Sunday, February 18, 2007

TIPU YANG DIKOMERSILKAN


oleh : ALEXANDARICAIRO

hiasan sekadarnya ye...

Mentelaah kitab-kitab warisan lama rupanya bukan satu tugas mudah. Sakit kepala, sakit mata dan sakit lainnya. Tapi, sakit-sakit itu sebenarnya datang dengan sekujur tubuh lemah yang tidak mampu menanggung beratnya nilai hidup yang bersarat dalam karya ulama-ulama silam. Walhal, jika semuanya mampu dicedok dengan kemas, sakit-sakit yang bersifat jasadi akan terpinggir lalu pergi kerana roh sudah terisi. Mungkin hati yang lalai ini masih belum sedar, susah membaca, susah lagi orang yang mengarangnya.

Namun melihat telatah manusia yang tidak mengendahkan estetika yang wujud dalam warisan Islam, ia sedikit sebanyak menimbulkan rasa kurang selesa. Mungkin dari sudut mata kasar ‘orang mengaji’, tentunya tidak patut bagi seseorang untuk mudah-mudah mengenepikan sesuatu yang bernilai walaupun dia sendiri tidak tahu atau keliru untuk menilai. Tidak kiralah warisan tersebut berbentuk penulisan, tempat atau kalam-kalam indah. Adalah tidak wajar menolak mentah-mentah satu barang berharga walaupun kita tidak tahu besar manakah harganya. Semakin keras menolak benda berharga, semakin jelaslah seseorang mengumumkan kebodohannya secara terbuka.

Itu cerita orang yang tidak tahu menilai. Dalam perkembangan sikap manusia, kerencaman menilai sesuatu biasanya bermula dengan cara tidak ambil peduli. Ada kemungkinan ia disebabkan sikap tidak tahu atau tidak mahu menilai. Bila sikap ini terus berkembang, akan wujud pula nanti rasa taasub dengan penilain diri sendiri. Fenomenanya begini. Apa sahaja yang tidak ada nilai pada pendapatnya, maka benda itu dihukum sebagai tidak ada gunanya. Sebaliknya, jika ada sahaja benda berharga pada pandangannya, ia dipuja ke sana sini dengan seribu cara. Nah, dari sinilah nilai sesuatu barang berharga sudah mula didiskriminasikan mengikut acuan nafsu manusia.

Penilaian berasaskan taasub inilah merupakan pendekatan yang memerlukan sokongan yang kuat untuk terus mendapat sambutan kerana ia berdiri atas asas mengiakan apa yang dia anggap baik dan menidakkan apa yang dia anggap tidak bernilai. Pendek kata, “I cakap betul, you cakap kurang betul”. Kadang-kala wujud rasa tidak selesa bila ada orang lain yang menyanggah penilaiannya. Oleh kerana tuntutan keadaan memerlukan sokongan yang padu, maka sikap tidak tahu menilai dan taasub kepada penilaian sendiri tadi telah berpindah kepada level yang seterusnya iaitu memperlekehkan penilaian orang lain.

Dalam tahap seperti ini, perlekehan adalah satu cara penting untuk menidakkan penilaian orang lain. Perlekehan mempunyai pelbagai bentuk dan pendekatan. Adakala memperli, mengulang cakap dengan nada sinis, mengajuk kata dengan senyum kambing, melawakkan sesuatu yang patut serius atau menjawab pertanyaan dengan soalan yang tidak berkaitan. Maka perlecehan atau perlekehan seperti ini bila dilakukan secara sistematik dan tersusun ke atas warisan-warisan Islam sama ada seni, karya, penulisan, barangan atau khazanah tempat peninggalan, ia sebenarnya satu cubaan untuk melihat sejauh mana penentangan umat Islam ke atas peringkat-peringkat perlekehan tersebut.

Jika umat Islam diam, ia adalah alamat positif bagi mereka untuk terus dengan memperlekehkan warisan dan ulama-ulama silam. Jika umat Islam mentidakmengapakan perangai mereka, ketaasuban terhadap pendapat sendiri akan berkembang subur dalam minda masyarakat hatta golongan intelek sekalipun.

Perlekehan seperti inilah yang nantinya akan dialasankan sebagai keterbukaan memberi pandangan, demokrasi dalam idea dan bebas dalam fatwa. Perlekehan semacam ini juga dibuat dengan tersusun agar apabila didakwa dengan perlakuan tersebut, mereka mempunyai seribu helah memutar belit kata berdalilkan bahawa Nabi selalu menjawab menggunakan jawapan yang berbagai-bagai mengikut kepada siapa baginda bercakap.

Seorang manusia selalunya akan lalai dengan pujian dan habuan dunia. Teori am ini terakam pada banyak tubuh manusia dalam sejarah kehidupan dunia. Jadi, bagi seorang manusia yang pada awalnya bertindak menilai dengan cara tidak wajar terhadap warisan silam Islam, taasub dengan ukuran diri sendiri lalu memperlekeh orang lain, sikap ini akan berkembang subur kepada peringkat yang lebih kronik apabila sokongan lingkungannya bertambah. Peringkat seterusnya adalah menghina khazanah berharga dalam dunia Islam.

Menghina ada banyak cara. Dalam penulisan boleh menghina karya penulisan orang lain. Dalam pengajian boleh menghina pengajian orang lain. Ada cara halus dan beralas, ada cara agak kesat dan keras.

Apabila ini berlaku, suasana yang tidak indah akan wujud. Hal ini sedang berlaku di negara-negara arab. Manusia bebas mencerca dan menghina manusia mulia yang telah mati. Manusia yang terang-terang mati dalam kesalahan pula diperjuangkan sebagai jagoan. Ketaasuban akan merata. Menyalahkan orang lain akan selalu dijumpai. Kritik sudah bertukar wajah kepada mencela. Suami isteri akan tidak bertegur sapa hanya kerana membaca Al-Quran. Saudara akan mencemik muka cuma sebab menziarahi orang alim.

Ketika ini tersusunlah empat elemen sekaligus. Pertama tidak tahu menilai, kedua taasub dengan penilain sendiri, ketiga memperlekehkan penilaian orang lain dan akhirnya menghina penilaian orang lain.

Lalu tatkala digabungkan semua tahap perkembangan sikap negatif ini, lahirlah kata-kata supaya kitab-kitab kuning ulama silam dibakulsampahkan, khazanah Nabi dibilikairkan (ada ke kalimah ini?), tinggalan sejarah dilesapkan, pengajaran akidah terpupuk hanyalah teori falsafah Greek, doa dan ziarah adalah penyembahan, usaha adalah syirik, kreativiti maslahah adalah bid’ah, ulama silam tidak perlu dituruti, iltizam mazhab dituduh taasub dan macam-macam lagi. Atas tapak inilah ia bergerak dan akan terus bergerak jika tidak dibendung awal-awal lagi.

Ya. Bibit-bibit sudah bermula. Cuma kesedaran belum pasti ada. Apa yang jelas, penipuan sedang dikomersilkan berasaskan beberapa kaedah. Istilah yang baik, nama, panggilan, jawatan, gelaran dan jolokan yang semuanya hanyalah hiasan luaran untuk mengaburi manusia tentang apakah isi di dalamnya. Mereka mahu berjaya dengan dakyah mereka, tugas kita ialah menggagalkan mereka.




* mengelilingi, melihat dan mentafsir
**berkongsi untuk sama-sama berfikir


6 comments:

Anonymous said...

satu nilaian yang baik..kadang2 kita ramai tertipu dengan 'kebenaran' yang kita sendiri ciptakan...saya rasa ada juga diperkatakan benda ni oleh harun yahya http://www.harunyahya.com/liar1.php

p/s: boleh link ke blog ini tak? :D

Anonymous said...

kalau tuan berkenan untuk linkkan, saya tidaklah keberatan.. terima kasih atas lawatan, harapnya mendapat komen sokongan membina untuk pembaikan pada masa hadapan.. salam hormat

Unknown said...

salam
bnyk benda aku blaja dari blog ko ni.sampi aku termimpikan ko. lame xdgr cite ko.actly aku nk mklumkan aku dah selamat jd suami org.sblm ni nk bgth ko tp tgk ym ko asik ofline jek..salam sahabat selatan malaysia

Unknown said...

salam
eleyen,mtk tlg watkan artikel tentang keberkatan umur dan kesihatan

nnt blik malysia aku belanja ko mkn2..

Anonymous said...

slm

Abu Sofeyyah Ad Dusuqy said...

alhamdulillah di celah celah sampah sarap maknawi masih ada permata yang terselit di celah debu yang menjadi buruan jauhari ....moga direzekikan dengan istiqamah dan amanah dalam meneruskan apa yang sudah dijalankan..


dari abnak Syeikh Muktar Ad DUsuqy Al Muhammady ,

Sepang , Selangor Malaysia....