Secara ringkas lanjutan terjemahan lalu, Mikraj ( perjalanan ke langit ) merupakan peristiwa penting bagi Rasulullah malah umat Islam seluruhnya lantaran kaitan kukuh peristiwa itu dengan keimanan seorang muslim.
Cuma, kali ini penulis ingin ketengahkan sedikit kesalahfahaman berhubung peristiwa Mikraj.
Ketika Mikraj, Rasulullah telah ke langit, bahkan ke langit ke tujuh dan Sidratul Muntaha. Itu sangat benar. Tetapi dengan sangat tegas, itu bukan bermakna Rasulullah telah sampai ke suatu tempat di mana Allah juga berada di situ. Barangsiapa yang beriktikad begitu ( Allah ada di tempat itu – langit ), maka gugurlah islamnya.
Tujuan dan maksud Mikraj ialah memuliakan Rasulullah dengan memberi baginda kemampuan untuk melihat sendiri keajaiban-keajaiban ciptaan Allah di ruang langit. Keistimewaan ini adalah khas untuk baginda serta bertujuan mengagungkan kedudukan baginda sebagai makhluk yang paling mulia.
Berkenaan tentang baginda melihat tuhan, benar, tetapi baginda melihat tuhan dengan hatinya ( rujuk entri ISRAK MIKRAJ -bahagian akhir- ). Bukan dengan matanya. Adalah salah jika menganggap baginda melihat tuhan dengan mata baginda sendiri, lebih dahsyat lagi jika beriktikad baginda melihat tuhan berada pada suatu tempat tertentu sama ada langit atau mana sahaja!!!
Yang berada di tempat ( di langit ) ketika peristiwa itu adalah Rasulullah, bukan Allah. Saya ulang. Yang berada di tempat ( di langit ) ketika peristiwa itu adalah Rasulullah, bukan Allah. Rasulullah yang berada di langit. Bukan Allah. Rasulullah ditempatkan di tempat itu sebagai tanda memuliakan kedudukan baginda, utusan terakhir.
Dalam Surah An-Najm ayat 8 dan 9, Allah berfirman :
ثُمَّ دَنَا فَتَدَلَّى . فَكَانَ قَابَ قَوْسَيْنِ أوْ أَدْنَى .
Bermaksud : Kemudian dia ( Jibril ) mendekati dan merapati ( Rasulullah ). Maka dia ( Jibril ) berjarak dua hasta atau lebih hampir daripada itu.
Berdasarkan ayat di atas, Jibril telah mendekati Rasulullah, dan semakin merapati tubuh baginda. Sehinggakan, jarak antara mereka berdua ialah sekitar dua hasta atau lebih hampir daripada itu lagi. Jibril sangat ingin merapati Rasulullah ekoran gembira dengan Rasulullah.
Kebenaran ini sangat bertentangan dengan dakwaan kotor bahawa ayat tadi bermaksud Allah telah mendekati tubuh Rasulullah. Sebahagian golongan musuh-musuh Islam cuba mengatakan sebegitu ( Allah mendekati tubuh Rasulullah ) secara tidak langsung mereka telah mengatakan jarak antara Allah dan Rasulullah sekitar dua hasta!! Kepercayaan ini menghasilkan iktikad yang nyata batil, salah dan terpesong. Ini kerana mereka telah menjadikan Allah itu mempunyai jarak dengan makhluk, malah menuduh Allah berada pada sesuatu tempat, menuduh Allah berada di langit. Mengatakan Allah itu bersaiz, berjarak, atau menempati sesuatu tempat adalah sangat jelas menyalahi syahadah, menyalahi akidah.
Sedangkan Allah itu wujud sejak azali tanpa bertempat. Siapa yang mencipta tempat? Allah. Allah cipta tempat, Allah cipta langit. Sebelum langit diciptakan, Allah sediakala sudah wujud tanpa berhajat kepada langit. Setelah langit diciptakan, Allah tidak berubah, kekal wujud tanpa bertempat. Rasulullah dimuliakan bila dijemput ke langit, sedangkan Allah Maha Sempurna. Allah tidak menjadi lebih mulia dengan sebab langit, juga tidak bertambah hina dengan sebab tidak mencipta langit. Kemuliaan Allah azali dan Maha Sempurna. Dalam Mikraj, kemuliaan dengan sebab sampai di langit itu untuk Rasulullah. Saya tegaskan, kemuliaan Allah Maha Sempurna sejak azali, sebelum langit diciptakan lagi.
Dalam Surah An-Najm juga ayat 13 dan 14, Allah berfirman :
وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَى . عِنْدَ سِدْرَةِالْمُنْتَهَى .
Bermaksud : sesungguhnya dia ( Rasulullah ) telah melihatnya ( Jibril ) untuk kali yang berikutnya. Iaitu ketika ( sampai ) di Sidratul Muntaha.
Sebelum naik ke langit, Rasulullah melihat Jibril dalam rupa bentuknya yang sebenar ketika di Mekah, di sebuah tempat bernama Ajyad. Jibril mempunyai 600 sayap, serta saiznya yang besar membolehkannya menutup ufuk. Rasulullah melihatnya begitu untuk kali berikutnya ketika sampai di Sidratul Muntaha, kerana Jibril tidak dapat melepasi Sidratul Muntaha tersebut. Hanya Rasulullah sahaja yang diizinkan untuk ke sana.
Adapun hadis dalam sahih Bukhari yang menyebut : “Allah yang Maha Perkasa mendekati baginda dan merapati hingga berjarak dua hasta atau lebih hampir daripada itu”, riwayat hadis ini sangat dipertikaikan oleh huffaz hadis, seperti Abdul Haq dan selainnya. Sebahagian ulama ada pula berkata, yang dimaksudkan dengan ‘mendekati’ ialah bukan dekat berbentuk jarak atau fizikal. ‘Mendekati’ dalam hadis ini bermaksud menambah kemuliaan dan mengangkat darjat Rasulullah.
Adapun jika mengambil pendekatan hadis ini secara zahir ( dengan mengatakan dekat itu bermaksud fizikal ), semua ulama Ahli Sunnah menolak sekeras-kerasnya. Mereka malah mengatakan iktikad demikian adalah iktikad yang menyerupakan Allah dengan makhluk. Inilah yang disebutkan oleh Ibnu Hajar Al-Asqalani dalam syarah Bukhari.
1 comment:
ustaz,
terdapat suara2 yang memperdengarkan 27 Rejab bukan isra' mikraj, sekali lagi mereka menampakkan bagaimana mereka memahami nas.
Post a Comment