Isu mat rempit yang hangat menjadi bualan umum rakyat Malaysia merupakan isu lama yang telah berlarutan dan berkembang membudaya di kalangan anak muda di Malaysia sejak tempoh yang agak lama. Walau bagaimanapun, isu ini memerlukan beberapa faktor untuk di‘isu’kan kembali lalu perbincangan tentang golongan ini menjadi suatu cerita ‘baru’ sebagai bahan pemberitaan semasa dan isi perbincangan awam.
Dalam menyorot masalah ini, setiap golongan lapisan masyarakat mula mendedahkan pendapat, idea, pandangan, komen, bantahan, kritikan dan cadangan ke arah jalan penyelesaian. Ada suara inginkan penegasan undang-undang lalu lintas yang lebih telus dan jelas, ada yang inginkan penyelesaian berbentuk program pembinaan rohani, ada yang mahukan penguatkuasaan kuarantin, kekerapan pemeriksaan kenderaan motosikal, rondaan polis yang lebih kerap malah tidak kurang pula yang berkeras mahu mengheret mat-mat rempit kepada penyelesaian secara peribadi.
Agak kehairanan juga ya, tatkala isu ini belum diketengahkan secara komersial, tidak kelihatan mana-mana pihak yang berautoriti tinggi untuk membuat sebarang langkah dan tindakan yang menampakkan keikhlasan mereka menangani isu ini sebelum berkembang biak menjadi barah secara tidak terkawal. Namun, apabila isu ini dibongkar secara umum, setiap lapisan masyarakat mula menampakkan minat masing-masing untuk mengaut keuntungan di sebalik isu. Setiap lapisan masyarakat kelihatan bersesak-sesak untuk menunjukkan kehebatan masing-masing membicarakan isu ini dengan sungguh banyak alasan dan sebab, cuba memperlihatkan kesungguhan menghadapi isu ini.
Pengamal undang-undang bersungguh-sungguh untuk mencari ruang-ruang yang ada dalam mana-mana peruntukan untuk digunakan sebagai peluang mengaut keuntungan rentetan kes-kes yang melibatkan mat rempit. Para ahli akademik berlumba-lumba untuk mendapatkan habuan ceramah tentang mat rempit dengan cara mempersembahkan isu mat rempit dengan cara yang menarik perhatian hadirin. Penggerak program-program kursus motivasi sibuk-sibuk melobi sana-sini untuk menyatakan kesudian mereka menangani isu ini mengikut cara dan modul mereka. Para pemerintah pula berkenan untuk mendekati/mendampingi golongan yang ‘sedang’ dibenci masyarakat ini sebagai agenda memenuhi nafsu sokongan dan kempen senyap politik. Para wartawan dan pemberita juga menarik nafas lega ekoran isu yang tidak putus-putus sambil membayangkan rezeki untuk hari esok. Ahli statistik pula bertungkus-lumus menyediakan statistik tepat dan terkini penglibatan anak muda dalam aktiviti rempit ini.
Baiklah. Jika anda bertanya kepada mana-mana golongan dan lapisan masyarakat, saya percaya kesemua mereka akan melahirkan perasaan marah, geram atau tidak suka dengan tindakan dan perangai mat rempit secara umum. Mereka juga akan menghidangkan kepada anda jawapan-jawapan yang bernas dan realistik berhubung permasalahan mat rempit. Mereka juga akan memberi alasan berhubung keperluan menyebarluaskan maklumat serta kepentingan menangani isu dengan baik dan berkesan.
Ingin saya sebut. Saya tidak menafikan bahawa isu mat rempit adalah isu serius yang melibatkan kepentingan orang awam serta mesti ditangani secara total dan bersama. Saya juga tidak menidakkan keseriusan semua pihak tadi dalam menangani kemelut isu ini. Saya tidak memperkecilkan pihak yang benar-benar bekerja dari hati yang ikhlas untuk melihat perubahan yang positif. Memang benar isu ini memerlukan sentuhan kerjasama dari semua pihak untuk diselesaikan. Saya setuju.
Cuma sebagai seorang anggota masyarakat, saya melihat keperluan jiwa-jiwa yang tulus untuk benar-benar mengatasi isu ini tanpa menoleh kepada apa-apa kepentingan. Tidak kira dari lapisan mana, golongan mana atau berstatus apa, isu ini tidak mungkin akan selesai selama mana ia dijadikan polemik yang sedang dieksploitasi secara kemas dan tersusun untuk memenuhi selera setiap golongan tersebut mengikut kepentingan-kepentingan yang akan mereka perolehi di sebalik isu ini.
Jika eksploitasi ini nyata berlaku dan memang sedang berlangsung, maka yang akan terus menjadi mangsa adalah golongan mat rempit itu sendiri. Sudahlah mereka dalam kekaburan mencari hala tuju, identiti dan bersabit dengan isu ini malah dipandang serong, ditambah lagi masyarakat yang mencari keuntungan di sebalik isu menyebabkan kemelut yang mereka hadapi tidak menemui sebarang jalan keluar yang positif walaupun berhadapan dengan pelbagai tawaran penyelesaian yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan.
Lebih berat lagi jika isu ini belum lagi selesai dengan baik, masyarakat sudah berminat dan berpindah kepada isu lain yang lebih ‘panas’, ‘baru’ dan terkini. Pada ketika itu, semua golongan tadi langsung mengalih tumpuan dan perhatian mereka kepada isu baru dan sedang cuba bagaimana mengeksploitasi isu yang ‘baru’ ini pula lalu isu mat rempit yang hangat sebelum ini akan berlalu begitu sahaja tanpa titik noktah yang positif.
Pada masa itu, ahli akademik sudah tidak begitu gah membicarakan isu mat rempit. Wartawan dan jurnalis tidak lagi menghias dada-dada akhbar dan web-web kelolaan mereka dengan masalah mat rempit. Isu rempit sudah tidak dapat menjadi polemik yang menguntungkan. Perbincangan akan dilihat sebagai tidak kena masa atau tidak mengikuti perkembangan semasa. Pada hal mat rempit masih aktif merempit sana-sini. Begitulah seterusnya. Isu demi isu berlegar dan beredar tanpa benar-benar ditunjangi keikhlasan dalam membuat pendekatan mahupun penyelesaian. Mat rempit mungkin berpindah kepada buang bayi. Kemudian isu dadah. Seterusnya bunuh dan bakar, rogol, peras ugut, kemalangan dan sumbang mahram. Mungkin akan kembali semula kepada mat rempit semula suatu hari nanti. Akhirnya semua isu-isu jenayah ini apabila dilihat melalui statistik tahunan, semuanya meningkat dari tahun ke tahun. Semuanya bertambah parah dan bermasalah.
Setiap kemelut isu menjadi bertambah buruk. Satu demi satu isu sama ada ditatang atau dibiarkan hanyalah berdasarkan neraca keuntungan semasa. Sebenarnya, eksploitasi isu inilah yang lebih merbahaya jika sudah membudaya dalam masyarakat lebih-lebih lagi kalau golongan berpendidikan tinggi juga turut melabur saham menyemarakkan budaya ini. Budaya meminati isu berkepentingan menyebabkan apa sahaja masalah tidak akan selesai seperti yang dicita-citakan.
Puaslah perancangan dibuat, berbuihlah mulut yang berforum dan ceramah, letihlah tangan yang menulis, penatlah anggota badan yang menggerakkan bermacam-macam program. Jika ia benar-benar ikhlas, tuhan pasti akan memberi ganjaran. Namun kalau setiap jerih payah diselit dengan kepentingan peribadi, apakah mungkin akan ada harapan penyelesaian yang diinginkan? Sampai bila kita mahu lihat setiap hari isu demi isu dimainkan di akhbar-akhbar?
Bukan rezeki wartawan yang kita pertikaikan. Bukan upah ceramah pensyarah yang kita ragukan. Bukan niat pemerintah yang kita sangsikan. Cuma di manakah penyelesaian dan apakah memang benar-benar ada atau ia hanya retorik semata?
Suatu masa nanti, dalam kebimbangan masyarakat tentang bahaya sesuatu isu jenayah, mereka juga sudah mula menunjukkan muak dan bosan untuk membicarakan isu tersebut. Setiap isu yang datang menyapa akan dianggap sebagai biasa, akan berlalu dan akan datang semula suatu hari nanti. Sikap tak endah dengan apa yang berlaku pada orang lain akan membudaya. Tinggallah mangsa jenayah sahaja yang akan terus berteriak. Itu pun kerana mereka yang menjadi mangsa. Jika tidak, mereka turut sama dengan ketidakacuhan mereka.
Jadi, aspek apakah yang menjadi teras punca kepada keseluruhan isu jenayah yang berlaku? Apakah ia nafsu? Dengan nafsu manusia merompak. Dengan nafsu juga manusia mengabaikan kepentingan awam lalu merempit, membunuh, merogol, memeras ugut malah dengan nafsu juga manusia mengeksploitasi isu-isu untuk kepentingan peribadi. Maka, jika benar nafsu adalah punca utama segala masalah-masalah tersebut, mungkin di sinilah titik tolak segala penyelesaian. Jika penyelesaian bertumpu kepada proses pemurnian dan pendidikan nafsu, maka ia mungkin berpotensi menghasilkan natijah yang baik untuk setiap isu atau masalah yang berlaku.
-sekadar celoteh dan renungan-
No comments:
Post a Comment