Thursday, March 22, 2007

Iraq : 'Sunnah' vs Syiah - BENARKAH?

oleh : ALEXANDARICAIRO


Sejak Amerika menyerang Iraq beberapa tahun lepas, dunia menyaksikan ketidakamanan dan kekacauan yang berlaku terus menerus di Iraq. Setiap hari, dunia dihidangkan dengan berita kematian, pengeboman, pembunuhan dan kesengsaraan.

Mahu tidak mahu, kita yang membaca, mendengar, berbual, bertanya dan berbincang akan mendapatkan sedikit sebanyak informasi berkenaan pertelagahan yang melanda umat manusia di sana. Saya melihat isu dunia adalah isu kita. Atas dasar kemanusiaan dan ihsan itulah, kita sangat bersedih hati dengan apa yang telah dan sedang berlaku. Iraq merupakan satu bumi yang pernah gah dengan perkembangan keilmuan dan kesarjanaan umat Islam khususnya dan umat dunia umumnya. Berapa banyak ilmuan, penulisan dan ketamadunan yang lahir di sana. Namun, hari ini ia disifatkan sebagai medan pertelagahan antara ‘sunnah’ dan Syiah.

Secara kasar saya melihat istilah ‘sunnah’ vs Syiah yang digunapakai dalam mendefinisikan pertempuran di Iraq hari ini hanyalah merupakan satu istilah pemberitaan atau kewartawanan. Maksud saya, saya belum menemui kajian yang terperinci dan menyeluruh apakah benar istilah yang digunakan dan apakah tepat label yang disabitkan kepada dua kumpulan tersebut. Lebih-lebih lagi istilah ‘sunnah’ yang digunakan untuk mentakrifkan kumpulan yang sedang bertelagah dengan Syiah di Iraq. Masih belum ada pemerhatian yang lebih kemas dan jujur apakah benar kumpulan yang dibahasakan sebagai ‘sunnah’ itu memang benar-benar mewakili masyarakat Ahli Sunnah wal Jamaah yang merupakan majoriti umat Islam. Ada beberapa fakta yang menimbulkan keraguan kepada saya berhubung penggunaan nama tersebut. Maksud saya perkataan ‘sunnah’ itu.

Saya tidak mahu menidakkan sebarang kemungkinan berlaku kesilapan dalam pengenalan kepada mana-mana nama kumpulan, puak atau minoriti apapun. Lebih-lebih lagi jika ditambah dengan golongan berkepentingan, media yang berat sebelah, keuntungan politik sesebuah negara, spekulasi, karenah birokrasi dan banyak lagi perkara yang kita harus terima dalam realiti dunia hari ini. Semuanya serba mungkin berlaku.
Sekarang, wujud pula beberapa rundingan yang diwar-warkan sebagai rundingan antara ‘sunnah’ dan Syiah. Berdasarkan semua kebarangkalian dan suasana yang berlaku di Iraq hari ini menjadikan saya semakin ragu tentang benarkah kumpulan yang ditakrifkan ‘sunnah’ itu benar-benar mewakili Ahli Sunnah wal Jamaah majoriti umat Islam? Apakah disana terdapat kesilapan atau keciciran fakta berhubung penggunaan istilah untuk kumpulan tersebut? Bagaimana pula kita hendak bersikap dengan isu-isu yang kononnya menggunakan label ‘sunnah’?

Keraguan saya berdiri atas beberapa perkara sahaja yang saya ingin sebut :-

Pertama : campur tangan beberapa pihak dalam usaha yang mereka sifatkan sebagai rundingan antara ‘sunnah’ dan Syiah tidak menampakkan bahawa kumpulan ‘sunnah’ yang bertempur dengan Syiah di Iraq sekarang benar-benar mewakili kumpulan Ahli Sunnah wal Jamaah majoriti umat Islam. Seolah-olah ada satu kesilapan pengenalan. Seolah-olah wujud golongan yang berkepentingan untuk masuk campur dalam rundingan tersebut kerana mereka bukan bertujuan menyelesaikan masalah tapi untuk mempermudahkan kerja mereka melabelkan diri mereka sebagai ‘sunnah’. Ini merupakan sikap mengambil untung/kepentingan di sebalik isu yang kritikal.

Kedua : tekad tindak balas yang dilaungkan oleh satu kumpulan minoriti terhadap Syiah (yang dikatakan telah merogol wanita ‘sunnah’) menggambarkan imej dan identiti sebenar kumpulan yang menyifatkan mereka sebagai ‘sunnah’. Maksud saya seolah-olah mereka ini bukan dari Ahli Sunnah yang sebenar. Ini kerana identiti kumpulan yang mahu bertindak balas tadi dikhabarkan bukan berfahaman Ahli Sunnah sebenar.

Ketiga : penonjolan satu negara yang kelihatan tidak ikhlas lalu mengakui sebagai wakil ‘sunnah’ menampakkan rundingan tersebut seolah-olah bukan rundingan antara Ahli Sunnah wal Jamaah dengan kumpulan minoriti lain. Tetapi ia secara zahir memperlihatkan rundingan antara kumpulan yang mahu memasyhurkan diri mereka melalui perkataan ‘sunnah’ dengan kumpulan Syiah.

Keempat : permusuhan keras yang sedia maklum wujud antara Syiah dan wahhabi/salafi menimbulkan tanda tanya apakah pertempuran yang terjadi di Iraq sekarang antara Ahli Sunnah wal Jamaah dan Syiah ataupun antara Syiah dan wahhabi/salafi?

Kelima : timbulnya beberapa pihak pada hari ini yang cuba mempergunakan perkataan ‘sunnah’ di beberapa negara dalam dunia hari ini menjadikan kita perlu mengkaji isi yang dibawa dan dianuti oleh pihak tersebut. Ini untuk memastikan apakah benar kumpulan yang melaungkan ‘sunnah’ atau ‘sunni’ itu mewaliki fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah.

Keenam : bahasa pemberitaan dan kewartawanan yang selalunya lebih tertumpu kepada perkataan yang masyhur supaya laporan dapat difahami dengan segera. Tetapi segera yang dimahukan oleh wartawan kadangkala terpaksa mengenepikan ketepatan. Maksud saya, jika wartawan mendapati ada satu kumpulan yang bertelagah dengan Syiah itu menyifatkan diri mereka sebagai ‘sunnah’ atau ‘sunni’, ada kemungkinan bahasa dalam laporan pemberitaannya akan disebut begitu juga tanpa memastikan apakah di sana wujud ketepatan istilah tersebut untuk menggambarkan identiti pihak tadi.

Ketujuh: Ahli Sunnah wal Jamaah merupakan golongan majoriti umat Islam (as-sawadul A’zham). Ahli Sunnah inilah yang diceritakan oleh Nabi sebagai golongan yang tidak akan sepakat dalam kesesatan. Ia merupakan jaminan dan rahmat kepada umat Islam untuk berpegang kepada majoriti umat. Tetapi pengkhabaran gembira dari Nabi ini tidak menafikan wujudnya kumpulan minoriti yang mempergunakan istilah ‘sunnah’ untuk keuntungan nafsu dan kemandirian politik berkepentingan.

Kelapan : perwakilan yang dihantar dalam rundingan belum dapat dipastikan sama ada dari kalangan sarjana yang benar-benar Ahli Sunnah wal Jamaah atau ‘sarjana’yang cuba memasyhurkan diri mereka sebagai ‘sunnah’.

Kesembilan : tekanan hidup dan keterpaksaan mungkin menjadikan sebilangan manusia di Iraq mudah-mudah menisbahkan mereka kepada mana-mana kumpulan tertentu atas dasar menyelamatkan nyawa dari buruan pihak lawan atau musuh. Maksud saya mungkin di sana wujud keadaan yang terdesak untuk mengaku sebagai pengikut kumpulan tertentu untuk tujuan menyelamatkan nyawa sendiri khususnya bagi wanita dan kanak-kanak.

Kesepuluh : keraguan saya disebabkan timbulnya sekumpulan manusia yang berfikir, jalan pintas yang paling aman dan mudah untuk menggelar diri mereka Ahli Sunnah ialah dengan cara menyemarakkan lagi pertembungan dengan Syiah. Ini adalah usaha keji mereka sebagai cubaan untuk ‘menempatkan’ kumpulan mereka dalam identiti Ahli Sunnah Wal Jamaah.


- entri ini berisikan punca keraguan, bukan pendapat...
- sebab itu ada banyak perkatan seolah-olah, kemungkinan dan kebarangkalian...
- dengan kesahihan maklumat, mungkin sahaja keraguan bisa bertukar menjadi pendirian...

Wednesday, March 14, 2007

SURAH MULK AYAT 16

oleh : ALEXANDARICAIRO


ءَأمِنْتُمْ مَنْ فِى السَّمَاء ِ أنْ يَخْسِفَ بِكُمُ الأرْضَ فَإذَا هِىَ تَمُورُ

Maksudnya : "Adakah kamu merasa aman terhadap dia yang di langit ( Malaikat ) bahawa dia akan membolak-balikkan bumi bersama kamu sehingga dengan tiba-tiba bumi itu bergoncang?" ayat 16
------------------------------------------------------------------

ءَأمِنْتُمْ مَنْ فِى السَّمَاءِ ) أى المَلَك الموكَّل بالعَذاب وهو جبريل ( أنْ يَخْسِفَ بِكُمُ الأرْضَ ) وهو ذهابها سفلا كما خُسِفت بقارون وكما خسف جبريل بمدن قوم لوط ( فَإذَا هِىَ تَمُورُ ) تتَحَرَّك بأهلها والمَعنَى أن الله يحرّك الأرضَ بقدْرَته عند الخسف بهم حتى يقلبهم إلى أسْفَل وتَعلُو الأرْضُ عليهم وتَمُور فوقَهم أى تذهب و تجيء


------------------------------------------------------------------


فائدةٌ مهمةٌ : ذَكَرَ أهلُ التفسير عِند بيان معنى هذه الآية : أنَّ الله تعالى لا يوصف بالمكان ولا يتَحَيَّزُ في جهَةٍ لأنَّ ذلك من صفات الأجسام والله لَيس جسما صغيرا فلا يسْكُنُ السماء ولا يسْكن العرشَ ولا يجلِس عليه ، فربُّنا تبارك وتعالى موجودٌ بلا جهةٍ ولا مكانٍ

Faedah yang penting : Ahli tasfir ketika mentafsirkan ayat ini telah menyebut : Bahawa sesungguhnya Allah Taala tidak boleh disifatkan bertempat, Allah juga tidak boleh disifatkan menempati sudut tertentu. Kerana yang demikian (bertempat dan menempati ruang/sudut) merupakan antara sifat-sifat jisim (makhluk). Sedangkan Allah bukan jisim kecil maka Allah bukanlah mendiami (berada) di langit, tidak juga mendiami (berada) di arasy dan Allah tidak duduk atas arasy. Maka tuhan kita (Allah) Taala wujud tanpa bersudut, tanpa bertempat.


وقد قال الحافِظُ العِرَاقي في أمَالِيه في تفسير حديث : ارْحَموا مَنْ في الأرْض يَرحمكم مَن في السماء :" واستُدِلَّ بهذه الرواية : " أهل السماء" على أنَّ المراد بقوله "من في السماء" : الملائكة"

Al-Hafiz Al-Iraqi (dalam amali) ketika mentafsirkan hadis : "sayangilah sesiapa di bumi necaya yang di langit akan menyayangi kamu", beliau telah berkata : -
‘Dengan berdalilkan riwayat (hadis lain) yang matannya "ahli langit", maka makna "yang di langit" itu ertinya ialah Malaikat.


* Allah mencipta tempat, ruang dan sudut
* Allah wujud tanpa bertempat

Tuesday, March 06, 2007

MUJARAB - bukannya BID'AH

In the name of Allah, Most Gracious, Most Merciful

oleh : ALEXANDARICAIRO


( pertama : belum ketengahkan dalil naqli )
( kedua : mujarab : telah terbukti keberkesanannya seperti dapat menyembuhkan penyakit dan sebagainya – Kamus Dewan, edisi keempat, ms 1049 )
( ketiga : baca pelan-pelan, jangan marah-marah )


Doktor : “Pakcik, demam pakcik masih dalam keadaan stabil. Jadi, tak perlu bimbang ya. Makan ubat yyy ini tiga kali sehari, dalam masa dua atau tiga hari kemudian sihatlah nanti.”

Pakcik : “Doktor, siapa cakap makan ubat yyy tiga kali sehari boleh sihat? Nabi ada cakap dalam hadis? Ada ke? Kalau ada, bila?”

---------------------------------------------------------------------------------------

Tok guru : “Nak, baca xxx ini sebanyak 100 kali sehari secara istiqamah. Insya Allah hati akan bening sekali untuk beribadah ya...”

Anak murid : “Siapa yang cakap baca xxx 100 kali hati akan bening? Nabi ada cakap? Kalau ada, bila? Ini semua bid’ah dholalah.”



Penyakit tubuh

Dalam kesarjanaan dunia kedoktoran (perubatan), kita diperlihatkan dengan perkembangan pesatnya terutama penemuan ubat-ubatan atau vaksin baru malah tidak ketinggalan juga kemunculan penyakit-penyakit baru yang memerlukan kajian, penyelidikan dan eksperimen berterusan demi memenuhi keperluan manusia yang secara adatnya memerlukan penawar untuk menyembuhkan penyakit. Atas realiti ini, manusia mengkaji dan menguji serta mengambil banyak manfaat melalui pengalaman dan kajian lalu.

Pengalaman-pengalaman inilah yang selalunya menjadi satu kesimpulan atau rumusan untuk dilihat sebagai ukuran asas kepada beberapa kes-kes mendatang jika mempunyai ciri-ciri punca yang serupa.

Maksud saya, kita cuba rujuk kepada cerita doktor dan pesakit tadi. Pengalaman seorang doktor ditambah dengan pengajian dan kajian pakar-pakar masa lalu menjadikan doktor itu tadi membuat satu rumusan asas bahawa dengan memakan ubat yyy, seseorang yang menghidap penyakit demam dengan darjah kepanasan tertentu boleh pulih dalam masa tertentu mengikut ukuran biasa seorang doktor. Doktor tadi bercakap atas dasar pengalaman, kajian dan penyelidikan. Saya ulang, doktor tadi bercakap atas dasar pengalaman, kajian dan penyelidikan. Ini bukan bermakna doktor tadi cuba untuk bertindak menentukan takdir hidup mati seseorang. Bukan begitu.

Walaubagaimanapun, adalah menjadi perkara biasa jika hasil penyembuhan tidak seperti yang dijangka oleh doktor itu. Mungkin lewat sehari baru sembuh, mungkin lebih cepat dari apa yang dijangka doktor. Senang cerita, target tak mengenalah. Tapi, bila target tak mengena, itu bukan bermakna doktor itu telah menipu atau membuat bid’ah dalam dunia perubatannya.

Doktor tadi cuma menilai atas dasar hasil kajian, iaitu ubat yyy tersebut akan mujarab dengan syarat-syarat tertentu iaitu makan tiga kali sehari. Mujarab, atas dasar kajian dan pengalaman. Selalunya mujarab, namun ada kemungkinan tak sembuh. Mungkin kondisi badan berbeza, persekitaran tidak membantu atau masih perlukan ubat sokongan yang lain. Biasalah.

Seperkara lagi yang patut kita perhatikan, bukan semua benda yang mujarab Nabi telah sebut. Banyak juga petua-petua dan tips-tips mujarab, bukanpun bersumber dari hadis Nabi. Tapi ia bukan bermakna kita tidak boleh mengambil manfaat dan kebaikan darinya. Ia juga bukan bermakna dengan mudah-mudah kita menuduh apa sahaja petua atau tips tersebut sebagai perkara ditolak agama. Menerima dan mengamalkan tips-tips tersebut bukan juga bererti kita menentang sunnah Nabi. Tetapi kita sebenarnya bersikap rasional dan bijak dalam berinteraksi dengan sunnah-sunnah Nabi.



Penyakit jiwa

Pesakit demam berjumpa doktor bila dia sakit. Itu biasa. Bagi seseorang yang menekuni pengajian ilmu-ilmu warisan Islam, adalah menjadi perkara lumrah wujudnya hubungan silaturahmi antara guru dengan murid. Mereka saling berkenalan, bertukar khidmat, tolong menolong malah saling menasihati. Seorang guru juga selalunya mempunyai pengalaman dalam kembara pengajiannya dahulu. Pengalaman, ilmu, amalan dan kebolehan inilah yang menjadikan mereka memiliki keistimewaan dari kaca mata seorang murid.

Seperti orang demam berjumpa doktor, seorang murid juga sering mengadu kepada gurunya jika dia mempunyai masalah atau kemusykilan berhubung agama. Guru, dengan nilaian ilmu, pengalaman dan amalan bertindak sebagai pembimbing kepada muridnya untuk terus menekuni dunia pengajian ilmu warisan Islam. Langsung tidak ada perasaan lokek atau bakhil untuk memberi tips dan ilmu. Mungkin sahaja ilmu itu dari pengalamannya, atau sesuatu yang diriwayatkan dari ulama-ulama terdahulu seperti para sahabat dan tabiin.

Ulama-ulama terdahulu banyak memberi tips dan amalan kepada murid-murid mereka. Hinggakan para sahabat dan tabiin sendiri memberi tips-tips amalan padahal Nabi tidak pun pernah menyebutnya. Apa yang dihairankan. Sedangkan jin (syaitan) pun pernah memberi tips amalan ayat Kursi kepada sahabat dan diperakui kemujarabannya oleh Nabi, apa lagi sahabat Nabi. Ramai sekali yang meriwayatkan amalan-amalan yang mereka amalkan dengan bilangan serta khasiat-khasiat tertentu untuk kemujaraban tertentu berdasarkan pengalaman pengamalan mereka. ( jangan pula mengatakan saya menyamakan syaitan dengan sahabat Nabi atau ulama ya... )

Suka saya ingatkan. Mujarab tadi atas dasar pengalaman dalam amalan. Bukan jaminan seolah-olah bertindak seperti tuhan. Bukan juga bid’ah yang bertentangan dengan Al-Quran. Menyifatkan mujarab bukan mempertuhankan diri dan bukan bid’ah. Bukankah ‘mujarab’ berasal dari kalimah arab yang membawa erti ‘yang diuji’ serta bermaksud ‘teruji keberkesanannya’?

Contohnya jika seorang sahabat Nabi mengatakan “baca ... 3 kali sehari nescaya ...”, itu bukanlah satu jaminan yang bertindak seperti tuhan menentukan takdir. Itu bukan jaminan atau bid’ah yang memandai-mandai seolah-olah lebih hebat dari Nabi. Itu adalah rumusan atau hasil penyelidikan ulama-ulama terdahulu dalam pengembaraan dunia amal ibadah mereka. Jika mahu, anda boleh ambil, jika tidak mahu, jangan pula dihina-hina dengan tuduhan. Jika benar tips itu ‘mengena’, baguslah. Ada kebarangkalian juga tidak ‘mengena’. Mungkin ada sebab lain, niat belum diperhalusi, kesungguhan belum cukup atau maksiat masih dilakukan. Tapi, ketika tips tak ‘mengena’, ia bukan dalil bahawa ulama/sahabat tersebut menipu. Ia juga bukan dalil untuk membid’ahkan amalan ulama-ulama.

Seperti doktor tadi mengatakan, makan yyy tiga kali sehari maka anda akan sihat. Itu tips. Teori berasaskan kajian dan pengalaman yang telah diuji keberkesanannya. Jika anda mahu, ambil nasihat dan ubat itu, jika tidak mahu, jangan dihina kajian doktor tersebut. Jangan pula menuduh doktor tersebut telah rosak akidahnya.

Jadi tolonglah jangan tuduh-tuduh tanpa memiliki cerucuk kesarjanaan dan keilmuan terutamanya berkenaan urusan agama. Sudah banyak Islam diserang dari segenap sudut. Jangan kita menjadi salah satu ejennya. Tolonglah.

Pengingkaran membuta tuli hanyalah membongkar ketaasuban dan kedangkalan tak terpandu sekalipun pernah ber‘tesis’ kedoktoran. Manusia kadangkala semakin banyak bercakap dan menulis, semakin banyak silapnya, malah semakin jelas menampakkan kebodohannya. Tesis yang menyentuh sejuzuk ilmu dianggap lesen yang membenarkannya bercakap tajuk apa, menuduh siapa sahaja.

Asasnya mujarab

Jadi bertindak menuduh sesuatu amalan yang diriwayatkan oleh ulama-ulama terdahulu dengan tuduhan-tuduhan bid’ah, khurafat, rekaan, dholalah, neraka, syirik dan apa sahaja merupakan tuduhan yang tidak berdiri atas kesarjanaan Islam dan profesionalisme keilmuan ulama. Ketaasuban dan kesempitan menilai menjadikan pertuduhan seperti ini mencemar ruh pewaris-pewaris ilmu-ilmu Islam.

Malang sekali kalau sudah tidak mahu menilai secara waras, bahkan tidak mahu menerima penilaian yang waras. Adalah sesuatu yang disifatkan hilang pertimbangan akal bila menghukum niat solat “usolli...”, niat menuntut ilmu “nawaitu attaalluma watta’lim....” dan tips-tips ulama silam sebagai bid’ah yang ditolak agama. Mudah-mudahan Allah memelihara kita bersama dari pemahaman yang sebenarnya bercanggah dengan agama. Mereka subur dengan baja ketaasuban, kita harus berdiri dengan hemah, bijak dan fakta yang jujur.


* mempelajari sesuatu yang belum kita tahu itu lebih baik daripada sibuk nak membid’ahkan orang.
** kalau tak faham, kan lebih baik bertanya. Mana tau, ada yang tahu.

Friday, March 02, 2007

APA ADA DENGAN 'AMMIAH'...

In the name of Allah, Most Gracious, Most Merciful
oleh : ALEXANDARICAIRO
( ammiah : dialek kedaerahan atau kenegerian )

Student : Buat apa nak belajar ammiah Mesir! Itu semua merosakkan bahasa arab!
Student : Inilah kita! Pergi layan arab mesir dengan ammiah!
Student : Ammiah tak ada faedah langsung!

Secara dengar kali pertama, saya suka dengan dialog-dialog pelajar seperti di atas tadi. Mereka memperlihatkan keazaman yang kuat, janji yang utuh serta menzahirkan semangat anak muda tidak berbelah bagi. Usah salahkan mereka. Inilah komitmen orang muda. Darah orang muda yang sentiasa membara. Apapun saya juga ingin melihat mereka sudi untuk bertukar-tukar pandangan dengan saya ataupun kawan-kawan saya yang lain. Tapi bukan bermakna saya dan kawan-kawan saya sudah tua ya!

Saya ingin membawa satu contoh yang terbalik, bukan sebagai hujah, tetapi sekadar untuk berkongsi pandangan dan menambah maklumat supaya kita renung-renungkan. Mudah-mudahan ada sumbangannya dalam masalah membuat penilaian berkaitan sesuatu perkara.

Arab nak cakap Melayu

Anda mempunyai seorang kawan bernama Husam. Husam merupakan seorang jejaka muda berbangsa arab Mesir. Lahir di Mesir dan dibesarkan di Mesir sepanjang hayatnya setakat ini. Beliau mempunyai kelayakan akedemik yang baik serta pengalaman yang agak luas dalam kerjayanya. Hal ini menjadikan beliau istimewa dari sudut merebut peluang kerja yang baru. Mendengar tentang maklumat kemajuan dan prospek di Malaysia menjadikan beliau bercadang untuk mengambil peluang berkhidmat di Malaysia. Lalu beliau pun memasuki kelas bahasa di Kaherah sebagai persediaan.

Beliau bersungguh-sungguh. Bahasa Malaysia yang beliau pelajari di pusat bahasa tersebut adalah bahasa Malaysia standard. Beliau banyak menghafal perkataan dan mempelbagaikan perkataan dengan erti yang sama. Balik ertinya pulang, kembali dan perkataan lain lagi. Begitulah. Rujukan beliau adalah beberapa buah kamus tulisan tenaga pengajar di pusat bahasa itu. Setelah 4 bulan, beliau telah menguasai bahasa Melayu asas dengan baik. Sebulan selepas itu, beliau berangkat ke Malaysia dan menetap bersama anda. Suatu hari...

Anda : Aku nak pergi stadium sekarang.
Husam : Terbalik pada kau lah...
( sepatutnya : terpulang pada kaulah )

Anda : Nak ikut tak?
Husam : Jangan ingin.
( sepatutnya : tak nak )

Anda, seorang kawan yang baik pun berhasrat untuk membetulkan Husam. Anda menegur Husam, bukan "terbalik pada kau". Yang betul ialah "terpulang pada kau". Husam pun berhujah "Itulah awak, bercakap ammiah, saya sendiri yang bukan orang Malaysia belajar fusha Melayu, balik itu kan ertinya pulang, terpulang, terbalik, sama sahaja, awak tak kuasai kalimah bahasa Melayu, saya perjuangkan bahasa awak, saya datang dari Mesir untuk membetulkan rakyat Malaysia, saya yang betul, awak dah terbiasa dengan ammiah awak yang salah, awak kena berubah dan pelajari semula bahasa, bla bla bla.....".

Agak-agak anda, sejauh manakah rasional alasan yang diberikan Husam kepada anda tadi?

Anda berhujah lagi. Husam, bukan "jangan ingin", yang betul ialah "tak nak". Husam berang. Beliau berkata, dalam bahasa arab perkataan "La" mempunyai dua erti dalam bahasa Melayu. Boleh bermakna tidak, boleh bermakna jangan. "Aku nak kuasai kalimah yang berbagai, maknanya pun sama, kadang-kadang aku guna ‘tak’, kadang-kadang aku guna ‘jangan’, awak yang tak biasa guna, awak yang salah, saya ada sijil kelas bahasa, awak tak pelajari tatabahasa Melayu, bahasa Melayu SPM dulu dapat apa?, kredit ke tak?, ini membuktikan bahasa awak sememangnya sudah rosak, kalau bukan awak yang betulkan bahasa awak, siapa lagi?, bla,bla bla bla...."

Kita lihat dialog seterusnya...

Anda : Jomlah. Aku ajak sungguh-sungguh ni.
Husam : Kalau nak pergi, pergilah semanusia...
( sepatutnya : kalau nak pergi, pergilah sorang... )

Anda : Bolehkah tinggal seorang diri?
Husam : Jangan kenapa
( sepatutnya : tidak mengapa )

Anda : Oklah. Aku dah sediakan nasi goreng bawah tudung saji.
Husam : Terima sayang
( sepatutnya : terima kasih )

Anda : Tapi, tunggu aku tau, kita makan saing.
Husam : Ok. Aku nanti
( sepatutnya : Ok. aku tunggu )

Anda : Kalau ada sesiapa telefon...
Husam : Aku maklum. Serah maklum yang kau keluar pergi stadium.
( sepatutnya : Aku tahu. Beritahu yang kau keluar pergi stadium )

Husam, Husam. Asyik dengan ‘fusha’nya. Setiap kali anda menegur, anda pula dipersalahkan.
Setiap kali anda membetulkan, anda dicop perosak bahasa sendiri.

Mungkin dalam hati anda terdetik, apa hal lah mamat ni. Sepatutnya dialah yang kena belajar bagaimana menggunakan perkataan yang sesuai pada tempat dan sempenanya. Woi, ini Malaysia lah, bukan pusat bahasa macam di tempat kau. Ini bukan masalah rosak bahasa atau tidak, ini masalah nak guna perkataan yang sesuai dengan sempenanya di sini. Sepatutnya akulah yang menjadi rujukan dan panduannya. Sepatutnya dia yang kena ikut cakap aku.

Celaru yang bagaimana ?

Baiklah. Di sini kita dapat melihat penilaian yang agak keras dari Husam. Namun, keengganannya untuk memperdalam pengetahuannya berhubung penggunaan bahasa Melayu yang sesuai di Malaysia, hanya menjadikan beliau sering mengalami suasana komunikasi yang bermasalah ketika berbual dengan rakyat Malaysia. Husam cakap lain, rakyat Malaysia faham lain. Husam sangka ia bahasa Melayu standard, rakyat Malaysia menganggap dia merapu entah apa-apa dan masih perlu belajar. Mungkin Husam sedikit sombong seolah-olah beliaulah yang lebih hebat dari A Samad Said dalam memperjuangkan bahasa Melayu.

Jika anda berkebolehan, cuba terbalikkan semula contoh cerita di atas tadi. Husam yang taasub membabi buta di Malaysia, anda gantikan dengan diri anda yang berada di Mesir. Contohlah. Bayangkan, anda berkeras dengan fusha, lalu sepenuhnya memperlekehkan ammiah. Pada pandangan anda, adakah di sana ada kemungkinan berlaku kecacatan komunikasi anda dengan rakyat Mesir?

Ya. Kita harus mengakui bahawa ramai rakyat Malaysia tidak bercakap bahasa Melayu mengikut acuan yang sepatutnya. Tetapi, kita tetap berpegang dengan keperluan orang arab Mesir khususnya Husam untuk mengetahui penggunaan kalimah pada tempat yang sesuai supaya digunakan dengan betul dan difahami oleh rakyat Malaysia.

Begitu juga halnya di Mesir. Rakyat Mesir mengakui bahawa bangsanya menuturkan ammiah yang menggugat keutuhan bahasa arab asal, namun mereka juga berpandangan perlunya orang luar mengetahui ammiah mereka supaya perkataan yang digunakan sesuai dengan kefahaman rakyat kepada kalimah tersebut. Rakyat Mesir menyedari bahasa ammiah mereka mengganggu bahasa arab asal, tetapi mereka mahu orang luar mempelajarinya dari sudut bagaimana menggunakan perkataan yang sesuai dengan keadaan. Banyak perkataan yang dasarnya kelihatan sama erti, tetapi berbeza ketika penggunaannya terutama apabila berimbuhan.

Jangan tersilap cakap

Saya ingin mencontohkan penggunaan bahasa yang kurang tepat oleh Husam. Nanti anda cuba terbalikkan contoh tersebut kepada diri anda ketika anda berbahasa arab ammiah. Baik.
Adakah anda mempunyai isteri yang cantik? Kalau belum berkahwin, anda bayangkan tatkala ini kawan anda, Karim mempunyai isteri yang cantik dan dia sayangi. Akhlaknya baik dan Karim senangi sekali. Pada suatu hari Husam bertemu dengan anda lalu berkata :-

Husam : Pagi tadi aku menatap bini Karim di stesen bas...

Bezakan dengan...

( sepatutnya - Husam : Pagi tadi aku nampak orang rumah Karim di stesen bas... )

Bagi anda yang sudah lama memahami kelemahan dan kedegilan Husam mempelajari bahasa Melayu yang tepat, anda faham beliau sebenarnya mahu memberi maklumat bahawa beliau ternampak isteri Karim di stesen bas. Tetapi bagi orang Melayu yang jarang bersama dengan Husam, pemahamannya mungkin lain. Mungkin nampak agak kurang sopan bila seseorang mengatakan dia menatap isteri kawan anda. Ataupun bagi orang yang cepat panas, dia akan cop Husam sebagai sudah melampau kerana mula berani nak tackel isteri orang lain! Kalau Karim dengar dengan telinganya sendiri, adakah Husam berpotensi kena lempangan maut pahlawan Melayu terakhir? ( Bedebuk! Husam kena lempang...iye..Husam kena lempang... )

Contoh kedua. Husam bertemu kawan barunya berbangsa Melayu lalu memberitahu:-

Husam : Saya maklum kata Melayu
Bezakan dengan...
Husam : Saya tahu cakap Melayu

Contoh ketiga:-

Husam : Saya nak campak air besar
Bezakan dengan...
Husam : Saya nak buang air besar

Contoh keempat:-

Husam : Saya tertemu beg dompet awak semalam
Bezakan dengan...
Husam : Saya terjumpa beg dompet awak semalam

Cuba renungkan. Bagaimana pula nasib anda ketika bertutur kepada seorang arab Mesir yang baru pertama kali anda bertemu dengannya dalam keadaan anda bertutur mengikut ‘fusha’ syok sendiri anda?

Baiklah. Saya bukan mengatakan kewajipan atau kemestian menguasai ammiah sama ada bahasa Melayu atau Mesir. Saya sekadar mengetengahkan peranan ‘ammiah’ sebagai keperluan menambah pengetahuan dalam mana-mana bahasa. Juga melancarkan komunikasi dan memastikan ketepatan mesej yang disampaikan. Perhatikan. ‘Fusha’ ada peranannya, ‘ammiah’ ada sumbangannya. Saya cuma kehairanan jika ada yang berkeras menolak 100% pembelajaran ‘ammiah’ dalam apa jua bahasa. Saya ulang, apa jua bahasa. Tak kiralah bahasa Jerman, Perancis atau Korea. Saya merasa pelik kalau ada yang berkeras dengan apa yang dia anggap sebagai ‘pejuang fusha’. Rasanya tidak wajar mendiskriminasikan atau menafikan keperluan ammiah secara total.

Di sini saya hanya melontarkan pandangan dalam bentuk contoh yang terbalik. Pada andalah jawapan.

Jika ada kesempatan waktu, saya berangan nak menulis tentang cerita bagaimana nasib seorang lelaki Melayu yang berkeras dengan ‘fusha’ arab sangkaannya pula. Berangan saja.

* bukan senang dapat lempang orang arab Mesir... untung Karim...
** ingat, jangan suka-suka nak lempang orang ya... ahaks...

Saturday, February 24, 2007

‘BENAR’NYA TIDAK MENAFIKAN ‘BESAR JAHAT’NYA

In the name of Allah, Most Gracious, Most Merciful'

oleh : ALEXANDARICAIRO


Selalu sahaja orang yang jahat berkata benar. Itupun kebetulan. Tak mengapalah. Berkata benar itu baik. Tapi dengan berkata benar bukan sewenang-wenang boleh menidakkan kejahatan diri orang jahat itu. Apalagi jika kejahatannya itu adalah dari jenis kejahatan yang sangat besar malah dilabel oleh Al-Quran sebagai dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah.


Soseh-soseh

Jika seorang orientalis musyrik bertemu dengan seorang ‘saudara baru’ yang baru masuk Islam lalu orientalis tersebut memberitahu ‘saudara baru’ itu bahawa solat yang wajib dalam Islam itu lima waktu. Orientalis itu berkata jujur menerangkan cara solat dalam Islam lalu terus berhujah dengan hadis-hadis sahih yang membenarkan hujahnya. Kemudian ‘saudara baru’ itu terpinga-pinga keraguan dan merujuk kepada anda, adakah benar maklumat yang diberikan oleh orientalis tersebut.

Sekilas pandang manakah yang lebih mulia? Orientalis musyrik yang ‘pakar’ maklumat berkenaan cara solat orang Islam atau ‘saudara baru’ yang masih belum pernah solat? Mulia dari sudut manakah ukurannya, akidahnya (saudara baru) atau banyak pengetahuannya (orientalis)?


Firman Allah dalam Surah At-Taubah ayat 28 :

إنَّمَا المُشْرِكُوْنَ نَجَسٌ

Maksudnya : Hanyasanya orang-orang musyrik itu najis (akidah mereka)...


Dalam satu hadis yang panjang, seorang sahabat telah bertemu dengan jin dari kalangan syaitan maka sahabat tersebut pun bertanya : "Apakah yang dapat menghalang kami dari (gangguan) kamu?" Jin tersebut pun menjawab : "Ayat Kursi". Maka sahabat tadi pun pergi menuju kepada Rasulullah dan menceritakan peristiwa tersebut lalu Rasulullah pun berkata :

فقد صدق الخبيث

Maksudnya : "Benarlah kata Si keji (syaitan) itu"

(Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan selainnya)


Walaupun jin (dari kalangan syaitan) itu berkata benar, Rasulullah tetap tidak menafikan kejahatan syirik yang ada pada jin itu dengan menyebutnya sebagai ‘si keji’. Secara lahiriah, jin itu seolah-olah telah ‘berjasa’ kepada sahabat dengan memberi ‘tips’ mengelak gangguan jin tetapi sejauh manapun benar kalam jin syaitan tersebut, selama mana akidahnya batil, dia tetap ‘si keji’.


Mungkinkah ada yang bertanya :

‘mengapakah Rasulullah tak mengenang jasa?’
‘mengapakah Rasulullah suka menghukum, menggelar makhluk lain sebagai ‘si keji’?’
‘bukankah besar sumbangan jasa syaitan tadi memberi tips kepada sahabat?’
‘bukankah jin itu berkata benar?’
‘mengapakah gelaran disebut hanya kerana melihat aspek negatif?’
‘siapa kita nak disamakan dengan Nabi?’
‘hoooi!!لا حكم إلا لله... إن الحكم إلا لله ’


*ohh.. karungku tak kecukupan untuk jawapan...
**hidayahMu jua Ya Allah...

Sunday, February 18, 2007

TIPU YANG DIKOMERSILKAN


oleh : ALEXANDARICAIRO

hiasan sekadarnya ye...

Mentelaah kitab-kitab warisan lama rupanya bukan satu tugas mudah. Sakit kepala, sakit mata dan sakit lainnya. Tapi, sakit-sakit itu sebenarnya datang dengan sekujur tubuh lemah yang tidak mampu menanggung beratnya nilai hidup yang bersarat dalam karya ulama-ulama silam. Walhal, jika semuanya mampu dicedok dengan kemas, sakit-sakit yang bersifat jasadi akan terpinggir lalu pergi kerana roh sudah terisi. Mungkin hati yang lalai ini masih belum sedar, susah membaca, susah lagi orang yang mengarangnya.

Namun melihat telatah manusia yang tidak mengendahkan estetika yang wujud dalam warisan Islam, ia sedikit sebanyak menimbulkan rasa kurang selesa. Mungkin dari sudut mata kasar ‘orang mengaji’, tentunya tidak patut bagi seseorang untuk mudah-mudah mengenepikan sesuatu yang bernilai walaupun dia sendiri tidak tahu atau keliru untuk menilai. Tidak kiralah warisan tersebut berbentuk penulisan, tempat atau kalam-kalam indah. Adalah tidak wajar menolak mentah-mentah satu barang berharga walaupun kita tidak tahu besar manakah harganya. Semakin keras menolak benda berharga, semakin jelaslah seseorang mengumumkan kebodohannya secara terbuka.

Itu cerita orang yang tidak tahu menilai. Dalam perkembangan sikap manusia, kerencaman menilai sesuatu biasanya bermula dengan cara tidak ambil peduli. Ada kemungkinan ia disebabkan sikap tidak tahu atau tidak mahu menilai. Bila sikap ini terus berkembang, akan wujud pula nanti rasa taasub dengan penilain diri sendiri. Fenomenanya begini. Apa sahaja yang tidak ada nilai pada pendapatnya, maka benda itu dihukum sebagai tidak ada gunanya. Sebaliknya, jika ada sahaja benda berharga pada pandangannya, ia dipuja ke sana sini dengan seribu cara. Nah, dari sinilah nilai sesuatu barang berharga sudah mula didiskriminasikan mengikut acuan nafsu manusia.

Penilaian berasaskan taasub inilah merupakan pendekatan yang memerlukan sokongan yang kuat untuk terus mendapat sambutan kerana ia berdiri atas asas mengiakan apa yang dia anggap baik dan menidakkan apa yang dia anggap tidak bernilai. Pendek kata, “I cakap betul, you cakap kurang betul”. Kadang-kala wujud rasa tidak selesa bila ada orang lain yang menyanggah penilaiannya. Oleh kerana tuntutan keadaan memerlukan sokongan yang padu, maka sikap tidak tahu menilai dan taasub kepada penilaian sendiri tadi telah berpindah kepada level yang seterusnya iaitu memperlekehkan penilaian orang lain.

Dalam tahap seperti ini, perlekehan adalah satu cara penting untuk menidakkan penilaian orang lain. Perlekehan mempunyai pelbagai bentuk dan pendekatan. Adakala memperli, mengulang cakap dengan nada sinis, mengajuk kata dengan senyum kambing, melawakkan sesuatu yang patut serius atau menjawab pertanyaan dengan soalan yang tidak berkaitan. Maka perlecehan atau perlekehan seperti ini bila dilakukan secara sistematik dan tersusun ke atas warisan-warisan Islam sama ada seni, karya, penulisan, barangan atau khazanah tempat peninggalan, ia sebenarnya satu cubaan untuk melihat sejauh mana penentangan umat Islam ke atas peringkat-peringkat perlekehan tersebut.

Jika umat Islam diam, ia adalah alamat positif bagi mereka untuk terus dengan memperlekehkan warisan dan ulama-ulama silam. Jika umat Islam mentidakmengapakan perangai mereka, ketaasuban terhadap pendapat sendiri akan berkembang subur dalam minda masyarakat hatta golongan intelek sekalipun.

Perlekehan seperti inilah yang nantinya akan dialasankan sebagai keterbukaan memberi pandangan, demokrasi dalam idea dan bebas dalam fatwa. Perlekehan semacam ini juga dibuat dengan tersusun agar apabila didakwa dengan perlakuan tersebut, mereka mempunyai seribu helah memutar belit kata berdalilkan bahawa Nabi selalu menjawab menggunakan jawapan yang berbagai-bagai mengikut kepada siapa baginda bercakap.

Seorang manusia selalunya akan lalai dengan pujian dan habuan dunia. Teori am ini terakam pada banyak tubuh manusia dalam sejarah kehidupan dunia. Jadi, bagi seorang manusia yang pada awalnya bertindak menilai dengan cara tidak wajar terhadap warisan silam Islam, taasub dengan ukuran diri sendiri lalu memperlekeh orang lain, sikap ini akan berkembang subur kepada peringkat yang lebih kronik apabila sokongan lingkungannya bertambah. Peringkat seterusnya adalah menghina khazanah berharga dalam dunia Islam.

Menghina ada banyak cara. Dalam penulisan boleh menghina karya penulisan orang lain. Dalam pengajian boleh menghina pengajian orang lain. Ada cara halus dan beralas, ada cara agak kesat dan keras.

Apabila ini berlaku, suasana yang tidak indah akan wujud. Hal ini sedang berlaku di negara-negara arab. Manusia bebas mencerca dan menghina manusia mulia yang telah mati. Manusia yang terang-terang mati dalam kesalahan pula diperjuangkan sebagai jagoan. Ketaasuban akan merata. Menyalahkan orang lain akan selalu dijumpai. Kritik sudah bertukar wajah kepada mencela. Suami isteri akan tidak bertegur sapa hanya kerana membaca Al-Quran. Saudara akan mencemik muka cuma sebab menziarahi orang alim.

Ketika ini tersusunlah empat elemen sekaligus. Pertama tidak tahu menilai, kedua taasub dengan penilain sendiri, ketiga memperlekehkan penilaian orang lain dan akhirnya menghina penilaian orang lain.

Lalu tatkala digabungkan semua tahap perkembangan sikap negatif ini, lahirlah kata-kata supaya kitab-kitab kuning ulama silam dibakulsampahkan, khazanah Nabi dibilikairkan (ada ke kalimah ini?), tinggalan sejarah dilesapkan, pengajaran akidah terpupuk hanyalah teori falsafah Greek, doa dan ziarah adalah penyembahan, usaha adalah syirik, kreativiti maslahah adalah bid’ah, ulama silam tidak perlu dituruti, iltizam mazhab dituduh taasub dan macam-macam lagi. Atas tapak inilah ia bergerak dan akan terus bergerak jika tidak dibendung awal-awal lagi.

Ya. Bibit-bibit sudah bermula. Cuma kesedaran belum pasti ada. Apa yang jelas, penipuan sedang dikomersilkan berasaskan beberapa kaedah. Istilah yang baik, nama, panggilan, jawatan, gelaran dan jolokan yang semuanya hanyalah hiasan luaran untuk mengaburi manusia tentang apakah isi di dalamnya. Mereka mahu berjaya dengan dakyah mereka, tugas kita ialah menggagalkan mereka.




* mengelilingi, melihat dan mentafsir
**berkongsi untuk sama-sama berfikir


Monday, February 12, 2007

Tasbih (sibhah) – salah kebendenye!!

oleh : ALEXANDARICAIRO



( pertama: mahu ringkas cerita )
( kedua: belum lagi ketengahkan dalil naqli )
( ketiga : entri ini tentang tasbih yang maknanya - alat menghitung zikir tuuu..)

“tasbih ( alat menghitung zikir ) bid’ah!!”
“hadis tentangnya maudhu’!!”
“haram, haram, haram, nerakaaaaaa!!”


Sedapnya mulut berkata-kata. Tak takut ke? Mudahnya tuduh-tuduh, hukum-hukum. Senangnya mengutuk-ngutuk ulama sana-sini. Suka ya dhaif-dhaifkan hadis. Tak takut ke?



ZIKIR GUNA TASBIH (SIBHAH/MISBAHAH)

PERTAMA : tak tau bukan mesti tak ada

Dalam kehidupan di dunia ini, bukan semua benda yang kita tidak tahu itu ianya tidak ada. Sungguh banyak perkara yang kita tidak tahu, tapi ia wujud. Itu adalah hakikat yang mudah. Bukan semua maklumat berada dalam pengetahuan kita. Itulah kelemahan kita sebagai manusia.

Contoh. Bila anda kehilangan beg, jangan semberono mengatakan beg itu tidak ada. Cuma anda belum jumpa atau tidak tahu ia di mana. Bila kawan anda telah mengetahui beg anda berada di mana, jangan anda menyalahkannya pula. Sudahlah anda tidak tahu beg itu di mana, maka jangan menyalahkan orang lain yang tahu apalagi jika dia membantu anda menemukan beg.

Jadi, bila kita tidak mengetahui/menjumpai sesuatu, jangan mengatakan ia tidak ada. Mungkin ada orang lain yang tahu bahawa benda itu ada. Janganlah pula menyombong diri bila ada orang lain memberitahu kewujudan benda yang selama ini kita anggap ianya tiada. Macam orang yang memperli “Zaman Nabi mana ada cukur. Itu pasal janggut panjang”. Itukan menghina. Kalau tak tau kan lebih baik diam sahaja. Atau tanya orang yang tahu, alat cukur masa itu ada atau tidak.

Sama juga orang yang memperli “Tasbih bid’ah sesat. Zaman nabi mana ada tasbih (sibhah/misbahah). Ha! Mana adaaa”. Bukankah perli namanya. Kalau tak tau kan lebih baik tanya dengan orang yang tahu. Diam pun bagus daripada pandai-pandai komen tanpa maklumat. Kalau ya pun tasbih (sibhah/misbahah) tak disebut dalam nas hadis, bukan mesti ianya tidak ada. Takkan lah semua benda yang melibatkan urusan maslahat duniawi Nabi nak disebut. Tasbih(sibhah/misbahah) itu kan maslahat untuk membantu kiraan dan ingatan bilangan zikir.

Bukan semua perkara yang membantu maslahat duniawi disebut oleh Nabi. Takkan Nabi nak sebut semua, periuk saiz berapa, pisau berapa jenis, jenama apa yang ada, kain jenis apa, kuali ada atau tak, berapa jenis penyakit kuda, tali pinggang ada atau tidak, berapa panjang ukuran pengetip kuku, diperbuat dari apa dan macam-macam lagi. Memadailah beberapa perkara sahaja disentuh oleh Nabi dalam sebahagian ketika jika kebetulan disebut dalam nas hadis. Tetapi ingat, ia bukanlah dalil untuk menolak kewujudan banyak perkara yang sedia ada pada zaman baginda. Kalau tak tahu kan lebih baik diam daripada komen yang bukan-bukan.

KEDUA : guna paip boleh?

Wuduk itu ibadah. Mandi wajib itu ibadah. Bukankah banyak riwayat menceritakan cara Nabi berwuduk dan mandi. Wuduk dan mandi itukan ibadah yang memerlukan alat. Alat yang membantu memudahkan urusan ibadah. Hukum akal menunjukkan tak mungkin air itu bertakung di udara untuk semua ketika dan setiap individu. Mungkin bejana, mangkuk, periuk bekas, tong atau apa sahaja boleh digunakan sebagai alat untuk berwuduk/mandi. Alat-alat tadi itukan urusan maslahat duniawi. Apa salahnya menukar alat mengikut keperluan/keselesaan/kemampuan.

Jadi, kalau ada orang wuduk/mandi wajib menukar ‘alat’ daripada menggunakan bekas air kepada guna paip, takkanlah bid’ah dholalah bin munkarah bin sesat @ neraka kan? Adillah sikit dalam berdalil.

Zikir itukan ibadah. Tasbih (sibhah/misbahah) itukan alat. Alat untuk membantu hitungan/kiraan. Mungkin tasbih itu berbentuk bijian batu bertali, plastik, kayu, fibre, atau apa sahaja. Ikut sukalah. Takkan lah nak marah-marah kalau orang guna alat zikir elektronik pula. Itukan alat. Kalaupun paip air tidak wujud pada zaman Nabi, takkan semua orang yang berwuduk/mandi wajib menggunakan paip masuk neraka semuanya.

Tasbih (sibhah/misbahah) kan ada pada zaman Nabi. Tak percaya? Ok. Kalaupun benar tasbih (sibhah/misbahah) itu tidak disebut dalam nas hadis, belum tau ianya benar-benar tidak ada. Banyak perkara tidak disebut dalam nas hadis tapi ia wujud. Baiklah, kalaupun memang benar tasbih (sibhah/misbahah) tidak ada pada zaman Nabi, takkan orang yang menggunakannya sebagai alat untuk membantu ibadah dihukum masuk neraka? Mana adilnya? Hukum orang neraka sana-sini. Kenapa begitu? Habis, apa cerita dengan kebanyakan umat Nabi Muhammad sekarang yang ramai mem‘paip’kan diri dalam ibadah wuduk/mandi wajib? Maksud saya mereka menggunakan paip air (alat) untuk urusan ibadah (wuduk). Masuk neraka ke?

Habis semua orang di‘neraka’kannya.

KETIGA : solat sunat rawatib

Solat sunat rawatib itukan ibadah. Masjid, rumah, surau, bilik, kem, tepi jalan, bangunan adalah alat untuk melaksanakan ibadah solat tersebut. Kita perlukan alat dipijak sebab hukum adat menafikan kebolehan kita solat atas angin.

Al-Imam Bukhari dalam sahihnya menyebut Nabi bersolat sunat subuh di rumah. Al-Imam Bukhari dalam kitab Jumuah juga menyebut bahawa Nabi bersolat sunat ba’diah jumaat di rumah. Imam Nawawi dalam syarah Sahih Muslim juga menyebut bahawa tidak ada riwayat Nabi solat ba’diah maghrib dan Isyak kecuali ia dilaksanakan di rumah. Rumah itukan alat/tempat pelaksanaan ibadah (solat sunat rawatib). Kalau tidak ada riwayat mengatakan Nabi solat sunat rawatib selain masjid, apakah dengan sembarangan kita nak menghukum orang-orang yang solat sunat rawatib selain di rumah sebagai ‘ahli neraka’?

Rumah itukan alat untuk urusan solat tersebut. Tidak bolehkah menukar alat? Berapa banyak manusia menukar alat? Maksud saya berapa banyak orang melaksanakan solat sunat rawatib di masjid, bangunan, pondok, balai, tepi jalan, kem perang, bawah pokok, tepi sungai dan lain-lain lagi. Apakah semata-mata Nabi solat sunat rawatib ber‘alat’kan rumah, maka solat sunat tersebut tidak boleh diubah ‘alat’nya? Apa cerita mereka yang solat sunat rawatib di masjid? Masuk neraka ker?

Kalaupun ada orang nak mengubah alat zikir daripada menggunakan jari kepada menggunakan butir-butir tasbih, haramkah? Masuk neraka kah? Kalau ada yang lebih advance bertukar dari butiran tasbih kepada tasbih digital, berganda-ganda neraka jugakah? Atau berapa kali nak dihukum keluar masuk neraka? Di manakah keadilan dalam berdalil?

Orang yang solat sunat rawatib di masjid bukan mengubah atau mereka-reka ibadah. Mereka hanya menukar alat untuk urusan ibadah. Maksud saya berlaku perpindahan/pertukaran daripada ‘alat’ rumah kepada ‘alat’ masjid, daripada ‘alat’ rumah kepada ‘alat’ pondok, ‘alat’ rumah kepada ‘alat’ bawah pokok. Begitu juga alat untuk berzikir. Kalau alat itu diperbuat dari bahan yang halal penggunaannya, apa salahnya berkreatif dalam urusan duniawi. Janganlah mudah-mudah mengutuk ulama sana-sini, menuduh dhaif sana-sini dan me‘neraka’kan orang sana-sini. Bukan semua perkara yang kita tidak tahu itu tidak ada. Kalau tak tau kan lebih baik diam atau bertanya kepada yang tahu.

Habis semua orang di‘neraka’kannya.

KEEMPAT : riya’, nunjuk-nunjuk, tayang-tayang

Setelah orang ramai di‘neraka’kannya, kali ini di‘riya’’kannya pula. Maksud saya, setelah mereka menghukum pangguna tasbih (sibhah/misbahah) sebagai ahli neraka, ada ketika mereka menghukum pengguna tasbih sebagai ahli riya’, suka nunjuk-nunjuk kononnya mereka kuat zikir.

Zikir itu ibadah. Solat lima waktu itu ibadah dan haji itu ibadah. Masalah riya’ itu merupakan masalah hati. Penyakit hati. Memang kita bersungguh-sungguh untuk menjauhkan hati kita dari penyakit riya’ itu. Tetapi bukan bermakna kita perlu menjauhkan diri dari solat di masjid semata-mata takut riya’. Ini adalah kesalahfahaman tentang definisi riya’. Janganlah kerana takut riya’, kita tidak menunaikan haji hanya bimbang orang nampak ibadah kita. Nak sembunyi macam mana? Kalau semata-mata beribadah dalam keadaan orang lain nampak dihukum riya’, sampai bila kita nak menunaikan haji tanpa riya’?

Menzahirkan penggunaan tasbih (sibhah/misbahah) di hadapan penglihatan orang lain bukanlah memestikan penyakit riya’. Penyakit riya’ itu penyakit hati. Berbaik sangka sahajalah dengan orang lain yang bertasbih. Mungkin dia sedang melatih dirinya untuk melazimi zikir. Mungkin ada sebab lain, bersangka baik sahajalah sesama mukmin. Berlapang dadalah dengan orang lain yang tekun untuk menjadi orang baik.

Ahli tasauf juga pernah menyebut, membuat amal kerana manusia itu syirik (kecil) manakala meninggalkan amal kerana manusia itu riya’.

Kalau semata-mata menzahirkan ibadah dihukum riya’, maka orang solat jemaah di masjid telah riya’, jemaah haji riya’, orang berpuasa riya’ dan orang berzikir menggunakan tasbih juga riya’. Itukan bersangka buruk dengan orang lain. Bukankah patut kita serahkan urusan hatinya kepada Allah tanpa bersangka yang bukan-bukan? Bukankah dalam sahih Bukhari, Nabi ada berpesan “janganlah kamu berburuk sangka, kerana berburuk sangka itu sedusta-dusta khabar berita”.

Berbaik sangka itu kan jauh lebih baik daripada sibuk-sibuk me‘neraka’kan orang?


nota : -

a) kalau ada yang kata, hitung zikir menggunakan jari itu lebih afdal daripada menggunakan tasbih, kita katakan ya.
b) tetapi kalau menuduh tasbih itu bid'ah @ haram @ neraka bin syiar kafir serta khurafat, itu adalah pandangan ekstrimis yang berselindung di balik tag nama 'reformis agama'.


* tolonglah jangan hukum semua orang lain itu salah belaka...
** bersikaplah adil dalam berdalil...

Wednesday, February 07, 2007

Surah al-Mulk ayat 1

ringkas oleh : ALEXANDARICAIRO


تَبَارَكَ الَّذِيْ بِيَدِهِ الْمُلْكُ

Maksudnya : Maha Agung Dia dengan kerajaan dalam kekuasaannya...

----------------------------------------------------------------------


Pendekatan pertama :

=oleh sebahagian kecil ulama salaf- tafwidh 100%

" نؤمن بما جاء عن الله على مراد الله "

- "kami beriman dengan apa sahaja yang datang dari Allah dengan erti yang dimaksudkan oleh Allah" (tanpa banyak komen lebih-lebih, tiada syarah, tiada ziadah)

atau

- "ia mempunyai makna SIFAT yang layak bagi Allah tetapi selain makna zahir ayat itu. aku tidak tahu"



Pendekatan kedua :

=oleh sebahagian besar ulama salaf- seperti Imam Syafie, Imam Bukhari dan Ibnu Abbas- takwil ijmali

بيده – أى بتصرّفه قال ابن عباس : يعنى السلطان، يعِزّ ويذِلّ

Kemampuan Ibnu Abbas mentakwil adalah berkat doa Rasulullah :-

اللّهمّ علِّمه الحكمَة وتأويلَ الكتاب

"Ya Allah, ajarilah dia (Ibnu Abbas) hikmah dan takwil Al-Quran"

*Doa Rasulullah ini menyangkal dakwaan bahawa salaf tidak mentakwil Al-Quran



Pendekatan ketiga :

=oleh golongan musyabbihah/mujassimah- tafwidh setelah tasybih

" له يد حقيقة تليق بجلاله تعالى،لا نعلم حقيقته "

- musyabbihah menyamakan Allah dengan makhluk dahulu kemudian barulah mereka tafwidh.
- tafwidh musyabbihah ini tidak sama dengan tafwidh yang dilakukan oleh sebahagian ulama salaf tadi.


*Allahumma faqqihna fiddien, amien....

Saturday, February 03, 2007

ALEXANDARICAIRO BERCERITA

OLEH : ALEXANDARICAIRO

Mungkin anda juga pernah ditanya dengan soalan seperti di bawah ini, atau mungkin juga andai pernah bertanya pada diri anda sendiri, atau mungkin saja anda tak pernah terfikir soalan ini tetapi dengan membaca artikel ini menyebabkan anda tertanya-tanya…

Syubhah 1 :

Jika Allah swt bukan di atas (langit / arash) , kenapa kita mengangkat muka dan tangan ke langit ketika berdoa ?

Jawapan :

Sebelum apa-apa, sila kukuhkan iktikad anda bahawa Allah wujud tanpa bertempat, bukan atas arasy/langit. Saya tunggu anda. Saya ulang. Kukuhkan iktikad anda bahawa Allah wujud tanpa bertempat. Sudah? Saya beri anda setengah minit untuk menarik nafas dan jangan memikirkan zat Allah. Tenangkan diri. Tenangkan diri. Yakinkan diri bahawa Allah wujud tanpa bertempat. Baik. Sudah? Yakin? Pastikan dengan yakin. Sangat yakin. Sebut ‘tiada tuhan melainkan Allah, Nabi Muhammad pesuruh Allah’. Sebut. Sebut dengan lidah anda sambil hati juga menyebut. Sudah? Belum? Sila sebut. Saya tunggu anda. Bagus. Terima kasih. Tenangkan diri anda. Bersedia. Senyum sikit. Lagi sikit. Lagilah. Baik. Saya mulakan.

Cerita 1 : Langit
Begini. Kenapa menadah tangan menghadap langit? Kita menghadapkannya ke langit kerana langit adalah kiblat ketika berdoa. Kita mengangkat tangan ketika berdoa kerana langit adalah kiblat doa. Adakah benar begitu? Ya, Allah berfirman dalam surah Az-Zariyat ayat 22 :
وفي السماء رزقكم وما تو عدون

Ini bermakna, langit tempat turun barakah dan rahmat ( rezeki ). Ketika berdoa, kita mengharap rahmat. Kita berdoa untuk mendapat keampunan. Bukankah keampunan itu juga satu rahmat? Ya. Sebab itu, kita menadah tangan ke langit dengan maksud, langit itu adalah kiblat ketika berdoa. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah itu tadi. Menadah tangan menghadap langit bukanlah dalil Allah itu berada di langit. Lagipun, langit adalah tempat para malaikat. Malaikat harus ( boleh sahaja ) bertempat kerana mereka itu makhluk. Allah suci dari bertempat. Allah wujud tanpa bertempat. Jelas? Penulis harap, anda jelas. Baik. Kita teruskan. Penulis ingin bertanya. Pernahkah anda melihat umat Islam bersolat mengadap kaabah di Masjidil Haram? Pernah? Sudah tentu pernah.

Cerita 2 : Kaabah
Ya. Umat Islam bersolat dengan menghadap kaabah kerana kaabah adalah kiblat ketika bersolat. Saya ulangi. Kita menghadap kaabah ketika bersolat kerana ia kiblat ketika bersolat. Semua orang Islam dari ceruk manapun, akan menghadap kaabah ( kiblat ) ketika solat. Muslim Malaysia bersolat menghadap kiblat ( kaabah ). Muslim Amerika solat menghadap kiblat ( kaabah ). Muslim Rusia, England, Lubnan, Trinidad & Tobago, Korea, Colombia, Ivory Coast, Australia dan Brazil juga demikian. Tahukah anda, pernah suatu ketika, kiblat kita ialah Baitul Maqdis di Palestin. Kemudian, Allah perintahkan umat Islam menghadap kaabah sebagai kiblat solat. Jadi, kaabah adalah kiblat ketika solat. Menghadap kaabah ketika bersolat adalah perintah Allah. Allah yang suruh kita menghadap kaabah. Menghadap kaabah ketika solat adalah perintah Allah. Menghadap kaabah bukan bermakna Allah berada dalam kotak kaabah itu. Menadah tangan ke langit juga bukan bermakna Allah ada atas langit/arasy. Saya percaya anda faham setakat ini.

Saya ada satu permintaan. Saya harap anda tunaikan. Boleh? Terima kasih. Sila tutup mata anda sebentar selama 5 saat. Betulkan duduk anda sekejap. Tegakkan badan anda. Baik. Saya teruskan lagi.

Cerita 3 : Sujud
Pernahkah anda mendengar sabda Nabi bahawa, paling baik seseorang hamba menghampirkan diri kepada tuhan ialah ketika bersujud? Pernah atau tidak? Untuk pengatahuan anda, dalam hadis itu juga Nabi menyuruh memperbanyakkan doa ketika sujud. Jadi, kenapa Nabi kata bersujud adalah paling baik mendekatkan diri kepada tuhan?

Nabi bersabda demikian kerana kita akan dapat menambah khusyuk ketika sujud. Sujud membangkit rasa kehambaan, rasa rendah diri, tawaduk dan syukur. Kemudian, Nabi suruh memperbanyakkan doa pula ketika bersujud. Kenapa banyakkan doa ketika sujud? Kenapa sujud dikira sebagai paling baik menghampirkan diri? Kenapa sujud? Kenapa bukan ketika berdiri?

Ya, benar. Hal ini membuktikan bahawa Allah bukan berada di atas langit/arasy. Bagaimana untuk membuktikannya? Baiklah. Saya telah sebutkan, Allah bukan berada di langit, Allah wujud tanpa bertempat. Saya sebutkan juga, kalau Allah itu berada di langit, nescaya Nabi akan suruh banyakkan doa ketika berdiri di tempat tinggi sebab, berdiri itu lebih dekat dengan langit. Jelasnya, Nabi sebut sujud. Sujud lebih menghampirkan diri. Secara akal sahaja, tidak logik Allah berada atas langit/arasy.

Jadi, saya percaya, sekarang akan lebih yakin bahawa Allah bukan berada di langit/arasy. Kekalkan iktikad anda itu. Kukuhkan dengan bacaan seterusnya.

Cerita 4 : Rumah Allah
Saya akan teruskan cerita saya. Tenangkan diri anda. Tarik nafas. Dalam lagi. Hembus. Baik.

Tahukah anda bahawa masjid juga digelar sebagai rumah Allah. Bukan sahaja masyarakat Melayu, bangsa arab juga menggunakan istilah yang sama. Mereka sebut ‘baitullah’ sebagai gelaran untuk masjid. Masjidil Haram juga digelar Baitullah Al-Haram. Rumah Allah membawa erti masjid. Semua orang faham makna gelaran tersebut. Orang Melayu faham makna rumah. Orang arab faham makna ‘bait’. Namun, apabila kita sebut ‘rumah Allah’, ia bukan bermakna Allah menetap atau mendiami dalam masjid. Bukan begitu. Ia bermaksud masjid adalah satu binaan untuk orang Islam menyembah atau beribadat kepada Allah. Allah tidak berada dalam masjid. Allah wujud tanpa bertempat.

Cerita 5 : Nabi Ibrahim
Jika anda memiliki mushaf di sebelah anda, sila buka juzuk 23, surah As-Soffat, ayat 99. Allah berfirman bahawa Nabi Ibrahim berkata : ‘Aku pergi kepada tuhanku dan Dia akan memberiku hidayah’. Dialog ini dituturkan oleh Nabi Ibrahim ketika baginda hendak menuju ke Palestin. Baginda berkata ‘aku pergi kepada tuhanku’ bukan bermakna Allah berada di Palestin. Ia sebenarnya bermakna baginda menurut perintah Allah supaya menuju ke sana. ‘Pergi kepada tuhan’ bererti menurut perintah tuhan. Bukan jumpa tuhan di Palestin.

Tahukah anda, dialog Nabi Ibrahim ini juga membuktikan bahawa Allah bukan berada di langit/arasy. Bagaimana? Begini. Kalaulah benar Allah berada di langit/arasy, Nabi Ibrahim tidak akan berani menyebut ‘aku pergi kepada tuhanku’ ketika hendak ke Palestin. Sebab, dialog demikian dikira bertentangan dengan akidah Allah berada atas langit.

Namun, Al-Quran membuktikan. Allah berfirman. Nabi Ibrahim telahpun mengatakan demikian ( aku pergi kepada tuhanku ) kerana baginda sangat faham tentang akidah. Baginda seorang Nabi, sudah tentu terpelihara akidahnya. Oleh itu, boleh sahaja baginda mengatakan ‘aku pergi kepada tuhanku’ ( dengan erti menurut perintah tuhanku ) kerana baginda memang tahu bahawa Allah wujud tanpa bertempat. Baginda dan semua para Nabi serta Rasul diutuskan oleh Allah dengan akidah yang sama iaitu, Allah wujud tanpa bertempat. Jadi sudah terang bahawa Allah bukan berada di langit/arasy.

Cerita 6 : Arasy
Anda letih membaca? Pejamkan mata 5 saat. Baik. Saya sambung semula.

Sila buka semula mushaf di tangan anda. Lihat juzuk sebelas, Surah At-Taubah, ayat 129. Sudah junpa? Ia di penghujung muka surat itu. Baik. Dalam potongan yang terakhir, Allah menjelaskan, Dia adalah tuhan kepada arasy yang agung. Allah, tuhan kepada arasy. Arasy itu makhluk. Makhluk itu berhajat kepada tuhan. Tuhan pula tidak berhajat kepada makhluk. Cuma, berbanding makhluk yang lain, arasy ada sedikit keistimewaan. Tahukah anda apa dia?

Dalam ayat tersebut, arasy disifatkan sebagai agung. Kenapa? Arasy disifatkan sebagai agung kerana 1. arasy adalah makhluk Allah yang paling besar saiznya, 2. kerana Allah sediakan arasy itu sebagai tempat untuk malaikat-Nya bertawaf sepertimana muslim bertawaf di kaabah dan 3. ada terdapat sebuah kitab di atas arasy.

Saya harap sangat anda bersedia untuk terus membaca. Baiklah. Saya pasti anda yakini bahawa Allah itu Maha Agung. Allah itu Maha Mulia. Maha Mulia Allah tidak berubah-ubah. Maha Agung Allah tidak berubah-ubah. Jika seseorang tidak sembah Allah, Allah tidak terhina. Jika seseorang menghina Allah, Allah tidak berkurang keagungannya. Jika pula seseorang itu taat kepada Allah, Allah tidak bertambah kemuliaannya. Orang yang menghina Allah itu yang berdosa. Orang yang taat pula beroleh ganjaran dari-Nya. Allah tetap dengan keagungannya.

Keagungan Allah sempurna. Tidak berubah-ubah. Kenapa? Ini kerana Allah tidak bergantung kepada makhluk. Allah tidak mengambil manfaat dari makhluk kerana manfaat itu sendiri sejenis makhluk. Keagungan dan kemuliaan Allah tidak terjejas dengan sebab makhluk. Jadi, Allah tidak bertambah mulia dengan sebab makhluk. Allah tidak bertambah hina dengan sebab makhluk. Kalau Allah tidak mencipta makhluk, Dia tetap agung, tetap berkuasa, tetap dengan segala kesempurnaan. Jelasnya, makhluk tidak mempengaruhi keagungan Allah.

Arasy juga adalah makhluk. Allah tidak bertambah mulia dengan sebab mencipta arasy. Kemuliaan Allah sempurna. Keagungan Allah tidak bertambah atau berkurang dengan sebab arasy. Allah juga tidak bergantung kepada arasy. Sebelum Allah cipta arasy dan tempat, Allah wujud tanpa bertempat. Setelah Allah cipta arasy dan tempat, Allah kekal sediakala wujud tanpa bertempat. Allah tidak berubah-ubah kerana berubah-ubah itu sifat makhluk. Orang yang mengatakan Allah berada atas arasy, mereka sebenarnya menyembah satu jenis makhluk yang mereka khayalkan ( bayangkan ) berada di atas arasy. Saya ulangi, orang yang mengatakan Allah berada atas arasy, mereka menyembah satu jenis makhluk yang mereka khayalkan ( bayangkan ) berada di atas arasy.

Pernahkah anda terfikir. Jika begitu, apa sebenarnya yang ada di atas arasy?

Di atas arasy, tiada benda hidup. Hanyasanya, di atas arasy itu terdapat sebuah kitab. Pada kitab itu tertulis ‘sesungguhnya rahmat-Ku mendahului kemurkaan-Ku’. Ia bermaksud, kesan bukti rahmat Allah itu lebih banyak dari kesan bukti kemurkaan Allah. Penciptaan malaikat adalah kesan bukti rahmat Allah. Bilangan mereka lebih banyak daripada titisan hujan dan dedaun pohon. Syurga adalah kesan bukti rahmat Allah. Saiz syurga juga beribu-ribu kali lebih besar dari saiz neraka. Itulah maksud kalimah ‘rahmat-Ku mendahului kemurkaan-Ku’.

Benarkah begitu? Apa dalilnya?

Imam Bukhari, Imam Nasaie dan selainnya sebagaimana lafaz dari Ibnu Hibban meriwayatkan hadis bermaksud : “Ketika Allah mencipta makhluk, Dia telah menulis pada sebuah kitab, berjanji pada diri-Nya, kitab itu diangkatkan ke atas arasy, sesungguhnya rahmat-Ku mengatasi kemurkaan-Ku”. Saya sangat berharap anda faham setakat ini. Allah bukan berada atas arasy. Di atas arasy hanya ada sebuah kitab. Allah wujud tanpa bertempat. Saya ulangi, Allah wujud tanpa bertempat.

Saya telah bercerita dengan 6 cerita. Saya minta anda kumpulkan semua cerita itu sekarang. Susun dari cerita pertama hingga ke enam. Baiklah. Saya bantu anda.

1. Cerita pertama membuktikan Allah bukan berada di langit.
2. Cerita kedua membuktikan bahawa Allah bukan berada dalam kotak kaabah.
3. Cerita ketiga membuktikan Allah bukan berada di langit, bukan di bumi.
4. Cerita keempat membuktikan Allah bukan berada di dalam masjid
5. Cerita kelima membuktikan Allah bukan berada di Palestin.
6. Cerita keenam membuktikan Allah bukan berada di atas arasy.

Oleh itu, anda telah faham dan jelas bahawa Allah itu wujud tanpa bertempat. Bagaimana untuk lebih jelas? Begini. Semua cerita-cerita yang saya ketengahkan tadi hendaklah kita kembalikan kepada ayat sarih dari Surah As-Syura, ayat 11 :

ليس كمثله شيئ

Bermaksud : Tiada sesuatupun yang menyerupai Allah.

Selama mana sesuatu iktikad ada berunsur menyerupakan makhluk dengan Allah, ia adalah bertentangan dengan akidah umat Islam. Berwaspadalah. Bersungguh-sungguhlah berdoa supaya Allah memelihara iman kita. Banyak lagi cerita yang ingin saya kongsi. Insya-Allah, pada masa mendatang, jika ada kesempatan masa dan kelapangan, saya akan ketengahkan. Kukuhkan iktikad anda, Allah wujud tanpa bertempat. Salam hormat dari saya dan selamat beristirehat.

Thursday, February 01, 2007

ATUK-ATUK YANG BAIK

oleh : ALEXANDARICAIRO

Satu : Abdul Muttalib ertinya hamba atau khadam kepada Al-Muttalib.

Nama sebenar Abdul Muttalib ialah Syaibatul Hamdi. Dia sering berkhidmat kepada pakciknya. Bajunya lusuh dan sering membonceng pakciknya menaiki unta. Oleh kerana penampilannya yang tidak begitu segak, setiap kali pakciknya ditanya siapakah yang berada bersamamu itu?, Al-Muttalib malu untuk menjawab bahawa Syaibatul Hamdi itu anak saudaranya. Lalu dia hanya menjawab, dia adalah hamba aku.

Oleh kerana itu, orang ramai menggelarnya khadam kepada Al-Muttalib (Abdul Muttalib)

Dua : Abdu Manaf. Manaf ertinya tempat tinggi. Tapi ‘Abdu Manaf’ bukan bermakna hamba kepada berhala (tempat tinggi)!!!

Abdu Manaf adalah gelaran orang yang sering tabah menghadapi kesukaran dalam hidupnya. Ataupun ia bermaksud pujian untuk orang yang sering berada pada kedudukan yang tinggi.

Friday, January 26, 2007

PRIORITI/KEUTAMAAN DALAM ILMU

oleh : ALEXANDARICAIRO

Firman Allah dalam Surah Muhammad ayat 19 :-

فَاعْلَمْ أنّهُ لا ألَهَ إلا اللهُ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنْبِكَ ولِلْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ

Maksudnya : Maka ketahuilah bahawa sesungguhnya tiada tuhan kecuali Allah, dan mohonlah ampun (kepada Allah) terhadap dosa kamu, mukmin lelaki dan wanita.
----------------------------------------------------------------

Ayat di atas menunjukkan kepada kita dua perkara dalam urusan agama sambil susunannya memberi makna PRIORITI/KEUTAMAAN dalam mengurus agama dalam diri. Keutamaan tersebut merujuk kepada keutamaan mendahulukan kefaqihan terhadap ilmu tauhid didikuti ilmu furu’ (cabangan).

فَاعْلَمْ أنّهُ لا ألَهَ إلا اللهُ

Merujuk kepada keutamaan mendahulukan ilmu tauhid

وَاسْتَغْفِرْ لِذَنْبِكَ ولِلْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ

Merujuk kepada ilmu furu’

HADIS

Keutamaan dalam mempelajari ilmu tauhid dan mendahulukannya berbanding ilmu agama yang lain juga disebut oleh Rasulullah.

Dari Abu Hurairah beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah ditanya apakah amalan yang paling afdhal (utama)? Maka Rasulullah menjawab : “Beriman kepada Allah dan Rasulnya”.
(diriwayatkan oleh Imam Bukhari, kitab Iman)

Dalam hadis lain, Ibnu Majah telah meriwayatkan :

عن جندب بن عبدالله قال : كنا مع النبي صلى الله عليه وسلم ونحن فتيان حزاورة فتعلمنا الإمان قبل أن نتعلم القرءان ثم تعلمنا القرءان فازددنا به إيمانا

Maksudnya : “Kami pernah bersama Rasulullah dan ketika itu kami masih muda maka kami mempelajari Iman sebelum kami mempelajari Al-Quran. Kemudian kami mempelajari Al-Quran dan iman kami bertambah”.
(Al-Hafiz Al-Busairi berkata : hadis ini sahih, perawinya thiqah)

SIKAP ULAMA

Imam Syafie pernah menyebut :

أحْكمْنَا ذَاكَ قبْل هذا – أى أتقنَّا عِلم التَوحيدِ قَبْل فروع الفِقه

Maksudnya : ‘Kami telah mengukuhkan itu (ilmu tauhid) sebelum mempelajari ini (ilmu fikah). – disebut oleh Ibnu Asakir dalam Tabyin kazbil Muftari muka surat 342, disebut oleh Imam Al-Baihaqi dalam Manaqib Imam Syafie.

Imam Abu Hanifah dalam kitabnya Al-fikh Al-Absat :

اعْلَم أنّ الفِقْه في الدين أفضَل مِنَ الفِقه في الأحْكام

Maksudnya : ketahuilah kefahaman terhadap agama (iman dan tauhid) lebih utama (didahulukan) daripada kefahaman terhadap hukum hakam.

Kalam Imam Abu Hanifah bukan menafikan kepentingan ilmu hukum hakam kerana jelas Imam Abu Hanifah sendiri seorang yang sangat alim tentang hukum-hukum fikah. Kata-katanya merujuk kepada keutamaan dalam menuntut ilmu, mendahulukan sesuatu menurut prioriti dalam urusan ilmu agama.

Al-Imam Abul Hasan Al-Asy’ari berkata : “Perkara utama yang wajib kepada seorang hamba ialah mengenal Allah, Rasul dan agamanya”.

Imam Al-Ghazali menyebut :

لا تَصِحّ العِبَادَةُ إلا بَعد معرفِة المَعْبُودِ

Maksudnya : “Tidak sah sesuatu ibadah (merujuk ilmu fikah) kecuali setelah mengenal tuhan sembahannya (menyentuh ilmu tauhid)


* pentingkanlah perkara yang lebih penting daripada yang penting kerana perkara yang lebih penting itu lebih penting daripada perkara yang penting.
** ....................................................

Sunday, January 21, 2007

SUAM ‘BENAR’NYA, TERSELIT ‘TIPU’NYA

oleh : ALEXANDARICAIRO


( pertama : tertarik dengan entri ‘benar yang tipu’ www.3ain.blogdrive.com )
( kedua : sekadar mengulang, juga memanfaat yang terbaik )

Tipu isinya

Suatu ketika dahulu, dalam nada semangat yang entah kenapa, ada sahaja orang munafik datang kepada Rasulullah dan berkata...: "Ya Rasulullah! Kami BERSAKSI bahawa engkau adalah benar-benar seorang utusan Allah!"

Kalau dah terdesak, ada sahaja yang sanggup berbohong dengan menggunakan lafaz yang baik dari sudur lahiriah. Suam benarnya, terselit tipunya. Allah menempelak golongan munafik dengan firmannya, Surah Munafiqun ayat 1 :

إذَا جَاءَكَ المُنَافِقُونَ قَالُوا نَشْهَدُ إنَّكَ لَرَسُولُ اللهِ وَاللهُ يَعْلَمُ إنَّكَ لَرَسُولُهُ وَاللهُ يَشْهَدُ إنَّ المُنَافِقِيْنَ لَكَاذِبُوْنَ
Maksudnya: ‘Apabila datang orang-orang munafik kepada kamu (Muhammad) dan mereka berkata : "Kami bersaksi bahawa engkau adalah utusan Allah", dan (sedangkan) Allah mengetahui bahawa engkau adalah utusanNya dan Allah bersaksi bahawa orang-orang munafik itu sangat menipu (dalam persaksian mereka)’

Penipuan munafik terbongkar apabila mereka beria-ia menggunakan kalimah BERSAKSI kononnya bertujuan untuk menegaskan isi keimanan hati mereka. Slogan mereka hebat. Secara zahir, dah dikira muslim dah. Padahal penyaksian mereka hanyalah dusta walau sesungguh mana ayat dan lafaz slogannya.

Tipu luarannya

Ada juga yang hebat PENAMPILANnya. Ala-ala ‘macho’ atau apa sahaja. Bagi mereka semuanya halal selagi dakyah mereka dapat berjalan terus. Hebat juga PIDATOnya. Lancar, fasih dan menawan. Suam benarnya, terselit tipunya. Firman Allah dalam Surah Munafiqun ayat 4:

وَإذَا رَأَيْتَهُمْ تُعْجِبُكَ أجْسَامُهُمْ وَإنْ يَقُولُوْا تَََسْمَعْ لِقَولِهِمْ كَأنَّهُمْ خُشُبٌ مُسَنَّدَةٌ...
Maksudnya : ‘Dan apabila engkau melihat mereka (orang munafik) nescaya engkau akan terpesona dengan jasad mereka (kerana keelokan) dan apabila mereka berkata, engkau akan mendengar kata mereka (kerana kafasihan). Mereka itu seperti kayu yang tersandar...’


Sekadar mengambil iktibar dan berfikir...

Wednesday, January 17, 2007

KEHARUSAN MOHON PERTOLONGAN DARI SELAIN ALLAH

oleh : ALEXANDARICAIRO


“Amin, tolong mak jagakan adik ya. Mak nak ke kedai sekejap”

“Abang, tolong angkatkan beg ni. Beratlah.”

“Rashid, engkau boleh tolong tak uruskan pendaftaran aku?”

"Mak...tolong... ada ular..."

Ini adalah petikan dialog seharian biasa bagi mana-mana keluarga. Tolong-menolong merupakan input yang penting dalam pembentukan keluarga dan masyarakat yang harmoni. Meminta pertolongan atau memberinya, kedua-duanya berhubungkait kukuh dalam proses kebahagiaan tersebut.

Meminta pertolongan dari manusia bukanlah sesuatu yang salah, berdosa atau menyalahi agama. Benar, kita memohon pertolongan dari Allah dengan maksud Allah berkuasa secara mutlak untuk memberi pertolongan tetapi meminta pertolongan dari manusia bukan seperti meminta pertolongan dari Allah. Ini kerana, pertolongan manusia adalah terbatas dan tidak mutlak. Namun, bukanlah sesuatu yang menyalahi agama apabila kita meminta bantuan dari manusia selama mana kita tidak beranggap manusia itu mempunyai kuasa yang mutlak untuk memberi bantuan.

Bukan sahaja manusia, malah tidak menjadi kesalahan untuk kita meminta bantuan dari Malaikat dan Nabi sekalipun. Syaratnya seperti tadilah. Jangan ada anggapan bahawa Malaikat dan Nabi itu memiliki kuasa mutlak untuk menolong. Jika syarat dipatuhi, adalah menjadi keharusan meminta pertolongan dari Malaikat atau Nabi sambil memohon Allah mengurniakan keberkatan kepada kita dengan permohonan bantuan kita dari mereka.



Pertama :


Al-Imam Al-Baihaqi telah meriwayatkan sebuah hadis dengan sanad yang sahih dari Malik Ad-Dar ( penjaga perbandaharaan pada zaman Umar ) bahawa beliau berkata :

“Pada zaman Umar Al-Khattab, orang ramai telah ditimpa kemarau maka ada seorang lelaki ( Bilal bin Thabit ) telah menuju ke kubur Rasulullah lalu berkata : Wahai Rasulullah! Mohonkanlah hujan untuk umatmu, sesungguhnya mereka hampir musnah ( mati ). Maka Rasulullah pun datang dalam mimpi lelaki itu seraya berkata : pergilah kepada Umar dan sampaikan salamku kepadanya dan beritahukan kepadanya bahawa orang ramai akan mendapatkan hujan ( hujan akan turun ) dan katakan kepadanya ‘hendaklah bersungguh-sungguh memimpin’ . Maka lelaki itu pun datang kepada Umar dan memberitahu peristiwa tersebut kepadanya lalu Umar berkata : ‘Wahai tuhan, tidaklah mereka berakhir begini melainkan jika aku tidak mampu’ ( maknanya beliau akan bersungguh-sungguh memimpin )...- al-hadis-

Lelaki yang bermimpi meminta tolong dari Rasulullah tadi ialah Bilal bin Harith Al-Muzani seorang sahabat yang terkenal. Saif dalam kitab Al-Futuh juga meriwayatkan bahawa lelaki yang melihat Rasulullah dalam mimpi itu ialah Bilal bin Harith Al-Muzani.


Ini adalah contoh seorang sahabat yang meminta pertolongan dari Nabi supaya memohon kepada Allah agar mereka dikurniakan hujan ketika orang ramai pada masa itu sedang dibelenggu kemarau. Ya, Nabi telah pun wafat tetapi harus untuk kita meminta pertolongan dari Nabi. Sayidina Umar yang terkenal dengan ketegasannya dalam urusan agama jelas tidak menafikan keharusan perbuatan Bilal. Jika perbuatan Bilal itu salah, sudah lama dibantah malah dibangkang oleh Sayidina Umar. Para sahabat yang lain juga tidak ada yang membantah tindakan meminta tolong dari Nabi seperti yang dibuat oleh Bilal.


Kedua :


Terdapat hadis riwayat dari Al-Bazzar dari Ibnu Abbas dari Rasulullah yang telah bersabda :

إنَّ ِلله ملائكة سيّاحين في الأرضِ سِوَى الحَفَظة يكتبون ما يسقُط من ورق الشجر فإذا أصاب أحدكم عرجة بأرض فلاة فلينادِ : أعِينُوا عباد الله

Maksudnya : “Sesungguhnya bagi Allah itu ( memiliki ) malaikat-malaikat -kecuali malaikat Hafazah- yang senantiasa berlegar di bumi, mereka menulis setiap dedaunan yang gugur. Apabila salah seorang dari kamu ditimpa kesulitan di satu tanah ( kawasan ) yang gersang maka serulah : Tolonglah aku wahai hamba-hamba ( malaikat ) Allah!”.

-Al-Hafidz Al-Haithami dalam Majma’ Az-Zawaid mengatakan : “hadis ini diriwayatkan oleh At-Tabarani dan perawi-perawinya thiqah ( dipercayai ). Al-Hafidz Ibnu Hajar mengatakan hadis ini adalah hadis marfu’ iaitu benar ia langsung dari Rasulullah sambil mengatakan ia adalah hadis hasan.-

Dalam pada itu ada riwayat lain oleh Al-Imam Al-Baihaqi secara mauquf ( sandaran kepada Ibnu Abbas ) dengan lafaz hadisnya :

إنَّ ِلله عزّ وجلّ ملائكة سيّاحين في الأرضِ سِوَى الحَفَظة يكتبون ما سقط من ورق الشجر فإذا أصاب أحدكم عرجة بأرض فلاة فلينادِ : أعِينُوا عباد الله يرحمكم الله تعالى

Riwayat hadis yang pertama ( hadis hasan ) tadi menguatkan mana-mana hadis yang semakna dengan hadis kedua ini dan hadis-hadis lain yang riwayatnya daif. Lagipun, telah temaktub di kalangan ahli hadis akan keharusan beramal dengan hadis daif yang menyentuh bab fadhilat amal, doa-doa dan tafsir. Inilah yang disebutkan oleh Al-Imam Al-Baihaqi dalam kitabnya Al-Madkhal.

Jadi, meminta pertolongan dari manusia bukannya syirik. Semata-mata meminta pertolongan dari Nabi atau Malaikat juga bukanlah sesuatu yang menyalahi agama kerana kita sudah tahu bahawa pertolongan Nabi dan Malaikat adalah terbatas kuasanya. Hanya pertolongan dari Allah sahaja yang mutlak mengatasi segala kuasa. Ini seperti mana tersebut dalam Surah Al-Fatihah ayat 5:

وإياك نستعين

Bermaksud : “Dan hanya kepada Engkau ( Allah ) kami meminta pertolongan ( secara mutlak )”


Ketiga :


Adapun begitu, ada hadis hasan sahih riwayat Al-Imam At-Tirmizi ( Jamik At-Tirmizi, kitab sifat qiamah bab 59 ) dari Ibnu Abbas iaitu Rasulullah bersabda :

إذا سألتَ فاسْألِ اللهَ وإذا اسْتعنْتَ فاستَعنْ بِاللهِ

Bermaksud : “Jika kamu meminta, mintalah kepada Allah, jika kamu memohon pertolongan, mohonlah pertolongan dari Allah”

( -Al-Imam At-Tirmizi mengatakan hadis ini hasan sahih- )


As-Sheikh Al-Muhaddith Abdullah Al-Harari dalam Sorih Al-Bayan muka surat 242 telah menjelaskan bahawa : “Hadis ini bukanlah bermakna ‘janganlah meminta dari selain Allah, janganlah memohon pertolongan selain dari Allah’. Hadis ini hanya menerangkan bahawa adalah lebih utama bagi kita untuk meminta dan memohon pertolongan dari Allah. Beliau menambah, hadis Ibnu Abbas tadi menerangkan keutamaan kepada siapa kita perlu meminta dan memohon pertolongan kerana Rasulullah tidak bersabda – janganlah meminta kecuali kepada Allah, janganlah memohon pertolongan kecuali kepada Allah-.”

Bukankah terdapat perbezaan antara :-

(a) apabila kamu meminta, mintalah kepada Allah...

dengan

(b) janganlah kamu meminta kecuali kepada Allah...

Jadi, hadis tadi bukan larangan meminta tolong dari selain Allah, ia hanya menerangkan keutamaan dalam memohon pertolongan. Sekian.

Thursday, January 11, 2007

Fitnah - sudah tentu luar biasa hebat

oleh : ALEXANDARICAIRO

Fitnah adalah fitnah. Dalam ruang lingkup hidup manusia, fitnah adalah satu realiti yang berkarya setiap masa. Dalam jahatnya, ada seninya. Dalam rosaknya, ada rupa bentuknya. Dalam kelirunya, ramai yang terpedaya.

Sejarah telah mencatat betapa giurnya fitnah mendampingi kronologi kehidupan setiap insan, generasi malah ketamadunan sesuatu bangsa. Namun fitnah itu sangat hebat. Masakan tidak, walaupun sesuatu itu sudah diketahui umum bahawa ia adalah fitnah, masih ramai juga yang hanyut terpedaya. Hebatnya fitnah kerana menghumban sesiapa sahaja bergelumang ke dalam kotorannya. Tidak kira tahu atau tidak, mengaji atau mengkaji, semuanya tetap berpotensi terhumban sama.

Jikalau tidak hebat, bukan fitnah namanya. Kalaupun kita hendak menyebutnya sebagai fitnah, mungkin fitnah ‘low class’ bolehlah digelar begitu. Tapi, apabila fitnah itu adalah sebenar-benar fitnah, ia pasti hebat. Memukau sesiapa sahaja. Mempengaruhi tak kira siapa. Sama ada berpelajaran atau tidak, berijazah atau tidak, berpengetahuan agama atau tidak walaupun memiliki PhD mahupun pangkat yang lebih tinggi seperti mufti. Kerana yang menuntun manusia menangani fitnah itu hanyalah hidayah Allah.

Fitnah wanita

Bagi umat manusia, wanita itu merupakan fitnah. Ia bukan bermaksud wanita itu pembuat fitnah atau fitnah itu semestinya wanita. Bukan. Tetapi, ia memberi pengertian bahawa wanita itu sendiri adalah ujian yang sangat besar dalam kehidupan manusia. Sejak zaman Nabi Adam lagi sudah diketahui betapa wanita itu hebat dengan fitnahnya. Kisah- kisah dalam Al-Quran merakam sejarah menyokong betapa wanita itu besar fitnahnya. Riwayat sejarah dan realiti kehidupan dewasa ini menyaksikan kebenaran fitnah pada wanita. Melihat besarnya ujian yang ada pada wanita, begitulah hebatnya fitnah.

Kerana wanita, manusia sanggup melakukan apa sahaja, turutkan sebarang selera. Berapa banyak batasan syariat dicemari kerana wanita. Itulah fitnah. Hebat. Manusia telah mengetahui wanita itu fitnah tetapi apabila berhadapan dengan fitnah, mereka pasti akan keliru dan tersungkur. Oleh kerana fitnah itu hebat, lihatlah betapa ramai orang yang tahu wanita itu fitnah namun turut terpedaya. Orang yang tidak tahu, terpedaya. Orang yang sudah tahu pun terpedaya. Orang tidak berpelajaran tewas dek wanita, orang berpelajaran mencari untung dengan sebab wanita. Orang tidak berpengetahuan agama tertipu dengan fitnah wanita, tidak kurang pula yang belajar agama terlibat sama. Fitnah wanita itu hebat dan luar biasa hebatnya. Fitnah itu sudah tentu hebat. Barulah namanya fitnah.

Fitnah harta dan anak-anak

Al-Quran menegaskan bahawa harta dan anak-anak itu adalah fitnah. Harta dan anak adalah ujian yang sangat besar dalam menempuh cabaran hidup menghambakan diri kepada Allah. Kerana harta manusia sering lalai mentaati Allah. Kerana sayangkan anak, diturutkan sahaja kemahuan dan selera menerima rasuah demi memberi makan kepada anak. Manusia maklum bahawa harta dan anak adalah fitnah. Al-Quran awal-awal lagi sudah memberitahu. Tapi itulah hebatnya fitnah. Pengetahuan semata tidak mampu menanganinya.

Berapa ramai golongan pemimpin dan cerdik pandai yang gagal menangani fitnah harta. Betapa ramai cendekiawan dan ‘PhD’ yang tewas dengan fitnah anak-anak. Fitnah harta dan anak telah membuahkan jenayah kolar putih yang meningkat. Fitnah ini juga berhubung kait dengan perilaku rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah dam macam-macam lagi. Itulah hebatnya fitnah. Walaupun sudah diketahui, ia tetap memperdaya manusia dan menghanyutkan tanpa mengira siswazah atau tidak, berpelajaran agama atau tidak serta berpendidikan atau tidak. Fitnah itu sudah tentu hebat.

Fitnah dalam dunia Islam hari ini.

Dunia Islam tidak tercicir dari diserang oleh fitnah. Fitnah adalah ujian buat hambaNya. Di sinilah betapa Allah memperlihatkan kuasanya memilih sesiapa yang Dia kehendaki untuk mendapat pimpinan hidayahnya. Hanya dengan hidayah Allah, manusia terselamat dari fitnah tersebut. Tanpa hidayah, walaupun mahir dengan ilmu, pandai berbahasa, pintar bermain kata atau berbekal sedozen ijazah, dia akan hanyut membela sungguh-sungguh fitnah itu.

Fitnah itu mestilah hebat. Lebih-lebih lagi fitnah dalam dunia Islam. Mestilah yang hebat-hebat belaka. Setakat kontroversi yang lahir dari ketua editor majalah berkala yang bahasa pengantarnya sahaja tidaklah seluas mana golongan sasarannya, itu hanyalah fitnah ‘low class’. Fitnah dalam dunia Islam itu mestilah lebih luar biasa hebatnya. Rangkaiannya tentu ingin memangsakan seluruh umat Islam, semua negara umat Islam khususnya sehingga ramai manusia menjadi keliru dan terpedaya. Sebab itu sehingga kini, hampir di semua negara Islam fitnah ini sedang berlangsung.

Lebih mengejutkan ialah di sebuah negara umat Islam, fitnah ini dijadikan rancangan bersiri televisyen khas untuk membela kesinambungannya. Aduhai finah, kau memang hebat!!

Fitnah dalam dunia Islam telah pun berlaku dan sedang berlaku. Ia sangat licik. Sungguh banyak manusia yang hanyut bertungkus-lumus membela fitnah itu. Sebahagian mereka mengetahui ia memang fitnah, sekelompok yang lain pula diperguna orang lain memenuhi nafsu fitnah tersebut. Ramai manusia hilang pertimbangan.

Yang bijak berpidato terus membela, yang tahu menaip terus menyebar, yang berijazah terus menyambar jawatan dan yang mahir internet terus meng‘update’. Itulah luar biasa hebatnya fitnah. Yang tahu, terpedaya dan terus-terusan memperdaya yang tidak tahu.

Hebat fitnah ini. Kenapa tidak? Fitnah yang hebat pasti memiliki pengikut yang setia dengan kebatilan atau hanyut dengan kekeliruan. Sebab itu fitnah ini memiliki khazanah penulisan yang banyak, sebanyak itu juga cara mengelirukan orang. Berjilid-jilid, bertimbun-timbun lalu pengikut setianya mencanang sejauh mampu mereka. Diberi nama yang baik-baik. ‘Fatwa agung’, ‘Bekalan hari kembali’, ‘Rawatan kenabian’ atau apa sahaja dan berakhir dengan karya-karya yang menuduh ulama-ulama Islam terdahulu salah akidahnya. Sebab itu kitab Fathul Bari tulisan Al-Imam Ibnu Hajar juga menjadi mangsa tuduhan salah akidah malah banyak lagi. Semuanya disadur dengan dakyah yang tidak akan dapat dikesan kebatilannya jika tanpa pimpinan hidayah Allah.

Hebatnya fitnah

Fitnah ini membutakan hati manusia walaupun matanya masih mampu membaca dan melihat. Fitnah ini bukan sahaja membuat fitnah di tengah-tengah umat Islam, malah telah berani memfitnah Allah. Bayangkan. Umat Islam sejak Nabi Adam sehinggalah Nabi Muhammad merangkumi salaf mahupun khalaf semuanya sepakat tentang kewujudan Allah itu tanpa bertempat. Hal ini sangat-sangat-sangat dan sangat disepakati oleh Islam dan tidak ada langsung percanggahan sejak zaman salaf lagi. Semua dalil dan perbahasan telah selesai dan jelas akan kesepakatan tersebut malah menyalahinya boleh membatalkan akidah dan syahadah.

Tetapi mengapa pada kurun ke-7 hijrah fitnah seperti ini sanggup memfitnah tuhan dengan menuduh Allah itu berada di arasy/langit? Di kurun inilah pertama kali Allah difitnah sebegitu rupa buruknya! Bukankah tuduhan ini sangat berat dan membatalkan akidah? Mengapakah pada kurun ke-11 fitnah ini dihidupkan kembali? Lihatlah betapa ramai terpedaya keliru. Tidak kira berpelajaran atau tidak, bangsa arab ataupun lainnya. Ketaksuban dan tertipu dek fitnah ini menjadikan pengikut-pengikut terus membela dengan pelbagai cara.

Itulah luar biasa hebatnya fitnah. Yang tahu terpedaya, yang berpelajaran turut menanam saham yang sama. Yang belum habis mengaji sibuk nak jadi pencacai membela. Bila ada yang sudi menasihati, ditempelaknya pula. Aduhai fitnah!!

Walaubagaimanapun, ulama-ulama Islam tidak pernah kecewa menangani masalah seperti ini. Kerana fitnah inilah ujian untuk para pendakwah untuk terus menentang kebatilan. Syabas dan teruskan usaha. Memang betul, fitnah seperti ini mengganggu urusan dakwah dan ramai manusia yang terpedaya. Memang menanganinya adalah tugas yang berat, tetapi Islam harus dibela dan umat Islam harus diselamatkan dari fitnah ini. Manusia sering terkeliru dengan kulit tanpa selesai menggeledah isi. Benarlah. Luar biasanya kuasa fitnah...

“Ya Allah, selamatkan aku dari fitnah ini dengan pimpinan hidayahMu jua”