As-Syeikh Abu Saied Al-Mutawalli As-Syafie Al-Asy’ari – 478 H – dalam kitabnya, Al-Ghunyah fi Usuliddin telah menyebutkan sebagaimana nasnya :
“Dan tujuan bab ini ialah untuk menafikan bahawa Allah itu berhajat kepada tempat dan sudut. Ini berbeza dengan golongan Karramiah, Hasyawiyah dan Musyabbihah yang mengatakan bahawa zat Allah itu wujud di atas.
Sebahagian daripada mereka mengatakan bahawa Allah itu bersemayam dan berada di atas arasy. Maha suci Allah dari tuduhan dan dakwaan seperti itu.
Dalil yang menunjukkan bahawa Allah tidak memerlukan kepada tempat ialah ; 1. Jika Allah memerlukan tempat, nescaya ini memberi kefahaman bahawa tempat itu wujud sejak azali ( bersama Allah ) k
erana Allah itu wujud sejak azali. 2. Ini juga memberi kefahaman bahawa Allah itu bersifat baharu sebagaimana tempat itu juga bersifat baharu. Kedua-duanya ialah akidah dan pegangan yang batil.Dalil lain, jika Allah itu berada di atas arasy sebagaimana golongan yang sesat itu sangka, ini akan memberi kefahaman bahawa Allah itu saiznya sebesar saiz arasy atau lebih kecil daripada arasy atau lebih besar daripada arasy. Kesemuanya ( ketiga-tiga ) akidah ini telah menetapkan saiz dan had yang tertentu bagi zat Allah. Akidah sebegini batil ( keluar dari Islam )”.
( Al-Ghunyah fi Usuliddin, m/s 73, 74, 75 )
As-Syikh Abu Muin An-Nasafie Al-Hanafi – 578 H - dalam kitabnya Tabsirah Al-Adillah menyebut :
“Bukti-bukti yang kukuh serta hujah-hujah yang utuh dalam menolak syubhah yang ditimbulkan oleh golongan Mujassimah yang wujud suatu ketika dahulu dan golongan Wahhabiah yang wujud pada masa ini. Mereka ( dua golongan ) ini menyangka bahawa Allah mengambil dan menjadikan ‘arasy’ itu sebagai tempat bersemayam dan tempat menetap. Mereka juga menyangka Allah mengambil dan menjadikan ‘kursi’ untuk Dia duduk di atasnya. Aku mohon perlindangan dari Allah daripada melakukan syirik dan kehinaan ( seperti ini ).”
( Tabsirah Al-Adillah fi Usuliddin, jilid 1, m/s 174 )
Al-Imam Al-Mufassir Fakhruddin Ar-Razi – 606 H – telah berkata sebagaimana nasnya :
“ Masalah kedua ialah : Golongan Musyabbihah berpegang dengan ayat ini dengan iktikad bahawa sembahan ( tuhan yang mereka khayalkan ) mereka bersemayam atas arasy. Akidah ini batil ( keluar dari Islam ) dari sudut aqli ( akal ) dan naqli ( nas syarak ) berdasarkan beberapa sudut :
Pertama :
Allah itu wujud sejak azali sedangkan arasy tiada dan tempat pun tiada ( belum diciptakan ). Setelah Allah mencipta makhluk, Allah tetap tidak memerlukan tempat malah Allah Maha Suci dari bertempat. Allah tetap wujud sejak azali dengan sifat-sifat-Nya yang azali. Melainkan jika ada yang menyangka arasy itu wujud sejak azali bersama Allah ( maka itu lebih jelas kebatilannya )
Kedua :
sesuatu yang wujud atas arasy, sudah tentu bahagian zatnya sebelah kiri tidak sama dengan bahagian zatnya yang sebelah kanan ( mempunyai anggota kiri dan kanan ). ( Jika sesuatu zat mempunyai bahagian kiri dan kanan... ) ini menunjukkan bahawa zat tersebut terbentuk atau terbina daripada beberapa komponen. Sesuatu yang terbentuk daripada beberapa komponen pasti memerlukan penggubah atau pencipta komponen tersebut. Hal ini mustahil ( tidak layak ) bagi zat Allah.
Ketiga :
* tidak diterjemah
Keempat :
( Jika mereka mengatakan tuhan atas arasy ) maka tuhan mereka itu mempunyai beberapa kebarangkalian. Sama ada wujud di setiap tempat atau wujud di sesuatu tempat yang tertentu sahaja. 1. Jika dia menyangka tuhan wujud di setiap tempat, ini bermakna tuhan mereka wujud juga di tempat najis dan kotoran. Orang yang berakal tidak akan beriktikad begitu ( tuhan wujud di semua tempat ). 2. Jika dia menyangka tuhan wujud di tempat tertentu, ini bermakna tuhan berhajat kepada sesuatu kuasa lain yang menentukan ia bertempat di tempat itu. Ini bermakna tuhan itu berhajat kepada sesuatu ( lemah ). Ini ( kedua-duanya ) mustahil bagi Allah.”
( Tafsir Ar-razi yang dinamakan juga At-Tafsir Al-Kabir - surah Taha ayat 5 - jilid 11, juzuk 22, m/s 5 dan 6 )
No comments:
Post a Comment