Wednesday, November 22, 2006

KAMBING NAK MENIKAH PUN TAK TENGOK STOK RUMPUT...

oleh : ALEXANDARICAIRO


Kasih sayang Allah kepada semua makhluknya sangat tidak terhitung. Alangkah banyaknya nikmat yang telah Allah kurniakan. Nafas, udara, kesihatan, air, harta, akal, nafsu, selera dan macam-macam lagi banyaknya. Ah! Tak terhitung. Bayangkan. Hinggakan sendawa dan kentut juga merupakan nikmat yang besar. Bayangkan kalau seseorang mengalami susah nak kentut. Aduh. Tentu kepalanya akan pening atau perut sentiasa terasa pedih. Semua itu adalah bagian dari rezeki yang Allah kurniakan kepada kita.

Apabila merenung soal rezeki, rezeki adalah sesuatu yang sangat perlu kita renungkan. Difikirkan itu bukan bermaksud untuk kita bimbangkan soal rezeki ini. Ini kerana Allah memerintah kita untuk berusaha namun rezeki adalah sesuatu perkara yang berbeza. Rezeki adalah sesuatu yang telah dijamin oleh Allah. Setiap manusia yang lahir telah ditentukan rezekinya. Rezeki saya telah ditentukan. Rezeki anda juga telah ditentukan. Cuma kita harus berusaha untuk memperolehi. Sebanyak mana yang kita peroleh, itulah rezeki yang telah ditentukan.

Kita harus berdiri atas keyakinan bahawa rezeki kita telah Allah jamin. Apapun ia bukanlah cara untuk bermalas-malasan kerana Allah memerintah kita supaya bekerja keras berusaha mendapatkan rezeki yang halal. Keyakinan jaminan rezeki dari Allah merupakan satu proses pembentukan jiwa untuk membuang banyak sifat-sifat keji dalam diri seperti iri hati, cemburu, hasad dengki dan dendam.


Firman Allah dalam Surah ayat Az-Zariyat ayat 22:

وَفِي السَّمَاءِ ِرزْقُكُمْ وَمَا تُوْعَدُوْنَ

Bermaksud : “Dan di langit itu ada rezeki kamu dan apa yang telah dijanjikan kepada kamu”



Firman Allah lagi dalam Surah Al Jumuah ayat 11:

وَاللهُ خَيْرُ الرَّازِقِيْنَ

Bermaksud : “Dan Allah itu adalah sebaik-baik pemberi rezeki”



Firman Allah dalam Surah Az-Zariyat ayat 57, 58 :


مَا أُرِيْدُ مِنْهُمْ مِنْ رِزْقٍ وَمَا أرِيْدُ أنْ يُطْعِمُونِ . إنَّ اللهَ هُوَ الرزَّاقُ ذُو القُوَّةِ المَتِيْنُ

Bermaksud : “Tidaklah Aku ( Allah ) menghendaki rezeki dari mereka dan tidaklah Aku menghendaki mereka memberi makanan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Maha Memberi Rezeki, Memiliki kekuatan dan Maha Perkasa”



Sebab itulah antara kriteria terpenting untuk memperoleh rezeki ialah taqwa. Ada kemungkinan secara material perkara ini sukar diperjelaskan namun telah banyak bukti menunjukkan taqwa adalah elemen terpenting dalam perolehan rezeki. Jelasnya, bukan semua kebenaran boleh dibuktikan secara teori material.


Firman Allah dalam Surah At-Talaq ayat 2 dan 3 :

وَمَنْ يَتَّقِ اللهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ

Bermaksud : “Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, maka Allah akan menjadikan untuknya jalan keluar ( dari kesulitan ). Dan Allah akan memberinya rezeki dari sumber yang tidak dia sangkakan”.



Jadi kita harus meyakini bahawa rezeki adalah jaminan dari Allah dan usah terlalu dibimbangkan. Yang harus kita bimbangkan ialah sejauh mana usaha kita, sekuat mana daya kita, sejujur mana tingkah laku kita dan seserius mana kerja kita.

Saya teringat kata-kata seorang penceramah yang pernah membuat contoh betapa perlunya kita meyakini akan janji dan jaminan Allah berhubung soal rezeki. Beliau dalam nada seloroh menceritakan satu pengajaran betapa seekor kambing ketika hendak menikah pun tidak ada gusar untuk sibuk-sibuk memeriksa berapakah stok rumput yang ia miliki sebelum mahu menikah dengan kambing betina pilihannya itu. Kita faham bukan kambing topik yang menjadi topik bicara tetapi pengajaran dari perlakuan kambing itu untuk kita.

Cuba kita lihat seekor katak. Besar ataupun kecil. Hidup dalam paya dan habitat yang lembap. Sukakan gelap dan sejuk untuk sokongan survivalnya. Katak tidak berkepak, tidak bersayap dan tidak boleh terbang. Hanya boleh melompat dalam jarak batas tertentu. Tetapi, melihat betapa kasih sayangnya Allah kepada makhluknya, katak mampu mendapatkan rezeki dari jenis binatang yang berkepak dan bersayap. Lalat dan barangkali serangga lain merupakan rezeki berbentuk makanan yang Allah kurniakan kepada katak.

Begitulah betapa kalau rezeki Allah telah janjikan, ia akan datang kepada kita walaupun dalam bentuk yang kita tak jangkakan sedikit pun. Katak yang tidak terbang mendapat makanan dari mangsanya yang boleh terbang. Subhanallah.

Bukan sahaja katak, cicak dan labah-labah juga serupa. Tidak mampu terbang tetapi boleh memangsakan binatang yang boleh terbang. Begitulah kuasa Allah mencipta makhluk-makhluk supaya manusia mengambil pengajaran dan berfikir untuk proses mengenali diri dan memperbaiki rohani. Kita harus bersyukur kepada Allah, meyakini jaminan rezeki yang Allah tentukan dan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam gerak kerja.

4 comments:

Tawel Sensei said...

Best analogi kambing ini. Akan aku gunakan selalu analogi satira ini :p

Anonymous said...

terima kasih menjengah blog tak seberapa ini

Nurul Sharina said...

Boleh digunakan sbg uslub dakwah.. dan juga pengisian dl usrah..

Anonymous said...

ops, sama-sama berfikir dan mengambil iktibar....