Sunday, November 26, 2006

Dalam mereka menyalahkan JAKIM... - SATU PENILAIAN

oleh - ALEXANDARICAIRO


Seorang kontraktor pembinaan bangunan biasanya akan memikirkan kesempurnaan dan penyelesaian yang baik dalam mana-mana kerjanya yang melibatkan pembinaan satu struktur bangunan. Tidak kiralah sama ada bangunan itu besar mahupun sekecil tempat parking kereta untuk golongan berada. Ini adalah satu pertimbangan kasar juga positif dalam usaha memastikan kelancaran dan kesuksesan satu-satu proses pembinaan. Umumnya begitu.

Kemuncak kejayaan kontraktor itu adalah apabila kerja pembinaan telah selesai lengkap seratus peratus. Dengan kata lain, apabila kesemua keperluan dalam pembinaan dapat disempurnakan keseluruhannya, dia berjaya. Malangnya, jika dia hanya mampu menyiapkan 93 % daripada keseluruhan pembinaan, dia dianggap gagal. Jika binaan hanya sempurna 50%, juga dianggap satu kegagalan. Kita boleh katakan dia berjaya dengan 50%nya tetapi definisi yang paling tepat ialah dia gagal kerana kejayaannya dalam projek tersebut akan diukur sebagai berjaya tatkala selesai dengan penyempurnaan total.

Begitulah, hanya apabila kesempurnaan menjejak kepada 100% sahaja barulah dia dianggap berjaya. Namun perlu kita perhatikan, bahawa setiap peratus yang mengarah kepada capaian 100% itu merupakan tangga nilai-nilai positif dalam struktur pembinaan tersebut. Maka seorang kontraktor harus memberi perhatian kepada setiap peringkat peratusan ( nilai-nilai ) untuk mencapai satu tahap yang disebut sebagai berjaya iaitu 100% kesempurnaan pembinaan. Setiap peningkatan memerlukan sokongan sampingan yang ampuh untuk merealisasikan perolehan positif di akhir pembinaan.

Banyak sokongan sampingan yang difikirkan. Bekalan bahan mentah yang mencukupi, upah pekerja yang menepati, ketepatan waktu berasaskan jadual rancangan, ketibaan bahan mentah mengikut perancangan dan sungguh banyak lagi. Ini adalah satu proses yang rumit dalam setiap peratus nilai positif tadi.

Dalam pada itu, terdapat pula cabaran dan halangan dalam pembinaan tersebut. Saya sebut sebagai nilai negatif. Nilai negatif ini sangat menginginkan kegagalan pembinaan itu. Cukup dengan perolehan satu nilai negatif, ia akan dianggap berjaya menggagalkan pembinaan nilai positif struktur bangunan itu. Sebagai contoh, pembinaan satu bangunan telah mencapai 40% siap. Ia belum dianggap berjaya siap sepenuhnya. Apabila datang satu masalah lalu menyebabkan bangunan itu terjejas menjadi sekadar 35% siap, masalah itu dikira berjaya dengan nilai negatifnya terhadap struktur binaan itu tadi. Masalah-masalah inilah yang menjadi cabaran yang lebih besar bagi kontraktor tadi berbanding cabaran menyiapkan sokongan sampingan. Masalah-masalah ini seperti kedengkian atau kesengajaan beberapa pihak untuk menggagalkan projek itu.

Begitulah kuasa nilai negatif. Hanya penghasilan satu peratus nilai negatif ia sudah dianggap satu kejayaan buatnya dalam menggagalkan projek pembinaan. Hanya satu sahaja sudah cukup. Satu nilai negatif sahaja sangat menyumbang kepada kegagalan binaan. Tetapi untuk mencapai kejayaan dalam pembinaan, ia hanya diiktiraf apabila peratusan 100% dicapai. Itulah kuasa negatif itu. Kuat dan besar.

Beralih seketika.

Menyorot kepada masalah baru-baru ini, memang ada suara kedengaran mempertikai kredibiliti dan kesungguhan JAKIM dalam menangani ancaman krisis murtad yang dikatakan sedang menghenyak secara bebas masyarakat Melayu Islam khususnya di Malaysia. Apa yang menarik ialah suara pertikaian itu lahir dari ‘orang dalam’ kerajaan sendiri lalu melatahlah beberapa individu yang berkaitan mempertahankan diri, tidak kurang pula yang beria-ia membantu untuk menyerang kembali tanpa simpati.

Saya secara peribadi tidak terkejut dengan kenyatan sebegini kerana adalah biasa cuma perhatian akan tertumpu apabila yang melontarkan kenyataan itu adalah golongan berautoriti atau berprofil tinggi dalam institusi kerajaan. Saya bukan juga menyokong pertikaian individu tersebut ataupun cuba menafikannya sebagai sokongan tambahan kepada JAKIM sama ada untuk isu murtad atau apa sahaja keseluruhannya. Saya lebih berminat untuk santai-santai berkongsi fikiran bersama anda untuk tinjau-tinjau.

Kita lihat.

Saya cuba bersangka baik menganggap JAKIM adalah persis seperti kontraktor tadi. Kontraktor baik. JAKIM, kontraktor yang mendapat satu projek ‘pembinaan’ dan cukup upaya keyakinannya menyiapkan dengan capaian 100%. Memiliki visi, misi, perancangan, keupayaan, kemudahan dan kuasa untuk membuat dan mendirikan satu ‘pembinaan’ yang sedang mereka rancangkan. Nah. Neraca rambangnya dilihat mudah. Jika ‘pembinaan’ ini sempurna 100%, masyarakat akan melihat ia sebagai kejayaan. Awas. Jika tidak siap, ia dihukum sebagai satu lagi bahan sejarah kronologi kegagalan JAKIM dalam era ketamadunan Islam Hadhari.

Sebagai sebuah institusi kerajaan, JAKIM mempunyai cukup sokongan sampingan seperti apa yang diperlukan oleh kontraktor tadi. Kuasa, lapangan ceramah, tajaan, media, kewangan, tenaga kerja, pejabat, platform, kegiatan, pengaruh, kebebasan dan kelengkapan semuanya membenarkan betapa JAKIM sudah sangat matang dalam kecukupannya menyiapkan segala sokongan sampingan dalam projek ‘pembinaan’nya. Ya. Tidak diragui, setiap nilai positif yang mengarah kepada kesempurnaan 100% ‘pembinaan’ akan dicapai dengan lebih mudah oleh JAKIM berbanding mana-mana NGO atau badan-badan kebajikan lain yang tidak memiliki sokongan sampingan sebagaimana yang diperolehi JAKIM.

Benar. Ini adalah satu kelebihan malah tidak keterlaluan rasanya jika ia disebut sebagai satu keistimewaan buat JAKIM. Tentunya JAKIM telah, sedang dan akan selalu menggunakan semua sokongan ini untuk memperoleh setiap nilai positif ‘binaannya’. Oh. Namun cerah yang disangka ke petang, rupanya ada juga hujan 'luar biasa lebat' di tengah hari, sepuluh minit sebelum zuhur. JAKIM yang sibuk bekerja, tidak terlepas dari cabaran dan halangan yang mewakili nilai negatif yang secara terus menerus menggagalkan keinginan JAKIM untuk menjayakan ‘binaan’nya.

Ingat lagikah dengan kuasa negatif? Setiap nilai positif sungguh sukar dianggap berjaya tetapi dengan hanya satu capaian nilai negatif ini, ia dikira sebagai satu kejayaan nilai negatif tersebut memusnahkan ‘binaan’ yang sedang dibuat oleh JAKIM. Bayangkan. Sedang JAKIM asik dengan dengan ‘binaannya’, negara dilambakkan dengan ragam dan kepelbagaian unsur negatif yang secara langsung atau tidak, memang sangat menggagalkan ‘binaan’ tersebut.

Oleh itu, jika ada suara yang mempersoalkan keseriusan dan keupayaan JAKIM dalam projek ‘binaan’nya, mungkin sahaja suara dari kelompok itu jugalah yang menghamburkan setiap nilai-nilai negatif yang menyumbang ke arah kegagalan ‘binaan’ JAKIM itu. Hiburan yang diluluskan secara pukul rata, keleluasaan kelab malam dengan kegiatannya, kebebasan rasuah dengan pelbagai amalannya, rancangan televisyen dengan budaya cacamerbanya, lambakan arak dengan pertumbuhan kilang-kilangnya, judi yang marak dengan lesen-lesennya, filem yang penuh dengan apa-apa entahnya, idea-idea karut yang sarat dengan kepelikan semuanya ini membantutkan dan mengagalkan setiap peratus positif projek ‘binaan’ JAKIM tadi.

Ingat! Bukankah sudah saya katakan, setiap satu nilai negatif adalah kejayaan untuk memusnahkan ‘binaan’ JAKIM tadi. Buatlah forum, ceramah, penerangan, cetakan, edaran, iklan, program atau apa sahaja tetapi selama mana suara ‘orang dalam’ memperkitai JAKIM tadi tidak juga menghalakan suara ‘garang’nya kepada golongan berautoriti dalam menghamburkan nilai-nilai negatif yang memusnahkan JAKIM , maka elok diingatkan, tidak perlulah seserius itu melakonkan watak betapa bersungguh-sungguhnya meladeni masalah-masalah berkaitan umat Islam dengan kritikan yang tidak menggambarkan keadilan dan keikhlasan dalam mengkritik.

Satu renungan.

Jadi, tercetus dalam diri kita beberapa persoalan. Saya buat satu misalan. Adilkah jika saya menyediakan simen yang cukup dan tepat masa kepada seorang kontraktor, kemudian saya mengupah beberapa jentolak merobohkan sedikit demi sedikit binaannya itu dan tiba-tiba saya naik ke pentas dan bertanya kepada kontraktor, mengapakah dia gagal serta bertalu saya mempertikaikan kredibilitinya sebagai seorang kontraktor? Adilkah saya jika berbuat begitu? Adilkah saya dengan kuasa yang ada pada saya menyediakan semua kelengkapan untuk JAKIM pada masa yang sama memberi cukup kerjasama memusnahkan ‘binaan’ yang sedang dibuat JAKIM kemudian saya persoalkan kegagalannya lalu mengakuinya?

Dari sudut kedua, adakah berani kontraktor tersebut memaki hamun saya semula secara terus terang selepas melihat betapa kuasanya saya menyediakan simen yang cukup untuk ‘binaan’nya pada masa yang sama memiliki kuasa juga mengupah merobohkan binaan sekaligus memperlihatkan betapa saya dengan kuasa yang ada berani tampil mencelanya secara terang-terangan di atas sebuah pentas? Beranikah kontraktor itu membuka pekung saya setelah melihat betapa kuasanya saya di mata kasarnya yang mungkin bertindak lebih ‘kasar’ jika dia cuba melakukan sesuatu? Bagaimana pula dengan JAKIM? Mungkinkah ada keberanian itu? Apakah ada ruang untuk keluhan JAKIM didengari? Ataupun belum apa-apa, keluhan JAKIM awal-awal lagi sudah diugut dengan kehilangan jawatan atau pertukaran tempat kerja? Hmm...


*bukan sokongan, apa lagi bangkangan tapi sekadar renungan dari insan yang sedang kesejukan melalui musim sejuk di perantauan...grr!!


No comments: