dalil tetapi melihat musuh-musuh Islam juga menggunakan dalil dalam menyerang keluarga Nabi, saya cuba membuat sedikit pendekatan berbeza dengan anggapan, dalil boleh anda dapati dari sumber-sumber lain. Ini mungkin juga disebabkan saya teruja dengan kemantapan profesor-profesor Universiti Al-Azhar khususnya Mufti negara Mesir sendiri yang cukup bijak memberi daya pemikiran wasatiah yang konsisten di peringkat antarabangsa sekalipun ketika berhadapan dengan sesuatu yang dianggap sebagai dalil dari pihak lawan.
Kenyataan-kenyataan As-Sheikh Ali Jumuah, Mufti Mesir diambil dari majalah At-Tasauf Al-Islami, keluaran bulan April, bilangan 340 - Kaherah.
