Tuesday, April 11, 2006

TIN YANG BOTOLISME

OLEH : ALEXANDARICAIRO

Watak 1. Tin A
Watak 2. Tin B, C, D, E
Watak 3. tin-tin
Watak 4. Botol-botol
Watak 5. Baldi, gayung, kotak dan selainnya
Watak 6. Tokoh-tokoh terpercaya
Watak 7....Episod seterusnya


Al kisah di tengah kisah, di sebuah kota bersejarah, tin A terfikir seketika di bawa lamunannya. Benak mengarah. Aku ni bukan botol. Bapaku bukan botol. Ibuku bukan botol. Keturunanku bukan botol. Bukan botol mirinda, bukan botol cuka. Tapi, orang selalu kutuk aku, kutuk mengata. Bukan sebab aku ini tin, tapi aku ini tin degil yang terkeluar dari norma sebuah tin. Aku tengok botol, imejnya baik, ramai pihak suka. Bengang betullah. Perkh! Geram. Tak pe. Mulai hari ini, aku akan berusaha mempengaruhi semua. Diorang ingat aku tak pandai ‘klentong’ ke? Aku nak menyamar ‘jadi’ botol tidak terkira. Pedulilah apa orang nak kata. ‘Aku botol!’. ‘Aku botol!’.

Episod penipuan tin A lalu bermula. Setiap hari menjaja dakyah dan fitnah yang dirinya itu botol sesedap lidah berkata. Setiap detik, tin A bergaya, bercakap, dan berlagak seperti botol. ‘Aku botol!!!’. Peduli apa. Janji orang percaya.

Tin-tin yang lain mula berasa pelik menggaru kepala. ‘Dah jadi tin tu, tin je lah ye’. ‘Woi, tak sedar diri ke yang hang tu cuma tin belaka!’. ‘Boleh belahlah’. Tin A tak peduli tentangan yang menyapa. Dakyah diteruskan. ‘Aku botol! Akulah botoliah! Akulah botolisme!’. Tin A pun memangsakan tin-tin yang dungu untuk percaya yang dia tu botol asli capnya. Sukalah dia. Ada tin-tin yang termakan hasutan si pendusta. Malang ruginya. Kesian sungguh nasib tin yang, entahlah. Susah nak kata.

Bila makin banyak tin-tin bodoh yang terpengaruh, tin-tin yang lain mula sedar perihalnya. Maka terpanggillah untuk menjelaskan keadaan hakikatnya. Ini huru-hara namanya. Gegak gempitalah suasana. Kelam-kabut dibuatnya. ‘Penipuan ini harus dibongkar!’. ‘Wahai tin-tin sekalian! Ketahuilah, tin A sedang melakukan jenayah dalam peradaban dunia tin’. ‘Selama ini, tiada tin yang pernah mengaku sebagai botol’. ‘Fitnah jenis ini, ialah yang pertama kalinya’. Begitulah saban hari tin-tin kebenaran memberi amaran buat rakyat jelata.

Lebih-lebih lagi, tin-tin kebenaran menyeru kepada baldi, kotak, gayung dan selainnya, supaya tidak tertipu seelok terdaya. Sebab, dakyah tin A bukan setakat menipu tin-tin sahaja. Tipu jenis tak kira bangsa. Tin A terus menipu. ‘Aku botoliah! Aku botolisme!’. Terus menipu sehendak batinnya. Tidak mengira golongan mana. Semuanya, hendak dijadikan mangsanya. Aduhai sombongnya.

Lama-kelamaan, lahirlah anak-anak murid setia. Menyokong tin A habis-habisan sehabis tenaga. Mereka reka hujah-hujah membela. Betapa memang tin A itu botolisme, botoliah, bukan spekulasi semata. Generasi bersilih ganti ikut semasa. Muncullah tin B, tin C, tin D, tin E yang menjadi orang kanan tin A sebagai laksamana juga panglima. Cuma keris yang tak ada. Bijak bersilat dengan bahasa. Pandai sungguh tin A berkerjaya. Tin pandai macam tin B pun terpedaya. Tin c pun sama? Alahai. Hancur semuanya.

Generasi tin kemudian semakin tak berapa kisah lalu mudah terpedaya. ‘Tin A memang botol’. ‘Tin A adalah botoliah!’. ‘Dialah pejuang kepada para botol’. Itulah slogan mereka setiap detik dan masa. Kalau tin-tin generasi lama boleh tertipu, apalagi tin generasi baru sementah delima. Lagi senang nak masuk jarum tepat mengena.

Namun, tin-tin kebenaran tetap siap siaga. Generasi berganti, tetap sama peranannya. Mereka tak kering tekak membuka pekung tin A segembleng tenaga. Perjuangan diteruskan sampai bila-bila. Perjuangan ini hanyalah mahu menyelamatkan tin-tin yang tidak berdosa.

Pejuang tin A pula meneruskan pembohongan agar terlaksana niat buruknya. Asal ada tuduhan, mereka ‘create’ hujah, sandarkan pada tin A, kemudian kata, tin A dah lama jawab tuduhan itu sesempurnanya. Teks dakyah tin A pula, mana yang selalu kene ‘band’ mereka padam, agar hilag jejaknya.

Apa kata botol? Senyap jer?

Botol! Jawab. Mereka tanya tu…

Botol. Masa tak membenarkan sahaja. Bukan tak nak beritahu kebenaran. Masa tak membenarkan botol berbicara. Tin A tahu masa tak mengizinkan botol menjelaskan keadaan sebenarnya. Sebab itulah, tin A pandai susun strategi lalu berkarya. Mengarutlah tin A sepuas bicara. Menggedung tulisan, target utamanya. Agar tin-tin berikutnya, ikut sahaja. Tak perasan lagi membabi buta.

Yang pasti, botol memang tahu. Sangat tahu tin A langsung tak seperti botol pun jua. Sedikitpun tidak. Tin A yang sangka begitu. Syok sendiri sehendaknya. Akalnya lebih besar dari ilmunya. Nafsunya mendahului tawaduknya. Tin-tin tengok, tawaduknya tinggi. Macam ‘best’. Tapi nafsunya jauh lebih ke hadapan majunya. Jahatnya.

Tiba-tiba…

‘Botol!,jangan bimbang!’. ‘Botol, aku akan menjadi jurucakapmu’. ‘Botol, aku akan ke ceruk mana sekalipun, mengutip kata-katamu, untuk aku menjelaskan kepada dunia, tin A menipu’. Eh, suara? Siapakah gerangannya?

Oh. Tokoh-tokoh hebat dari kaum baldi, gayung, kotak dan selainnya. Mereka bersedia membela nasib sekalian botol. Membersihkan fitnah yang mengotori botol tanpa berkala. Mereka tahu, selama ini tin A suka kata ‘Aku botol, botol begini, aku begini, botol begitu, aku begitu, akulah botolisme yang sebenarnya!’. Mereka tahu tin A suka sangat sebut begitu walaupun botol tak pernah sebut. Botol difitnah lagi. Kesian botol…

Yang botol sebut, tin A tak sebut pula. Fitnah. Lepas tu, pakai gelaran botol, botoliah, botoli, botolisme. Fitnah lagi. Dusta lagi Apa ni?

Lalu berhikayatlah. Tokoh-tokoh baldi, gayung dan selainnya giat mengatur langkah. Menyelusuri segenap arah, mencari botol-botol lama, penutup botol, label botol, serpihan botol, sarung botol, straw botol dan apa sahaja yang dapat membuktikan bahawa botol bukan sepertimana yang disangka oleh tin A. Payah juga. Berkeringat jua. Nasib baik tokoh-tokoh ini hebat belaka. Yang sedihnya, pendukung tin A yang sedang tertipu, terus membela tin A ini tak tentu pasal lagaknya. Aduh. Kenapalah tak bersabar dulu. Sabar. Cermat-cermatlah patutnya. Ingat ya.

Tokoh-tokoh baldi dan selainnya terus berjuang seluas mana. Berjuang dan berjuang tulang empat keratnya. Ada juga tokoh-tokoh ini yang diserang, di tembak pecah hancur dan dirosakkan jisimnya. Biar parah hingga tak bermaya. Biar minyak mengiringi hembus keringatnya. Alah bisa tegal biasa. Lumrah berjuang, tiada noktahnya.

Imej botol sangat baik seadanya. Memang di sebut oleh yang mulia. Tin A sengaja menumpang namanya, untuk nampak baik, meracuni sekitarnya. Kononnya. Supaya tin-tin takut nak menyanggah ucapannya. Demi membersihkan imej botol, penjelasan diteruskan oleh tokoh-tokoh terpercaya. Akan berjaya.

Apa yang jelas, majoriti dunia tidak akan sesekali berpihak kepada tin A realitinya. Itu pasti. Namun, minoriti juga perlu diselamatkan sedayanya. Ya. Teruskan langkah tuanhamba.

Pendukung tin A ini terus berdakyah macam berkarisma. Berimej botol, menagih percaya. Menggunakan tin-tin berpangkat, berkedudukan, ber-PHD, untuk jadi jurucakap berkilau inginnya. Bukan kilauan kaca, bukan permata. Semua tipuan, terancang sedia. Tin-tin yang petah bercakap sukalah bila sudah diangkat begitu rupanya. Bagi mereka, itulah cara penghormatan untuk cendekiawan sangkanya.

Padahal, ia adalah hasil kehebatan tin A menggagas empayar penipuan hingga membentuk satu komuniti berfikiran bahawa kebatilan yang berulang akan diterima menjadi kebenaran yang nyata. Tin A hebat. Hebat di dunianya. Membawa tin-tin buta, ke lembah yang hina.

Mohonnya. Tuhan melindungi dari jadi sepertinya.

Bila kebenaran gelap dari mata. Akan sembarangan memilih cuba, menghalal cara. Aduhai, duka nestapa. Melesetnya. Bila asas, nampak goyahnya. Semua akan rosak, bak sebelanga susu dek setitis si nila. Itulah hakikatnya. Ia ujian, episod akhir dunia. Memukau mempesona. Namun, tiada nilai di alam selanjutnya.





Entah apa kemudian jadinya…Mungkin bersambung hendaknya…

No comments: