oleh : ALEXANDARICAIRO
Semalam, aku menghadiri MAT ( Mesyuarat Anak-Anak Tempatan ) di 'negeri Johor' yang berlangsung sejak waktu dhuha hingga maghrib. Sungguh panjang mesyuarat untuk kali ini. Tapi tak mengapalah, setahun sekali. Ramai juga rakan taulan yang hadir. Cuma tidak semeriah yang diharapkan.Antara agenda yang menarik di akhir mesyuarat ialah, usul yang dibentang oleh Abang K tentang masalah fikrah maddiyah ( kebendaan dan materialistik ) di kalangan umat Islam yang mewajarkan cacamerba budaya claim. Ramai juga yang menyokong usul yang diketengahkan. Mungkin ada yang menarik perhatian mereka. Entahlah. Tapi, aku cuma memerhati.
Abang K mencontohkan budaya mengclaim ini bertujuan menggarap masalah sebenar di kalangan adik-adiknya. Menurut Abang K, inilah tuaian sebenar dari fikrah maddiyah yang tidak dibendung dari awal. Namun aku percaya, Abang K bukan bermaksud mencela orang yang mengclaim, tetapi fikrah maddiyah itu sahaja. Kerana mungkin sahaja orang yang membudaya claim, ada cara membelanjakannya dengan lebih berbudaya serta berhemat. Sangka baik sahajalah. Tetapi Abang K tetap tegas menyelar fikrah maddiyah. Itu hal mesyuarat semalam lah.
Biarkan semalam. Lupakan cerita tadi. Aku nak cerita hal hari ini. Lebih kurang macam Abang K ceritakan. Tentang gelagat manusia sentiasa memikirkan apa yang akan dia perolehi, bila membuat sesuatu. Hal ini adalah sangat subjektif. Tetapi boleh dinilai dengan sederhana.
Baik. Hari ini manusia berlumba menuntut hak, memikirkan apa yang akan diperolehi dengan melakukan sesuatu, meminta bermacam perkara dan memikirkan apa yang harus orang lain tunaikan untuk dirinya. ( Macam Abang K jer aku ni. Tak lah. )
Sebagai contoh, ramai orang lelaki salah pola pemikirannya sebelum ke alam perkahwinan. Mereka meletakkan asas yang silap sebelum berumahtangga. Antara kesilapan yang ketara ialah, sentiasa memikirkan apa yang bakal diperolehi dari seorang wanita berstatus isteri selepas berkahwin. Sebab itu, biasa sahaja kedengaran sang teruna berkata "bila dah kahwin senang sikit. Ada orang cucikan baju, masakkan, layan, buatkan air, selimutkan dan...". inilah cara manusia semata-mata memikirkan apa yang akan diperolehi. Asik berfikir untuk menuntut hak, memiliki hak tanpa memikirkan bagaimana dia harus menunaikan dan memberikan hak.
Bukankah lebih manis kalau seorang lelaki berkata " bagaimana aku akan mencucikan baju untuknya, membuat air, melayan, masakkan dan...". Bukankah lebih molek kalau seorang teruna berfikir untuk memberikan kasih sayang yang terbaik, layanan serta penghargaan yang terhebat di pasaran daripada sibuk memikirkan apa yang akan diperolehi sebagai balasan duniawi semata.
Contoh lain, ramai wanita sudah mula menuntut hak sana sini. Malangnya, hak yang patut mereka tunaikan, terabai begitu sahaja tanpa memikirkan bagaimana mereka dapat menunaikan hak-hak orang lain dengan sempurna. Kadang-kadang, hak yang patut ditunaikan, ditukar menjadi hak yang dituntut. Pelik kan? Misalnya, hak menutup aurat. Ia adalah hak yang mesti ditunaikan, tetapi ia ditukar kepada hak yang dituntut oleh wanita dengan slogan kebebasan, hak individu dan hak asasi manusia supaya mewajarkan pendedahan aurat. Inilah kesilapan yang sangat besar.
Jika kita sorot sejarah Nabi dan para sahabat, banyak contoh membuktikan pemikiran mereka tidak seperti kita. Setiap individu dilatih untuk memikirkan bagaimana untuk menunaikan hak-hak orang lain dengan sebaiknya. Semua itu adalah tuaian dari keyakinan kuat mereka tentang ganjaran dari Allah di akhirat.
Sebagai contoh, berapa ramai sahabat Nabi yang berkahwin lebih dari seorang tanpa melibatkan apa-apa perbalahan, penentangan atau pergaduhan kritikal. Jikapun ada riwayat tentang rasa sedikit cemburu isteri-isteri mereka, itu adalah lumrah biasa. Cuma tidaklah menjadi satu perkara yang besar. Ini kerana setiap individu mengenepikan nafsu, menghayati dan memahami hak, meyakini ganjaran akhirat, memikirkan bagaimana untuk menunaikan hak sebagai persediaan menghadap Allah di akhirat nanti.
Contoh lain ialah semangat para sahabat Nabi berkorban harta, nyawa dan keluarga tanpa mempersoalkan atau mengungkit sedikitpun apa yang mereka lakukan. Nah, lihat hasilnya. Ada yang dijamin syurga, malah riwayat jasa kebajikan mereka diceritakan hingga ke akhir zaman dalam banyak hadis. Lihatlah. Di dunia mereka dihargai dan diingati, di akhirat bertambah lagi ganjaran yang bakal diperolehi.
sekadar mengajak diri ini mencontohi sahabat Nabi.
No comments:
Post a Comment