Dalam Surah Az-Zariyat ayat 56, Allah berfirman :
ومَا خَلَقْتُ الجِنَّ وَالإنْسَ إلَّا لِيَعْبُدُوْنِ
Maksudnya: “Tidaklah Aku ( Allah ) mencipta jin dan manusia melainkan ( Aku perintahkan ) untuk menyembah-KU”.
Ayat ini bukanlah bermaksud Allah menghendaki semua jin dan manusia itu untuk menyembah Allah seperti mana yang didakwa oleh golongan Muktazilah.
Benar, Allah memerintahkan semua jin dan manusia untuk menyembah Allah tetapi Allah tidak menghendaki semuanya untuk menyembah Allah. Di sinilah perbezaan antara ‘memerintah’ dan ‘menghendaki’. Allah memerintahkan semua menyembah Allah tetapi ada jin dan manusia yang enggan serta ingkar.
Jadi, jika ayat di atas ditafsir dengan makna – tidaklah Aku mencipta jin dan manusia melainkan untuk menyembahKu- ia akan membawa erti Allah menghendaki semua jin dan manusia yang telah dicipta itu untuk menyembah Allah. Sedangkan betapa ramainya manusia tidak menyembah Allah dan banyaknya jin yang tidak menyembah Allah. Maka, tafsiran yang benar ialah Allah mencipta semua jin dan manusia itu untuk Allah perintahkan kesemua mereka supaya menyembah Allah. Sebahagian mereka patuh namun tidak kurang pula yang ingkar. Tafsiran ini berdalilkan ayat Al-Quran yang lain:
وَلَوْ شِئْنَا لَآتَينَا كُلَّ نَفْسٍ هُدَاها وَلَكِنْ حقَّ القَوْلُ مِنِّي لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الجِنَّةِ وَالنَّاسِ أجْمَعِينَ
Maksudnya: “Jika Kami ( Allah ) menghendaki nescaya Kami akan kurniakan hidayah kepada setiap jiwa tetapi telah putus ketentuan-Ku bahawa Aku ( Allah ) akan penuhkan neraka jahannam itu dari kalangan jin dan manusia semuanya” – Surah As-Sajdah ayat 13.
Jadi, Allah tidak menghendaki semua jin dan menusia itu menyembah Allah. Begitu juga ayat-ayat yang lain menerangkan pentafsiran yang tepat berkenaan ayat Surah Az-Zariyat tadi.
Adapun ayat Surah Al-Isra’ ayat 23 yang berbunyi:
وَقََضَى رَبُّكَ أنْ لا تَعْبُدُوْا إلَّا إيَّاهُ
Ia bermaksud: “Allah telah memerintahkan supaya janganlah kamu sembah melainkan Allah sahaja”. Perkataan “Qadha” bukan bermakna menghendaki tetapi bererti memerintahkan. Allah memerintahkan semua jin dan manusia itu menyembah Allah tetapi Allah tidak menghendaki semua jin dan manusia itu menyembah Allah.
No comments:
Post a Comment