DITULIS OLEH : ALEXANDARICAIRO
Penulis mengiringi soalan ini dengan senyuman. Senyuman berselang cicipan kopi ini bertujuan cuba membuat satu pendekatan yang terbaik sebagai jalan membuka ruang minda beranyam keinginan untuk lebih cermat dalam menyusun bicara jemari agar kupasannya tepat, hormatnya jelas.
Soalan ini menarik. Belum mahu penulis menjawabnya untuk masa ini. Walau bagaimanapun, penulis mengklasifikasikan soalan ini sebagai ‘soalan yang ke sepuluh’. Bagaimana? Bermaksud, ada soalan ‘pertama’, ‘kedua’, ‘ketiga’ dan seterusnya yang perlu diperjelaskan jawapannya dahulu, kemudian soalan ‘ke sepuluh’ itu akan dijawab sendiri oleh sesiapa sahaja yang bertanya soalan seperti itu. Itupun kalau mereka telah benar-benar memahami semua jawapan soalan satu hingga sembilan. Mudah-mudahan begitulah, tetapi jawapan soalan satu hingga sembilan itu sangat panjang, maka penulis sentuh secara ringkas sahaja buat kali ini tetapi tulisan ini bukanlah jawapan untuk soalan satu hingga sembilan, mahupun sepuluh.
Dalam hadis sahih riwayat Ibnu Hibban, Rasulullah memberi isyarat bahawa umatnya akan terpecah kepada 73 golongan. Satu ke syurga kerana akidah mereka benar, 72 ke neraka kerana akidah mereka salah. Melihat hadis ini, ia adalah hukum dari Nabi kita. Rasulullah adalah utusan Allah untuk memberitahu manusia tentang urusan hidup mereka. Rasulullah tidak berbicara menurut hawa nafsu. Rasulullah adalah kekasih Allah. Rasulullah yang memberi hukum 72 golongan itu masuk neraka. Bukan kita. Persoalannya, bolehkah kita mempersoalkan Rasulullah dengan berkata : ‘Wahai Rasulullah! Sanggupkah engkau menghukum semua mereka ( 72 golongan salah ) itu masuk neraka?’. Tentu sahaja tidak boleh.
Dalam pada Rasulullah memberi hukuman dan amaran sebegitu, baginda telah berikan kepada kita ‘guide line’ supaya dengan izin Allah, kita sentiasa berakidah dengan golongan yang satu itu sehingga ke titisan darah yang terakhir. Maka umat Islam mewarisi akidah itu sambil para ulama berjuang atas trek akidah baginda. Namun, tidak semua kupasan akidah yang rumit mampu difahami oleh orang awam. Menyedari hakikat ini, para ulama memperinci beberapa permasalahan berhubung akidah, agar umat Islam terpelihara iman mereka.
Sejarah mencatatkan, melalui beberapa proses yang panjang, lahirlah Ijmak ulama bahawa Akidah Asya’irah adalah akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagaimana yang disifatkan Nabi dalam hadis sahih tadi. Jadi, sesiapapun, dari jenis kulit apapun, kasta manapun, berimej apapun, senakal manapun atau setampan manapun, selama mana dia berakidah dengan akidah Ahli Sunnah, dia termasuk golongan yang satu itu. Sebaliknya, jika akidah seseorang bertentangan dengan usul Akidah Ahli Sunnah, dia termasuk dalam mana-mana 72 golongan tadi. Oleh itu, kita perlu tahu dengan tepat apakah ‘benteng’ yang memisahkan satu golongan itu dengan baki golongan yang lain. Jika kita tahu apakah ‘benteng’ itu, nescaya kita tahu membezakan kedua-duanya dengan sangat jelas.
Soalan ‘sanggupkah kita menghukum…..’ adalah kurang tepat menurut saya, kerana bukan kita yang menghukum, tetapi Rasulullah adalah sumber hukum. Baginda yang menghukum begitu. Baginda yang menghukum 72 golongan itu masuk neraka. Baginda juga yang mengajar akidah yang benar. Bagindalah yang bersabda begitu. Baginda memberitahu hukum itu, dan mengajar para sahabatnya akidah yang benar. Hukum baginda bukan dikarang sendiri sesedap hawa nafsu. Ia adalah dari Allah. Sebagai umatnya, kita menurut sahaja demi kebahagiaan dunia dan akhirat.
Saranan saya, soalan ‘sanggupkah kita menghukum….’ akan terjawab sendiri sekiranya mereka memahami apakah benteng yang memisahkan antara golongan satu itu dan 72 yang lain, kerana Rasulullah sudah melaksanakan tanggungjawabnya menjelaskan kepada umatnya akidah yang benar ( Ya Allah, aku bersaksi bahawa Rasul-Mu telah menyempurnakan tugasnya ). Malangnya, jika seseorang kabur atau tidak tahu tentang benteng itu, tentu soalan itu tidak dapat dijawab atau jawapannya salah, lalu tidak tahu apakah yang membezakan akidah setiap golongan itu.
Pesanan saya, tuntutlah ilmu akidah yang benar secara langsung dari guru yang benar akidahnya. Tulisan ini bukanlah menjawab soalan pada tajuk, cuma menilai soalan itu secara sepintas lalu. Selamat melayari hidup ini dengan akidah Ahli Sunnah. Jenayah akidah bukanlah kebebasan dan toleransi dalam urusan agama. Kebatilan akidah bukanlah kepelbagaian mazhab dalam Islam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment