Sangat benar bahawa Nabi itu menyampaikan wahyu yang disuruh oleh Allah untuk disampaikan. Ya Allah , aku bersaksi dengan penuh yakin bahawa para NabiMu telah menyampaikan.
Sangat salah, bila ada yang mendakwa, Nabi itu mendapat wahyu, kemudian diamalkan untuk dirinya sendiri. Kononnya itu adalah beza antara Nabi dan Rasul.
Dalam surah Al-Hajj ayat 52, Allah telah berfirman :
وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَسُولٍ وَلا نَبِيٍّ إلَّا إذَا تَمَنَّى ألْقَى الشَّيْطَانُ فِي أُمْنِيَّتِهِ فَيَنْسَخُ اللهُ مَا يُلْقِي الشَّيْطَانُ ثُمَّ يُحْكِمُ اللهُ آيَاتِهِ...
Bermaksud : Tidaklah Kami ( Allah ) utus utusan dari kalangan sebelum kamu ( Wahai Muhammad ) sama ada Rasul ataupun Nabi, melainkan apabila utusan itu menyampaikan dakwah ( lalu ) syaitan menambah-nambah ( perkara batil ) terhadap wahyu yang disampaikan itu, lalu Allah menghapuskan segala apa yang ditambah-tambah oleh syaitan itu. Kemudian Allah mengukuhkan ayat-ayatnya ( wahyu tersebut ).
Dalam ayat ini, Allah menjelaskan bahawa :
Pertama : utusan Allah dengan tugas menyampaikan risalah dakwah merangkumi Nabi dan Rasul, kedua-duanya sekali. Tegasnya, Nabi juga menyampaikan, bukan dah dapat wahyu, sorok-sorok untuk amalan sendiri.
Kedua : ketika Nabi berdakwah, syaitan mengambil peluang dengan menambah-nambah ayat yang disampaikan oleh Nabi. Bukan syaitan mempergunakan lidah Rasulullah untuk berkata perkara batil. ‘Menambah-nambah’ dan ‘mempergunakan lidah’ adalah dua perkara berbeza.
Lanjutan : -
Diskusi pertama : Allah mengutus Nabi dan Rasul, kedua-duanya untuk tujuan mengajak manusia ke arah kebenaran. Nabi menerima wahyu dan menyampaikan. Rasul juga menerima wahyu dan menyampaikan. Nabi bukan menerima wahyu lalu mengamalkan untuk diri sendiri kerana Nabi dan Rasul, kedua-duanya bersifat tabligh, iaitu menyampaikan. Bukan dapat wahyu, sembunyi-sembunyikan wahyu untuk amalkannya seorang diri.
Maka adalah menjadi satu yang tuduhan berat bila seseorang mengatakan Nabi itu mendapat wahyu untuk diamalkan sendiri sahaja, sekaligus menuduh Nabi itu tidak menjalankan amanah sebagai seorang Nabi, iaitu tugas menyampaikan risalah tuhan.
Diskusi kedua : Ayat Quran di atas bukan bermaksud syaitan mempergunakan lidah Nabi untuk menyampaikan perkara-perkara mengarut, memuji berhala, atau mengajak perkara batil.
Perkataan تنمى dalam konteks ayat tadi beerti ‘berdakwah atau menyampaikan’. Ayat ini bermaksud, semasa berdakwah, ketika mana Rasulullah berhenti sebentar selepas membaca sesuatu ayat, syaitan mengambil peluang ini untuk menambah-nambah ayat dengan perkara-perkara yang batil, supaya didengari oleh golongan kafir yang sedang melihat Rasulullah menyampaikan wahyu. Syaitan ini bertujuan supaya orang kafir menyangka bahawa tambahan yang mereka buat itu juga ayat dari Allah. Padahal, Rasulullah langsung tidak menyebut demikian.
Al-Fakhrurazi pernah menyebut, sesiapa yang berkata, syaitan telah menggunakan lidah Rasulullah dengan memuji berhala Latta, Uzza dan Manat, maka dia telah jatuh kafir. Kerana adalah mustahil Allah memberi kemampuan kepada syaitan untuk bercakap dengan menggunakan lidah Rasulullah, lalu Rasulullah memuji berhala!!
Untuk lebih jelas lagi, pada suatu hari, Rasulullah menyampaikan surah An Najm. Tatkala tiba ayat 19 dan 20, Rasulullah telah berhenti sejenak. Maka syaitan pun mengambil peluang ini untuk menokok tambah.
Allah berfirman ( ayat 19 dan 20 surah An Najm ) :
أَفَرَأَيْتُمُ الَّلاتَ وَالْعُزَّى . وَمَنَاةَ الثَّالِثَةَََ الأُخْرَى .
Selepas membaca ayat inilah, Rasulullah berhenti sejenak lalu syaitan menambah dengan ayat yang bermaksud “Itulah sembahan yang mulia. Dan syafaat merekalah yang diharap-harapkan”. Ayat syaitan ini adalah pujian kepada berhala Latta, Manat dan Uzza. Sejurus mendengar tambahan ayat oleh syaitan tadi, golongan musyrikin bersorak gembira lalu berkata “tidak pernah sebelum ini Muhammad memuji kebaikan tuhan-tuhan kita!”.
Melihat tindakan golongan musyrik, Jibril pun memberitahu Rasulullah bahawa ayat tambahan syaitan itu bukan dari Quran. Rasulullah menjadi sedih dengan kejadian tersebut lalu Allah menurunkan ayat 52 surah Al-Haj tadi :
وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَسُولٍ وَلا نَبِيٍّ إلَّا إذَا تَمَنَّى ألْقَى الشَّيْطَانُ فِي أُمْنِيَّتِهِ فَيَنْسَخُ اللهُ مَا يُلْقِي الشَّيْطَانُ ثُمَّ يُحْكِمُ اللهُ آيَاتِهِ...
Ini untuk menyejukkan hati baginda serta membuktikan bahawa tambahan ayat yang dibuat oleh syaitan tadi bukanlah wahyu dari Allah dan Allah mengukuhkan wahyu-wahyunya. Ini semua adalah ujian untuk membezakan antara orang yang benar-benar menerima Islam dengan orang yang mengikut ayat tambahan yang dibuat oleh syaitan tadi.
No comments:
Post a Comment