Tanpa penerangan awal dan pengenalan, saya masuk ke tengah-tengah ruang bicara sebab saya copy lamunan saya secara langsung dan paste di ruang blog ini. Begini ceritanya;
.............................................................................................
..........................................................................................................
Apakah mengatakan kayu kokka itu berkhasiat sudah dikira syirik? Tidak. Apakah semata-mata menganggap kayu kokka itu ditakuti oleh jin, maka ia sudah dianggap syirik? Sudah tentu tidak. Mengatakan jin takut pada kokka bukan menyamakan Allah dengan makhluk!! Menanggapi bahawa kokka itu berkhasiat bukanlah syirik.
Sebagai contoh, manusia dengan sifat tabii kemanusiaannya ada perasaan takut pada ular. Ular, sejenis binatang berbahaya serta mampu melakukan serangan yang boleh memudaratkan manusia. Patukan dan sengatannya yang berbisa, sering diawasi manusia kerana ia bakal menggugat nyawa. Itulah lumrah alam yang biasa bagi dunia seorang manusia biasa untuk takut kepada ular. Itulah hakikat, realiti dan semula jadi. Jadi, apakah mengatakan manusia takut kepada ular, maka itu menjadi syirik? Sudah tentu tidak. Kalau begitu, mengapa pula mengatakan “jin takut kepada kokka” dikatakan syirik? Yakah dengan tiga kalimah “jin takut kokka” seseorang itu dikatakan sudah syirik?
Berbalik kepada jin tadi, secara perbandingan realiti mudah, ada kemungkinan berdasarkan ahli-ahli pakar dalam bidang kejinan atau seumpama dengannya menyimpulkan bahwa jin itu takut kepada kayu kokka. Mungkin sahaja. Ia tidak jauh perbandingannya dengan manusia takutkan ular. Bagi manusia biasa, ular ditakuti. Itulah realiti kemanusiaannya. Benar, sebagai seorang muslim, kita takut kepada Allah, tuhan semesta alam. Tetapi takut kepada ular bukan bererti menyamakan ketakutan kita kepada ular itu dengan takut kepada Allah! Takut kepada ular adalah berdasarkan hakikat naluri kemanusiaan dan takut kepada kokka merujuk kepada neraca alam jin. Takut kepada Allah pula adalah perihal kehambaan dan pengabdian. Ia dua perkara yang berbeza.
Tapi, semata-mata rasa takut kepada ular atas sifat kemanusiaan, ia bukan bermakna syirik! Mengandaikan jin itu takut kepada kokka juga bukan syirik! Mungkin jin itu takut kepada kokka atas dasar realiti dunia kejinannya. Manusia mungkin biasa dengan kokka, takut dengan ular. Jin pula sebaliknya. Jin biasa dengan ular, mungkin takut pula dengan kokka! Siapa tahu?
Masalahnya sekarang, apakah syirik mengatakan “jin takut kokka”? Kita lihat.
Bagi jin, mungkin ular bukan sesuatu yang perlu ditakuti malah jin dan syaitan sering menzahirkan diri dalam rupa ular khususnya ular berwarna hitam. Ini juga pernah berlaku pada zaman Nabi Musa di mana para ahli sihir Firaun mempersembahkan sihir mereka dengan menjelmakan ular-ular yang besar. Manusia gerun dengan ular. Bagi jin, ular itu mungkin perkara biasa bagi mereka. Biasa dengan ular, mungkin mereka ( jin ) takut pula dengan kokka! Ha ha.
Namun, manusia pula secara tabii kemanusiaannya tidak takut kepada kayu kokka. Kokka adalah biasa digunakan bagi manusia. Manusia ber‘kokka’ dengan gelang, cincin dan tasbih untuk kegunaan harian tanpa menyembah atau memuja kokka itu walaupun segelintir manusia percaya kokka itu boleh menakutkan jin dan menghalang gangguan mereka sepertimana manusia percaya memasang pintu jaring besi di rumah boleh menghalang ‘kedatangan’ pencuri atau orang tidak dikenali. Pintu besi mungkin realiti menghalang gangguan pencuri datang ke rumah namun memasang pintu besi bukanlah syirik. Kokka juga mungkin realiti menghalang gangguan jin namun memakai kokka juga bukan syirik. Kedua-duanya adalah bersikap mengambil sebab yang memungkinkan mengelak kejadian sesuatu. Buktinya, pemasang pintu besi rumah menerima hakikat kemungkinan pencuri itu berjaya menerobos pintu besi rumahnya dengan cara tertentu di luar adat dan jangkaannya. Pemakai kokka juga menerima realiti kebarangkalian ada jin-jin tertentu yang mampu untuk mengganggu situasinya walaupun dalam keadaan ber‘kokka’.
Iklan:- Erm... mm....mu.. Mungkin manusia pelik jika jin takut pada kokka. Jjj.. ji... Jin juga kehairanan bila melihat manusia takut pada ular. Iklan habis.
Jika begitu, apakah mengatakan manusia dengan sifat semula jadi kemanusiaannya takut kepada ular, maka dilabel sebagai syirik? Pasti tidak sebegitu. Begitu juga, apakah mengatakan jin itu takut kepada kokka maka dicap sebagai syirik? Tidak. Sebab, mengatakan jin takut kokka atau manusia takut ular bukan menyamakan status dan level ketakutan itu seperti mana takut kepada Allah. Ia cuma bersandarkan kepada realiti kehidupan manusiawi dan alam jin. Sebagaimana ada kebarangkalian terdapat segelintir manusia tidak takut pada ular, juga ada kemungkinan terdapat jin tidak takut kokka.
Jadi, mengapa semata-mata mengatakan “ jin takut kokka” dikira syirik!
Benar. Yang menjadi syirik ialah apabila meyakini ular mempunyai kuasa mengatasi kuasa Allah untuk menakutkan dan memudaratkan manusia. Ya. Juga yang menjadi syirik ialah apabila meyakini bahawa kokka itu memiliki kuasa yang mengatasi kuasa azali Allah untuk menakut-nakutkan jin. ( Ya Allah, peliharalah akidahku dari mensyirikkan-Mu. Amien )
Kalaupun benar ada orang yang menganggap kokka mempunyai kuasa mengatasi kuasa Allah untuk menyembuhkan, apa rasionalnya kokka dibenci? Yang salah itu perbuatan syirik atau kokka yang bersalah? Kenapa kokka diboikot? Kenapa dibuang, dibakulsampahkan lalu di‘syirik’kan? Di mana duduknya kewarasan dan akal budi fikiran yang luhur?
Sebagai contoh lain, menurut pengamatan dan hasil kajian seorang pakar perubatan, ubat X mengandungi beberapa bahan bercampur yang telah diuji keberkesanannya untuk menyembuhkan penyakit Z. Beberapa hasil positif telah menjadi sandaran oleh beberapa pihak untuk mempromosi dan mengatakan ubat X boleh menyembuhkan penyakit Z. Iklan dibuat dan tawaran harga perkhidmatan dihidangkan. Baik. Lalu, apakah mengatakan khasiat ubat X mampu menyembuhkan penyakit Z dikira syirik? Apakah iklan itu jadi syirik? Apakah tawaran harga tadi menjadi hasil rezeki kerja syirik? Sudah tentu tidak sama sekali.
Secara perbandingan. Katakanlah, menurut pengamal ilmu rohani dan dalaman yang benar atau ahli perubatan bahawa kokka memang mengandungi beberapa khasiat tertentu dengan cara tertentu untuk sesuatu tujuan tertentu tanpa syarat pemujaan dan sihir. Apakah ini syirik? Sudah tentu tidak. Semata-mata mengatakan ia memiliki khasiat tertentu bukanlah syirik! Wahai pembaca yang bijaksana lagi budiman, pengamal ilmu ini bukan mengatakan kokka itu memiliki kuasa yang mengatasi kuasa Allah untuk menyembuhkan. Bukan. Dia semata-mata menyatakan terdapat khasiat tertentu berdasarkan pengamalan, pengalaman, pemerhatian, ujian, eksperimen, jangkaan dan penelitian tertentu.
(.............................Cuba kita lihat. Seorang doktor menawarkan beberapa ubat dengan mengatakan ia boleh menyembuhkan. Apakah rasionalnya seorang doktor yang menawarkan khasiat beberapa produk penyembuhan kepada seorang pesakit lalu doktor itu dituduh syirik dengan produk perubatannya! Contoh lain. Seorang pakar kaji batu-batuan dan kayu-kayan menyifatkan sesetengah jenis batu mempunyai khasiat tersendiri untuk rawatan beberapa penyakit. Mana logiknya menuduh pakar penemuan khasiat itu sebagai syirik kepada kayu-kayan dan batu tersebut!..........................)
Nah. Lihat. Dalam proses penyembuhan penyakit, ada kemungkinan berlaku kehilangan nyawa atau kegagalan ubat untuk menyembuhkan. Misalnya, penyakit tidak sembuh, nyawa pula hilang lalu ahli keluarga kesedihan. Dalam keadaan ini, manusia menerima hakikat kuasa dan ketentuan Allah mengatasi segala. Ajal dan maut adalah ketentuan takdir.
Penerimaan manusia tentang kebarangkalian wujud kegagalan sesetengah ubat untuk menyembuhkan penyakit membuktikan manusia bukan mensyirikkan khasiat ubat dengan kuasa Allah. Kuasa Allah mutlak mengatasi segala. Khasiat pula adalah sandaran untuk membuat pilihan sebagai jalan usaha.
Ingin saya tegaskan. Orang Islam meyakini kuasa mutlak Allah mengatasi segala. Cuma, apabila sesuatu proses rawatan atau penyembuhan dibuat, khasiat ubat adalah sandaran yang dibuat oleh manusia dalam pemilihan ubat yang sesuai dan terbaik sebagai usaha dan ikhtiar sebelum bertawakal kepada Allah. Itulah realiti usaha dan tawakal. Pemilihan pula dibuat atas dasar harga tawaran dan potensi hasil rawatan. Kepercayaan kepada kewujudan khasiat bukanlah satu pergantungan mutlak atau proses mensyirikkan Allah. Khasiat adalah hasil penemuan, kajian, pengalaman atau termaktub dalam nas-nas syarak itu sendiri sebagai penelitian ( rujukan ) untuk membuat pilihan. Untuk membuat pilihan, bukan untuk syirik. Faham?
Jadi, apakah mengatakan ubat X itu ada khasiat tertentu maka mahu dilabel syirik? Begitu juga, apakah mengatakan kokka itu mempunyai khasiat tersendiri dikatakan syirik? Sudah tentu tidak. Tiada unsur syirik dengan mengatakan kayu tertentu memiliki khasiat tertentu. Mengatakan ia berkhasiat bukanlah menafikan atau menyekutukan kekuasaan Allah yang Maha Berkuasa. Meyakini ia bermutu tinggi bukan bermakna menidakkan mutlak kuasa Allah terhadap segala sesuatu!
( Baik. Kita andaikan akan berlaku kesilapan fakta. - Apapun jika berlaku kesilapan fakta, ingat, ia bukan lesen untuk menghukum syirik secara semberono - Begini. Katakan. Selepas dua tahun, ahli sains mendapati ubat X tidak cukup kredibiliti untuk dikatakan mampu menyembuhkan penyakit Z. Ini bermakna, pakar perubatan tadi telah melakukan satu kesilapan fakta. Namun, kesilapan fakta itu bukan bererti syirik telah berlaku! Kedua. Seorang pengamal perubatan rohani mendapati kokka bukanlah kayu yang cukup ‘khasiat’ menghalang gangguan jin. Jika ini benar, ia bermakna fakta yang mengatakan jin takut kokka sebelum ini adalah silap. Jin sudah tidak takut pada kokka rupanya! Apa pun jua, ia bukan bermakna penemuan fakta sebelum itu dihukum sebagai syirik kepada Allah )
Benar. Yang menjadi syirik ialah mengatakan atau meyakini ubat X memiliki kuasa yang menyamai kuasa Allah untuk menyembuhkan penyakit Z. Itu barulah syirik. Ya, benar. Yang menjadi syirik ialah mengatakan kayu kokka itu mempunyai kuasa mutlak melampaui kuasa azali Allah untuk menyembuhkan penyakit tertentu. ( Ya Allah, peliharalah akidahku dari mensyirikkan-Mu. Amien )
Walau bagaimanapun, jikapun ada manusia yang salah dengan meyakini kuasa penyembuhan ubat X mengatasi kuasa Allah, apakah wajar ubat X yang bermanfaat itu dibenci? Yang manakah yang patut dibenci? Perbuatan syiriknya atau ubat X itu? Sudah tentu perbuatan syirik itu yang ditegah, dibenci dan dibuang. Bukan dengan membenci dan membuang ubat yang bermanfaat itu.
Seterusnya, kalaupun ada manusia yang meyakini kuasa penyembuhan kokka menyamai kuasa Allah, apakah kokka juga dibenci dan dibuang? Yang wajib dibuang itu kokka atau pegangan syirik itu? Yang wajib dibuang ialah perbuatan syirik itu, bukan kayu kokka itu. Apa logiknya membuang kokka itu?
Kemudian, apakah rasional menuduh/menyangka/menganggap mana-mana pengguna/pemakai kayu kokka sebagai syirik!
Oleh yang demikian, mengatakan kokka mempunyai khasiat tersendiri bukanlah suatu perbuatan syirik. Mengatakan ubat tertentu mempunyai khasiat menyembuhkan juga bukanlah perbuatan mensyirikkan atau menyekutukan atau menyamakan Allah dengan makhluk. Khasiat adalah satu kelebihan yang Allah cipta pada makhluk tertentu untuk digunakan oleh makhluk itu sendiri khususnya manusia dengan cara yang dibenarkan oleh syarak.
Kokka. Kokka adalah sejenis kayu yang mungkin mempunyai keistimewaan tersendiri. -Wahai tuhan kami, Engkau tidak menjadikan ia sia-sia, Maha Suci Engkau ya Allah, maka peliharalah kami dari azab neraka - Bukan kokka sahaja, malah kayu-kayan lain, ubat-ubatan, dedaunan, batu dan bermacam-macam lagi. - Jangan lupa tongkat Ali ya! - Itu semua adalah anugerah Allah yang tidak terhingga kepada hambanya supaya mengkaji dan menggali rahsia-rahsia serta khasiat yang terkandung demi kebaikan dan manfaat manusia jua. Atas kita untuk menggunakannya dengan cara dan bentuk yang dibenarkan dan diredhai oleh Allah. Sekian.
1 comment:
Assalamualaikum,
Saya bersetuju dengan pandangan saudara.
Post a Comment