Tuesday, March 06, 2007

MUJARAB - bukannya BID'AH

In the name of Allah, Most Gracious, Most Merciful

oleh : ALEXANDARICAIRO


( pertama : belum ketengahkan dalil naqli )
( kedua : mujarab : telah terbukti keberkesanannya seperti dapat menyembuhkan penyakit dan sebagainya – Kamus Dewan, edisi keempat, ms 1049 )
( ketiga : baca pelan-pelan, jangan marah-marah )


Doktor : “Pakcik, demam pakcik masih dalam keadaan stabil. Jadi, tak perlu bimbang ya. Makan ubat yyy ini tiga kali sehari, dalam masa dua atau tiga hari kemudian sihatlah nanti.”

Pakcik : “Doktor, siapa cakap makan ubat yyy tiga kali sehari boleh sihat? Nabi ada cakap dalam hadis? Ada ke? Kalau ada, bila?”

---------------------------------------------------------------------------------------

Tok guru : “Nak, baca xxx ini sebanyak 100 kali sehari secara istiqamah. Insya Allah hati akan bening sekali untuk beribadah ya...”

Anak murid : “Siapa yang cakap baca xxx 100 kali hati akan bening? Nabi ada cakap? Kalau ada, bila? Ini semua bid’ah dholalah.”



Penyakit tubuh

Dalam kesarjanaan dunia kedoktoran (perubatan), kita diperlihatkan dengan perkembangan pesatnya terutama penemuan ubat-ubatan atau vaksin baru malah tidak ketinggalan juga kemunculan penyakit-penyakit baru yang memerlukan kajian, penyelidikan dan eksperimen berterusan demi memenuhi keperluan manusia yang secara adatnya memerlukan penawar untuk menyembuhkan penyakit. Atas realiti ini, manusia mengkaji dan menguji serta mengambil banyak manfaat melalui pengalaman dan kajian lalu.

Pengalaman-pengalaman inilah yang selalunya menjadi satu kesimpulan atau rumusan untuk dilihat sebagai ukuran asas kepada beberapa kes-kes mendatang jika mempunyai ciri-ciri punca yang serupa.

Maksud saya, kita cuba rujuk kepada cerita doktor dan pesakit tadi. Pengalaman seorang doktor ditambah dengan pengajian dan kajian pakar-pakar masa lalu menjadikan doktor itu tadi membuat satu rumusan asas bahawa dengan memakan ubat yyy, seseorang yang menghidap penyakit demam dengan darjah kepanasan tertentu boleh pulih dalam masa tertentu mengikut ukuran biasa seorang doktor. Doktor tadi bercakap atas dasar pengalaman, kajian dan penyelidikan. Saya ulang, doktor tadi bercakap atas dasar pengalaman, kajian dan penyelidikan. Ini bukan bermakna doktor tadi cuba untuk bertindak menentukan takdir hidup mati seseorang. Bukan begitu.

Walaubagaimanapun, adalah menjadi perkara biasa jika hasil penyembuhan tidak seperti yang dijangka oleh doktor itu. Mungkin lewat sehari baru sembuh, mungkin lebih cepat dari apa yang dijangka doktor. Senang cerita, target tak mengenalah. Tapi, bila target tak mengena, itu bukan bermakna doktor itu telah menipu atau membuat bid’ah dalam dunia perubatannya.

Doktor tadi cuma menilai atas dasar hasil kajian, iaitu ubat yyy tersebut akan mujarab dengan syarat-syarat tertentu iaitu makan tiga kali sehari. Mujarab, atas dasar kajian dan pengalaman. Selalunya mujarab, namun ada kemungkinan tak sembuh. Mungkin kondisi badan berbeza, persekitaran tidak membantu atau masih perlukan ubat sokongan yang lain. Biasalah.

Seperkara lagi yang patut kita perhatikan, bukan semua benda yang mujarab Nabi telah sebut. Banyak juga petua-petua dan tips-tips mujarab, bukanpun bersumber dari hadis Nabi. Tapi ia bukan bermakna kita tidak boleh mengambil manfaat dan kebaikan darinya. Ia juga bukan bermakna dengan mudah-mudah kita menuduh apa sahaja petua atau tips tersebut sebagai perkara ditolak agama. Menerima dan mengamalkan tips-tips tersebut bukan juga bererti kita menentang sunnah Nabi. Tetapi kita sebenarnya bersikap rasional dan bijak dalam berinteraksi dengan sunnah-sunnah Nabi.



Penyakit jiwa

Pesakit demam berjumpa doktor bila dia sakit. Itu biasa. Bagi seseorang yang menekuni pengajian ilmu-ilmu warisan Islam, adalah menjadi perkara lumrah wujudnya hubungan silaturahmi antara guru dengan murid. Mereka saling berkenalan, bertukar khidmat, tolong menolong malah saling menasihati. Seorang guru juga selalunya mempunyai pengalaman dalam kembara pengajiannya dahulu. Pengalaman, ilmu, amalan dan kebolehan inilah yang menjadikan mereka memiliki keistimewaan dari kaca mata seorang murid.

Seperti orang demam berjumpa doktor, seorang murid juga sering mengadu kepada gurunya jika dia mempunyai masalah atau kemusykilan berhubung agama. Guru, dengan nilaian ilmu, pengalaman dan amalan bertindak sebagai pembimbing kepada muridnya untuk terus menekuni dunia pengajian ilmu warisan Islam. Langsung tidak ada perasaan lokek atau bakhil untuk memberi tips dan ilmu. Mungkin sahaja ilmu itu dari pengalamannya, atau sesuatu yang diriwayatkan dari ulama-ulama terdahulu seperti para sahabat dan tabiin.

Ulama-ulama terdahulu banyak memberi tips dan amalan kepada murid-murid mereka. Hinggakan para sahabat dan tabiin sendiri memberi tips-tips amalan padahal Nabi tidak pun pernah menyebutnya. Apa yang dihairankan. Sedangkan jin (syaitan) pun pernah memberi tips amalan ayat Kursi kepada sahabat dan diperakui kemujarabannya oleh Nabi, apa lagi sahabat Nabi. Ramai sekali yang meriwayatkan amalan-amalan yang mereka amalkan dengan bilangan serta khasiat-khasiat tertentu untuk kemujaraban tertentu berdasarkan pengalaman pengamalan mereka. ( jangan pula mengatakan saya menyamakan syaitan dengan sahabat Nabi atau ulama ya... )

Suka saya ingatkan. Mujarab tadi atas dasar pengalaman dalam amalan. Bukan jaminan seolah-olah bertindak seperti tuhan. Bukan juga bid’ah yang bertentangan dengan Al-Quran. Menyifatkan mujarab bukan mempertuhankan diri dan bukan bid’ah. Bukankah ‘mujarab’ berasal dari kalimah arab yang membawa erti ‘yang diuji’ serta bermaksud ‘teruji keberkesanannya’?

Contohnya jika seorang sahabat Nabi mengatakan “baca ... 3 kali sehari nescaya ...”, itu bukanlah satu jaminan yang bertindak seperti tuhan menentukan takdir. Itu bukan jaminan atau bid’ah yang memandai-mandai seolah-olah lebih hebat dari Nabi. Itu adalah rumusan atau hasil penyelidikan ulama-ulama terdahulu dalam pengembaraan dunia amal ibadah mereka. Jika mahu, anda boleh ambil, jika tidak mahu, jangan pula dihina-hina dengan tuduhan. Jika benar tips itu ‘mengena’, baguslah. Ada kebarangkalian juga tidak ‘mengena’. Mungkin ada sebab lain, niat belum diperhalusi, kesungguhan belum cukup atau maksiat masih dilakukan. Tapi, ketika tips tak ‘mengena’, ia bukan dalil bahawa ulama/sahabat tersebut menipu. Ia juga bukan dalil untuk membid’ahkan amalan ulama-ulama.

Seperti doktor tadi mengatakan, makan yyy tiga kali sehari maka anda akan sihat. Itu tips. Teori berasaskan kajian dan pengalaman yang telah diuji keberkesanannya. Jika anda mahu, ambil nasihat dan ubat itu, jika tidak mahu, jangan dihina kajian doktor tersebut. Jangan pula menuduh doktor tersebut telah rosak akidahnya.

Jadi tolonglah jangan tuduh-tuduh tanpa memiliki cerucuk kesarjanaan dan keilmuan terutamanya berkenaan urusan agama. Sudah banyak Islam diserang dari segenap sudut. Jangan kita menjadi salah satu ejennya. Tolonglah.

Pengingkaran membuta tuli hanyalah membongkar ketaasuban dan kedangkalan tak terpandu sekalipun pernah ber‘tesis’ kedoktoran. Manusia kadangkala semakin banyak bercakap dan menulis, semakin banyak silapnya, malah semakin jelas menampakkan kebodohannya. Tesis yang menyentuh sejuzuk ilmu dianggap lesen yang membenarkannya bercakap tajuk apa, menuduh siapa sahaja.

Asasnya mujarab

Jadi bertindak menuduh sesuatu amalan yang diriwayatkan oleh ulama-ulama terdahulu dengan tuduhan-tuduhan bid’ah, khurafat, rekaan, dholalah, neraka, syirik dan apa sahaja merupakan tuduhan yang tidak berdiri atas kesarjanaan Islam dan profesionalisme keilmuan ulama. Ketaasuban dan kesempitan menilai menjadikan pertuduhan seperti ini mencemar ruh pewaris-pewaris ilmu-ilmu Islam.

Malang sekali kalau sudah tidak mahu menilai secara waras, bahkan tidak mahu menerima penilaian yang waras. Adalah sesuatu yang disifatkan hilang pertimbangan akal bila menghukum niat solat “usolli...”, niat menuntut ilmu “nawaitu attaalluma watta’lim....” dan tips-tips ulama silam sebagai bid’ah yang ditolak agama. Mudah-mudahan Allah memelihara kita bersama dari pemahaman yang sebenarnya bercanggah dengan agama. Mereka subur dengan baja ketaasuban, kita harus berdiri dengan hemah, bijak dan fakta yang jujur.


* mempelajari sesuatu yang belum kita tahu itu lebih baik daripada sibuk nak membid’ahkan orang.
** kalau tak faham, kan lebih baik bertanya. Mana tau, ada yang tahu.

No comments: