Masalah Murtad dalam Konteks Kebebasan Beragama di Malaysia
Oleh Dr. Abd Aziz Bari | 14/10/2006 |
1. Pengenalan
Skop perbincangan dalam kertas ringkas ini berkisar kepada sistem yang melatari sistem undang-undang kita, khususnya kedudukan dalam perlembagaan negara. Kefahaman ini perlu kerana kertas ini cuba melihat masalah murtad di negara ini dalam konteks yang lebih luas, yakni sistem perlembagaan itu sendiri.
Pendekatan ini perlu kerana ia adalah titik tolak kepada langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengatasi masalah berkenaan. Sekiranya ini tidak dilakukan terlebih dahulu ada kemungkinan timbul masalah kerana undang-undang biasa perlu dilihat dalam konteks perlembagaan. Dalam pada itu perbincangan mengenai undang-undang yang lain memerlukan masa yang lebih panjang dan kajian yang lebih terperinci, yang tidak mengizinkan buat masa ini.
Dari sudut yang lain yang ditegaskan bahawa persoalan murtad di Malaysia perlu ditangani dengan cara yang diterima oleh umat Islam. Ini adalah kerana masalah murtad ialah masalah umat Islam. Dan persoalan mengenai umat Islam dalam konteks sosio-budaya negara. Kenyataan ini tidak boleh diketepikan. Perlu juga disebutkan bahawa perlembagaan tidak boleh dilihat sebagai sesuatu yang seolah-olahnya bersifat neutral. Ini tidak dapat diterima kerana di mana-mana pun perlembagaan adalah undang-undang dasar dokumen asas mencerminkan ciri-ciri asal sesebuah negara itu.
2. Islam dalam Perlembagaan
Seperti yang termaklum Islam disebut oleh perlembagaan sebagai ‘agama rasmi persekutuan’. Ini adalah ditafsirkan oleh Mahkamah Agung (sekarang Mahkamah Persekutuan) sebagai sesuatu yang bersifat ritual semata-mata. Mahkamah memutuskan bahawa perisytiharan berkenaan tidak boleh digunakan untuk menghujah bahawa Islam boleh digunakan untuk menjadi kayu ukur sama ada sesuatu undang-undang itu sah atau sebaliknya.
Bagaimanapun, pada pendapat saya, kes ini tidak menghurai dengan jelas kedudukan Islam sepertimana yang disebut dalam Laporan Suruhanjaya Reid dan juga Kertas Putih. Tambahan pula kalau kita lihat fakta kes berkenaan ia adalah satu keputusan bagi satu cabaran yang menghujah bahawa Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Senjata Api adalah menyalahi perlembagaan. Dengan ini masih boleh dihujah bahawa makna sebenar kalimah Islam sebagai agama rasmi persekutuan sebenarnya masih terbuka kerana keputusan mahkamah agung tadi merujuk kepada satu cabaran yang dikemukakan berhubung dengan undang-undang tersebut: ia bukan satu keputusan khusus yang menjelaskan mengenai skop kepada ruang lingkup peruntukan berkenaan.
Jika kita melihat kepada kedudukan Islam dalam sejarah negara ini adalah munasabah untuk dihujah bahawa peruntukan berkenaan berperanan untuk mewarnakan sifat asal negara ini. Seperti yang termaklum, negara ini, dari satu sudut, adalah negara baru dan ini memerlukan ciri itu untuk menghubungkannya dengan sejarah lampau negara yang amat rapat dengan Islam. Selain daripada mengatur acara-acara rasmi negara peruntukan sedemikian berguna sebagai landasan untuk meletakkan Islam sebagai nilai rasmi negara, sama seperti kedudukan Raja-raja, Bahasa Melayu dan hak-hak istimewa orang-orang Melayu. Inilah yang mengesahkan , umpamanya, pembacaan doa dalam pembukaan siding harian Parlimen, meskipun orang bukan Islam juga turut hadir dalam majlis berkenaan. Begitu juga dengan penggunaan tulisan jawi dan penggunaan media massa awam untuk tujuan Islam.
Perlembagaan juga dengan jelas memberikan kebenaran bagi pihak berkuasa untuk menggunakan wang awam bagi tujuan-tujuan agama Islam. Ini semua sebenarnya, dari satu segi, menekankan bahawa Malaysia bukan negara sekular; khususnya jika negara sekular itu difahami sebagai negara yang tidak meletakkan sebarang agama sebagai agama rasmi kepada negara seperti India. Kertas Putih , sewaktu mencadangkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, menyebut soal negara sekular. Bagaimanapun sayangnya ia tidak menghuraikan apa yang dimaksudkannya dengan negara sekular. Perlembagaan yang ada sekarang tidak menyebut soal itu.
Secara tidak langsung ini semua telah memberikan Islam kedudukan yang teristimewa berbanding dengan agama-agama lain. Alasannya? Sudah tentulah sejarah. Dalam mana-mana perlembagaan pun alasan sejarah sudah mencukupi untuk berfungsi sebagai ‘brek’ kepada desakan-desakan yang mahukan supaya agama-agama lain diberikan kedudukan yang sama.
3. Konsep Kebebasan Beragama
Ini tidak dijelaskan oleh perlembagaan. Perlembagaan cuma menyatakan bahawa meskipun Islam diiktiraf sebagai agama rasmi persekutuan agama-agama lain diamalkan dengan aman. Ini dinyatakan oleh peruntukan yang menyatakan kedudukan Islam sebagai agama rasmi dan juga peruntukan yang menjamin kebebasan beragama sebagai salah satu aspek kebebasan asasi dalam perlembagaan kita.
Bagaimanapun perlembagaan, sama seperti kedudukannya dengan aspek-aspek kebebasan asasi lainnya, tidak memberi kebebasan mutlak dalam soal kebebasan beragama. Ia tertakluk kepada beberapa perkara seperti ketenteraman awam, kesihatan awam dan akhlak. Dalam pada itu agama-agama lain tidak dibenarkan menyebarkan agama mereka kepada orang-orang Islam, yang secara tidak langsung menunjukkan kelebihan yang diberikan kepada Islam berbanding dengan agama-agama lain. Penganut-penganut agama lain juga dibenarkan menguruskan institusi-institusi agama mereka.
Boleh dikatakan bahawa perlembagaan cuba mencari perseimbangan dalam soal ini; mengekal dan meneruskan sejarah dan dalam masa yang sama berusaha menjamin bahawa orang-orang bukan Islam tidak tertindas. Kita boleh katakan bahawa ini adalah selaras dengan semangat dan tuntutan ajaran Islam.
Kedudukan ini sebenarnya tidak bertentangan dengan Perisytiharan Sejagat mengenai Hak-hak Asasi 1948. Perisytiharan ini, perlu ditegaskan, tidak mengikat negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Dalam perisytiharan berkenaan hak menukar agama adalah di antara hak-hak yang dianggap asasi. Perlu dicatat bahawa ketika Perhimpunan Agung badan dunia itu menerima perisytiharan berkenaan, Arab Saudi tidak menerima perisytiharan ini walaupun negara berkenaan menerima perisytiharan-perisytiharan lain yang dianggap tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Dengan kata lain dunia mengiktiraf hak negara-negara membuat keputusan.
Inilah alasan yang mendasari perlunya diwujudkan satu polisi atau undang-undang yang jelas bagi menangani masalah murtad. Pada hemat saya ia tidak bertentangan dengan semangat dan hak-hak asasi manusia kerana soal-soal ini harus dilihat dalam konteks sejarah dan kenyataan sosio-politik sesebuah negara.
4. Mahkamah dan Masalah Murtad
Meskipun perlembagaan telah membuat beberapa peruntukan mengenai Islam, ruang lingkup peruntukan-peruntukan ini perlu ditafsir oleh mahkamah. Ini tidak dapat dielakkan kerana pada pelaksanaannya kadangkala wujud konflik yang melibatkan peruntukan-peruntukan lain.
Bagaimanapun beberapa keputusan mahkamah, seolah-olahnya, tidak menggambarkan semangat dan sejarah yang telah dihujah di atas tadi. Ini mungkin terjadi kerana peguam-peguam yang membawa kes berkenaan tidak membangkitkan hujah-hujah yang sepatutnya.
Kesan dari keputusan-keputusan itu ialah, Islam, seolah-olahnya telah diletakkan setaraf dengan agama-agama lain. Dalam kes Jamaluddin bin Othman umpamanya mahkamah menerima hujah bahawa seorang Melayu yang masuk Kristian berhak untuk diberi kebebasan beragama. Dalam kes ini, mahkamah, meskipun menekankan pengecualian yang disebut oleh perlembagaan terhadap kebebasan beragama yang disebut oleh perlembagaan, tidak menerima hujah pihak kerajaan bahawa usaha mengkristiankan orang-orang Melayus sebagai ancaman kepada ketenteraman awam.
Dalam satu kes yang lain Halimatussaadiah, semangat dalam kes di atas tidak kelihatan. Dalam kes ini seorang kakitangan awam yang mengenakan tutup muka (purdah) telah dibuang kerja kerana dianggap mengingkari pekeliling yang melarangnya berbuat demikian. Kakitangan tersebut menyaman kerajaan di mahkamah dan menghujah bahawa larangan tersebut menafikan haknya untuk menafikan haknya untuk mengamalkan ajaran agamanya. Mahkamah tidak menyetujui hujah ini kerana, mahkamah memutuskan purdah tidak diwajibkan oleh Islam. Keputusan ini agak menimbulkan persoalan kerana, pada pendapat saya soal wajib atau tidaknya purdah itu adalah soal lain. Yang jelas memakai purdah tidak menyalahi Islam. Memakai purdah meskipun terdapat perbezaan pendapat, adalah sebahagian daripada ajaran Islam. Dengan itu, melarang seseorang dari mengamalkan sesuatu yang merupakan sebahagian daripada ajaran agamanya, boleh dihujah sebagai melarang seseorang daripada mengamalkan ajaran agamanya. Kes ini penting dibincangkan di sini kerana ia adalah kes-kes yang membincangkan soal kebebasan beragama di Malaysia.
Murtad adalah sebahagian daripada jenis-jenis jenayah dalam undang-undang jenayah Islam. Bagaimanapun ada yang beranggapan bahawa murtad adalah sebahagian dari aspek-aspek kebebasan beragama. Pandangan sebegini, secara tidak langsung, menafikan kedudukan Islam dalam perlembagaan kita. Malangnya ini tidak kelihatan dalam kes-kes tadi.
Dari segi perlembagaan kita boleh menghujah bahawa persoalan murtad boleh digolongkan dalam hal-hal yang terletak di bawah bidang kuasa mahkamah syariah. Ada pihak yang berhujah bahawa seseorang yang meninggalkan Islam masih tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah syariah. Hujah ini didasarkan kepada alasan bahawa sekiranya kemasukan ke dalam Islam dibuat secara rasmi, maka keluar dari Islam pun mesti dibuat mengikut saluran yang rasmi juga. Seseorang yang telah mengisytiharkan dirinya Islam boleh menolak Islam dengan sesuka hati, tanpa merujuk kepada pihak yang berkuasa. Tambahan pula tidak apa sesiapa yang memaksanya untuk memeluk Islam. Walaupun soal kepercayaan adalah persoalan seseorang dengan Allah s.w.t dalam konteks Malaysia, sekurang-kurangnya, ini boleh memberi kesan kepada ketenteraman awam khususnya hubungan antara kaum. Di sinilah terletaknya tanggungjawab pihak berkuasa untuk mengambil langkah mengatasi masalah ini.
5. Cadangan untuk Menangani Masalah Murtad
Pihak berkuasa negeri perlu lebih tegas dan menggunakan bidang kuasa yang ada. Persoalannya di sini ialah tidak semua negeri telah meluluskan enakmen yang mengawal penyebaran agama lain kepada umat Islam. Ada juga yang menimbulkan soal keberkesanan peruntukan berkenaan dalam menangani masalah murtad. Ini memandangkan kepada terhadnya bidang kuasa mahkamah syariah.
Meskipun demikian ini tidak harus mematahkan semangat kita. Yang jelas kita masih belum menggunakan ruang yang ada dalam perlembagaan dengan sepenuhnya. Sekiranya terdapat halangan-halangan usaha perlu dibuat untuk mengatasinya; termasuk meminda mana-mana peruntukan yang perlu. Perlembagaan mempunyai mekanisme yang cukup untuk perubahan sedemikian. Di Dewan Negara dan Dewan Rakyat, kerajaan juga memiliki suara yang cukup untuk ini.
Malangnya belum kelihatan usaha-usaha ke arah itu. Dalam pada itu yang kedengaran ialah kegagalan pihak berkuasa agama di sebuah negeri tertentu untuk mencapai matlamat menangani masalah ini. Puncanya ialah keengganan pihak penasihat undang-undang negeri berkenaan menterjemahkan cadangan yang dikemukakan oleh pihak berkenaan menjadi undang-undang. Alasan yang dikemukakan; takut ia meanggar perlembagaan! Ini adalah satu contoh sikap yang menyedihkan kerana ia menunjukkan kurangnya inisiatif pada pihak-pihak yang telah diberikan tanggungjawab. Kuasa mahkamah syariah telah pun dilindungi. Lagipun usaha belum pun dibuat, jadi bagaimana ia boleh dikatakan menyalahi perlembagaan? Perlu ditekankan bahawa tafsiran perlembagaan adalah sesuatu yang antara lain bersifat fleksibel dan kurang bergantung kepada doktrin precedent.
Di samping memperbaiki kelemahan dalam undang-undang yang ada mahkamah juga perlu berbuat sesuatu. Perlembagaan mestilah ditafsirkan dengan cara yang menguntungkan Islam. Dalam soal ini, peguam-peguam perlu membuat penyelidikan yang terperinci supaya hakim-hakim dapat mendengar hujah-hujah yang lebih luas dan matang. Golongan akademik juga patut memberikan sumbangan dalam soal ini. Generasi pengamal undang-undang yang peka terhadap masalah ini perlu dilahirkan. Bahan bacaan dan kajian yang membincangkan soal ini juga perlu diperbanyakkan.
Usaha menangani masalah murtad sebenarnya selaras dengan keharmonian antara kaum. Ia perlu untuk keharmonian kaum. Sesudah lebih 40 tahun negara merdeka, rakyat cukup matang untuk membincangkannya dengan rasional. Kita tidak lagi harus menyapukan masalah ke bawah tikar; apa saja yang dianggap sensitif dikira mengancam keselamatan. Masyarakat perlu dididik untuk berfikiran terbuka dan waras.
Sebagai penduduk asal, umat Islam berhak untuk meminta pihak berkuasa mengambil tindakan. Pengalaman negara-negara yang menghadapi masalah antara agama dan kaum menunjukkan bahawa ia berpunca dari sikap sambil lewa pihak penguasa. Ini menyebabkan golongan majoriti tidak puas hati dan mengambil keputusan sendiri. Ini sering menimbulkan kekecohan dan huru-hara. Perlu diingatkan bahwa di mana-mana negara pun, khususnya negara-negara beraja, kedudukan agama rasmi atau mazhab tertentu selalunya dinyatakan dengan terus-terang dan diberi pengiktirafan bagi mencegah gejala sedemikian. Secara tidak langsung ini sebenarnya perlu untuk menjaga kepentingan golongan minoriti. Dengan sebab itu orang-orang bukan Islam di Malaysia tidak harus melihat usaha-usaha untuk mengatasi masalah murtad sebagai suatu perancangan untuk menindas atau menafikan kebebasan beragama kepada mereka. Kewujudan sebuah agama yang dominan dan rasmi adalah perlu untuk mewujudkan kestabilan dan keharmonian.
Dalam pada itu kerajaan dan masyarakat perlu memperkemaskan sistem pendidikan supaya generasi akan datang memandang persoalan ini sebagai sesuatu yang serius. Hidup mati dan masa depan umat Islam bergantung kepada kesungguhan kita sekarang menghadapi masalah ini.
6. Penutup
Penyelesaian kepada masalah murtad sebenarnya banyak bergantung kepada soal kemahuan politik pihak penguasa; political will. Soalan-soalan berhubung dengan masalah ini telah banyak kali dikemukakan di Parlimen. Bagaimanapun setakat ini belum kelihatan langkah konkrit yang jelas. Baru-baru ini ada perubahan dalam kepemimpinan UMNO mengenai masalah murtad. Meskipun demikian belum jelas apakah langkah seterusnya yang akan diambil oleh pihak kerajaan.
No comments:
Post a Comment